الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Saudara Pengerusi Majlis,
Yang dialu-alukan kepimpinan ISMA di semua peringkat, para perwakilan, para tetamu kehormat, barisan pemerhat, tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah, kini telah genap lapan belas tahun usia ISMA sejak tarikh ia telah ditubuhkan. Sudah tujuh tahun semenjak ISMA melalui fasa beramal secara bersungguh-sungguh dan berterusan, yang bermula pada tahun 2008 sehingga ke tahun 2015 ini.
Terlalu banyak pengalaman yang telah kita lalui, ada waktu senang dan ada waktu sukar yang kita tempuhi bersama. Sebenarnya, pengalaman berjuang dan berorganisasi dalam tempoh yang panjang ini telah mengukuhkan pasak-pasak yang menjadi tonggak binaan jamaah kita iaitu:
إيمان وعمل ومحبة وإخاء
Iman dan Amal, Kasih Sayang dan Persaudaraan.Demikian empat tiang seri yang sentiasa kita pelihara sepanjang perjalanan kita. Tidak ada apa pun yang mampu memperdayakan kita. Keghairahan merebut sebarang peluang tidak mengatasi kepentingan untuk menjaga keutuhan jemaah kita ini.
Itulah prinsip yang perlu kita pegang sepanjang masa, lebih-lebih lagi untuk memastikan perjalanan ini sampai sehingga ke destinasinya.
Kita juga tidak pernah menukar jalan selain daripada jalan yang telah menjadi asas binaan amal dakwah kita kepada mana-mana jalan pintas yang lain. Kita sentiasa berpegang teguh kepada wasilah amal yang kita warisi iaitu:
الإيمان العميق والفهم الدقيق والعمل المتواصل
Iman yang mendalam, kefahaman yang mantap dan amal yang berterusan.Inilah wasilah dakwah yang telah memberikan kita kekukuhan, kekuatan dan kemantapan sehingga ke hari ini. Justeru, jangan sesekali kita melonggarkan pegangan, apatah lagi melupakannya.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Di awal ucapan ini, saya buat kesekian kalinya ingin mempertegaskan bahawa Fikrah ISMA Ialah ISLAM. Islam yang mudah sebagaimana yang dibawa oleh Jibrail AS kepada Nabi Muhammad SAW tanpa ditambah atau dikurangkan.
Ruang lingkupnya seluas cakupan perkataan “Islamiah”. Kita bukan sekadar NGO, tetapi kita mempunyai fikrah dan manhaj yang tersendiri yang kita ambil daripada manhaj Islam itu sendiri. Segala objektif yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah itulah objektif kita. Rabbaniyyah dalam objektif, wasilah dan juga uslub.
Dakwah ini diasaskan kepada pandangan yang benar terhadap alam dan segala kejadian. Islam bukan satu amalan tradisi warisan yang tidak boleh ditakrifkan atau tidak diketahui asal-usul kebenarannya. Islam berbeza dengan ajaran agama-agama lain, tidak seperti yang didakwa oleh guru kepada puak-puak atheis dan liberal, iaitu René Guénon, John Hicks dan lain-lain lagi. Sebaliknya, Islam ialah kebenaran unggul yang diberitahu oleh Tuhan tentang asal kejadian, penciptaan, hidayah, inayah, rezeki, kebangkitan semula serta pembalasan.
Dakwah yang sebenarnya adalah berasaskan kepada tauhid, iaitu; pengesaaan dan ubudiah hanya kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang mencipta.
“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNyalah mereka dikembalikan.” (A’li-Imraan: 83)
Allah SWT adalah pencipta kepada alam semesta yang menjadikan-Nya sebagai Tuhan kepada seluruh alam ini. Manusia adalah hamba Allah yang wajib beriman dan mematuhi segala arahan dan perintah-Nya (syariat-Nya).
Allah SWT yang tidak ada anak atau tidak diperanakkan, tiada sekutu bagi-Nya dengan makhluk yang lain dan tiada ia menjelma dalam apa apa bentuk atau mengizinkan pengantara di kalangan makhluk.
“[1] Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; [2] “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; [3] “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; [4] “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”. (al-Ikhlas: 1-4)
Segala kepercayaan yang mengambil Tuhan yang disekutukan, atau mahluk yang disembah, jelmaan dan pengantara semuanya adalah kepincangan dalam pandangan terhadap hakikat ketuhanan (Yang Mencipta) dan kewujudan, serta tidak boleh dijadikan asas pegangan ataupun perbandingan dengan kebenaran pandangan Islam.
Terdapat sebahagian yang menjadikan agama hanya sebagai kepercayaan hati yang terhad dalam hubungan spiritual antara individu dengan Tuhan seperti yang didakwa oleh John Hicks. Fahaman-fahaman itu semua juga bercanggah dengan hakikat Islam sebagai agama yang sempurna dan sebuah sistem hidup yang menyeluruh.
Dakwah Islam adalah berasaskan kepatuhan yang menyeluruh kepada syariat Allah dalam segenap aspek kehidupan.
الإسلام
نظام شامل يتناول مظاهر الحياة جميعا فهو دولة ووطن أو حكومة وأمة، وهو
خلق وقوة أو رحمة وعدالة، وهو ثقافة وقانون أو علم وقضاء، وهو مادة وثروة
أو كسب وغنى، وهو جهاد ودعوة أو جيش وفكرة، كما هو عقيدة صادقة وعبادة
صحيحة سواء بسواء
Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang–undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sahih.
Mengasimilasikan Islam dengan fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah idea atheis, liberal dan golongan antiagama. Islam adalah sistem hidup lengkap yang inklusif yang berdiri di atas asas pandangan yang jelas dan kukuh terhadap hakikat kewujudan.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Matlamat besar dakwah kita ialah untuk mengembalikan semula cara hidup Islam dalam masyarakat termasuk politik dan kekuasaan, sehinggalah kita dapat menegakkan semula sebuah tamadun yang berasaskan tauhid.
Kita percaya sepenuhnya kepada khazanah peninggalan tamadun Islam yang lampau yang kaya dengan pengalaman dalam bidang ilmu, siasah, ekonomi dan peradaban.
Kita juga percaya bahawa kebangkitan umat Islam hari ini mestilah ditegakkan di atas nilai kebenaran yang sama yang menjadi asas binaannya pada permulaan Islam.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Marhaliyyah dalam Dakwah ISMA
Matlamat yang besar itu tidak dapat kita realisasikan sepenuhnya.
Realiti umat Islam hari ini sudah tersasar daripada landasan yang sebenar. Malahan, struktur demografi, persekitaran ekonomi dan politik juga sudah tidak sepertinya. Sempadan geografi juga telah berubah, serta yang lebih penting, kuasa dunia tidak lagi berada di tangan kaum Muslimin.
Faktor-faktor yang telah disebutkan tadi telah menjadikan dakwah kembali semula ke fasa awal kemunculannya. Walaupun syariat telah sempurna, tetapi umat tiada kekuatan (kuasa wewenang) untuk merealisasikan tujuan hidup Islam sepenuhnya. Kita perlu bergerak mengikut fasa, iaitu dengan membina semula kekuatan dan bergerak mengikut marhalah demi marhalah.
Setiap marhalah memiliki matlamat dan wasilah yang sesuai dengan kekuatan jamaah serta persekitaran sosial dan politik pada satu-satu masa. Kita tidak boleh melangkaui marhalah untuk sampai ke marhalah yang seterusnya. Ini adalah intipati daripada kebijaksanaan ijtihad dakwah yang dipegang oleh ISMA.
Oleh sebab itu, setiap pendakwah mesti memahami objektif setiap marhalah yang kita lalui supaya setiap langkah dakwah yang diambil selari dengan objektif marhalah dan terarah menuju kepada marhalah seterusnya.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa kita masih di marhalah takwin iaitu pembentukan. Kerja utama kita ialah dakwah, tajmik, tarbiah dan takwin. Syiarnya ialah al-imanul amik, al-fahmu al daqiq dan amal mutawasil.
Dalam masa yang sama, kita beransur-ansur melengkapkan marhalah dengan pembentukan institusi-institusi dakwah dalam kerangka merealisasikan objektif marhalah yang telah kita tetapkan.
Marhalah ini mungkin akan mengambil masa yang agak lama. Namun, ini tidak semestinya akan menjadikan kita kaku dan jumud dengan satu bentuk kerja yang statik. Sebaliknya, sebagaimana biasa, kita akan sentiasa bersikap dinamik dalam berdepan dengan apa jua peluang dengan syarat langkah tersebut membantu merealisasikan objektif marhalah yang telah kita tetapkan.
Saya ulangi bahawa apa-apa sahaja langkah dan aktiviti di marhalah ini hendaklah menyokong tujuan marhalah, bukan untuk meruntuhkannya. Pelbagai projek telah kita wujudkan, semuanya bertujuan untuk mengukuhkan tajmik, menyempurnakan binaan tanzim dan mengembangkan dakwah serta institusinya.
Sepanjang tahun 2013 sehingga tahun 2015 ini, kita telah melakukan banyak aktiviti dakwah serta pembinaan imej. Semua aktiviti tersebut adalah bertujuan memperkukuhkan reputasi jamaah di hadapan pandangan awam bagi memudahkan usaha tajmik dan takwin.
Alhamdulillah, kini, sebahagian besar masyarakat telah mengenali ISMA dan perjuangan ISMA. Adalah menjadi tugas berat di atas bahu kita semua di peringkat ini, untuk mengubah daripada mengenal kepada menyokong dan melibatkan diri dengan dakwah kita.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Realitinya, umat Islam pada hari ini masih jauh daripada memahami erti penghayatan Islam yang sebenar dan menyeluruh dalam kehidupan. Mereka juga masih keliru dan teragak-agak untuk kembali kepada Islam sebagai cara hidup.
Akibatnya, kehidupan masyarakat terus bergolak dan berhadapan dengan ketidaktentuan dalam politik, ekonomi dan juga sosial. Pada akhir-akhir ini juga, kita telah menyaksikan fenomena yang amat teruk dan tidak pernah berlaku di sepanjang sejarah.
Kita dipaparkan dengan berita anak bunuh bapa, bahkan bunuh ibu, bapa bunuh anak, teman lelaki mengelar dan membunuh kekasih dan termasuk kes-kes bunuh diri, yang pada hemah saya memberi tafsiran yang sangat menggerunkan terhadap tahap pegangan agama yang dimiliki oleh masyarakat kita.
Ini tidak termasuk kegagalan-kegagalan lain dalam kehidupan seperti kejadian buang anak, anak luar nikah, lari dari rumah, penagihan dadah, keganasan rumah tangga, sumbang mahram, pengangguran, merempit dan sebagainya yang menunjukkan peningkatan tekanan hidup dan kegagalan pendidikan agama dalam masyarakat.
Lebih bahaya daripada itu lagi, semakin ramai dalam kalangan generasi muda Islam yang telah berani mengeluarkan kata-kata kufur dan atheis, menganggap kebenaran adalah relatif, semua agama benar, orang kafir masuk syurga bersama orang Islam dan pelbagai idea kufur kesan daripada pengaruh liberalisme dan pluralisme agama yang berleluasa.
Walaupun kita tahu wujud pendidikan agama di sekolah-sekolah, di masjid dan di surau, ternyata sukatan pelajaran yang diberikan tidak mencukupi, tidak menjawab persoalan akidah semasa, atau tahap pendidikan terbatas sehingga gagal mencapai kualiti pegangan dan penghayatan agama seperti yang diharapkan.
Malahan, suatu yang mustahil diandaikan terjadi dalam kalangan masyarakat Islam pada masa dahulu telah terjadi dengan berleluasa pada hari ini. Ini membayangkan betapa berhajatnya umat Islam kepada kehidupan di bawah nikmat Iman dan Islam yang selama ini kita rasai dalam kehidupan dakwah kita.
Justeru, ISMA pada fasa akan datang akan mempergiatkan lagi promosi produk-produk dakwah dalam semua peringkat terutamanya belia, remaja, wanita dan juga program kekeluargaan dan pendidikan anak-anak.
Di samping itu, ISMA akan memberikan penekanan khusus kepada bidang dakwah dan pendidikan masyarakat, dakwah khas untuk golongan pemuda serta hal-hal yang berkaitan kebajikan dan meringankan tekanan hidup masyarakat.
Kita perlu mencari jalan dengan merangka pelbagai strategi untuk sampai kepada setiap golongan sasar dengan lebih berkesan lagi. Kita perlu lebih dinamik dan berinovatif dalam menyesuaikan wasail dakwah dengan kemajuan terkini.
Saya mencadangkan agar diperluaskan kegiatan dengan lebih efisien dalam bidang seni, kebudayaan dan kesukanan. Saya ingin menggalakkan elemen kelab-kelab mengikut minat seperti kelab renang, memanah, berbasikal, berkuda, mendaki dan sebagainya, khususnya kepada golongan muda.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Daripada pemerhatian, saya mendapati semua produk dakwah ISMA sama ada di lapangan belia, remaja, kekeluargaan dan juga kewanitaan mendapat sambutan yang amat baik di kalangan masyarakat.
Begitu juga dengan produk dakwah umum yang juga mendapat sambutan semakin menggalakkan dari semasa ke semasa.
Saya berharap pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang, semua agensi dakwah ISMA di semua lapangan dapat merancang dengan lebih baik, demi pelaksanaan yang lebih berkesan, serta memberi penekanan yang khusus kepada promosi dan kerjasama strategik dengan badan-badan yang berkongsi matlamat dengan kita.
Justeru, saya mahu memastikan bahawa semua ahli dan petugas ISMA berada pada tahap siap siaga yang tinggi setiap masa, serta menjadi perajurit dakwah yang sentiasa lengkap pada setiap ketika dengan ciri-ciri pendakwah yang cekap dan berkesan.
Saya telah menggariskan 12 ciri-ciri siap siaga yang mesti dihayati oleh setiap ahli ISMA pada setiap masa. Ini bagi memastikan setiap tindakan dakwah dapat membuahkan hasil yang maksima.
Sebagai perajurit dakwah kita hendaklah sentiasa;
- BERILMU DAN BERKETRAMPILAN
- CEKAP DAN PROFESIONAL
- GAGAH, BERANI DAN BIJAKSANA
- PINTAR DAN BIJAK BERBICARA
- CEKAL DAN BERDISIPLIN
- SOPAN SANTUN DAN BERBUDI BAHASA
Kemudian bacalah:
“Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah, Tuhan seluruh alam“. (al-An’am: 162)
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Membujur lalu melintang patah.
Demikianlah semangat yang ditunjukkan oleh perajurit dakwah kita. Bila matlamat sudah jelas, segala rintangan akan menjadi mudah.
Sepanjang tahun-tahun yang lalu bahtera dakwah ini dengan berani membelah ombak dan merempuh badai menuju ke destinasi yang telah ditetapkan.
Sejarah telah menunjukkan keutuhan, kesatuan, kekentalan, dan disiplin yang tinggi sebagai tonggak utama kejayaan. Pertahankanlah aset kekuatan yang kita miliki ini pada setiap masa. Media liberal cuba mempermainkan kita seperti permainan badminton, iaitu lambung dan smash. Mereka mengangkat kita, tetapi bukan untuk menyanjung, sebaliknya supaya mereka dapat smash semula bola tinggi.
Sejak awal kita sudah memahami permainan ini kerana itu adalah taktik biasa yang digunakan oleh mana-mana media yang mempunyai agenda.
Mereka memperkenalkan kita dan mengangkat visibility kita, kemudian mereka menjatuhkan kita dengan label-label yang bohong dan palsu supaya dengan cara itu mereka dapat memusnahkan kredibiliti kita di hadapan pandangan umum.
Semua taktik murahan itu telah berada dalam pemerhatian kita. Bukan setakat itu sahaja, bahkan mereka mahu menjadi hakim yang akan menentukan hukuman ke atas kita. Tetapi, tentulah kita sekali-kali tidak akan membenarkannya daripada berlaku.
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)” (at-Taubah: 32)
Barangkali, perkara ini berlaku apabila ISMA mengisytiharkan pendiriannya yang tegas, untuk:
- Mempertahankan identiti keislaman masyarakat dan negara.
- Menegakkan Islam sebagai cara hidup yang sempurna termasuk politik dan kenegaraan.
- Mempertahankan Malaysia sebagai tanah kedaulatan bangsa Melayu untuk selamanya.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Kita akan dapat memahami hakikat ini dengan mudah jika kita faham matlamat dan tujuan serta siapa di belakang media-media ini. Dari situ juga, kita akan tahu pendirian sebenar mereka terhadap kita.
Sebenarnya, hanya dengan sedikit penelitian kita dengan mudah dapat mengetahui bahawa kebanyakan media-media atas talian yang “membadmintonkan” ISMA adalah sama ada ditaja oleh agensi-agensi daripada luar negara atau oleh Media Powerhouse yang dimiliki oleh taikun-taikun yang berpengaruh dalam mencatur politik negara.
Rakyat Malaysia perlu faham tentang agenda kotor media pro-liberal ini. Kesedaran tentang bahaya agenda media-media ini telah mendorong kita untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang identiti dan peranan mereka dalam sebuah komplot yang besar terhadap Islam dan Melayu di negara ini.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Isu Antarabangsa dan Agenda Islam
Saya berpendapat bahawa dunia Islam akan terus berhadapan dengan situasi yang sukar pada masa akan datang. Mata-mata sedang tertumpu kepada sejauh mana dasar luar Raja Saudi yang baru, Raja Salman dalam mempengaruhi masa depan politik di Timur Tengah.
Perubahan yang diharapkan daripada ربيع العربي (Arab Spring) masih belum menunjukkan tanda-tanda yang membawa harapan yang baik. Negara-negara yang terlibat masih berdepan dengan faudha (ketidaktentuan) dan keganasan. Mereka masih mencari-cari jalan ke arah tawafuk (permuafakatan) dan kestabilan.
Puak-puak Islamis yang meletakkan harapan kepada Arab Spring untuk mengubah situasi kepada kebebasan dan demokrasi akhirnya kecewa kerana perkara yang diharapkan itu tidak berlaku.
Barat sama sekali tidak percaya terhadap golongan Islamis yang memerintah negara-negara umat Islam. Pelbagai konspirasi dan tipu muslihat telah dilaksanakan. Mereka bahkan lebih rela mengabaikan demokrasi yang mereka promosi demi menghalang kuasa berpindah ke tangan watoniyyin Islamiyyin (golongan Islam yang patriotik), tidak seperti yang dicanangkan oleh mereka sendiri.
Ini memberi pelajaran kepada kita bahawa pertembungan sebenar ialah pertembungan akidah dan huwiyyah (identiti). Ia bukan hanya semata-mata demokrasi, kebebasan dan hak rakyat dalam membuat pilihan.
Sebaliknya, perkara ini berkaitan dengan masolih (kepentingan) Zionis dan negara kafir yang mahu memastikan pengaruh dan kepentingan mereka terjamin di dunia Islam dan projek Zionisme (Negara Yahudi) tidak akan terjejas.
Mereka mahu suatu pemerintahan yang boleh menjamin kepentingan mereka, menyokong agenda mereka.
Oleh sebab itu, mereka akan memastikan pemerintahan yang akan menggantikan diktator-diktator itu hendaklah terdiri daripada kalangan mereka yang jelas wala’ kepada Amerika dan Yahudi (Zionis).
Hari ini, keadaan yang sangat keliru sedang berlaku, di mana dalam pada seruan-seruan ke arah perubahan demokrasi rakyat di negara-negara Timur Tengah, rakyat tidak dibenarkan membuat pilihan mengikut kehendak mereka. Mereka diminta membuat pilihan “dengan bebas”, tetapi pilihan itu hendaklah yang menguntungkan Amerika dan Yahudi.
Itulah demokrasi “ala-Amerika” yang hipokrit atau demokrasi yang sebenarnya adalah alat penjajahan bukan kebebasan.
Hari ini, Malaysia juga sedang melalui pergolakan yang sama. Situasi yang berlaku di Timur Tengah boleh juga berlaku di Malaysia.
Barat dan proksi mereka, golongan cauvinis dan evangelis mengangkat slogan-slogan seperti “liberty”, “equality” dan “fraternity”, iaitu slogan yang sama dilaungkan semasa revolusi Perancis, revolusi China dan beberapa revolusi-revolusi lain.
Melalui slogan-slogan itulah orang Yahudi telah dapat diasimilasikan dalam masyarakat barat serta menguasai ekonomi dan politik mereka sehingga hari ini.
Situasi itu juga sedang dilakukan di Malaysia. Mereka menuntut kebebasan yang mutlak, hak kesamarataan dan penghapuskan perbezaan agama dan bangsa mengikut model Amerika dan barat. Sekiranya orang Melayu menerima fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama, sudah tentu Malaysia akan menjadi seperti Amerika pada suatu hari nanti.
Mereka tahu dengan kebebasan, kesamarataan, dan “persaudaraan” tersebut mereka boleh mencapai cita-cita mereka untuk menguasai ekonomi, politik negara dan memastikan pemerintahan dan dasar negara memihak kepada agenda Zionis.
Selama mana hasrat itu tidak tercapai sepenuhnya, selagi itulah Malaysia akan berkocak dengan isu demokrasi, kebebasan, kesamarataan, hak asasi dan sebagainya yang akan mengakibatkan ketidakstabilan politik, ekonomi, ketegangan kaum dan agama, ancaman pemisahan dan seumpamanya, walaupun kerajaan yang memerintah dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi pilihan raya, seperti yang cadangkan oleh barat.
Saya percaya sepenuhnya bahawa krisis dan ketidakstabilan dunia Islam hari ini, kekacauan politik, keganasan dan ketegangan kaum sangat berkaitan rapat dengan isu Israel-Palestin. Saya juga percaya bahawa selama mana tanah Palestin dan yang diduduki Israel pada hari ini tidak merdeka, selama itulah negara umat Islam akan berada dalam keadaan kacau-bilau.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Malaysia Memerlukan At-Tawafuk Am (Permuafakatan Nasional)
Alhamdulillah, sehingga hari ini kita masih boleh bertahan. Malaysia belum lagi menjadi seperti negara–negara Islam lain terutamanya di Timur Tengah.
Rakyat Malaysia berjaya menghalang huru-hara, mengekalkan kestabilan, pembangunan dan kemerdekaan dalam membuat dasar, daripada diporak-perandakan oleh tangan-tangan jahat yang berkomplot dari dalam dan luar negara.
Sewaktu saya menulis ucapan ini, politik Malaysia dalam proses pembentukan baru. Saya berharap akan berlaku perubahan dalam peta politik Malaysia terutama dalam politik orang Melayu.
Saya berharap rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam mengambil kesempatan ini untuk membuat pembetulan dan penambahbaikan. Sekurang-kurangnya akan wujud laluan ke arah suasana Tawafuk umum antara pihak-pihak yang berpengaruh dalam politik Malaysia, merawat kerekahan yang berlaku di dalam keragaman yang sangat kronik pada hari ini.
Bertindak atas kepentingan umat bukan mengikut telunjuk pihak asing. Tawafuk antara kumpulan-kumpulan Islam, Tawafuk antara kumpulan Melayu Islam dengan pemerintah dan Tawafuk antara rakyat secara keseluruhannya.
Negara sangat terdedah kepada suasana huru-hara dan ketidakstabilan. Pemimpin dan pemerintah yang lemah tidak akan dapat menegakkan undang-undang sebagaimana yang sepatutnya, tidak mampu memberikan hak kepada yang berhak dan gagal menegakkan keadilan secara saksama.
Saya percaya bahawa barat dan proksi mereka, golongan cauvinis dan evangelis tidak akan sekali-kali mengendurkan tuntutan ekstrem dan melampau mereka.
Sekarang waktu yang sangat kritikal bagi rakyat Malaysia keseluruhannya untuk memastikan negara dipandu oleh dasar yang betul tanpa tughyan iaitu dominasi melampau oleh tuntutan minoriti yang diragui ke atas kehendak majoriti.
Segala usaha dan tumpuan harus menjurus ke arah mengukuhkan tonggak kenegaraan agar kekal stabil, diiringi dengan muafakat antara rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa, suasana harmoni dan saling menghormati.
Saya menyeru rakyat Malaysia seluruhnya supaya;
- Mempertahankan identiti dan jati diri negara Malaysia.
- Menolak segala pengaruh hegemoni asing yang akan menjejaskan kedaulatan dan kemerdekaan dasar-dasar negara.
- Menolak segala usaha mengimport fahaman, pengalaman dan budaya asing yang bercanggah dengan budaya tempatan sehingga mengakibatkan pertembungan budaya yang kronik.
- Menolak fahaman ekstremDominionisme (Cita-cita negara Kristian Evangelist) dan “Zionis Kristian” yang telah meresap masuk dan merosakkan pemikiran sebahagian anggota masyarakat.
- Menolak agenda yang cuba memecahkan kesatuan negara Malaysia.
TEMA AGM 2015
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Pada mesyuarat agung sebelum ini saya telah bercakap tentang memartabatkan ‘Agenda Perjuangan Islam’. Saya bimbang melihat “gerakan-gerakan Islam” sama ada sedar atau tidak, telah mula mengadaptasi fahaman-fahaman dari barat, di mana agenda-agenda Islam dan istilah-istilah dakwah semakin hilang daripada wacana dakwah. Akhirnya, perjuangan Islam seolah-olah telah bertukar kepada produk-produk yang diadaptasi daripada falsafah humanisme.
Saya telah mengupas isu-isu yang berkaitan dengan agenda Islam dalam konteks dan realiti Malaysia, dan pada akhirnya saya nyatakan perbezaan antara agenda negara Islam yang merupakan identiti asal berbanding dengan Negara Sivil tanpa agama dan bangsa sebagai model Liberal Demokratik Barat.
Kita saksikan sepanjang tempoh dua tahun lalu, isu ini telah menjadi medan tempur yang hangat antara mereka yang mempertahankan perlembagaan, perpaduan dan kesatuan Malaysia dengan satu lagi pihak yang mahu mengimport ideologi Barat dan mahu mengadaptasi pengalaman Barat Kristian dalam membina masa depan negara.
Akhirnya, sebahagian masyarakat Islam telah keliru dan tidak lagi mampu membezakan antara Islam yang sebenar dengan Islam liberal anjuran Amerika. Mereka juga gagal membezakan antara agenda nasional dengan agenda asing yang diimport untuk kepentingan dan muslihat kelompok-kelompok tertentu,
Pada kali ini dengan izin Allah SWT saya mencadangkan satu tema untuk menjadi panduan perjalanan dakwah ISMA dan dakwah Islam seluruhnya pada masa akan datang. Saya pilih satu tema yang sangat mencabar dalam situasi pertembungan yang tidak seimbang pada hari ini iaitu;
MENGARUS PERDANA AGENDA DAKWAH, MENGANGKAT SUARA UMMAH.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Mengangkat suara umat Islam, Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia yang setia kepada bangsa dan negara adalah satu tanggungjawab yang wajib di atas bahu seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira aliran terutama gerakan Islam yang patriotik dan berpegang teguh dengan agenda nasional, apatah lagi dalam suasana suara minoriti songsang yang telah mendominasi keadaan.
Kita mahukan supaya suara majoriti rakyat yang sederhana menjadi dominan dan berpengaruh. Kita tidak mahu isu yang berlaku seperti mana di negara lain di mana suara majoriti didiamkan, manakala suara minoriti telah diangkat sehingga menentukan hala tuju dan dasar masa depan negara.
Pandangan-pandangan yang sederhana hendaklah dominan, di mana suara yang mengutamakan perpaduan dan keharmonian yang sepatutnya berpengaruh. Selain itu, suara-suara yang mengangkat perlembagaan, menghormati kontrak sosial dan memuliakan setiakawan harus dijunjung tinggi.
Malangnya, perkara yang berlaku ialah sebaliknya, di mana suara-suara yang mulia dan luhur diberi persepsi buruk, dipinggirkan, manakala, suara yang asing dan songsang diangkat tinggi.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Yang menjadikan agenda liberal, pluralisme agama dan suara minoriti antiagama dan antinasional yang menyeru kepada keruntuhan akhlak, aktiviti songsang, budaya hidup yang keji, ketegangan kaum dan menggugat kesatuan negara ialah pengaruh media atas talian yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
Boleh dikatakan kesemua media atas talian dan media cetak adalah pro-liberal. Media-media ini sama ada ditaja oleh pihak luar dari Amerika atau dibiayai oleh taikun-taikun cauvinis dan evangelis tempatan yang berpengaruh dan menguasai ekonomi negara.
Taikun-taikun ini telah menaja portal-portal atas talian yang menjadi saluran untuk mempromosi idea-idea asing, pengalaman Barat Kristian, mengangkat suara minoriti antinasional serta memberi kedudukan kepada perjuangan agenda songsang yang anti Islam dan Melayu.
Mereka juga memaksa masyarakat untuk berfikir mengikut acuan tertentu dari Barat dengan menggunakan perkataan-perkataan dan istilah-istilah yang terbit daripada madrasah pemikiran Barat yang sebenarnya tiada kaitan dengan Islam dan pengalaman di dunia Islam.
Mereka menggambarkan yang benar itu buruk, yang betul itu salah dan yang salah itu betul untuk melindungi pandangan umum terhadap bahaya agenda ‘Dominionisme (Cita-cita negara Kristian Evangelist) dan Zionis Kristian’ yang menyerap masuk melalui pelbagai strategi yang amat berbahaya kepada bangsa dan negara.
Mereka juga membuka ruang luas kepada agenda golongan ‘Islam liberal’ mereformasikan agama Islam seperti barat mereformasikan Kristian, dan mereka berjaya memposisikan Islam liberal dan pluralisme agama itu sebagai moden dan progresif.
Umat Islam yang terus berpegang kepada Islam dan mempertahankan keperibadian dan jati diri daripada dicairkan oleh fahaman liberal dan pluralisme agama dilabelkan sebagai rasis, ektremis, ganas dan seumpamanya.
Demikianlah kita dapat memahami bagaimana taktik jahat yang digunakan di zaman gelap Eropah iaitu pertembungan sains lawan gereja, digunakan semula sebagai metodologi untuk menentang Islam pada masa ini.
Media-media pro-liberal ini menjadi paling berkuasa mendominasi pemikiran umum dan mempengaruhi pembuat dasar sehingga mereka amat ditakuti dan digeruni oleh politikus yang berkuasa.
Sebarang isu yang diangkat oleh media-media ini akan diambil kira oleh kerajaan. Oleh sebab itu, tuntutan-tuntutan minoriti antiIslam dan antinasional menjadi lebih didengari daripada tuntutan majoriti yang setia menjunjung perlembagaan.
Malangnya, media arus perdana elektronik dan juga media cetak hanya menghadkan peranan untuk mempromosi agenda pemerintah dan parti kerajaan sahaja. Tiada media yang berkesan untuk golongan Islam dan yang mewakili suara majoriti masyarakat negara ini. Ini cabaran besar umat Islam dan amal Islami pada masa akan datang.
Tema ini merupakan seruan kepada umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya di mana sahaja mereka berada supaya mengunakan sumber dan potensi yang dimiliki secara maksimum untuk memastikan agenda Islam dan kepentingan nasional yang mewakili pandangan majoriti menjadi suara arus perdana, mendominasi pandangan umum dan mempengaruhi dasar serta pembuat keputusan.
Kita perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Timur Tengah di mana media-media yang dikawal oleh puak-puak liberal, antiIslam dan antinasional walaupun pada hakikatnya berjumlah kecil (mewakili suara minoriti) tetapi telah digunakan dengan jayanya untuk memadamkan suara Islam dan menggagalkan agenda nasional.
Kita mestilah peka terhadap apa yang berlaku di dunia Islam pada hari ini.
Peranan media secara terancang sangat berkuasa dalam menaikkan atau menjatuhkan kerajaan. Mereka sangat berkuasa dalam pertembungan di antara agenda Islam dan agenda pembaratan. Media tempatan dan antarabangsa kini digunakan untuk membangkitkan Islamophobia yang meluas dan membunuh agenda kebangkitan Islam dari minda orang Islam sendiri.
ISIS dan Liberalisme
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Musuh-musuh Islam cuba memaksa minda umat Islam dan juga masyarakat dunia untuk memilih antara dua pilihan; pertama, model Islam Liberal (Islam ciptaan Amerika atau Yahudi) yang disifatkan dengan “moderate” dan yang kedua ialah model Islamic State of Iraq and Syria (ISIS).
Kita semua sedia mengetahui bahawa kedua-dua gerakan ini dipergunakan oleh Amerika dan barat. Dapat dilihat dengan jelas media antarabangsa menggunakan ISIS untuk membunuh agenda perjuangan negara Islam secara langsung. Mereka dengan sengaja menamakan gerakan jihad ini sebagai Islamic State.
Dengan memaparkan tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan oleh ISIS atas nama “negara Islam” telah menyebabkan tiada lagi dalam kalangan gerakan Islam yang berani mengangkat slogan negara Islam.
Dengan itu, mereka berjaya mematikan sama sekali agenda negara Islam daripada program mana-mana gerakan Islam di dunia. Akhirnya, mereka telah berjaya membuang istilah negara Islam dalam prakata perjuangan mereka.
Sebagai ganti, barat melalui cadangan daripada badan seperti Rand Corporation telah merekrut dalam kalangan umat Islam golongan yang digelar sebagai ‘moderate muslim’ atau Islam demokratik. Golongan-golongan ini melabelkan diri mereka sebagai moderate dan progresif.
Moderate Muslim ini adalah mereka yang cuba mereformasikan fahaman Islam mengikut tafsiran liberal barat atau idea liberal yang cuba diIslamisasikan oleh golongan yang kalah jiwa mereka sehingga sanggup menjadi tali barut musuh.
Rancangan Barat ini bukan sahaja mencetuskan pertembungan budaya dan pemikiran antara Barat dan Islam, tetapi juga dalam kalangan sesama umat Islam dan bahkan sesama penduduk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian
Pertembungan Pemikiran dan Budaya
Dalam konteks Malaysia, pertembungan pemikiran dan budaya ini akan menjadi konflik kemasyarakatan yang lebih berbahaya. Di samping politik dan ekonomi akan dikuasai oleh orang asing, negara juga akan diancam dengan krisis pertembungan budaya dan nilai yang dahsyat.
Pertembungan ini akan menjadikan rakyat Malaysia bukan sahaja dipaksa menerima cara hidup bebas seperti yang ditaja oleh Liberal Barat, bahkan Malaysia juga akan diserang dengan budaya kufur, antiagama, adegan-adegan yang meruntuhkan sistem nilai, melanggar akhlak, mencabar halal haram, keruntuhan batas iman dan kufur, budaya mabuk, perjudian, pelacuran, perniagaan haram, rasuah dan seumpamanya.
Pertembungan pemikiran dan budaya menjadi semakin tajam apabila pihak ekstremis evangelis yang diserap oleh fahaman Dominionisme (Cita-cita negara Kristian Evangelist) dan Zionis Kristian, telah menguasai pemikiran sebahagian daripada anggota masyarakat.
Demikian, dapat disaksikan ketegangan yang sedang berlaku sekarang ini apabila sebahagian pemuda-pemudi telah mula berani mencabar nilai budaya dan cara hidup masyarakat serta menghina agama Islam seperti yang disiarkan oleh media secara meluas.
Oleh itu, kita terpaksa memikul tanggungjawab besar untuk membendung agenda asing dan memastikan agenda kesatuan dan kesederhanaan Islam terus dominan. Kita mahu suara majoriti dan kepentingan Malaysia lebih dominan berbanding suara minoriti yang songsang.
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Puak Liberal dan Gerakan Pemisahan
Gabungan empat penjuru antara cauvinis, evangelis, pembaratan dan Islam liberal bukan sahaja berbahaya kepada kedudukan Islam sebagai agama negara, kedaulatan bangsa Melayu di tanah air mereka dan perpaduan nasional, tetapi juga mengancam kesatuan Malaysia.
Akhir-akhir ini, kita membaca laporan munculnya gerakan pemisahan yang agresif untuk mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia yang dilakukan tanpa berselindung lagi. Mereka merancang untuk memecahbelahkan negeri-negeri di Malaysia supaya terpisah mengikut kaum dan agama.
Sekali lagi saya sebutkan bahawa komplot dari Timur dan Barat ini bukan sahaja mengancam jati diri dan identiti negara tetapi juga akan memusnahkan perpaduan masyarakat dan kesatuan Malaysia. Malah, lebih memburukkan keadaan, apabila wala’ mereka tidak lagi untuk kepentingan negara dan tanah air tetapi tetapi taksub dengan kepentingan kelompok sendiri dan sanggup berkomplot dengan pihak asing.
Perkara yang berlaku hari ini bukanlah bermula semalam, bahkan sebenarnya agenda lama yang tidak pernah padam.
Amat penting bagi rakyat Malaysia terutama orang Melayu dan umat Islam memahami sudut mu’amarah atau komplot jahat yang melingkungi mereka. Komplot yang berterusan ini telah berlaku sejak sebelum merdeka sehingga hari ini, melibatkan kuasa dari Barat dan juga Timur.
Kita tidak mungkin mampu mentafsirkan percaturan politik pada hari ini tanpa kita mengkaji terlebih dahulu apa yang berlaku sepanjang sejarah.
Sebagai gerakan Islam yang sederhana yang patriotik dan cintakan negara, ISMA bertanggungjawab memastikan kestabilan, pembangunan, kebebasan dan kesatuan Malaysia kekal utuh. Tidak ada jalan lain kecuali dengan memperkasa perlembagaan, menjunjung Rukun Negara, memperkukuh semangat setiakawan dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.
Suara ini bukanlah suara ISMA semata-mata, bahkan merupakan suara majoriti rakyat Malaysia yang cintakan negara dan setia dengan tanahair. Menjadi tanggungjawab ISMA untuk memastikan suara ini kekal tinggi mengatasi suara-suara lain.
Oleh itu, kita perlu berkerja keras untuk menyampaikan risalah kepada seluruh orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Kita menyedari kekangan dan keterbatasan kita. Namun begitu, saya percaya kita punyai kekuatan untuk menghalang mereka kerana;
- Agenda yang mereka bawa adalah suatu yang asing serta bercanggah dengan kepentingan nasional.
- Ia juga pengalaman yang bertentangan dengan pegangan majoriti penduduk Malaysia yang terdiri daripada orang Melayu, bumiputera dan juga kaum-kaum lain.
- Rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua agama dan bangsa akan merasai ancaman yang akan memusnahkan masa depan mereka.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Buat kesekian kali juga saya menyeru semua umat Islam untuk memilih jalan bersatu padu, mengambil pendekatan berbincang dan berdialog untuk mencari titik pertemuan ke arah mengukuhkan perpaduan demi menyelamatkan masa depan negara.
Kita perlu berakhlak dengan akhlak Islam dan memulihkan kepercayaan dalam kalangan masyarakat. Kita perlu menghentikan politik “kehaiwanan” yang hanya mementingkan diri tanpa mengira kesan kepada masa depan agama, bangsa dan negara.
Penutup
Saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Saya berharap akan berlaku senario baru yang terbentuk dalam politik Malaysia yang akan memberi ruang kepada Melayu Islam, bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia yang patriotik yang cintakan perpaduan, setiakawan, kerukunan, kesejahteraan dan keharmonian untuk bergabung suara.
Kita pada hakikatnya sedang berada dalam waktu kecederaan (kritikal). Semoga Allah SWT memberikan kita keberanian dan kekuatan kehendak untuk membetulkan kembali kesilapan-kesilapan lalu.
Saya menyeru semua pihak mengambil langkah ke arah Tawafuq (permuafakatan). Meluruskan langkah demi menyelamatkan Malaysia daripada ekstremis antiagama dan antinasional, yang boleh menyebabkan kepada berlakunya ketegangan, perpecahan dan kemusnahan.
Mari sama-sama kita mengangkat suara ummah dan mengarus perdana agenda dakwah.
Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden ISMA
21 Mac 2015
No comments:
Post a Comment