Pages

Friday, November 20, 2015

Ada beberapa perkara generasi muda Muslim perlu fahami..

Meniliti senario politik dunia yang semakin meruncing. Ada beberapa perkara yang saya rasa generasi muda Muslim perlu fahami khususnya dalam konteks kenegaraan Malaysia. Ini adalah beberapa perkara yang sempat saya coretkan.

1. Melihat dengan teliti terlebih dahulu sumber berita-berita yang mengisi ruangan dunia maya. Agar anda tidak terpengaruh dengan mainan sentimen.

2. Anda boleh menilai sendiri, sesuatu berita itu berdasarkan darjah kecenderungan mereka kepada satu-satu blok berdasarkan perjuangan ideologi mereka. (Liberal/Komunis/Syiah/Evangelis/Chauvinis)

3. Menjadi ummat yang membaca, mengkaji dan berfikir supaya tidak menjadi naif dan dicaturkan oleh musuh-musuh Islam.

4. Melengkapkan diri dengan asas kefahaman Islam yang sahih, kerana permainan hak asasi yang dimainkan media barat dan proksinya sangat licik terutama berkaitan isu kemanusiaan sehingga adakalanya melanggar dasar-dasar akidah. Seperti slogan yang membawa persamaan tanpa mengira agama. Dan menganggap semua agama akan sampai ke tujuan yang sama.

5. Bijak membaca lapis-lapis berita yang terkandung dalam memahami permainan sebenar yang sedang dimainkan agar kita tidak terikut dalam permainan mereka.

6. Memahami pertembungan sekarang adalah pertembungan pemikiran. Cubaan barat dalam usaha meleburkan identiti dan jati diri Muslim dan meleraikan intima'(ikatan) pemuda Muslim terhadap agama bangsa dan negaranya sehingga ke tahap boleh memesongkan neraca fikir sebagai seorang Muslim.

7. Tidak menafsir nas secara literal sehingga akhirnya menjadi salah satu pengikut dari dua kutub ekstremis berikut. Kutub teroris dan juga kutub liberal.

8. Pertembungan sesama blok-blok kuasa dunia sekarang adalah pertembungan yang dicipta untuk melorongkan dunia kepada orde dunia yang baru.

9. Pertembungan ini meleburkan kuasa wewenang umat islam, apabila sedikit demi sedikit kedaulatan negara tergadai kerana menurut sahaja perjanjian berat sebelah yang ditandatangani.

10. Prinsip asas Islam, hubungan wala'bara' harus difahami dengan betul oleh setiap pemuda Muslim. Memahami siapa musuh dan siapa kawan? Serta pertembungan politik kuffar yang sama sekali tidak akan rela sistem politik Islam tertegak di bumi Malaysia ini.

11. Pemuda Muslim harus memahami bahawa pertembungan ini berlaku dari segenap sudut iaitu politik, ekonomi, media, civil society, agama, perundangan dan pendidikan dengan tujuan utama untuk meruntuhkan asas kenegaraan iaitu Islam, Melayu dan Raja.

12. Sikap hubbul watan (cintakan negara) dan kesediaan untuk bekorban mempertahankan negara sekiranya dijajah dan diserang harus ditanam dalam diri setiap anak muda, supaya mereka bersiap siaga daripada sekarang. Memberi latihan secukupnya kepada minda serta fizikal dalam menghadapi pertembungan yang sangat hebat pada masa hadapan.

Wallahualam

-Asyraf Farique-

IRIS Institute

Wednesday, November 18, 2015

Mari Kenali Kecelaan Diri

Akhlak dalam Islam, lahir dari hati yang beriman. Ia sebati dengan diri seseorang dan menjadi pakaian hidupnya. Ianya kekal dan berterusan sepanjang hayat sama ada ketika susah atau senang, ketika di tengah ramai atau perseorangan, ketika dalam kelapangan atau kesempitan, ketika aman atau dharurat, ia tetap berakhlak di mana saja dan pada bila-bila masa sekalipun.

Jika seseorang boleh berakhlak pada tempat dan ketika tertentu sahaja, ia mungkin hanya lakonan atau hipokrit semata-mata. Ia berpura-pura berakhlak kerana kepentingan tertentu. Contohnya seorang ketua pejabat boleh berlembut, menjaga wibawa, jaga percakapan dan lain-lain sifat yang baik semasa di pejabat tetapi apabila pulang ke rumah tidak lagi begitu. Ia berubah menjadi seorang yang pemberang, kasar terhadap anak dan isteri.

Boleh bersikap baik di pejabat kerana faktor suasana di sana, disiplin yang perlu dipatuhi atau takut pekerja mogok. Berubah sikap di rumah kerana merasakan anak dan isteri adalah miliknya yang boleh dibuat sesuka hati. Ini bukan akhlak. Ia adalah kepura-puraan.

Di sinilah perbezaan antara akhlak dan moral. Moral didorong oleh persekitaran dan peraturan setempat sementara akhlak berlaku atas dorongan iman dan fitrah.

Al-Khalqu (kejadian) dan al khulqun (akhlak atau tingkah laku) adalah dua perkataan yang dipakai bersama-sama dalam mentafsirkan definasi akhlak. Yang dimaksudkan dengan al-khalqu adalah bentuk zahir dan al khulqun berbentuk batin. Kerana manusia terdiri jasad lahir dan roh atau jiwa.

Jadi tingkah laku manusia mencerminkan hatinya. Kerana gerak laku jasad manusia adalah di dorong oleh hatinya. Hati yang baik mengarahkan anggota-anggota lahir melakukan kebaikan. Sebaliknya hati yang jahat mengarahkan anggota lahir membuat kejahatan.

Akhlak adalah penentu kesejahteraan hidup individu dan masyarakat untuk dunia dan akhirat. Oleh itu usaha dan kaedah-kaedah ke arah tercapainya akhlak mulia wajib ditempuh oleh setiap orang.

Pembentukan akhlak sepatutnya bermula di peringkat bayi malah sejak dari dalam kandungan ibu.

Menurut Al Ghazali, akhlak mulia terjadi kerana dua sebab.

1.   Kurnia Ilahi - dipermudahkan bagi sesetengah manusia seperti nabi-nabi dan rasul-rasul. Sesuai dengan ujian berat dan tugas besar yang dipikul di atas bahu mereka.

2.   Dengan usaha - yakni dengan melakukan mujahadah dan riadhah. Membuang sifat-sifat mazmumah (negatif) dan diganti dengan sifat-sifat mahmudah (positif). Contohnya, seorang yang sedar dirinya bersifat bakhil atau kedekut maka hendaklah membiasakan dirinya dengan bersedekah hingga bersedekah itu menjadi kebiasaannya hinggalah ia menjadi pemurah. Seorang yang sombong dan ego mengubat hatinya dengan membiasakan diri membuat kerja-kerja yang dipandang rendah seperti mencuci tandas, menyapu longkang dan bergaul dengan orang-orang kelas bawahan hingga perasaan tawadhuk dan menghargai orang lain menghiasi dirinya. Begitulah seterusnya dengan sifat-sifat yang lain.

Selanjutnya Al Ghazali membentangkan empat jalan yang dapat membantu seseorang itu dapat mengenal cacat cela dan kekurangan dirinya, dengan itu mudahlah ia membaiki dirinya.

Pertama: Dengan tunjuk ajar dan pimpinan guru mursyid.

Guru yang baik itu sentiasa memberi ilmu kepada murid-muridnya dalam mengenal sifat-sifat tercela dan mampu pula memimpin dalam mengungkai sifat-sifat tercela itu. Kemudian memberi ilmu dan memimpin dalam mengenal dan dan memiliki sifat-sifat terpuji. Guru ini membawa murid-muridnya mencintai Allah dan Rasul. Di kenalkan Allah kepada murid-muridnya, hingga muridnya rasa cinta dan rindu kepada Allah, lalu berlaku taat kepadaNya. Ia mendidik muridnya hingga amat kasih kepada Rasulullah ﷺ. Tetapi guru jenis ini sangat sukar didapati di zaman ini.

Imam al-Ghazali r.m menulis dalam kitabnya أيها الولد  (Wahai Anak) nasihat yang ke enam belas tentang "Carilah Guru Yang Mursyid", katanya:

Wahai anak ku yang tercinta :

1) Seseorang yang berjalan menuju akhirat itu hendaklah ada padanya seorang guru yang mursyid lagi pandai mendidik supaya guru itu dapat mengikis perangai-perangai yang jahat dengan tarbiyahnya. Guru yang mursyid itu pula akan menunjukkan bagaimana menggantikan perangai-perangai yang jahat itu dengan akhlak yang mulia.

2) Kerja seorang Guru yang mursyid tidak ubah seperti seorang petani yang sentiasa membuang duri dan mencabut rumput yang tumbuh dicelahan tanamannya. Maka dengan itu tanaman akan hidup segar dan menghasilkan pendapatan yang baik.

3) Justeru, murid yang mencari jalan ke negeri akhirat perlulah baginya seorang guru yang boleh menta'dibnya, mentarbiyahnya, dan menunjukkannya kepada jalan Allah SWT yang sebenar.

Sifat guru yang mursyid menurut Imam Al Ghazali:

1) Guru yang mursyid itu ialah guru yang berpaling dari mencintai dunia dan mencintai pangkat.

2) Wujud silsilah atau sanad yang berangkai antara guru yang mursyid itu dengan gurunya yang mursyid juga dan berterusan guru kepada guru yang mursyid itu juga merupakan seorang guru yang mursyid dan berterusan silsilah guru yang mursyid itu sehingga sampai kepada penghulu sekalian Rasul dan Nabi.

3) Guru yang mursyid itu mestilah orang yang telah berjaya mendidik dirinya terlebih dahulu dengan menyedikitkan makan, sedikit bercakap, sedikit tidur, dan banyak solat, banyak bersedekah dan banyak berpuasa.

4) Guru yang mursyid itu telah mampu menjadikan akhlak yang mulia sebagai cara hidupnya yang sempurna seperti sabar, sembahyang, syukur, tawakkal, yakin, qana'ah (merasa cukup dengan apa yang ada), tenang jiwanya, penyantun, tawadhuk, banyak ilmu, benar, malu, menyempurnakan janji, tenang pendirian, tenang pembawaan, berhati-hati dalam segala urusan, dan sebagainya. Maka apabila ia telah bersifat dengan sifat-sifat yang mulia ini , sebenarnya ia adalah NUR daripada ANWAR Nabi ﷺ yang layak untuk diikuti.

Kewujudan guru yang mempunyai sifat-sifat ini sangat jarang sekali malah sukar untuk ditemui, lebih sukar wujudnya daripada الكبريت الأحمر (belerang merah).

Secara umumnya, paling tidak guru yang mursyid, atau murabbi atau rabbani itu, beberapa sifat yang perlu ada padanya iaitu mesti berilmu, beramal, berakhlak mulia, menghayati syariat, boleh mendidik manusia serta boleh dicontohi.

Kedua: Melalui sahabat yang benar

Sahabat yang benar-benar sahabat ialah yang ikhlas menegur cacat cela sahabatnya dan mahu pula meneladani kebaikan-kebaikan sahabatnya. Biasanya seorang kawan kerana kepentingan tertentu mendiamkan sahaja kecelaan kawannya dan sukar pula untuk meniru kebaikan-kebaikan kawannya. Ini bukan sahabat namanya.

Sahabat yang baik membawa hati kita dekat kepada Allah. Melihat wajahnya boleh menguatkan iman. Mendengar nasihat dan kata-katanya boleh menyejukkan hati.

Sayidina Ali k.w.j pernah berkata:
"Sahabat yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu. Ia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatanmu. Orang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu. Sanggup mengorbankan segala-galanya untuk kepentinganmu."

Sahabat seperti inilah yang akan menguatkan iman dan semangat untuk mengamalkan Islam. Mereka adalah orang  yang patut dijadikan rakan seperjuangan dalam menegakkan Islam. Inilah cara bersahabat yang diamalkan oleh sahabat-sahabat Rasulullah dan salafussoleh.

Ketiga: Melalui kritikan musuh (orang yang tidak suka dengan kita).

Berusahalah untuk mengetahui aib dan kecelaan diri dari ucapan musuh-musuh. Sebab pandangan yang penuh kebencìan musuh itu akan menyingkapkan keburukan kita. Mari kita positifkan kata-kata musuh, kerana mereka akan berkata yang benar tentang kelemahan-kelemahan diri kita.

Sekalipun kadangkala datangnya fitnah (buhtan-tuduhan yang tidak betul) dari musuh-musuh, itu juga boleh menjadi pendorong untuk kita baiki diri dan lebih berwaspada.

Sebenarnya manfaat yang boleh diperoleh seseorang dari musuh yang sangat membencinya dan suka mencari-cari kesalahannya adalah lebih banyak dari teman atau kawan yang suka bermanis muka, memuji dan menyembunyikan aib-aibnya.

Namun, sudah menjadi perangai manusia untuk menidakkan ucapan musuhnya dan menganggap sebagai ungkapan kedengkian. Tetapi orang yang memiliki mata hati jernih mampu memetik pelajaran dari berbagai keburukan dirinya yang di sebutkan oleh musuhnya.

Kalau kita bersikap positif dengan musuh kita akan dapat manfaat. Kerana musuh hanya suka menyebut cacat cela kita sahaja. Kalau ia benar-benar berlaku dapatlah kita membaikinya.

Keempat: Melalui pergaulan dengan manusia.

Melalui pergaulan, kita akan melihat berbagai-bagai perangai dan karenah manusia. Setiap orang ada kelemahan dan kelebihannya. Setiap kebaikan kita contohi dan keburukan kita jauhi. Jadikan masyarakat atau komuniti yang berhubung dengan kita setiap hari itu sebagai cermin, agar dapat kita melihat biasannya dalam diri kita. Dari sana akan terlihat berbagai-bagai kelemahan yang kemudiannya boleh menyuluh kelemahan diri. Malanglah orang yang telah Allah perlihatkan kelemahannya melalui kelemahan dan aib orang lain, tetapi ia hanya sibuk dengan keaiban orang itu, lupa membaiki diri.

Apabila kita telah mengenal kelemahan diri, mudahlah untuk kita berusaha membaikinya. Walaupun ianya sukar, ia mesti diusahakan kerana ia penentu nasib di akhirat kelak. Sedangkan binatang liarpun boleh dijinakkan, apatah lagi manusia yang mempunyai akal fikiran.

محمد فضلي بن يوسف
25 Jamadil Awwal 1432H
29 April 2011

Silakan tag@share
(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150117680956719)

Monday, November 16, 2015

Kerjasama hendaklah demi umah, bukan politik semata - ISMA

pada 17-11-2015 03:11 Ditulis Oleh Shuhaniza Said
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerjasama di antara Umno dan PAS tidak semestinya memerlukan kedua-dua parti besar itu bergabung, sebaliknya apa yang lebih penting adalah menggunakan kekuatan politik masing-masing untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.  
 
Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman, kedua-dua parti itu perlu melihat matlamat kerjasama berkenaan memanfaatkan umah melebihi tujuan politik semata-mata.      
 
"Dari segi mekanisme pula, pada pandangan ISMA, tak perlu bergabung tetapi kita perlu persefahaman dan mengambil sikap strategik secara bersama.
 
"Yang penting sekali ialah menggunakan kekuatan politik masing-masing secara strategik untuk merealisasi matlamat, tujuan atau kepentingan umum umat Islam dan juga negara secara amnya yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan kaum," katanya kepada Antarapos.
 
Ujar Abdullah Zaik, jika kerjasama PAS dan Umno lebih bermatlamatkan politik, akan timbul situasi di mana satu pihak menggunakan pihak lain yang mana akhirnya membuatkan kerjasama tidak berjaya.
 
"Apa yang kita nak pastikan di sebalik kerjasama antara parti-parti itu.. itu yang lebih penting. 
 
"Apa yang kita mahu realisasi daripada kerjasama tersebut bukan semata-mata dari sudut politik. Jangan dilihat dari sudut politik semata-mata, lebih daripada itu ialah untuk menjamin kepentingan umah, merealisasi kepentingan umah.
 
"Dan ini memerlukan kepada keikhlasan, kejujuran dan keinsafan daripada semua pihak," katanya sambil menambah, ISMA sendiri adalah antara yang terawal menyeru kepada kerjasama di antara umat Islam dan parti politik Islam.
 
Dalam pada itu kata beliau, jika PAS dan Umno merasakan kerjasama itu adalah langkah terbaik sama ada di peringkat pusat atau negeri, maka kedua-dua parti wajar melakukan persediaan ke arah usaha itu. 
 
"Contohnya dari segi Umno, mesti mengambil sikap atau langkah yang memberikan mesej yang ia boleh dipercayai dan bersedia untuk bekerjasama. Persediaan itu penting untuk ditunjukkan.
 
"Kadang-kadang kita katakan secara am bekerjasama untuk kepentingan ummah, Islam dan orang Melayu tapi tingkah laku kita tak ada tanda-tanda atau sikap proaktif bahawa mereka berbalik kepada landasan, buat pembetulan, dan apa yang dihasratkan itu betul sebagaimana yang mereka sedang usahakan," kata beliau. 
 
Tambah Abdullah Zaik, Umno mahupun PAS perlu menunjukkan keikhlasan dan mengambil langkah yang jelas yang boleh meyakinkan rakan kerjasama masing-masing agar usaha kerjasama tersebut berjaya.  
 
Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpandangan kerjasama antara Umno dan PAS mungkin dapat direalisasikan kerana idealisme kedua-dua parti itu tidak jauh berbeza.
 
Ujar Mohd Asri, jika kedua-dua parti itu bekerjasama, ianya dilihat akan memberi banyak manfaat kepada rakyat dan juga negara.
 
Sementara itu, Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata parti itu tiada masalah untuk bekerjasama asalkan ia boleh mencapai dan memerlukan kepada pertolongan kerana ia merupakan suruhan Allah.
 
Namun ujar Haron, buat masa ini kerjasama secara khusus antara kedua-dua pihak masih belum dimuktamadkan dan ia bergantung kepada keadaan dan masa yang menentukannya.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini juga berkata, PAS sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN) selagi tindakan itu menguntungkan parti tersebut dan demi menegakkan Islam.
 
  Sumber: http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WmcJRmZQ==
 
 
 
   
  

Wednesday, November 4, 2015

Strategi DAP Tawan Kawasan Melayu Didedah

iskandar

AIDCNews – 04/11/15 – DAP komited dan fokus untuk memenangi pilihan raya dengan pelbagai helah dan taktik, namun kini strategi mereka telah didedah oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, kata penganalisis politik Lim Sian See.

Strategi yang dimaksudkan itu adalah perpindahan pengundi baharu ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi target DAP sebagaimana didedahkan Iskandar baru-baru ini.


“Kita sudah tahu strategi mereka. Kami telah menerima laporan mengenai peralihan pengundi ke kawasan DUN milik PAS.

“Tetapi kita masih yakin kita mampu mempertahankan kerusi kami,” dedah Iskandar ketika dihubungi Malay Mail Online.

Iskandar, yang juga Naib Presiden PAS, berkata demikian sebagai mengulas rancangan DAP untuk mencabar PAS di lapan kerusi DUN Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Pada 30 Oktober lalu, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, pihaknya yakin dapat merampas kerusi PAS pada PRU 14 dan mengisytiharkan mereka “boleh menang” kerana pengaruh DAP yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.

Kawasan yang menjadi target DAP adalah; Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jeras, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

Mengulas isu tersebut, Lim Sian See berkata ancaman DAP itu tidak boleh dipandang sebelah mata kerana parti itu terkenal dengan pelbagai taktik yang licik semata-mata untuk menang PRU.

“Hipotesisnya, kemungkinan DAP untuk memenangi kerusi ini adalah tinggi memandangkan undi Melayu secara tradisinya dibahagikan sama rata antara UMNO dan PAS.

“PAN dan PKR kemudiannya akan membantu DAP untuk meningkatkan sokongan orang Melayu kepada DAP manakala UMNO dan PAS berpecah undi – oleh itu memberi DAP peluang untuk berjaya.
“Semua taktik DAP ini sudah tentu boleh dipersoalkan dari segi etika, tetapi ia tidak menyalahi undang-undang.

“DAP hanya mengambil kesempatan daripada sistem pilihan raya dan politik berasaskan kaum untuk memanipulasi komposisi pengundi yang mereka sasarkan untuk menang.
“Tetapi pengundi hanya perlu sedar bahawa DAP memang melakukan taktik dan helah seperti ini,”ulasnya.

iskandar

PAS Selangor Akan Pastikan Tiada Pertandingan Tiga Penjuru

Tuesday, November 3, 2015

14 cadangan daripada ISMA untuk PAS dan UMNO




14 cadangan daripada ISMA untuk PAS dan UMNO dalam konteks seruan penyatuan Islam Melayu:

1. Pemikiran politik Islam hendaklah meneruskan usaha menyokong agenda pembangunan umat dari sudut sahsiah, ekonomi dan juga politik.

2. Pemikiran politik Islam hendak memusatkan tumpuan kepada kesatuan umat kerana kesatuan umat akan dapat menyelamatkan kuasa politik Islam.

3. Usaha mempertahankan identiti dan jatidiri keislaman dan kemelayuan negara perlu diletakkan dalam keutamaan agenda politik Islam. Hasrat mengekalkan kuasa politik Islam tidak akan kekal jika identiti negara lebur dalam sistem liberal.

4. Berikhtiar dengan apa cara untuk memastikan kuasa masih kekal berada di tangan orang Islam demi menjaga maqsud syarak seperti kestabilan, keamanan dan intizam urusan muslimin pada setiap masa.

5. Dalam realiti Malaysia, sistem kenegaraan masih memihak kepada Islam jika ia ditafsir dengan betul mengikut syariat. Usaha boleh dilakukan untuk memperkasa sistem yang sedia ada ke arah menepati kehendak syarak. Pemikiran politik Islam menolak pentafsiran perlembagaan mengikut liberal barat atau piagam hak asasi manusia sejagat yang bertesakan sekular dan humanism.

6. Pemikiran politik Islam sepatutnya menjurus ke arah memperkasa fungsi Raja-Raja melalui Majlis Agama bagi menasihati eksekutif dalam hal pentadbiran seperti dalam resolusi konvensyen MAIN seluruh Malaysia.

7. Yang Dipertuan Agong menepati fungsi khalifah dari segi menjaga kesucian agama dan kedaulatan negara melalui kuasa tentera.

8. Perdana Menteri sebagai “wazir tafwidh” sepatutnya mejalankan dasar berdasarkan sumpah Yang Dipertuan Agong yakni memastikan segala dasar bertepatan dengan agama Islam dan memihak kepada kepentingan kaum muslimin.

9. Sistem kehakiman negara mesti diperbetulkan supaya mahkamah syariah mejadi lebih tinggi kedudukanya berbanding mahkamah sivil, yakni dengan mensejajarkan undang-undang sivil dengan undang-undang syariah. Dengan itu kita dapat memastikan rujukan hukum dalam perundangan kita adalah kepada al-Quran dan Sunnah.

10. Kerajaan hendaklah membangunkan ekonomi yang bebas daripada pergantungan kepada orang bukan Islam.

11. Membangun hubungan antarabangsa berdasarkan prinsip menang-menang, bukannya berdasarkan tabiyyah yang hanya menguntungkan pihak asing. Kerajaan mesti mempertahankan dasar yang independen dari sudut acuan dan jatidiri.

12. Kepelbagaian parti dan aliran politik hendaklah dipandu oleh kedaulatan perlembagaan. Kerajaan tidak boleh membenarkan aktiviti politik yang mencabar kontrak sosial bahkan mengubah identiti negara.

13. Polarisasi kaum adalah antara isu yang kritikal dan sensitif pada waktu ini. Perlembagaan masih memihak kepada integrasi ala Islam seperti yang termaktub dalam Piagam Madinah. Oleh itu pemikiran politik Islam hendaklah mendokong perlembagaan dan mentafsirkannya mengikut Piagam Madinah.

14. Islam mengiktiraf peranan umat dalam politik dan menentukan dasar dan masa depan negara. Oleh itu pilihan raya boleh diterima dengan cadangan pembaikan supaya meletakkan syarat-syarat kelayakan tertentu untuk menjadi calon dan calon hendaklah mewakili umat, bukan mewakili parti.

ISMA melihat ruang lingkup politik secara menyeluruh dan tidak melihat kepada kepentingan mana-mana pihak yang tertentu. Kita melihat semata-mata kepada kepentingan ummah. Bukan matlamat asas kita untuk mendesak semua orang mengikut ISMA tetapi apa yang kita inginkan adalah semata-mata supaya orang Melayu Islam bersatu. Sekiranya PAS dan UMNO serta pihak-pihak lain boleh menerima perkara ini (14 cadangan seperti yang disenaraikan di atas), saya yakin insya Allah kita semua boleh bersatu.

Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden ISMA