“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Thursday, April 29, 2010
Mencari kemaafan seperti Bilal r.a. dan Abu Zar r.a.
Fitrah Insani
Setiap orang mudah melakukan kesalahan. Tidak kira kesalahan itu kecil atau besar, seorang manusia lebih-lebih lagi seorang remaja akan mudah membuat kesilapan dalam bertatih di alam kehidupan ini. Sedar tidak sedar, jika dikira satu persatu kesalahan yang kita lakukan, boleh kalah ketebalan yellow pages. Bahkan boleh dilistkan dan dikategorikan kesalahan kita, setiap tahun, setiap bulan, setiap hari, setiap jam… setiap detik mungkin.
كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Setiap anak Adam (yakni manusia) pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.
Itulah manusia, mudah terpikat dengan hawa nafsu dan tak lari daripada maksiat.
Kisah Agung Antara 2 Sahabat:
Di dalam riwayat pernah diceritakan, Abu Zar r.a memanggil Bilal r.a dengan gelaran “wahai anak hitam”. Bilal r.a yang mendengar panggilan tersebut terdiam dan tidak membalas panggilan Abu Zar r.a itu. Dengan rasa kesal Bilal lantas pergi bertemu Rasulullah untuk mengadukan hal tersebut. Tiba di rumah Rasulullah, Bilal r.a meluahkan isi hatinya pada Rasulullah. Seketika sahaja, berubah wajah Rasulullah menjadi merah padam. Rasullah terus ke tempat Abu Zar berada, tetapi hanya lalu sahaja. Rasulullah terus ke masjid.
Mengetahui bahawa Rasulullah marah padanya, lalu Abu Zar memberi salam kepada Rasulullah. Rasulullah berkata kepadanya “Wahai Abu Zar, kamu telah menghina Bilal dan menghina asal usulnya. Ketahuilah Abu Zar, sesungguhnya kamu asal usulnya adalah orang jahiliyah sebelum masuk Islam, dan sesungguhnya dalam diri kamu masih ada sisa-sisa jahiliyyah”.
Abu Zar r.a merasa terpukul dan sangat menyesal. Abu Zar menangis dan merayu pada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, maafkan kesalahanku dan pintalah Allah ampunan atas doaku…” . Lalu Abu Zar berlari mendapatkan Bilal r.a, Abu Zar merangkul Bilal sambil memohon maaf padanya. Tidak cukup dengan itu, Abu Zar meletakkan kepalanya di atas tanah seraya berkata “Demi Allah wahai Bilal aku tidak akan angkat pipiku dari atas tanah kecuali kamu injak pipiku yang sebelah lagi dengan kakimu. Demi Allah sesungguhnya kamu orang terhormat dan aku yang terhina”.
Apakah yang berlaku selepas itu ? Anda teka…
Nilai Agung Pada 2 Sahabat
Bilal kemudiannya mendekatkan mukanya ke pipi Abu Zar lalu menciumnya berkali-kali. Kemudian diangkatnya dari tanah. Mereka berdua berpelukan dengan penuh kasih sayang dan tangisan.
Lihat ukhuwwah yang terjalin dan nilai akhlak pada Bilal r.a dan Abu Zar r.a. Bukan hanya betapa merendah diri Abu Zar memohon kemaafan, bahkan betapa mulia dan kasihnya Bilal r.a, walaupun diperlakukan sebegitu, atas rasa kasih dan sayang pada Abu Zar, Bilal memaafkannya.
Warna-warni Hari Ini
Kita lihat bukan sahaja orang yang melakukan kesalahan sahaja tidak prihatin untuk meminta maaf jika berbuat kesalahan. Lebih menyedihkan lagi, kita sendiri pun sukar untuk memaafkan kesalahan orang lain. Bila ditegur dan dinasihati orang yang berbuat salah, tanpa ada rasa kasih dan sayang di dalam diri kita. Hampir semua keburukan orang yang bersalah menyilau di mata kita, tanpa berfikiran positif dan optimis.
Nikmat Ukhuwwah Bukan Saja-saja
Sekiranya masih ada di kalangan kita yang berbuat kesalahan, cepat-cepat meminta maaf. Akui kesalahan dan azamkan tidak akan diulang. Juga buat mereka yang ada yang melakukan kesalahan padanya, rendah diri dan maafkanlah dia. Kasih sayang itu Allah tidak kurniakan secara percuma. Hanya yang ikhlas dan berkehendak sahaja akan Allah ganjari.
Rahsia seorang sahabat kepada Abdullah bin Umar r.a ketika mencari kelebihan seorang sahabat yang Rasulullah sebut jaminan syurga padanya.
“Sesungguhnya, sebelum aku tidur, aku akan memaafkan segala dosa seluruh manusia, sama ada yang menghinaku, mencaciku, memburuk-burukkan diriku, memfitnahku dan mengata tentang diriku. Maka aku mohon dari Allah agar dimaafkan segala dosa mereka.”
Mohonlah kemaafan pada mereka yang kita lakukan kesalahan dan sudilah memaafkan orang lain sebelum Allah tarik nikmat-nikmatnya yang lain.
Sumber: Laman Web Kelab Remaja ISMA
Saturday, April 24, 2010
Mari kita bina ukhuwwah....
Apa perasaan anda apabila membaca post saya sebelum ini? 'Pensel dalam kemaluan mangsa rogol'.
Saya rasa tidak ada orang yang gembira apabila membacanya melainkan mereka-mereka yang seangkatan dengan ‘pelaku-pelaku’ yang telah dikuasai oleh nafsu kebinatangan tersebut.
Kejadian-kejadian seperti itu adalah petunjuk bahawa masyarakat kita sedang mengalami penyakit. Berlaku ketidak seimbangan di dalam masyarakat, sebagaimana orang yang sakit, kita akan dapat lihat tanda-tanda penyakit itu pada zahirnya akibat berlaku ketidak seimbangan di dalam badan orang itu.
Penyakit yang tidak bahaya akan mudah dirawati tetapi kalau penyakit yang bahaya ia akan mengambil masa yang lama, belanja yang besar untuk mengubatinya.
Rendahnya nilai-nilai akhlak di dalam masyarakat Islam adalah berpunca daripada masalah akidah.
Sebagai seorang muslim kita perlu rasa simpati dan perlu timbul satu kesedaran untuk membantu menyelesaikan kemelut yang melanda masyarakat kita.
Saya pernah mendengar seorang ustaz memberi penjelasan bahawa jika kita melihat seseorang yang hampir lemas, dan kita mempunyai kemampuan dan kemudahan (pelampung, bot dsb.) untuk membantunya, kita berdosa jika kita tidak membantunya yang boleh menyebabkannya mati lemas.
Ada di kalangan masyarakat kita yang keadaan mereka bolehlah diibaratkan seperti orang yang hampir lemas. Lemas kerana bergelumang dengan maksiat. Mengetepikan ajaran Islam di dalam kehidupan.
Kita boleh memainkan peranan untuk memperbaiki masyarakat dengan menyokong/menyertai mana-mana badan dakwah supaya tenaga-tenaga kita dapat digembelingkan ke arah mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran.
Hari ini kita lemah kerana kita tidak bersatu. Sebatang lidi mudah dipatahkan, tetapi kalau seberkas lidi tidak mampu untuk kita patahkan.
Marilah kita kuatkan ikatan ukhuwwah sesama kita, persaudaraan kerana Allah. Saling kenal mengenal, saling nasihat menasihati, saling lengkap melengkapi, saling sayang menyayangi….kerana Allah.
Wednesday, April 21, 2010
Pensel Dalam Kemaluan Mangsa Rogol
dEVIANT aRT: tRAUMA
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/04/22
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua sebuah sekolah di Rawang yang dirogol rakan sekelasnya dalam bilik darjah, minggu lalu, bukan saja disahkan sudah mengandung sebulan, malah sebatang pensel sepanjang empat sentimeter turut ditemui dalam kemaluannya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan, berkata berdasarkan hasil laporan pemeriksaan hospital yang diterima semalam, polis percaya mangsa sudah lama dijadikan bahan pemuas nafsu beberapa pelajar serta didera sewaktu diperkosa. “Kes ini disiasat secara menyeluruh kerana mangsa yang tinggal di sebuah rumah kebajikan di Rawang, bukan saja dirogol ketika waktu persekolahan, malah didera,” katanya kepada pemberita di sini. Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang, 13 April lalu, pelajar itu yang bersendirian dalam kelas, dikatakan dirogol seorang rakan sekelasnya manakala beberapa lagi pelajar lelaki mengepung mangsa bagi mengelak insiden itu disedari pelajar lain termasuk guru.
Mangsa hanya memberitahu mengenai kejadian itu kepada seorang kakitangan di rumah kebajikan berkenaan, Ahad lalu sebelum membuat laporan di Balai Polis Rawang pada hari sama.
Rosly berkata, sebaik menerima laporan itu, mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan, manakala suspek ditahan di sekolahnya pada keesokannya.
“Siasatan awal mendapati mangsa sudah banyak kali dirogol suspek sejak beberapa bulan lalu. Kita percaya mangsa turut diperkosa lebih daripada seorang pelajar.
“Namun, mangsa takut untuk membuat laporan kerana dipercayai diugut suspek yang akan bertindak lebih teruk sekiranya perkara itu didedahkan,” katanya.
Beliau berkata, polis akan mengambil keterangan beberapa pelajar yang dipercayai bersubahat dalam kejadian itu.
Katanya, mangsa yang ditempatkan di hospital, kini mengalami trauma teruk dan hanya berdiam diri.
APA PERASAAN ANDA????????????
Monday, April 19, 2010
PEMBENTUKAN INDIVIDU SOLEH
Individu adalah merupakan batu bata, yang mana dengannya tertegaklah sebuah masyarakat keseluruhannya. Sebab itu Islam memberikan perhatian sepenuhnya kepada setiap tahap perkembangan dan pertumbuhan manusia itu sendiri, kerana dia merupakan asas keluarga dan masyarakat. Bila baik individu-individu ini baiklah keluarga dan masyarakat.
Pembaikan individu pada pandangan Islam tidak akan sempurna kecuali lengkapnya empat sifat yang dianggap oleh al Quran sebagai syarat kejayaan semasa hidup di dunia dan akhirat. Sifat-sifat tersebut terkandung di dalam surah al-Asr:-
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”
Syarat pertama untuk pembaikan individu ialah iman, yang mana dengannya menjadikan seseorang manusia itu jelas tentang konsep dirinya, alam dan kehidupan, jelas tentang pemilik alam ini, dan jelas tentang kehidupan manusia itu sendiri. Sekiranya konsep ini rosak, maka rosaklah kehidupan seluruhnya, rosak amalan, rosak akhlak dan rosaklah perhubungan-perhubungannya.
Bilamana jelas konsep ini, manusia jelas keujudanya, jelas matlamat hidupnya dan apa yang ada di sebalik hidup ini. Dia beriman bahawa dia bukanlah seperti debu-debu yang berterbangan tetapi hidup untuk matlamat yang cukup besar iaitu menjadi khalifah Allah di dunia ini, dan mencari keredhaanNya dan syurgaNya di akhirat nanti.
Syarat kedua ialah amal soleh yang merupakan buah iman yang lahir dalam bentuk amalan yang bukan hanya sekadar iman dalam pemikiran ataupun semangat sahaja. Al Quran tidak menetapkan satu bentuk yang khusus tentang amal soleh. Ianya merangkumi apa yang mendatangkan kebaikan kepada manusia samada pada tubuh, jiwa individu, masyarakat dan apa yang mendatangkan kebaikan dalam kehidupan ini samada harta benda, ruh akhlak, yang lahir dari ibadat, muamalat, adab dan akhlak.
Syarat ketiga ialah pesan memesan dengan kebenaran, bererti seorang beriman memesan dengan kebaikan kepada orang lain dan menerima pesan memesan kebaikan daripada orang lain. Ini menunjukkan bahawa al Quran memberi satu konsep yang jelas kepada orang beriman bahawa mereka hidup di dalam masyarakat, mengambil darinya dan memberi, dan tidaklah seperti seorang pendita yang hanya seorang diri dalam rumah ibadatnya tanpa mengambil tahu tentang hal yang ada di sekelilingnya.
Dengan ini jelas bahawa seorang muslim tidak cukup menjadi seorang soleh hanya untuk dirinya sahaja, Sedangkan beliau tidak mengajak orang lain kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya. Seorang Islam hendaklah hidup sebagai seorang perajurit kepada kebenaran, beriman dan mencintainya, membantu dan berdakwah kepadanya.
Syarat keempat:- iaitu pesan memesan dengan kesabaran. Orang-orang yang mendokong risalah kebenaran berhajat kepada kesabaran untuk menasihati dirinya sendiri dan menasihati orang lain seperti ia menasihati dirinya sendiri. Sudah menjadi sunnatullah pendokong-pendokong kebenaran akan disakiti, kerana itu mereka perlu bersabar. Luqman pernah berkata kepada anaknya ketika beliau menasihatinya: “ Hai anakku, dirikanlah solah dan surulah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya itu termasuk dalam hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” Surah Luqman ayat 17.
Keempat-empat syarat ini menjadikan seseorang itu individu soleh seperti yang terkandung dalam surah al Asr. Individu soleh ini meliputi samada lelaki atau perempuan, tua atau muda.
Saturday, April 17, 2010
Mahkota Akhlak
Akhlak merupakan pendorong bagi menjauhi perkara-perkara yang buruk. Ia merupakan satu perasaan yang hidup yang dapat mengangkat jiwa seorang insan daripada melakukan kesalahan atau dosa. Dengan akhlak kita akan merasa tercelanya perkara-perkara yang hina. Akhlak ini akan lahir dalam diri seorang insan apabila dia mengetahui bahawa Allah s.w.t sentiasa memerhatikannya. Sesungguhnya akhlak malu itu merupakan mahkota kepada akhlak.
Malu itu sebahagian daripada iman
Iman mempunyai pelbagai cabang, ketika mana Rasulullah s.a.w menyatakan bilangan cabang-cabang iman, hanya akhlak malu disebut secara khusus. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Iman itu mempunyai tujuh puluh lebih cabang, dan malu itu merupakan sebahagian daripada iman” (hadith riwayat Muslim). Dan dalam riwayat yang lain Baginda bersabda “Iman itu mempunyai enam puluh lebih cabang, dan malu itu merupakan sebahagian daripada iman” (hadith riwayat Al-Bukhari)
Malu itu akhlak Islam
Akhlak malu telah disebut secara khusus tanpa cabang-cabang yang lain daripada cabang iman kerana ia merupakan akhlak Islam yang paling penting. Sabda Rasulullah s.a.w: “Bagi setiap agama itu akhlaknya dan akhlak Islam itu malu” (hadith riwayat Malik). Para sahabat tertarik dengan akhlak malu yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah merupakan seorang yang teramat malu. Daripada Abi Said Al-Khudri r.a berkata bahawa: “Rasulullah s.a.w itu lebih malu daripada perawan dalam tempat persebunyiannya” (hadith riwayat Al-Bukhari).
Malu itu neraca amalan
Malu itu merupakan suatu neraca. Manusia mengetahui kebaikan suatu amalan dengan pelbagai jenis neraca. Di antara neraca tersebut ialah malu. Kita akan mendapati mereka yang menggunakan neraca malu tidak akan menerima suatu amalan yang menyebabkan mereka berasa malu. Sesungguhnya apabila mereka ingin melakukan sesuatu mereka akan melihat pada diri mereka, sekiranya mereka berasa malu mereka tidak akan melakukannya, dan sekiranya sebaliknya mereka akan melakukannya. Apabila seseorang hilang malu, maka dia akan melakukan apa yang diingininya dengan sesuka hatinya. Daripada Abi Mas’ud Uqbah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu” (hadith riwayat Al-Bukhari).
Malu itu semuanya baik
Jika di sana terdapat akhlak yang semuanya baik, itulah dia malu. Daripada Imran bin Husain bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Malu itu semuanya baik (akibatnya)” atau baginda bersabda “Malu itu baik semuanya (akibatnya)” (hadith riwayat Muslim). Perasaan takut yang lahir daripada sifat malu tidak dianggap sebagai pengecut. Mereka yang malu lebih rela darahnya tumpah daripada jatuh air mukanya. Inilah kemuncak berani. Takut yang lahir daripada sifat malu bukanlah suatu kekurangan kerana dia hanya takut kehilangan kemuliaan dan keindahan dirinya.
Malu itu suatu perhiasan
Terdapat perkara-perkara yang menambahkan kecantikan sesuatu apabila diiringinya. Di antara perkara tersebut ialah malu. Ia menghiasi setiap perkara yang diiringinya. Daripada Anas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidaklah sesuatu perkara yang diiringi kekejian itu kecuali ia akan menodainya, dan tidaklah sesuatu perkara yang diiringi malu kecuali ia akan menghiasinya” (hadith riwayat At-Tirmidzi).
Hilang malu penyebab kebinasaan
Hilang malu merupakan sesuatu yang amat ditakuti oleh para salafussoleh. Bagi mereka ia merupakan salah satu daripada punca kebinasaan. Ini berpandukan kepada sabda Rasulullah.s.a.w: “Sesungguhnya apabila Allah ingin membinasakan seorang hamba dicabut darinya perasaan malu, setelah tercabut perasaan malunya tidak akan menimpanya kecuali perkara yang amat dibenci (oleh Allah), setelah itu tercabut pula sifat amanah darinya, setelah tercabut sifat amanah dari dirinya kamu tidak akan mendapatinya kecuali seorang pengkhianat, setelah itu tercabut darinya sifat rahmah, setelah tercabut sifat rahmah darinya kamu tidak akan mendapatinya kecuali seorang yang celaka dan dilaknat (dijauhkan), setelah itu dia tercabut dari simpulan Islam” (hadith riwayat Ibnu Majah).
Malu lelaki dan wanita
Malu itu dituntut kepada lelaki dan perempuan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w melintasi seorang lelaki ansar yang sedang sedang menasihati saudaranya tentang hal sifat malu – yakni malu mengerjakan kejahatan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Biarkanlah ia, sebab sesungguhnya sifat malu itu termasuk dari keimanan” (hadith riwayat Al-Bukhari).
Namun fitrah wanita menjadikannya lebih malu, oleh itu perkara yang mencemarkan malu seorang wanita itu lebih daripada lelaki. Sekiranya malu seorang lelaki zahir secara praktikal dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh mengaibkannya begitu juga wanita malah lebih lagi. Seorang wanita yang pemalu tidak akan merenung kepada sesiapa yang berbicara dengannya. Dan ketawanya hanyalah dengan senyuman apabila dengan kehadiran orang asing, dan tidak ketawa terbahak-bahak. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melakukannya walaupun dia seorang lelaki. Daripada Abdullah bin Harith bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah ketawa kecuali dengan senyuman (hadith riwayat At-Tirmidzi). Dan wanita apabila ingin membeli perhiasan peribadinya (pakaian dan lain-lain), perasaan malunya akan menghalangnya daripada membeli daripada penjual lelaki.
Kami golongan yang praktikal
Setiap perkara berkaitan dengan malu yang telah disebutkan haruslah menjadi tugasan amali setiap individu. Kita perlu menetapkan suatu tempoh yang tertentu untuk sentiasa menilainya dalam diri kita. Semoga kita dapat memastikan bahawa akhlak malu hadir dalam tingkahlaku kita.
Semoga semua tugasan amali ini menjadi tarbiyah dan latihanuntuk diri kita sepanjang tempoh ini. Semoga malu menjadi akhlak kita dan sentiasa mendampingi kita. Kita kena cuba untuk menghafal hadith-hadith yang telah disebutkan sekadar mampu. Ia akan membantu kita menegaskan lagi makna-makna tersebut dalam diri kita.Ia juga dapat membantu kita menyampaikannya kepada manusia yang lain. Suatu kewajipan bagi kita untuk menyampaikan kepada semua muslimin dan muslimat.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir, Cawangan Iskandariah.
Tuesday, April 13, 2010
Untuk Pemuda
Saya ingin kongsikan tulisan Imam Hasan al Banna yang ditujukan untuk pemuda khususnya mahasiswa……
Wahai pemuda,
Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat terhadap gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya, serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda.
Sebabnya, asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini, dalam mana-mana bangsa para pemuda menjadi tonggak kepada kebangkitan mereka .
Wahai pemuda,
Kita imani dan kita yakini bahawa di sana hanya ada satu gagasan yang dapat menyelamatkan dunia yang sedang sengsara ini, memimpin manusia yang sedang kebingungan dan membimbing mereka ke arah jalan yang benar.
Gagasan inilah sepatutnya yang diperjuangkan dan dijadikan harapan. Manusia perlu dipimpin supaya tunduk di bawah naungannya dengan mengorbankan jiwa dan harta serta segala yang dimilikinya. Gagasan yang dimaksudkan ini adalah Islam yang suci, agama yang tiada cacat cela, tiada keburukan dan tidak akan menyesatkan sesiapa sahaja yang menganutnya.
Firman Allah yang bermaksud: “ Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (al Maidah: 3)
Jadi, dengan ini gagasan kita ialah gagasan Islam. Gagasan ini membangun di atas landasan Islam. Gagasan ini menjadikan Islam sebagai satu-satunya rujukan. Gagasan ini berjuang demi untuk Islam. Gagasan ini tidak akan menggantikan Islam dengan sistem lain.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya.” (Aali Imran: 85)
Saturday, April 10, 2010
Dua kategori pemuda....
Akhir-akhir ini aku sering didatangi oleh ramai anak-anak muridku dan golongan belia yang merasakan hidup mereka tiada hala tujuan. Bila ku ajukan pelbagai persoalan hidup, sedikit sangat yang boleh di jawab.
Aku tidak ingin menyalahkan mereka tapi itulah wabak yang menimpa ummah apabila Islam tidak lagi tertegak seperti sepatutnya. Islam dianggap sekadar agama peribadi. Upacara-upacara ibadah ketika berhadapan waktu susah. Lebih kepada simbol-simbol pakaian atau aspek luaran.
Memang Islam ada aturan yang perlu diikuti dalam semua perkara termasuklah hal luaran. Tapi Islam lebih dari itu. Islam adalah kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan. Manapun sudut yang menerima haruman Islam pasti cemerlang. Lantas, ribuan tahun ia mampu menjadi satu tamadun yang cukup hebat dalam sejarah peradaban dunia.
Pemuda hari ini membesar dalam suasana Islam jatuh. Mereka menatap wajah Islam yang pucat setiap hari. Akhirnya wajah mereka juga pucat. Yang mereka lihat berseri adalah barat. Kosmetik metarialistik barat telah mewarnai wajah mereka. Semua yang ada di barat hebat dan yang ada pada Islam malap.
Tapi ada sebahagian pemuda yang masih waras akalnya, bersih jiwanya dan sempurna kemahuannya. Mereka memandang kehidupan ini diluar kefahaman majoriti bangsanya. Bahkan jauh dari kebiasaan keluarganya. Bagi mereka usia muda, sangat berharga. Pemberian Allah dan perlu digunakan untuk Allah. Untuk memperjuangkan kebenaran, membangun insan dan alam. Mereka tidak hidup hanya untuk perut sendiri.
Hidup pemuda ini tampak sedikit berbeza dari rakan-rakannya. Ini kerana priority mereka dalam hidup ialah ummah. Mereka ada perjuangan dan mereka merasa diri mereka pejuang.
Benarlah kata Imam Hassan al-Banna dalam risalahnya 'wahai pemuda': "pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.
Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.
Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.
Wahai anak-anak dan adik-adikku…anda ingin hidup dan mati dikategori mana??
Hakikatnya usia muda anda tidak kekal lama. Anda berjuang atau tidak pasti akan mati juga. Cuma, pasti berbeza orang yang berjuang untuk tuhannya dengan yang berjuang untuk membesarkan perutnya
Tentukanlah langkah anda…itulah corak yang akan mewarnai hidup anda dan penentu nasib akhirat anda
Jangan bazirkan usia muda anda...sertailah para pejuang. Kita corakkan semula alam ini dengan keagungan sistem dan aturan kehidupan Islam. Pasti anda tidak akan menyesal di saat menghembuskan nafas terakhir.
Sumber daripada blog us. Sarip Adul. Cuma gambarnya yang saya pilih...saya fikir bahan ini sesuai untuk tetamu-tetamu blog saya.
Wednesday, April 7, 2010
Jangan pandang Belakang
Sekali lagi ingin ku kongsikan hasil tulisan Ustaz Sarip Adul dengan saudara/i yang dikasihi. Semoga ianya bermenafaat untuk kita semua.
Aku nak berubah, aku nak jadi baik, aku nak bertaubat….rintihan seorang remaja yang kecundang berkali-kali dalam hidupnya. Bukan ia seorang yang ingin berubah. Ramai yang ingin menjadi orang baik-baik.
Perubahan untuk melalui jalan hidayah tidak semudah yang diimpikan. Banyak halangan dan cabaran. Cabaran pertama dari dalam diri manusia sendiri, namanya NAFSU. Nafsu sukakan keseronokan dan benci kepayahan. Jalan hidayah pula kurang aksesori. Ia memerlukan mujahadah dan pengorbanan. Justeru, ramai yang rebah di langkah pertama ingin berubah.
Cabaran kedua ialah budaya luaran. Manusia akhir zaman ramai yang rosak. Malangnya mereka sendiri tidak tahu mereka rosak. Kalau tahupun buat-buat tak tahu.
Memang tidak senang untuk jadi baik. Lantaran itu, ramai yang dah memulakan perubahanpun kembali ke dunia asal. Lihat sahaja gelagat artis kita. Bertudung setahun dua…lepas tu kembali seksi macam zaman remaja.
Waktu mengajar di UIA dulu, aku menghadiri satu sesi ceramah keinsafan oleh seorang artis wanita terkenal yang katanya telah bertaubat. Sambil menanggis ia bercerita tentang pengalamannya. Yang mendengar juga turut menanggis. Tapi sekarang, kat TV mukanya sering terpampang…walau masih pakai tudung tapi terbuka sana sini.
Nak berada di atas jalan hidayah memang tak mudah. Bahkan tak ramai yang benar-benar inginkannya. Apatah lagi berjuang untuk mendapatkannya. Lihat sahaja majlis-majlis agama…bayar tambang pun ramai tak datang. Kalau konsert hiburan…bertiketpun mereka sanggup tunggu dari petang. Yang bertudung labuh dibanding dengan yang terdedah urat dan aurat, juga nisbah yang cukup jauh. Jamaah di masjid dibanding dengan jamaah di supermarket…juga nisbah yang sangat jauh. Lantaran itu sebenarnya untuk dapat hidayah bukannya susah, ini kerana kita tak perlu berebut.
Mungkin kerana tak ramai yang melalui jalan hidayah, melaluinya akan terasa sunyi. Kesunyian menyebabkan orang yang melaluinya berpaling ke belakang. Menoleh kebelakang untuk melihat orang ramai yang melalui jalan alpa. Jalan yang membuai mereka dengan jutaan irama kenikmatan. Imam al-Fudhail bin ’Iyaad memberi nasihat:
لا تستوحشْ طرقَ الهدى لقلّة أهلها ولا تغترّ بكثرة الهالكين
(Janganlah kamu rasa sunyi melalui jalan hidayah kerana sedikit ahlinya dan jangan terpedaya dengan ramainya orang binasa (kerana melalui jalan yang sesat)) (1).
Kata Ibnu Qayyim: “setiap kali engkau merasa sunyi kerana bersendirian, maka lihatlah pada rakan-rakanmu yang terdahulu (di kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solehin). Berusahalah untuk mengejar mereka. Tutuplah pandangan dari melihat orang lain. Mereka itu tidak mampu menyelamatkan engkau dari siksaan Allah. Andainya mereka menjerit memanggil engkau dalam perjalananmu, jangan palingkan wajahmu pada mereka. Maka andainya engkau berpaling pada mereka, mereka akan mengoda dan menghalangmu”(2) .
Anda adalah seperti seekor Sang Kancil yang dikejar oleh seekor Harimau buas. Walaupun badanmu kecil, tuhan kurniakanmu kekuatan larian dan kelajuan yang menyamai kelajuan harimau. Andainya engkau berpaling kebelakang walau sesaat!, engkau akan kehilangan sedikit kelajuanmu. Itu sudah cukup bagi sang harimau menerkam dan membahammu.
Jangan pandang ke belakang lagi bila anda sudah memulakan perjalanan di atas jalan hidayah. Biarkan sahaja orang ramai di luar sana. Allah SWT janjikan untukmu kenikmatan yang tiada tolok bandingnya di hujung perjalanan. Syurga Firdausi bertemankan kekasih-kekasih Allah di kalangan para Nabi, Syuhada’, Siddiqin dan Solehin. Firman Allah SWT:
وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ
(Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya)(Al-Nisa’: 69).
Andainya anda terpengaruh walau ‘sedikit’ pada pemikiran, budaya dan cara hidup mereka, mereka akan sesatkan anda. Firman Allah:
وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ
(Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus)(al-Maidah:77).
Sebenarnya anda orang terpilih di kalangan jutaan manusia. Allah SWT sayangkan anda. Dia campakkan ke dalam hati anda petunjukknya. Sebab itu anda terfikir untuk berubah. Andainya anda tinggalkan hidayah yang datang. Anda telah menzalimi diri sendiri. Menjadi hujjah Allah SWT untuk menyiksa anda di hadapannya nanti. Waktu itu anda sudah tidak boleh berkata: Ya Allah, aku tak sedar semua ini. Aku belum terima hidayah darimu!!.
Ingat, hidayah Allah itu umpama burung yang hinggap di tepi tingkap bilik. Andai anda halau ia, tidak mustahil ia langsung meninggalkan anda dan tak akan datang lagi.
Sumber: Blog Ustaz Sarip Adul
Sunday, April 4, 2010
Jangan lupakan Allah..
Kadang-kadang dalam kita menjalani kehidupan ini, kita akan berhadapan dengan satu-satu masalah. Manusia tidak boleh lari daripada masalah kerana itulah tujuannya Allah menciptakan manusia. Masalah itu adalah ujian. Bukankah Allah berfirman yang bermaksud, :"Allah lah yang menjadikan mati dan hidup ini agar Allah dapat menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya."(Al Mulk: 2)
Jadi di sini Allah sendiri telah menyatakan kepada kita yang Allah menjadkan mati dan hidup itu, untuk menguji manusia, siapakah di antara manusia ini yang lebih baik amalannya, siapakah yang lebih bertaqwa dan sebagainya. Kita hidup di atas muka bumi Allah ini sentiasa akan diuji oleh Allah SWT. Kadang-kadang ujian itu kita sedar dan kadang-kadang kita tidak sedar, kadang-kadang ujian itu ringan dan kadang-kadang berat, ujian juga boleh datang dalam bentuk pangkat dan kemewahan.
Orang yang tidak dapat mengatasi masalah dan tidak mahu berhadapan dengan masalah, orang itu akan lambat maju, lambat berubah dan tidak dapat bersaing dalam dunia hari ini.
Kekusutan fikiran dan masalah, menyebabkan kita mencari-cari siapakah yang dapat membantu menyelesaikan kekusutan fikiran kita. Kadang-kadang kita terlupa untuk meminta pertolongan daripada Allah.
Untuk keadaan tertentu, di mana manusia tidak dapat membantu menyelesaikan masalah kita, kita perlu berdoa kepada Allah. Berdoa dengan sungguh-sungguh. Allah Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Perbaikilah diri kita sekiranya selama ini kita lalai dari mentaati perintah Nya. Perbetullah jalan hidup kita supaya selalu berada di atas jalanNya.
Bersabar sekiranya doa kita masih belum dimakbulkan. Bersangka baiklah kepada Allah bahawa Allah akan perkenankan hajat kita bila sampai waktunya. Sekiranya doa kita tidak dimakbulkan mungkin Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
Berdoalah supaya Allah berikan kebaikan-kebaikan samada kebaikan yang kita tahu ataupun yang kita tidak tahu dan dihindarkan dari keburukan, samada keburukan yang kita tahu ataupun yang kita tidak tahu.
Kadang-kadang mungkin sesuatu perkara itu kita rasa ianya baik untuk kita tetapi ia boleh merosakkan kita dan demikian juga sebaliknya.
Berdoalah selalu kerana Rasulullah sendiri mewariskan kepada kita berbagai-bagai doa. Sentiasa berdoa akan merapatkan hubungan kita dengan Allah. Apakah perkara lain yang lebih utama selain dari hubungan yang akrab dengan Allah? Pencipta kita, Yang menguruskan kehidupan kita?
Dekat dengan Allah akan melahirkan ketenangan jiwa. Itulah yang ramai orang tidak dapat memperolehinya pada hari ini walaupun mereka mempunyai kemewahan harta benda tetapi jiwa yang kosong. Mencari cara yang lain untuk mendapatkan ketenangan jiwa.
Saturday, April 3, 2010
Ketika Cinta Bertasbih
Saudara/i tetamuku yang dikasihi. Saya ingin kongsikan satu hasil tulisan yang saya ambil daripada satu laman web. Yang ditulis oleh Us. Sarip Adul. Semoga ianya memberi menafaat kepada anda.
Malam tadi sempat menonton filem ‘Ketika Cinta Bertasbih 2′ bersama puteri sulungku. Tapi bukan di pawagam, kat komputer rumah je. Dia sangat teruja sebab sudah habis membaca novel karangan Ustaz Habiburrahman al-Syirazi yang cukup laris. Anak remaja paling gemar novel cinta. Aku sendiri tak pernah membaca novel tersebut. Ia memakan masa yang lama untuk dikhatamkan. Melihat movie lebih cepat dan ringkas, walaupun kata anakku membaca novel lebih puas. Aku akui itu, sebab dulu pun aku kaki novel, maklumlah aliran sastera.
Antara fokus utama dalam bahagian kedua, menceritakan pengembaraan Ustaz Kheirul Azzam mencari calon isteri. Berhadapan dengan ibunya yang sangat cerewet memilih calon menantu, mesti cantik, solehah, berpendidikan tinggi dan paling penting berjilbab (tudung labuh). Hampir kesemua yang cuba dilamar oleh Ustaz Azzam adalah melalui orang tengah yang ia thiqah dengan kemampuan dan pengalaman mereka dalam menilai peribadi manusia.
Kataku pada puteriku, itulah cara tebaik dan cara Islam memilih pasangan. Untuk membina rumahtangga yang soleh perlu pasangan yang benar-benar soleh. Menentukan kesolehan seseorang calon tidak sepatutnya berpegang pada pemikiran sendiri bahkan perlu berbincang dengan orang yang pakar. Seperti apabila ingin membina rumah perlu berbincang dengan arkitek dan jurutera. Merekalah yang paling tahu akan keperluan dan bahan apa yang paling cocok untuk orang tersebut. Membuat keputusan sendiri tanpa mengambil kira pandangan ibubapa dan murabbi yang selama ini menghabiskan masa mendidik mereka amat zalim. Ini kerana, merekalah orang yang paling ingin melihat mereka bahagia.
Menyerahkan tanggungjawab mencari pasangan hidup pada orang yang berkemampuan mungkin makin jarang dilakukan oleh generasi muda kini. Bagi mereka semua itu budaya lama lagi kolot. Orang sekarang pilih sendiri. Tentukan sendiri orang bagaimana yang ia mahu. Baginya kalau sudah cinta segalanya akan baik belaka. Ibubapa sekadar perlu approve sahaja hubungan mereka. Kesannya… makin banyak rumahtangga yang kandas di tengah jalan. Tayar cintanya tidak mampu bertahan lama. Bocor walau sekadar terkena batu kecil yang tumpul. Dulu, cinta yang dipuja itu telah membutakan mata. Tidak nampak cacat cela pasangan, apatah lagi bagi pasangan yang ‘mahir’ menyembunyikan keaiban diri. Nantinya bila sudah dapat yang dipuja, barulah keaiban itu terzahir satu persatu.
Bagi orang seperti Ustaz Azzam, cinta bukan syarat utama pembinaan rumahtangga. Asas paling utama ialah ciri solehah wanita tersebut yang dizahirkan melalui jilbabnya. Peribadi si wanita pula diperakui dan dikenali secara mendalam oleh orang yang menjadi orang tengah. Orang tengah yang ia kenali kejujurannya. Ini kerana orang tengah yang jujur pastinya akan mencarikan calon terbaik dan paling sesuai untuk orang yang memberinya amanah. Ia perlu kenal secara mendalam peribadi kedua-duanya sebelum dipertemukan di hari taaruf. Ia mesti mengambil kira fizikal, usia, akhlak dan fikrah antara yang mencari dan dicari. Kalau sekufu dan match… barulah diperkenalkan. Waktu itu kedua-dua pihak boleh menilai cadangan si orang tengah yang soleh… andai setuju, teruskan untuk prosedur seterusnya. Andainya tidak menepati apa yang dicari, tolak dengan baik. Waktu itu tidak perlulah mereka bermain dengan bara cinta yang sering membakar iman dan maruah diri. Kadangkala memakan masa bertahun-tahun dan berakhir dengan kegagalan dan penyesalan.
Kalau sudah menepati syarat… solehah, cantik, berakhlak mulia dan berjilbab… pasti cinta akan hadir sendirinya. Bahkan ia terbit dari rasa cintanya kepada pasangannya yang mencintai tuhannya. Cinta waktu itu adalah ibadah yang terbit dari rumahtangga yang dari awal pembinaannya tulus mencari redha Allah SWT.
Ada satu dialog yang menarik dalam movie tersebut apabila Ustaz Azzam mendatangi rumah Ahmad Jazuli, seorang kaya yang pernah mendengar pengajaran Ustaz Kheirul Azam yang membaca kitab al-Hikam karangan Ibn Atoillah. Dulu Pak Jazuli pernah menawarkan puterinya pada Ustaz Azzam. Kata Pak Jazuli pada Ustaz Azzam bila ia datang: “…itu foto anak bapa, waktu ia sudah habis di ITB, setelah itu ia melanjutkan S2 di Belanda, pada waktu bapa ketemu nak mas ia sedang pulang selama 2 minggu. Ia minta dicarikan jodoh yang bisa membimbingnya membaca al-Quran dan mengimaminya solat. Waktu bapa melihat nak mas mengajar bapa terfikir nak maslah orangnya…”.
Ringkas syaratnya: dapat suami yang mampu ajar baca Quran dan jadi imam solat. Kataku pada puteriku, wanita solehah impiannya berbeza dari impian kebanyakan wanita moden masa kini. Bagi mereka memperolehi suami yang boleh membimbing agama dan akhirat mereka lebih diutamakan dari lelaki yang mampu meletak mereka di atas timbunan kemewahan. Ini kerana mengasaskan rumahtangga di atas timbunan harta semata-mata akan memudahkan ia goyah dan berkubur apabila dilanda gempa. Wanita solehah yakin dengan rezeki dan takdir ilahi. Allah juga berjanji bahawa sesiapa bertakwa kepada Allah dijadikan baginya tempat keluar dari permasalahan dan diberikan rezeki dari sumber yang mereka sendiri tidak sangkakan. Yang penting usaha dan mencari sebab.
Ibubapa yang mengharapkan kebahagiaan bagi anak-anaknya di akhirat dan di dunia, mereka akan mendahulukan agama dan akhlak untuk menjadi pasangan hidup anak-anaknya. Bukan harta dan martabat menjadi ukuran. Kiyai Lothfi menikahkan puterinya Ana Altafunnisa cuma bermaharkan sebentuk cincin dengan Ustaz Kheirul Azzam. Bahkan tidak sempat pun Ustaz muda tersebut bertukar baju apatah lagi menyediakan hantaran yang mahal-mahal. Orang sekarang berkahwin terlalu memfokuskan pada glamour dan aspek luaran melebihi keperluan sebenar. Majlis kahwin yang gah dan hantaran yang banyak angkanya. Bagi ibubapa yang soleh dan faham keperluan rumahtangga sebenar, memiliki menantu yang berakhlak mulia dan soleh/hah sudah cukup menjamin kebahagiaan rumahtangga anak mereka berpanjangan.
Seingatku, sewaktu menghabiskan pengajian 4 Thanawi dulu, di Pondok Bukit Besar, ramai kawan-kawanku yang menerima lamaran dari beberapa keluarga berhampiran pondok. Dalam erti kata lain ‘booking’ pelajar-pelajar tersebut sebelum ke Universiti al-Azhar untuk menjadi bakal menantu bila habis nanti. Bagi masyarakat pondok, nilai agama merupakan syarat utama memilih menantu. Budak-budak pondok yang terbiasa dengan budaya beragama, mengaji kitab-kitab kuning, berkopiah dan berserban sering menjadi pilihan. Mereka berharap menantunya nanti mampu membimbing puterinya menghayati agama dan memimpinnya ke syurga Ilahi.
Bila berbicara tentang rumahtangga dakwah dan tarbiah, timbul satu masalah bagi anak-anak yang ada kesedaran dan faham perjuangan. Menyerahkan tanggungjawab memilih sahaja pada ibubapa pasti berisiko tinggi, kecualilah ibubapanya memiliki fikrah dan faham perjuangan yang sama sepertinya. Waktu ini murabbi sepatutnya menjadi penasihat utama dan orang yang paling faham dalam menentukan bentuk pilihan. Ini kerana sang murabbi bukan sahaja menilai calon pasangan yang akan dicadangkan pada anak didiknya menepati asas agama, bahkan menyempurnakan keperluan perjuangan. Tapi budaya inipun sudah semakin kurang diamalkan dalam komuniti dakwah.
Sumber: ISMA Mesir
Batu-Bata..
Saudara seaqidahku yang dikasihi.
Kali ini hati saya tergerak untuk memperkatakan sesuatu yang ada hubung kait dengan batu bata.
Apakah istimewanya batu bata?
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Orang-orang mukmin bagi orang-orang mukmin yang lain ibarat bangunan yang sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain”.
Bahan utama untuk mendirikan bangunan adalah batu bata.
Cuba kita perhatikan batu bata. Kita akan dapati, yang pertama, batu bata diperbuat daripada bahan yang bermutu atau mutunya menepati keperluan untuk membuat bangunan, dan kedua kita dapati setiap batu bata mempunyai saiz dan bentuk yang sama.
Batu bata tadi apabila disusun dan diikat dengan simen, diperkukuhkan dengan besi, kayu dan lain-lain, dibentuk mengikut pelan tertentu boleh menjadi bangunan yang tersergam indah.
Sekiranya batu bata tersebut mempunyai bentuk dan saiz yang tidak sama, tentu sukar untuk menyusunnya, bukankah begitu?
Mungkin bangunan yang dihajati akan sukar atau tidak akan dapat dibina.
Saya nak kaitkan dengan apa yang berlaku kepada orang-orang mukmin/Islam sekarang ini. Kita amat sukar untuk bersatu kerana tidak mempunyai persamaan di dalam perkara-perkara yang sepatutnya mempunyai persamaan.
Orang-orang Islam mempunyai matlamat yang sama. Bukankah keredhaan Allah matlamat setiap orang Islam? Orang-orang Islam juga mempunyai panduan hidup yang sama, iaitu al Quran dan al hadith.
Tetapi kalau kita tanya setiap orang Islam, apakah matlamat hidup mereka? Bolehkah mereka menjawab, " Matlamat hidup saya nak cari keredhaan Allah". Kalau mereka iru adalah yang menagih dadah, buang bayi, membunuh....bergaduh adik beradik,tidak sembahyang, mendedahkan aurat dan sebagainya
Saudara yang dikasihi,
Supaya dapat bersatu orang-orang Islam perlu kepada keseragaman. Seperti yang kita lihat seragamnya batu bata itu.
Keseragaman akan menghasilkan kesatuan. Orang Islam perlu kepada keseragaman dalam aqidah, aqidah yang sohih serta memahami tuntutannya. Kemudian keseragaman dalam fikrah, iaitu mempunyai kefahaman dan pemikiran Islam yang benar dan seterusnya keseragaman dalam beramal.
Di dalam Islam ada perkara-perkara yang kita boleh berbeza pendapat.Tetapi kita perlu meraikan pendapat orang lain juga.
Pada hari ini kita lihat umat Islam amat sukar bersatu. Terlalu banyak perkara remeh temeh yang menjadi dinding yang menyebabkan kita tidak dapat bersatu.
Berbeza fahaman politik, berbeza pendapat di dalam cabang-cabang fekah, berbeza warna kulit, berbeza fakulti, berbeza program/kursus dan lain-lain lagi.
Kes perlawanan bolasepak, kes anak-anak, kes lembu kambing, kita boleh bergaduh sesama sendiri.
Marilah kita mewujudkan keseragaman dan persamaan sesama kita dengan cara kita beramal dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ketepikan perbezaan yang ada sedikit sebanyak kerana persaudaraan adalah lebih penting.
Firman Allah, maksudnya, " Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara".
Wallahu a'lam..
Subscribe to:
Posts (Atom)