Pages

Wednesday, April 7, 2010

Jangan pandang Belakang


Sekali lagi ingin ku kongsikan hasil tulisan Ustaz Sarip Adul dengan saudara/i yang dikasihi. Semoga ianya bermenafaat untuk kita semua.

Aku nak berubah, aku nak jadi baik, aku nak bertaubat….rintihan seorang remaja yang kecundang berkali-kali dalam hidupnya. Bukan ia seorang yang ingin berubah. Ramai yang ingin menjadi orang baik-baik.

Perubahan untuk melalui jalan hidayah tidak semudah yang diimpikan. Banyak halangan dan cabaran. Cabaran pertama dari dalam diri manusia sendiri, namanya NAFSU. Nafsu sukakan keseronokan dan benci kepayahan. Jalan hidayah pula kurang aksesori. Ia memerlukan mujahadah dan pengorbanan. Justeru, ramai yang rebah di langkah pertama ingin berubah.

Cabaran kedua ialah budaya luaran. Manusia akhir zaman ramai yang rosak. Malangnya mereka sendiri tidak tahu mereka rosak. Kalau tahupun buat-buat tak tahu.

Memang tidak senang untuk jadi baik. Lantaran itu, ramai yang dah memulakan perubahanpun kembali ke dunia asal. Lihat sahaja gelagat artis kita. Bertudung setahun dua…lepas tu kembali seksi macam zaman remaja.

Waktu mengajar di UIA dulu, aku menghadiri satu sesi ceramah keinsafan oleh seorang artis wanita terkenal yang katanya telah bertaubat. Sambil menanggis ia bercerita tentang pengalamannya. Yang mendengar juga turut menanggis. Tapi sekarang, kat TV mukanya sering terpampang…walau masih pakai tudung tapi terbuka sana sini.

Nak berada di atas jalan hidayah memang tak mudah. Bahkan tak ramai yang benar-benar inginkannya. Apatah lagi berjuang untuk mendapatkannya. Lihat sahaja majlis-majlis agama…bayar tambang pun ramai tak datang. Kalau konsert hiburan…bertiketpun mereka sanggup tunggu dari petang. Yang bertudung labuh dibanding dengan yang terdedah urat dan aurat, juga nisbah yang cukup jauh. Jamaah di masjid dibanding dengan jamaah di supermarket…juga nisbah yang sangat jauh. Lantaran itu sebenarnya untuk dapat hidayah bukannya susah, ini kerana kita tak perlu berebut.



Mungkin kerana tak ramai yang melalui jalan hidayah, melaluinya akan terasa sunyi. Kesunyian menyebabkan orang yang melaluinya berpaling ke belakang. Menoleh kebelakang untuk melihat orang ramai yang melalui jalan alpa. Jalan yang membuai mereka dengan jutaan irama kenikmatan. Imam al-Fudhail bin ’Iyaad memberi nasihat:



لا تستوحشْ طرقَ الهدى لقلّة أهلها ولا تغترّ بكثرة الهالكين



(Janganlah kamu rasa sunyi melalui jalan hidayah kerana sedikit ahlinya dan jangan terpedaya dengan ramainya orang binasa (kerana melalui jalan yang sesat)) (1).

Kata Ibnu Qayyim: “setiap kali engkau merasa sunyi kerana bersendirian, maka lihatlah pada rakan-rakanmu yang terdahulu (di kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solehin). Berusahalah untuk mengejar mereka. Tutuplah pandangan dari melihat orang lain. Mereka itu tidak mampu menyelamatkan engkau dari siksaan Allah. Andainya mereka menjerit memanggil engkau dalam perjalananmu, jangan palingkan wajahmu pada mereka. Maka andainya engkau berpaling pada mereka, mereka akan mengoda dan menghalangmu”(2) .



Anda adalah seperti seekor Sang Kancil yang dikejar oleh seekor Harimau buas. Walaupun badanmu kecil, tuhan kurniakanmu kekuatan larian dan kelajuan yang menyamai kelajuan harimau. Andainya engkau berpaling kebelakang walau sesaat!, engkau akan kehilangan sedikit kelajuanmu. Itu sudah cukup bagi sang harimau menerkam dan membahammu.

Jangan pandang ke belakang lagi bila anda sudah memulakan perjalanan di atas jalan hidayah. Biarkan sahaja orang ramai di luar sana. Allah SWT janjikan untukmu kenikmatan yang tiada tolok bandingnya di hujung perjalanan. Syurga Firdausi bertemankan kekasih-kekasih Allah di kalangan para Nabi, Syuhada’, Siddiqin dan Solehin. Firman Allah SWT:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ

(Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya)(Al-Nisa’: 69).


Andainya anda terpengaruh walau ‘sedikit’ pada pemikiran, budaya dan cara hidup mereka, mereka akan sesatkan anda. Firman Allah:

وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ

(Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus)(al-Maidah:77).

Sebenarnya anda orang terpilih di kalangan jutaan manusia. Allah SWT sayangkan anda. Dia campakkan ke dalam hati anda petunjukknya. Sebab itu anda terfikir untuk berubah. Andainya anda tinggalkan hidayah yang datang. Anda telah menzalimi diri sendiri. Menjadi hujjah Allah SWT untuk menyiksa anda di hadapannya nanti. Waktu itu anda sudah tidak boleh berkata: Ya Allah, aku tak sedar semua ini. Aku belum terima hidayah darimu!!.

Ingat, hidayah Allah itu umpama burung yang hinggap di tepi tingkap bilik. Andai anda halau ia, tidak mustahil ia langsung meninggalkan anda dan tak akan datang lagi.

Sumber: Blog Ustaz Sarip Adul

No comments:

Post a Comment