“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Tuesday, April 13, 2010
Untuk Pemuda
Saya ingin kongsikan tulisan Imam Hasan al Banna yang ditujukan untuk pemuda khususnya mahasiswa……
Wahai pemuda,
Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat terhadap gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya, serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda.
Sebabnya, asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini, dalam mana-mana bangsa para pemuda menjadi tonggak kepada kebangkitan mereka .
Wahai pemuda,
Kita imani dan kita yakini bahawa di sana hanya ada satu gagasan yang dapat menyelamatkan dunia yang sedang sengsara ini, memimpin manusia yang sedang kebingungan dan membimbing mereka ke arah jalan yang benar.
Gagasan inilah sepatutnya yang diperjuangkan dan dijadikan harapan. Manusia perlu dipimpin supaya tunduk di bawah naungannya dengan mengorbankan jiwa dan harta serta segala yang dimilikinya. Gagasan yang dimaksudkan ini adalah Islam yang suci, agama yang tiada cacat cela, tiada keburukan dan tidak akan menyesatkan sesiapa sahaja yang menganutnya.
Firman Allah yang bermaksud: “ Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (al Maidah: 3)
Jadi, dengan ini gagasan kita ialah gagasan Islam. Gagasan ini membangun di atas landasan Islam. Gagasan ini menjadikan Islam sebagai satu-satunya rujukan. Gagasan ini berjuang demi untuk Islam. Gagasan ini tidak akan menggantikan Islam dengan sistem lain.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya.” (Aali Imran: 85)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment