“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Sunday, April 4, 2010
Jangan lupakan Allah..
Kadang-kadang dalam kita menjalani kehidupan ini, kita akan berhadapan dengan satu-satu masalah. Manusia tidak boleh lari daripada masalah kerana itulah tujuannya Allah menciptakan manusia. Masalah itu adalah ujian. Bukankah Allah berfirman yang bermaksud, :"Allah lah yang menjadikan mati dan hidup ini agar Allah dapat menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya."(Al Mulk: 2)
Jadi di sini Allah sendiri telah menyatakan kepada kita yang Allah menjadkan mati dan hidup itu, untuk menguji manusia, siapakah di antara manusia ini yang lebih baik amalannya, siapakah yang lebih bertaqwa dan sebagainya. Kita hidup di atas muka bumi Allah ini sentiasa akan diuji oleh Allah SWT. Kadang-kadang ujian itu kita sedar dan kadang-kadang kita tidak sedar, kadang-kadang ujian itu ringan dan kadang-kadang berat, ujian juga boleh datang dalam bentuk pangkat dan kemewahan.
Orang yang tidak dapat mengatasi masalah dan tidak mahu berhadapan dengan masalah, orang itu akan lambat maju, lambat berubah dan tidak dapat bersaing dalam dunia hari ini.
Kekusutan fikiran dan masalah, menyebabkan kita mencari-cari siapakah yang dapat membantu menyelesaikan kekusutan fikiran kita. Kadang-kadang kita terlupa untuk meminta pertolongan daripada Allah.
Untuk keadaan tertentu, di mana manusia tidak dapat membantu menyelesaikan masalah kita, kita perlu berdoa kepada Allah. Berdoa dengan sungguh-sungguh. Allah Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Perbaikilah diri kita sekiranya selama ini kita lalai dari mentaati perintah Nya. Perbetullah jalan hidup kita supaya selalu berada di atas jalanNya.
Bersabar sekiranya doa kita masih belum dimakbulkan. Bersangka baiklah kepada Allah bahawa Allah akan perkenankan hajat kita bila sampai waktunya. Sekiranya doa kita tidak dimakbulkan mungkin Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
Berdoalah supaya Allah berikan kebaikan-kebaikan samada kebaikan yang kita tahu ataupun yang kita tidak tahu dan dihindarkan dari keburukan, samada keburukan yang kita tahu ataupun yang kita tidak tahu.
Kadang-kadang mungkin sesuatu perkara itu kita rasa ianya baik untuk kita tetapi ia boleh merosakkan kita dan demikian juga sebaliknya.
Berdoalah selalu kerana Rasulullah sendiri mewariskan kepada kita berbagai-bagai doa. Sentiasa berdoa akan merapatkan hubungan kita dengan Allah. Apakah perkara lain yang lebih utama selain dari hubungan yang akrab dengan Allah? Pencipta kita, Yang menguruskan kehidupan kita?
Dekat dengan Allah akan melahirkan ketenangan jiwa. Itulah yang ramai orang tidak dapat memperolehinya pada hari ini walaupun mereka mempunyai kemewahan harta benda tetapi jiwa yang kosong. Mencari cara yang lain untuk mendapatkan ketenangan jiwa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment