Pages

Monday, April 19, 2010

PEMBENTUKAN INDIVIDU SOLEH




Individu adalah merupakan batu bata, yang mana dengannya tertegaklah sebuah masyarakat keseluruhannya. Sebab itu Islam memberikan perhatian sepenuhnya kepada setiap tahap perkembangan dan pertumbuhan manusia itu sendiri, kerana dia merupakan asas keluarga dan masyarakat. Bila baik individu-individu ini baiklah keluarga dan masyarakat.

Pembaikan individu pada pandangan Islam tidak akan sempurna kecuali lengkapnya empat sifat yang dianggap oleh al Quran sebagai syarat kejayaan semasa hidup di dunia dan akhirat. Sifat-sifat tersebut terkandung di dalam surah al-Asr:-

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”

Syarat pertama untuk pembaikan individu ialah iman, yang mana dengannya menjadikan seseorang manusia itu jelas tentang konsep dirinya, alam dan kehidupan, jelas tentang pemilik alam ini, dan jelas tentang kehidupan manusia itu sendiri. Sekiranya konsep ini rosak, maka rosaklah kehidupan seluruhnya, rosak amalan, rosak akhlak dan rosaklah perhubungan-perhubungannya.

Bilamana jelas konsep ini, manusia jelas keujudanya, jelas matlamat hidupnya dan apa yang ada di sebalik hidup ini. Dia beriman bahawa dia bukanlah seperti debu-debu yang berterbangan tetapi hidup untuk matlamat yang cukup besar iaitu menjadi khalifah Allah di dunia ini, dan mencari keredhaanNya dan syurgaNya di akhirat nanti.

Syarat kedua ialah amal soleh yang merupakan buah iman yang lahir dalam bentuk amalan yang bukan hanya sekadar iman dalam pemikiran ataupun semangat sahaja. Al Quran tidak menetapkan satu bentuk yang khusus tentang amal soleh. Ianya merangkumi apa yang mendatangkan kebaikan kepada manusia samada pada tubuh, jiwa individu, masyarakat dan apa yang mendatangkan kebaikan dalam kehidupan ini samada harta benda, ruh akhlak, yang lahir dari ibadat, muamalat, adab dan akhlak.

Syarat ketiga ialah pesan memesan dengan kebenaran, bererti seorang beriman memesan dengan kebaikan kepada orang lain dan menerima pesan memesan kebaikan daripada orang lain. Ini menunjukkan bahawa al Quran memberi satu konsep yang jelas kepada orang beriman bahawa mereka hidup di dalam masyarakat, mengambil darinya dan memberi, dan tidaklah seperti seorang pendita yang hanya seorang diri dalam rumah ibadatnya tanpa mengambil tahu tentang hal yang ada di sekelilingnya.

Dengan ini jelas bahawa seorang muslim tidak cukup menjadi seorang soleh hanya untuk dirinya sahaja, Sedangkan beliau tidak mengajak orang lain kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya. Seorang Islam hendaklah hidup sebagai seorang perajurit kepada kebenaran, beriman dan mencintainya, membantu dan berdakwah kepadanya.

Syarat keempat:- iaitu pesan memesan dengan kesabaran. Orang-orang yang mendokong risalah kebenaran berhajat kepada kesabaran untuk menasihati dirinya sendiri dan menasihati orang lain seperti ia menasihati dirinya sendiri. Sudah menjadi sunnatullah pendokong-pendokong kebenaran akan disakiti, kerana itu mereka perlu bersabar. Luqman pernah berkata kepada anaknya ketika beliau menasihatinya: “ Hai anakku, dirikanlah solah dan surulah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya itu termasuk dalam hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” Surah Luqman ayat 17.

Keempat-empat syarat ini menjadikan seseorang itu individu soleh seperti yang terkandung dalam surah al Asr. Individu soleh ini meliputi samada lelaki atau perempuan, tua atau muda.

1 comment:

  1. salam,

    saya amat tertarik dan terkesan dgn penulisan topik ini.Saya tertarik krn jika kita ingin pesan memesan kpd kebaikan dan dgn kesabaran kita harus melengkapi diri dgn perisai iman dan amal soleh,bru lah diri akn menjadi kuat utk hadapi mehna dan kesakitan menyampaikan kebenaran. Kerana apabila kita menegur saudara muslim yg lain, bkn senyuman akn diterima ttpi kata2 herdik,caci maki yg akn diterima.saat itu buat saya sedih dan duka.kerana iman dan amal soleh tdk kukuh dihati ini.

    terima kasih, amat memberi keinsafan diri.salam

    ReplyDelete