“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Tuesday, November 1, 2011
Bicara hati seorang sahabat...(1)
Beberapa hari yang lepas saya telah menerima satu email daripada Hilal Asyraf, seorang anak muda yang gigih berdakwah melalui lisan dan tulisannya. Mungkin ada sebahagian daripada pembaca yang sudah mengenalinya.
Saya mula mengenali beliau melalui blognya langitilahi, setelah diperkenalkan oleh seorang pelajar. Tetapi belum pernah berjumpa orangnya. Yang saya tahu beliau berasal dari Johor, berumur 22 tahun dan sedang belajar di Jordan. Beliau adalah lepasan MATRI di Tunjong, Perlis.
Email ini adalah yang kedua saya terima daripadanya dan tergerak di hati saya untuk saya kongsikan bersama pembaca. Semoga tulisan beliau dapat memberikan sedikit suntikan kepada rohani kita.
Sama-sama kita hayati tulisannya......
******************************************************************************
Khas Daripada Hilal Asyraf: Mencari Ketenangan Di Dalam Hidup.
Assalamu'alaikum.
Apa khabar?
Semoga anda berada dalam rahmat dan maghfirah Allah SWT. Saya sentiasa
berharap, agar diri saya dan anda, sama-sama berusaha keras untuk hidup di
dalam batasan yang disyariatkan olehNya, dan berusaha untuk menjauhi
larangan-laranganNya. Marilah kita menjadi hamba yang sebenar-benarnya.
Email kali ini, saya suka mengingatkan diri saya dan anda berkenaan
ketenangan.
Ketenangan.
Satu kalimah yang dicari semua.
Kayalah sekaya mana, kalau hati tidak tenang segala harta seperti tiada
makna.
Berkahwinlah dengan lelaki/perempuan idaman mana sekalipun, kalau jiwa tidak
senang maka segalanya seperti sia-sia.
Persoalan, di manakah hendak kita jumpai ketenangan ini?
Saya ada terjumpa satu bicara yang amat indah sekali,
"Di dalam hati ada kekosongan,
yang tidak akan terisi melainkan dengan merapat kepada Ilahi.
Di dalam hati ada kegelisahan,
yang tidak akan dapat ditenangkan melainkan dengan Ilahi.
Di dalam hati ada kerisauan,
yang tidak akan dapat diselesaikan, melainkan dengan Ilahi."
Ya.
Ketenangan itu ada pada Ilahi. Ketika kita merapat kepadaNya. Ketika kita
melakukan amal-amal kebaikan yang diarahkan olehNya, ikhlas keranaNya.
*"Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi
tenang."* Surah Ar-Ra'd ayat 28.
Maka kita, yang mempunyai hati-hati dan jiwa-jiwa yang gelisah ini, kita
memandang semula ke dalam kehidupan. Kita isi kehidupan dengan apa? Ketaatan
kepadaNya? Atau kemaksiatan yang bermaharaja lela?
Dan sesungguhnya, mereka yang bersolat, membaca al-quran, bersedekah, tetapi
masih lagi juga melakukan maksiat kepadaNya, tetap tidak akan mampu meraih
ketenangan jiwa. Kerana dosa ibarat titik hitam di dalam hati, dan dosa akan
memberikan rasa tidak senang ke dalam diri. Buat kebaikan, dosa itu
terpadam, namun buat lagi dosa, bintik hitam muncul semula membawa kelam.
Maka solusi ketenangan hati yang utama adalah, mendekati Ilahi dan menjauhi
laranganNya.
Sudah berapa tahun umur kita ketika kita membaca email ini? Ketika saya
menulis email ini? Saya sudah berumur 22 tahun.
Anda?
Dan kita soal diri kita bersama-sama,
sampai bila kita hendak hidup dalam kemaksiatan kepadaNya? Dengan jiwa yang
risau dan galau, dengan hati yang tidak tenang dan tidak senang. Sampai
bila?
*"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk
hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi
kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula
mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum
mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka
menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik -
derhaka."* Surah Al-Hadid ayat 16.
Mari kita sama-sama muhasabah.
Mencapai ketenangan jiwa biar diri menjadi gagah.
Mari Menjadi Hamba!
~ seorang hamba,
Hilal Asyraf
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment