“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Wednesday, November 30, 2011
Pengaruh pemikiran liberal punca utama kecelaruan identiti
Mari sama-sama kita renungi lapuran ini...
KUALA LUMPUR - Pengaruh pemikiran liberal dikenalpasti punca utama krisis kecelaruan identiti, di mana fahaman tersebut meletakkan diri sendiri sebagai segala-segalanya manakala pegangan agama, akhlak dan nilai hanya pilihan, menurut Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.
“Bagi pendokong pemikiran liberal, tiada siapa boleh menegur atau masuk campur dalam hal-hal kebebasan individu berkaitan akhlak atau agama, termasuk sistem masyarakat dan undang-undang. Mereka bebas membuat apa saja mengikut selera tanpa boleh dipandu, ini yang dikhuatiri boleh membawa implikasi besar.”
Menurut beliau, pengaruh pemikiran liberal telah menyebabkan berlakunya proses normalisasi atau pencairan identiti melalui pelbagai faktor seperti budaya hedonisme, pengaruh gaya hidup barat, kejahilan dalam masyarakat, keruntuhan institusi keluarga dan kelemahan-kelemahan lain yang begitu banyak dan ketara.
Ustaz Abdullah Zaik berkata demikian semasa ditemuramah dalam rancangan Ala Carte Pagi di Radio Bernama 24 baru-baru ini bagi mengupas isu kecelaruan identiti di kalangan belia.
Ditanya mengenai definisi kecelaruan identiti, beliau menjelaskannya sebagai hilang pedoman atau hala tuju, serta tidak jelas norma-norma atau nilai-nilai positif dan negatif.
Menurutnya, masalah sosial yang semakin meruncing di dalam masyarakat seperti didedahkan oleh media dan dapatan kajian adalah simptom-simptom yang berpunca dari hilang pedoman dan tidak jelas nilai-nilai yang patut dipegang.
Ustaz Abdullah Zaik juga meluahkan kebimbangannya terhadap pemikiran golongan belia yang tidak berpaksikan kepada asas Islam dan nilai budaya yang sepatutnya, berdasarkan pengamatan dan komunikasi dengan golongan tersebut di internet.
Perkembangan ini dikhuatiri boleh membawa implikasi besar kepada negara pada masa akan datang dari segi penguasaan ekonomi, politik dan gaya hidup maju serta berdaya saing.
Sumber: ISMAWeb.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment