“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Friday, November 4, 2011
Jika Anda Tergelincir, Terus Bangkit
Beberapa minggu yang lepas saya mengikuti satu program bersama pelajar…bertugas sebagai pengiring. Salah satu daripada aktiviti yang terdapat di dalam program tersebut ialah ‘jungle tracking’. Sudah tentu saya tidak melepaskan peluang untuk menyertainya kerana ianya satu aktiviti yang saya minati. Lebih-lebih lagi tempat yang kami akan pergi ialah tempat yang belum pernah saya masuki. Kawasan hutan dan di hujungnya terdapat air terjun.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam untuk sampai ke kawasan air terjun. Setelah sampai di sana masing-masing dengan kerenah masing-masing…ada yang mandi, ada yang bermain air dan ada yang berehat.
Ketika saya sedang berdiri dan asyik memerhati gelagat para pelajar, tiba-tiba saya terjatuh dan badan saya masuk ke dalam air. Nasib baik airnya tidak dalam. Memang saya tidak sedar bagaimana saya boleh terjatuh. Mungkin tergelincir disebabkan batunya licin.
Dalam keadaan terpinga-pinga saya terus bangkit dan keluar dari dalam air. Saya periksa talipon genggam dan kamera yang berada di dalam poket seluar saya. Alhamdulillah….kedua-duanya masih berfungsi hingga ke hari ini.
Mengenangkan kejadian tersebut; tercetus di minda saya untuk menulis tajuk ini ‘Jika Anda Tergelincir; Terus Bangkit…’
Apabila kita tergelincir; biasanya kita berada dalam posisi yang tidak stabil. Kita mungkin terjatuh, terkeluar dari jalan yang kita lalui, terhuyung hayang, mengalami kecederaan dan sebagai.
Tergelincir yang satu lagi dan yang itulah yang saya ingin fokuskan ialah tergelincir daripada jalan kebenaran.
Hidup ibarat satu perjalanan dan jalan yang benar ialah jalan yang telah dicipta dan digariskan oleh yang mencipta kehidupan ini. Itulah sahaja jalan yang pasti benar. Jika kita mengikut jalan-jalan yang lain, cara hidup yang lain, sedikit sebanyak kita telah tergelincir.
Ada orang yang sedar yang mereka telah tergelincir dan ada orang yang tidak sedar.
Ada orang yang tidak sedar yang mereka telah tergelincir. Orang islam yang meninggalkan sembahyang, tidak menutup aurat, bergaul bebas, kadang-kadang mereka tidak sedar yang sebenarnya mereka telah tergelincir. Mereka telah melakukan perkara yang bertentangan dengan perintah Allah.
Sementara ada orang yang sedar mereka telah tergelincir. Contohnya ada yang telah terlanjur melakukan zina, tidak sembahyang, minum arak, derhaka kepada ibubapa dan sebagainya. Mereka sedar mereka telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak agama.
Seperti yang saya katakan tadi… orang yang tergelincir akan berada di dalam keadaan yang tidak stabil. Rasa bersalah, menyesal, rendah diri, tersisih dari masyarakat dan sebagainya.
Siapa yang tidak pernah tergelincir dalam kehidupan ini? Walaupun sedikit kegelincirannya. Sudah pasti setiap orang pernah tergelincir. Ramai yang menyedari mereka tergelincir, terus bangkit.
Oleh sebab itu nasihat saya bila anda sedari anda telah tergelincir…. terus bangkit! kerana lagi lama anda berada dalam keadaan tergelincir mungkin akan lebih parah atau akan mengalami lebih banyak kerugian, sebagaimana cerita saya jatuh di atas. Kalau saya lambat bangkit mungkin kamera dan talipon genggam saya turut rosak.
Wallahua’lam…. Sekadar renungan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment