Dunia kini menyaksikan pelbagai masalah, pencerobohan, pembunuhan dan penindasan. Di timur dan di barat, ketenangan sudah tiada, kemanusiaan telah hilang, ekonomi sudah jatuh, moral remaja dan belia di tahap yang rendah. Dunia mencari dan membuat pelbagai sistem, sekelurisme, komunisme, kapitalisme, sistem kelas tapi semuanya tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah di dunia hari ini.
Dunia berhajat kepada sistem atau manhaj yang boleh menyelesaikan semua permasalahan ini. Dunia kini berhajat kepada satu-satunya sistem yang menjadi penyelesaian kepada semua persoalan iaitu Islam. Islam datang dan diperlukan hari ini sebagaimana ia datang dan diperlukan 1400 tahun yang lalu.
Islam pasti akan menang dan mengalahkan semua sistem yang ada. Islam pasti akan menjadi gemilang seperti di ‘Zaman Keemasan’ nya dahulu. Terdapat tiga sebab utama mengapa kita harus percaya kemenangan ini :
Kerana Lengkapnya Sistem
(أن أشهد أن لا إله إلاالله وأن محمد رسول الله)“Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah”
Manifestasi iman bukan sekadar pada ucapan, bahkan dizahirkan dengan perlakuan yang bersandarkan kefahaman Islam yang benar. Syahadah ini menuntut kita merealisasikan Islam secara menyeluruhnya. Hal ini membezakan sistem Islam yang ditegakkan atas asas garis Sang Pencipta yang Maha Luas Pengetahuannya , sedangkan segala sistem selainnya hanya ditegakkan atas akal manusia yang terbatas.
Islam dari sudut bahasa berasal daripada perkataan arab ‘salima‘ yang bermaksud selamat dan sentosa. Islam juga bermaksud kepasrahan dan ketundukkan kepada Allah dengan menjalani ketaatan dan beribadah kepada-Nya dengan ikhlas serta membebaskan diri dari kesyirikan. Islam bukan sahaja dikaitkan semata-mata dengan solat, puasa, zakat dan haji seperti yang difahami ketika Jibril datang bertanya Rasulullah tentang Islam:
يا محمد أخبرني عن الإسلام,فقال رسول الله صلي الله عليه وسلم:الإسلام أن تشهد أن لاإله إلاالله وأن محمدا رسول الله,وتقيم الصلاة,وتؤتي الزكاة,وتصوم رمضان,وتحج البيت إن استطعت إليه سبيلا.“Ceritakan kepadaku wahai Muhammad tentang Islam” Rasulullah menjawab ”Engkau mengaku bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah,mendirikan solat,mengeluarkan zakat,berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah jika mampu.”
Ibadah yang dianjurkan Islam adalah buah dari keimanan. Ibadah yang dilakukan haruslah beserta dengan hati(ruhi) dan bukan sekadar penggerakan badan (jasadi) seperti yang dirungkaikan oleh Fathi Yakan :
“Ibadah di dalam Islam merupakan kemuncak bagi sifat kepatuhan dan kerendahan kepada Allah dan ia juga adalah kemuncak betapa ia merasai keagungan Tuhan yang disembah. Ia menjadi anak tangga hubungan di antara si hamba dengan Tuhannya. “
Sheikh Muhd Ghazali dalam kitab ‘Akhlaq Muslim’ menegaskan ibadah yang dilakukan mestilah membuahkan akhlak mulia. Solat mesti menjauhkan sesorang dari perkara fahsa‘ dan kata -kata kesat. Puasa mesti mengawal syahwat. Zakat merapat hubungan antara miskin dan kaya. Haji menghalang manusia berdebat, berkata lucah dan menimbulkan kasih sayang kepada seluruh umat Islam.
Rasulullah SAW pula mengajar umat Islam keluasan sedekah,
تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَأَمْرُكَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيُكَ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَإِرْشَادُكَ الرَّجُلَ فِي أَرْضِ الضَّلَالِ لَكَ صَدَقَةٌ“Senyumanmu kepada saudaramu sedekah, dan amar ma’ruf dan nahi munkar sedekah, menunjukkan lelaki (sasat) di bumi yang dia sesat bagimu sedekah”( riwayat Tarmizi dan Ibnu Haban.)
Harmoni bukan, sekiranya sang pencuri berundur diri tatkala Allah di dalam hati?
Kualiti bukan, sekiranya solat dapat menghalang umatnya dari melakukan maksiat?
Untung bukan, sekiranya yang kaya membersihkan hati untuk mengeluarkan zakat?
Jelas, Islam datang untuk membaiki kehidupan manusia dan menanamkan akhlaq-akhlaq yang mulia dalam diri individu dan masyarkat.
Rasulullah bersabda :
انما بعثت لاتمم مكارم الاخلاق“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq” (riwayat Imam Malik)
Kerana Fitrah Manusia Dirai
Kristian , Buddha , Humanisme , Sosialisme , Sekularisme , atau apa bentuk pegangan yang dicampur aduk dengan Hawa Nafsu manusia tidak pernah berjaya meraikan kehendak sebenar manusia .
Kehendak manusia untuk aman , tenteram , bahagia , dan berjaya .
Hanya Islam yang meraikan kehendak manusia yang telah diciptakan Allah. Dalam aspek syahwat, Islam tidak menghilangkan atau menghapuskan keinginan manusia, malah menghalalkannya dengan cara berkahwin. Rasulullah bersabda
” Siapa yang berkahwin, maka telah sempurna separuh agamanya, maka bertaqwalah kepada Allah separuhnya yang baki” (riwayat Tabrani)
Islam tidak menghalang fitrah manusia untuk mengumpul harta malah menunjukkan caranya.
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا“dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba’ ” (Al-Baqarah : 275)
Islam tidak menafikan hak-hak wanita, golongan miskin, atau golongan kaya, serta sesuai untuk semua bangsa dan kaum tidak kira warna kulit dan di mana sahaja. Malah Islam memerintah untuk berlaku adil dan menyamaratakan semua.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ“Wahai manusia sesungguhnya kami menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berkabilah-kabilah untuk kamu saling berkenalan, sesungguhnya yang paling mulia disisi Allah adalah yang paling bertaqwa” (Al-Hujarat : 13)
Islam menyusun kehidupan manusia keseluruhannya samaada dari urusan yang besar seperti politik, pemerintahan, pendidikan, sosial, ekonomi.
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ“Dan siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka orang -orang kafir” (Al-Maidah : 44)
Islam menyusun kehidupan manusia sehingga sekecil-kecil perkara seperti makan, tidur, dan qada’ hajat. Rasulullah bersabda:
“Jika seorang dari kamu makan, maka sebutlah nama Allah taa’ala” (riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Syed Qutb dalam kitabnya, ‘Masa Hadapan Untuk Agama Ini’ menegaskan Islam adalah manhaj atau sistem kehidupan manusiaIslam bukanlah satu agama yang tertumpu hanya kepada satu bahagian, dan meninggalkan bahagian yang lain. Bahkan, Islam adalah agama yang menyukai kesederhanaan dalam semua perkara. Islam adalah satu- satunya agama disisi Allah yang mengetahui fitrah manusia dan keperluan manusia keseluruhan jauh dari terikut hawa nafsu manusia yang jahil tentang dirinya.
(إن الدين عند الله الإسلام)“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam” (Ali-Imran:19)(ورضيت لكم الإسلام دينا)“Dan Aku telah reda Islam itu sebagai agama untuk kamu” (Al-Maidah:3)
Kerana Sejarah Membuktikan
Suraqah bin Malik mengejar Rasulullah dan Saidina Abu bakar ketika mereka sedang berhijrah. Suraqah telah dijanjikan ganjaran oleh ketua-ketua kabilah Quraisy sekiranya dia dapat menangkap Rasulullah. Dia mengikuti Rasullulah dan Abu Bakar dari belakang. Setelah berlaku beberapa peristiwa ajaib di depannya, akhirnya beliau mengucapkan kalimah Syahadah di hadapan Rasulullah SAW. Setelah itu , Rasulullah SAW terus bersabda:
” Wahai Suraqah , engkau suatu masa kelak memakai gelang tangan Kisra ”
Hakikat ini sudah jelas apabila kita melihat kepada kejayaan Rasulullah S.A.W dalam mendidik dan mengubah para sahabat yang akhirnya dapat menakluki dua per tiga dunia. Percayalah! Sahabat yang menjadi tulang belakang Islam suatu ketika dahulu merupakan mereka yang meyakini Islam akan menguasai dan memenangi dunia keseluruhannya dan mereka telah membenarkan janji mereka kepada Allah S.W.T.
Islam mula meluaskan pemerintahnya di zaman Khulafa Rasyidin. Islam pernah melengkapkan keperluan ekonomi masyarakat di zaman Umar abd Aziz. Islam pernah menjadi rujukan ilmu di zaman Abbasiah. Islam pernah mempunyai tentera terkuat di zaman Uthmaniah. Rom, Parsi, Tentera Salib semua sudah tumpas dan jatuh serta tidak akan bangkit semula. Islam pasti akan mengulangi kegemilanganya.
أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ“Maka mengapa mereka mencari agama yang lain selain dari agama Allah ( islam), padahal apa yang di langit dan di bumi berserah diri kepada-Nya, baik dengan suka mau pun terpaksa ,dan hanya kepad-Nya mereka kembali?” (Al-Imran :83)
Islamlah Pemenang Di Dunia Ini.
Dalam manusia mencari dan membuat sistem-sistem untuk mengatur kehidupan mereka. Islam datang melengkapkan kehendak mereka, seperti mana itulah tugas Islam, yang sesuai dengan fitrah manusia, yang lengkap manhaj atau sistemnya.
Seperti mana Rasulullah dan para sahabat melakukan dakwah dan mentarbiyyah umat manusia pada 1400 tahun yang lalu dan Islam menjadi teratas atas segalanya, begitulah kita memulakan langkah kita untuk berdakwah dan mentarbiyyah sehingga kemenangan Islam yang pasti atas segala idealisme dan agama.
Islam akan mengalahkan Amerika, Israel dan semua musuh-musuhnya.
Oleh: Jabatan Penerangan ISMA Mesirوَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ“dan Allah berkuasa terhadap sesuatu tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Yusuf :21)
No comments:
Post a Comment