Misi Kemanusiaan Ke-8 (MK-8) Aman Palestin ke Gaza
Alhamdulillah dengan izinNya kesemua 21 orang delegasi MK-8 Aman Palestin selamat sampai ke Rafah dan selamat masuk ke Gaza setelah melalui perjalanan yang panjang melebihi 24 jam.
Subhanallah, terasa bahawa ini adalah satu nikmat yang begitu besar yang dikurniakan Allah terhadap usaha murni yang kerdil ini.
Delegasi ini telah disambut oleh Prof Dr Abdul Rahman Jamal, Ahli Parlimen Wilayah Tengah Gaza dan Ir Omar Siyyam, CEO Aman Palestin Gaza.
Tahniah kepada rakyat Malaysia…
Kami delegasi MK-8 Aman Palestin ke Gaza ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan badan-badan berkanun yang telah menyumbang dengan penuh rasa pemurah sehingga terlaksananya beberapa projek kemanusiaan bagi membantu saudara seaqidah di Gaza.
Foto kenangan bersama wakil Kementerian Dalam Negeri Palestin, Kementerian Penduduk Tempatan dan Jabatan Akauntan Negara selepas Majlis Penyerahan Rasmi Generator Elektrik di Kompleks Kerajaan yang berharga RM 800,000 untuk kegunaan 6 buah kementerian dan agensi kerajaan di Gaza.
Pejabat-pejabat kementerian yang turut mengalami catuan elektrik dengan maksimum bekalan selama hanya 6 jam sehari, kini telah mampu beroperasi ke tahap yang lebih baik semenjak kepungan Gaza selama lebih 6 tahun yang lalu.
Semoga usaha yang mulia ini akan diberkati Allah dan bakal memberikan sedikit lonjakan baru buat saudara kita yang dizalimi….
Keperitan yang menginsafkan…
Saudara Ghasan al Habash berumur 43 tahun adalah seorang aktivis masyarakat di Gaza. Beliau telah mengalami kecederaan parah semasa serangan Gaza pada Disember 2008 yang lalu sehinggakan beberapa organ dalamannya rosak termasuk kedua-dua belah buah pinggangnya.
Semenjak peristiwa tersebut, beliau terpaksa menjalani proses haemodialisis sebanyak 3 kali seminggu. Deangan kehilangan kemampuan untuk bekerja dan ditambah lagi dengan penyakit kronik serta kekurangan kelengkapan perubatan, maka hidupnya ternyata amat perit dan begitu menguja.
Namun Ghasan dan isterinya tidak jemu tersenyum dan terus tabah tanpa mengeluh panjang dengan deretan ujian demi ujian.
Itulah satu daripada puluhan pelajaran yang saya pelajari dari 24 jam pertama di Gaza di dalam misi MK-8 AP ke Gaza kali ini.
Detik yang memilukan….
Anak kecil ini yang berumur 5 tahun ini adalah merupakan seorang daripada kira-kira 500 orang anak yatim yang ditaja oleh rakyat Malaysia melalui Aman Palestin. Dalam sejumlah anak-anak yatim yang sempat saya temui, beliau adalah anakanda Gaza yang sangat istimewa.
Beliau dilahirkan di dalam keluarga pejuang Palestin sehinggakan sejak lahir lagi beliau telah diberikan nama sebagai ‘Hamas’ oleh ayahnya. Beliau tidak cukup besar untuk mengingati wajah ayahnya yang merupakan pejuang al Qassam yang gugur syahid ketika berumur setahun pada 2007.
Anakanda Hamas bercita-cita untuk menjadi seorang doktor bagi memberikan sokongan kepada pelapis perjuangan kepada ayahnya yang telah syahid terlebih dahulu. Anakanda Hamas kini terus diibesarkan bersama abangnya Mohammad yang berumur 8 tahun di dalam keadaan yang perit tetapi mereka tetap mempunyai jiwa hebat dan besar.
Sebelum berpisah, saya menghadiahkan sedikit hadiah daripada anakanda saya Zahra, Zaid, Nuha, Wafa, Widad dan Nukman buat anakanda Hamas dan Mohamad.
Di penghujung pertemuan, kami berpelukan erat tanpa menyedari bahawa deretan air mata panas mengalir deras di saat perpisahan yang cukup mengesani hati insani ini.
Didoakan agar anakanda Hamas terus tabah dan bersabar dengan kehidupan yang mencabar ini. Semoga kita akan bertemu lagi di lain kesempatan dengan keizinan Pemilik hati-hati manusia ini.
MK-8 AP ke Gaza, 15hb April 2012
Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib Presiden I I-Medik
Blog: Peduli Ummah
* Dr Zainur Rashid juga merupakan Perunding Aman Palestin & AJK ISMA Seremban.
Tulisan ini dipetik daripada catatan pengalaman Dr Zainur Rashid sepanjang menyertai Misi Kemanusiaan Ke-8 Aman Palestin ke Gaza yang sedang berlangsung. Catatan lengkap boleh diikuti melalui laman Facebook beliau.
No comments:
Post a Comment