“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Tuesday, April 3, 2012
Sesuatu yang menarik untuk di kongsi
Antara usrah dan raptai program, antara qiyam dan penganjuran forum,
antara daurah dan program seminar untuk junior, mana lagi penting?
Ini merupakan dilema dualism di kalangan daie.
...............
Ada dua bentuk kesalahfahaman di kalangan para daie tentang
kecenderungan amal; antara amal yang bersifat ruhiyah dan amal dakwah
kepada masyarakat dalam bentuk program.
Ada satu ekstrim yang menganggap amal yang membasahkan ruhiyah itu
paling penting dan sekiranya dikurangkan, akan keringlah ruh perjuangan
seseorang. Ia bisa membuatkan seorang daie itu futur dalam jangka masa
panjang. Golongan ini mementingkan hubungan dengan Allah. Hubungan ini
disifatkan sebagai basah.
Di hujung ekstrim yang satu lagi ialah golongan yang sangat suka
berjumpa orang dan menyampaikan keindahan Islam kepada manusia.
Golongan ini juga mudah teruja dengan perkembangan fasa dakwah yang
terbuka. Mereka yang seronok merancang program dakwah. Mereka yang
cekap dan meletakkan keutamaan kepada kesempurnaan program, sehingga
kadang-kadang mengabaikan bekalan makanan untuk hatinya. Golongan ini
mementingkan hubungan sesama manusia. Hubungan ini disifatkan sebagai
kering.
...............
Untuk mencapai kebahagiaan sebenar dalam kehidupan, memerlukan kita
berjalan di muka bumi atas asas-asas kefahaman Islam yang dicedok dari
Al-Quran dan Sunnah. Maka, untuk benar-benar merasai kemanisan
berdakwah, kefahaman seseorang itu perlu kembali kepada ajaran
kedua-dua sumber tersebut.
Salah faham kedua-dua golongan tadi perlu mencapai keseimbangan. Tidak
sepatutnya berlaku dualism dalam kefahaman seseorang dalam hal hubungan
dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Kedua-dua kecenderungan ini
perlu bergerak seiring dan sejalan.
Seeloknya kita melihat kembali ayat-ayat Quran yang menjelaskan tentang
hal ini. Banyak sekali ayat yang menjelaskan tentang perkaitan yang
rapat antara taqwa (hubungan dengan Allah) dan hubungan sesama manusia.
"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai
(redha) Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.
Demikianlah Allah telah menundukkannya untukmu supaya kamu mengagungkan
Allah terhadap hidayahNya kepadamu. Dan berilah kabar gembira kepada
orang-orang yang berbuat baik." (Al-Hajj 22:37)
"(iaitu) orang-orang yang menaati perintah Allah dan RasulNya sesudah
mereka mendapat luka (dalam peperangan Uhud). Bagi orang-orang yang
berbuat kebaikan di antara mereka dan yang bertaqwa ada pahala yang
besar. (Ali Imran 3:172)
"Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu
kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada
Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan
memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim,
orang-orang miskin, musafir dan orang-orang yang meminta-minta, dan
hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang
yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar
dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah
orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang
bertaqwa. (al-Baqarah 2:177)
Ayat kebajikan 2:177 tidak membezakan antara ketaqwaan dan hubungan
sesama manusia. Inilah sepatutnya yang menjadi paras ukur seseorang
dalam menilai penilaiannya sendiri dan mengembalikan paradigmanya ke
keadaan yang seimbang, bukannya antara dua ekstrim yang disebutkan tadi.
...............
Begitulah definisi tarbiyyah yang sepatutnya difahami oleh ikhwah dan
akhawat. "Tarbiyah bukanlah majlis-majlis ilmu untuk mengumpul maklumat
bahan yang berlangsung daripada minggu ke minggu, muzakarah kitab ke
kitab, ayat ke ayat, hadis ke hadis, tetapi dalam konteks amalinya
dakwah tidak berkembang, usrah tidak bertambah, syukbah tidak
berkembang, dan amal tidak bertambah."
Maka, antara usrah dan raptai program, antara qiyam dan penganjuran
forum, antara daurah dan program seminar untuk junior, mana lagi
penting?
Antara basah dan kering, mana lagi penting?
Saya hanya mampu untuk menjawab, kedua-duanya sama penting, tidak lebih
tidak kurang.
Allahua'lam.
Semoga tulisan ini hanya membuahkan kebaikan.
(Perkongsian MABIT ISMA Kuching)
rujukan:
Dr Majdi Al-Hilali 2005, "Menjadi Hamba Rabbani" terbitan Maghfirah
Pustaka
Ust Abdullah Zaik Abd Rahman & Ustazah Norsaleha Mohd Salleh
2011, "Nota untuk Naqib" terbitan Pustaka Salam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment