Pages

Tuesday, July 31, 2012

Kenapa perlunya umat Melayu Islam di Malaysia bersepakat?


 


Ketidak persepakatan Bangsa Melayu akan menyebabkan kesan yang lebih buruk lagi terhadap agama Islam, khususnya apabila negara ini perlu berdepan dengan arus liberalisasi global yang semakin mencabar kerana cabaran Liberalisasi bersifat global ini tidak akan boleh ditangani oleh bangsa yang mudah dipecah-belahkan disebabkan oleh blok-blok kepartian. Tanpa agenda bersama yang disepakati, secara sedar atau tidak, bangsa Melayu Islam boleh terperangkap di dalam simpang siur agenda orang lain khususnya dari musuh-musuh Islam itu sendiri.


Islam dan Melayu
Jika diteliti sejarah umat Melayu Islam sejak dahulu sehinggalah sekarang, kita akan dapati bahawa terdapat pertalian hubungan yang sangat kuat di antara Islam dan bangsa Melayu sehinggakan Melayu bukan sahaja dianggap sebagai keturunan tetapi juga sebagai sebuah identiti di dalam Perlembagaan Negara. Pada takrifan Melayu di dalam Perlembagaan Negara Malaysia, bangsa Melayu adalah mereka yang menjadikan Islam sebagai agama yang dianuti, bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan serta mereka yang mengamalkan adat resam dan budaya Melayu di dalam kehidupan seharian.



Di dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW juga tidak pernah menghapuskan identiti kaum hanya disebabkan golongan tersebut menganut agama Islam. Malah kita akan dapati bahawa struktur kaum sebenarnya telah wujud di dalam sistem politik Islam sejak dari zaman awal Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman mutakhir ini. Di dalam konteks di Malaysia contohnya, selain dari takrifan bangsa Melayu, terdapat juga unsur-unsur tradisi yang telahpun wujud sejak ratusan tahun yang lalu yang turut juga dimasukkan di dalam Perlembagaan Negara seperti kedudukan istimewa hak orang Melayu dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu di mana ianya berperanan, bukan sahaja ke arah menstabilkan sistem politik negara malah merupakan hasil permuafakatan yang telah dipersetujui dan diterima oleh orang Melayu dan juga bukan Melayu sebagai suatu formula bersama bagi menyelesaikan potensi konflik antara etnik di Tanah Melayu pada ketika itu.

Peranan bangsa dalam memperjuangkan Islam
Kita juga perlu membezakan dua perkara iaitu peranan bangsa sebagai alat dan wasilah dengan bangsa sebagai matlamat di dalam agenda perjuangan Islam. Tiada sesiapa pun yang menafikan bahawa Islam adalah agama dan Melayu adalah bangsa dan oleh itu tidak sesiapapun yang membangsakan agama Islam atau mengagamakan bangsa. Namun, sebagai seorang Melayu Islam, kita seharusnya berbangga mengenai wujudnya hubungan yang kuat di antara Melayu dan Islam serta peranan yang telah dimainkannya sepanjang sejarah di dalam mempertahankan dan mengembangkan Islam di rantau ini. Hakikatnya, peranan bangsa di dalam sistem politik Islam pada suatu masa dahulu adalah sesuatu yang diiktiraf dan oleh itu, apabila kita bercakap tentang perjuangan Islam, kita tidak seharusnya menolak peranan bangsa di dalam perjuangan Islam kerana memisahkan Melayu daripada Islam di dalam agenda perjuangan dan pembangunan sebuah bangsa yang berdaulat di negara ini pasti tidak akan membawa kepada kesejahteraan, sebaliknya, keadaan negara akan menjadi lebih gawat kerana hilangnya umat pada jatidirinya sendiri.


Ibnu Khaldun di dalam kitabnya, Al-Muqadimah secara terang dan nyata telah mengatakan bahawa “assobiyah” adalah suatu yang mustahak di dalam usaha menegakkan pemerintahan Islam dan bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan daripada nas-nas yang mencela “assobiyah”, beliau mengatakan bahawa apabila syarak mencela satu-satu perkara bukan bererti ia mahu mencabutnya dari akar umbi tetapi menghalang daripada digunakan untuk tujuan yang salah. Di dalam menghurai konsep assabiyyah ini, Ibn Khaldun memperjelaskannya berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW yang menyebut;
Bukan daripada kalangan ummat ku mereka yang menyeru ke arah berpuak-puak, yakni asabiyyah. Maka seorang sahabat bertanya tentang asabiyyah yang bagaimana ya Rasulullah? Lalu Rasulullah menjawab; Asabiyyah di mana kamu saling tolong menolong dalam kezaliman.

Menurut beliau, berdasarkan hadis tersebut, assobiyyah yang mengajak ke arah melakukan kezaliman, iaitu kita mempertahankan kaum kita walaupun secara terang-terangan kita berlaku zalim terhadap orang lain seperti menindas dan sebagainya, maka assobiyyah di dalam maksud sedemikian adalah amatlah ditentang. Walaubagaimanapun, jika assobiyyah tersebut adalah di dalam konteks untuk mempertahankan agama Islam, mempertahankan negara daripada serangan musuh, ataupun assobiyyah di dalam menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka assobiyyah ini adalah dibenarkan malah merupakan salah satu elemen penting dan diperlukan kepada bangkitnya sesebuah tamadun, empayar ataupun kerajaan.

Falsafah kekuatan bangsa Melayu adalah Islam
Usaha untuk mengubah nasib orang Melayu Islam juga tidak akan membuahkan hasilnya jika Islam tidak diambil sebagai falsafah perjuangan dan pembangunan bangsa. Jika kita melihat kepada fakta sejarah, walaupun wujud kerajaan Melayu sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, kerajaan-kerajaan Melayu ini berkedudukan lemah dan kecil serta sentiasa diserang oleh kuasa-kuasa besar ketika itu seperti Negara Siam sehinggakan negara-negara Melayu ini terpaksa menghantar wang ufti ke negara Siam tersebut bagi menjamin keselematan negaranya. Detik kegemilangan Empayar Melayu Islam Melaka hanya bermula setelah Islam sampai ke Tanah Melayu  Melaka pada ketika itu di mana setelah kedatangan Islam, orang Melayu telah mula bangkit dan membina sebuah kerajaan dan empayar yang kuat sehingga mereka mampu menggerunkan negara-negara jiran mereka termasuk Siam yang suatu masa dahulu pernah menjadi ancaman kepada kerajaan-kerajaan kecil orang Melayu tersebut. Melalui Islam juga, orang-orang Melayu telah diajar untuk bersatu di bawah satu sistem pentadbiran antarabangsa yang dinaungi di bawah payung Khilafah Islam. Berdasarkan hakikat tersebut, Islam dan peranan bangsa Melayu dalam konteks negara ini tidak boleh dipisahkan, dan oleh itu, jika kita cuba membangunkan tamadun dan bangsa Melayu berdasarkan falsafah luar seperti Liberal Barat yang meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat dan pusat kehidupan, kita bimbang, bangsa Melayu yang ingin dibangunkan nanti akan menghasilkan bangsa Melayu yang tiada identiti Melayu dan ketimurannya serta hilang jatidirinya sebagai seorang Melayu Islam yang berani dan berpegang teguh kepada agama.  Kelunturan dan kecairan jatidiri Melayu Islam ini juga pasti akan menyebabkannya mudah terjebak di dalam percaturan agenda orang lain.

Suatu fakta sejarah yang tidak boleh kita nafikan ialah bahawa sebelum kedatangan penjajah barat (dari Portugis hinggalah Inggeris) ke Tanah Melayu, orang Melayu sebenarnya telah pun mempunyai sistem pemerintahan yang tersendiri. Walaupun ianya bukanlah sistem demokrasi sepertimana yang diagung-agungkan oleh ‘pejuang-pejuang demokrasi ala Barat’ di negara ini, namun yang pasti, sistem pemerintahan pada era kesultanan Melayu Islam Melaka ini telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu tidak memerlukan kepada ‘sistem dan bantuan luar’ di dalam urusan pentadbiran kerajaannya. Demi menjamin kelangsungan kepimpinan Melayu Islam atau Ketuanan Melayu di negara ini, adalah penting agar masyarakat Melayu Islam di negara ini dikembalikan semula kepada jatidirinya yang asal melalui pendekatan keagamaan kerana kekuatan jiwa umat yang berasaskan kepada agama adalah merupakan tunjang di dalam kebangkitan mana-mana umat di sepanjang sejarah termasuklah negara ini.

Persepakatan orang Melayu akan memberi kekuatan kepada Islam 
Pepatah Melayu ada menyebut, “Bersatu Teguh Bercerai Roboh”. Hakikatnya, apabila orang-orang melayu bersatu padu, ia pasti akan memberikan kemenangan dan kekuatan kepada Islam manakala perpecahan yang kini berlaku di kalangan orang-orang Melayu di negara ini pula akan menjadi punca kepada kelemahan bangsa Melayu Islam di negara ini. Oleh itu, perpecahan umat Melayu ini wajar dihentikan segera kerana ia sangat merugikan Melayu dan Islam itu sendiri. Sebagai seorang Muslim, semua kita sewajarnya menilai dan menentukan sikap dan kebenaran mengenai sesuatu isu dan perkara berpandukan kepada syarak. Walaupun orang-orang Melayu mungkin berbeza dari segi ideologi dan aliran kefahaman politik, namun di dalam perkara prinsip, mereka tidak seharusnya mempunyai pertikaian berhubung perkara asas dan kepentingan bersama berkaitan agama Islam and bangsa Melayu.


Ketidak persepakatan Bangsa Melayu akan menyebabkan kesan yang lebih buruk lagi terhadap agama Islam, khususnya apabila negara ini perlu berdepan dengan arus liberalisasi global yang semakin mencabar kerana cabaran Liberalisasi bersifat global ini tidak akan boleh  ditangani oleh bangsa yang mudah dipecah-belahkan disebabkan oleh blok-blok kepartian.  Tanpa agenda bersama yang disepakati, secara sedar atau tidak, bangsa Melayu Islam boleh terperangkap di dalam simpang siur agenda orang lain khususnya dari musuh-musuh Islam itu sendiri.

Pentingnya kita kenali siapakah musuh hakiki kita yang sebenarnya
Saidina Umar Al-Khattab R.A pernah berkata bahawa: “Ikatan keIslaman seseorang akan terungkai jika seseorang itu hidup di dalam Islam tetapi tidak mengenal jahiliyah.”
Di dalam Al-Quran juga terdapat banyak ayat-ayat Allah yang memperkenalkan kepada kita hakikat sebenar musuh agama ini seperti kisah Firaun, kisah tipu daya iblis, kisah helah kaum Yahudi dan niat tersembunyi orang-orang kafir dan munafiq dan sebagainya. Hikmah ayat-ayat Al-Quran ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana Allah SWT mahu mengajar kepada kita supaya kita mengenali hakikat musuh, dan agar kita sentiasa berwaspada dan berlepas diri dari pelbagai agenda jahiliyah dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah mereka. Menurut kata Ahmad Rasyid di dalam buku tulisannya Al-Masar, di antara strategi musuh-musuh Islam bilamana puak minoriti memimpin puak majoriti di dalam sesebuah negara umat Islam ialah pemimpin minoriti tersebut pasti akan berlaku kejam terhadap orang-orang Islam bagi menstabilkan kedudukan kekuasaan mereka. Adakah kita sedar hakikat dan potensi ianya boleh berlaku di negara kita ini?


Di dalam konteks di negara kita, kepimpinan Melayu Islam di negara ini adalah suatu nilai tetap yang mesti dihormati dan tidak akan boleh tercapai melainkan selepas bangsa Melayu bersatu dan kuasa politik terus dikekalkan di tangan orang-orang Melayu. Perpecahan sebaliknya akan menyebabkan Bangsa Melayu menjadi lemah dan terus ketinggalan di belakang dan jika perkara ini dibiarkan berterusan, kuasa politik (ie Ketuanan Melayu) yang kini merupakan kuasa tunggal milik bangsa Melayu boleh bertukar tangan kepada bangsa lain dan seterusnya kepimpinan Melayu Islam pasti akan terganggu-gugat. Di sinilah peri pentingnya orang-orang Melayu bersepakat demi memastikan kelangsungan kedaulatan Islam di negara ini atau ringkasnya ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’.

MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT, MEMBANGUN UMAT BERAGENDA

Oleh: Dr Amirudin Wahab,
Setiausaha Agung,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Monday, July 23, 2012

Jangan lupakan mereka….

Ramadhan melatih kepedulian Ummah
Deru Ramadhan telah pun tiba. Masa yang ada akan berlalu pantas tanpa mengambil kira samada kita benar-benar bersedia atau pun tidak. Inilah masanya untuk kita melakukan refleksi terhadap prestasi diri kita sendiri, keluarga dan mereka yang terdekat dengan kita sebelum peluang ini terlepas begitu sahaja.

rohingya1 300x192 Jangan lupakan mereka....
Ratusan ribu Muslim Rohingya berhadapan dengan persimpangan hidup atau mati.

Ibadah puasa melatih kita semua untuk menyuburkan dalam diri kita sifat belas kasihan kepada saudara kita di merata dunia yang sedang mengalami penderitaan dan penindasan. Kesatuan perasaan perlu diwujudkan dalam diri kita dengan nasib yang dialami oleh saudara seakidah dengan diri kita.

Tak Bai2 300x200 Jangan lupakan mereka....
Umat Islam di Selatan Thailand turut memerlukan kepedulian kita bersama.

Saudara seakidah kita di Palestin, Syria, Myanmar, Iraq, Afghanistan, Kasymir, Selatan Thailand  dan di tempat-tempat lain lagi amat memerlukan bantuan dan sumbangan daripada kita semua. Sumbangan-sumbangan ini boleh diberikan di dalam bentuk kewangan, bantuan kemanusiaan, sokongan politik, kepedulian dan doa daripada kita semua.

anak anak syria 300x168 Jangan lupakan mereka....
Ribuan kanak-kanak turut menjadi mangsa kezaliman regim Bashar al Asad di Syria.

Perasaan ini boleh disuburkan lagi terutaanya di bulan Ramadhan dengan mengadakan sumbangan khas dalam bentuk kewangan dan juga bantuan kemanusiaan kepada mereka. Seharusnya kita memperuntukkan sebahagian daripada wang perbelanjaan harian dengan mewujudkan tabung khas  di rumah dan didiklah ahli keluarga kita dengan memberikan sumbangan kepada yang memerlukan kerana maksud hadith Rasulullah saw ada menyatakan:
من لم يبأمر المسلمين فليس منهمهتم
Maksudnya: “Barang siapa yang tidak mengambil berat perihal orang Islam, maka bukanlah dia dari kalangan mereka”
Kashmir 300x175 Jangan lupakan mereka....
Umat Islam di Kashmir telah disiksa dan diperhina buat sekian lamanya.

Sifat mementingkan diri sendiri dan kedekut amat dilarang dalam Islam dan apabila diamalkan ianya menjadi punca kemurkaan Allah SWT. Seharusnya kita menginfaqkan harta yang kita miliki kerana ia merupakan bisnes atau perniagaan yang amat menguntungkan.

Bangsamoro 196x300 Jangan lupakan mereka....
Filipina pernah makmur di bawah sebuah kerajaan Islamnya yang berdaulat.

Ubat kepada penyakit bakhil atau kedekut ini ialah yang berlawanan dengannya iaitu dengan cara menginfakkan harta yang kita miliki. Realitinya, kita membelanjakan wang setiap hari bagi perbelanjaan diri sebelum kedatangan Ramadhan dan apa salahnya untuk kita belanjakan wang tersebut dengan menginfakkannya kepada saudara-saudara kita yang lain yang lebih memerlukan.

Gaza 300x206 Jangan lupakan mereka....
Isu Palestin adalah kemuncak bagi permasalahan umat Islam sejagat.

Pahala yang diberikan oleh Allah SWT kepada yang menginfakkan hartanya amatlah besar sekali apatah lagi jika sekiranya dilaksanakan dalam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya, sedekah (pemberian seorang muslim memanjangkan umurnya, menghindarkannya dari mati yang tidak baik; ia dihindarkan Allah dari kesombongan dan keangkuhan” (Riwayat at-Tabrani)

Kesimpulan :
Ramadhan mengajar kita supaya mengambil peduli dengan permasalahan umat Islam sejagat……
Juga baca :


http://zainurrashid.com/giliran-bashar-al-asad-semakin-hampir/
http://zainurrashid.com/ummah-yang-dilupakan/

Sunday, July 22, 2012

Didik anak gadis dengan enam nilai

Sebagai seorang ibu, saya cukup risau apabila membaca berita tentang penculikan anak-anak gadis yang heboh baru-baru ini. Kerisauan ini semakin bertambah apabila mendapat tahu sebahagian gadis yang mendakwa diculik itu hanyalah sandiwara sahaja.

Mereka sanggup menipu ibu bapa, menyusahkan keluarga dan adik beradik semata-mata mahu berseronok dan hidup bebas dengan teman lelaki. Yang paling menyedihkan itu ada kalangan anak gadis ini merancang bersama teman lelaki insiden penculikan tersebut.

Saya cuba meletakkan diri saya ditempat kedua ibu bapa gadis tersebut. Kerisauan saya semakin berganda dan boleh menyebabkan tekanan darah semakin tinggi memikirkan sikap anak gadis sekarang.
Seingat saya, ibu bapa pada zaman dahulu lebih tegas, autokratik dan garang dalam mendidik anak-anak terutama anak gadis. Mereka amat tegas dalam isu pergaulan anak-anak gadis; siapa kawan anak mereka, ke mana mereka pergi, pukul berapa balik rumah, siapa yang menemani anak gadis mereka keluar dan lain-lain lagi. Anak gadis pada zaman dahulu tidak banyak pilihan. Kehidupan mereka terikat dengan adat dan tata susila keluarga yang cukup tebal dan sukar ditembusi.

Perubahan yang berlaku pada hari ini bukan sahaja berlaku kepada anak-anak, malah ibu juga turut berubah. Boleh dikatakan semua ibu bapa sibuk mencari rezki, mengumpulkan harta kekayaan demi keselesaan dan kesenangan hidup sekeluarga. Dalam kesibukan itu, kita terlupa dan mengabaikan nilai-nilai yang perlu diterap kepada anak-anak semenjak kecil.

Pada kita, asal anak-anak tidak merungut, tidak merengek, tidak mengadu, kita meneruskan rutin kesibukan harian mengejar sesuap nasi atau kemewahan hidup. Akhirnya anak-anak tenggelam dengan kehidupan mereka, hanyut dengan kawan-kawan yang kita tidak kenali, laman sosial menjadi teman paling akrab buat anak-anak. Kemudian, terjadilah apa yang telah terjadi kepada anak-anak gadis kita dan bakal terjadi sekiranya kita masih lagi tidak cermin diri sendiri dan meletakkan kesalahan itu pada orang lain.

Ramai yang bertanya, cara mendidik anak perempuan agar tahu menjaga harga diri, memelihara maruah keluarga dan agama. Saya teringat satu kisah tentang seorang sahabat Rasulullah s.a.w. bernama Jabir. Beliau telah meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. tentang balasan dan ganjaran kepada ibu bapa yang mendidik anak-anak gadis mereka dengan baik.

Kisah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Ahmad ini menceritakan tentang sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, lalu ia mendidiknya, mengasihinya dan memeliharanya, maka Allah akan memasukkannya dalam syurga. Seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w., sekiranya dia ada dua sahaja anak perempuan, macam mana? Rasulullah s.a.w. memberi jaminan yang sama; masuk syurga dengan izin Allah. Bahkan Jabir menambah, sekiranya ada yang bertanya tentang seorang anak perempuan, tentu sekali Rasulullah s.a.w. juga akan memberi jawapan yang sama.

Saya berharap kisah ini boleh menjadi pengajaran dan motivasi kepada ibu bapa untuk terus mendidik dan memelihara anak-anak gadis dengan baik, penuh dengan kasih sayang dan tanggungjawab tanpa penat dan jemu.

Saya juga ingin berkongsi dengan ibu bapa sekalian tentang ENAM NILAI yang perlu diajar kepada anak gadis agar mereka membesar dengan baik dan menghormati norma hidup sebagai seorang muslimah.

1- Meminta izin
Islam amat menitik beratkan peraturan dan disiplin dalam kehidupan. Dalam kehidupan seharian, anak-anak perlu diajar untuk meminta izin apabila mahu mengambil sesuatu yang bukan kepunyaannya, memasuki bilik kedua-dua ibu bapa dan memasuki rumah orang lain. Sebagai ibu bapa, kita perlu menjadikan amalan meminta izin sama ada mahu keluar rumah, jumpa kawan-kawan, pergi tuisyen, pasar, kedai untuk beli-belah, sebagai satu budaya dalam keluarga.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu) (al-Nuur 24:27).
Para ibu bapa perlu menerapkan amalan meminta izin dalam diri anak-anak semenjak mereka masih kecil. Sekiranya ini telah menjadi amalan semenjak kanak-kanak lagi, lebih mudahlah para ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak dan tingkah laku mereka.

2- Membudayakan amalan syura dalam keluarga
Budaya syura, meminta pendapat dalam kalangan anggota keluarga perlu diterapkan dalam kehidupan berkeluarga seawal penikahan itu bermula antara pasangan suami isteri. Anak-anak yang diterapkan semenjak usia muda tentang nilai ini akan lebih berhati-hati dan mengambil berat tentang sistem kekeluargaan yang melingkari kehidupan mereka.
dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; (al-Syura 42:38).
Allah s.w.t. memerintahkan amalan syura bagi memastikan kehidupan berada dalam keadaan yang harmoni, saling hormat-menghormati, saling nasihat menasihati dan berusaha mencari penyelesaian dengan baik sekiranya berlaku masalah dalam keluarga.

3- Mentaati ibu bapa
Perintah mentaati ibu bapa serta larangan meninggikan suara dan mengherdik mereka jelas dalam al-Quran. Bagaimana seorang anak boleh mentaati ibu bapanya dan memuliakannya sekiranya mereka tidak dididik ke arah itu. Mendidik anak-anak mentaati ibu bapa bukan terletak di tangan para guru dan cikgu sekolah. Ibu bapa perlu menerapkan nilai ini semenjak mereka kecil dengan menunjukkan sikap dan contoh teladan yang boleh diikuti oleh anak-anak.
Gambaran kita sebagai ibu bapa yang melayan baik datuk dan nenek mereka menjadi cermin dan ikutan untuk anak-anak mencontohinya. Layanan mesra dan prihatin ibu bapa dengan masalah dan persoalan remeh temeh anak-anak menjadi cermin untuk anak-anak menghormati dan mendengar kata ibu bapanya. Ketegasan ibu bapa kepada perkara yang berkaitan agama, keselamatan dan kehormatan menjadi cermin untuk anak-anak lebih berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu yang merosakkan dirinya.
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. (al-Nisa’ 4:59).
4- Membataskan pergaulan antara lelaki dan perempuan
Ibu bapa hendaklah mendidik dan membataskan pergaulan antara anak lelaki dan anak perempuan. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. memerintahkan para ibu bapa mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan apabila mereka sudah sampai usia baligh.
Membataskan pergaulan antara lelaki dan perempuan perlu juga diterapkan dalam diri kanak-kanak semenjak kecil. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan yang baik di hadapan anak-anak ketika mereka bergaul dengan jiran tetangga dan kawan-kawan yang berlainan jenis. Contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa ini sangat penting untuk membentuk gambaran awal dalam minda anak-anak tentang konsep pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Ibu bapa boleh merujuk Surah al-Nuur ayat 31 yang menjelaskan tentang 12 golongan yang boleh digauli dengan baik oleh anak-anak gadis. Selain daripada golongan yang disebutkan itu, ibu bapa hendaklah membataskan pergaulan anak-anak gadis mereka.

5- Memperkenalkan rakan-rakan kepada ibu bapa
Sebagai ibu bapa, kita perlu mengambil tahu dengan siapa anak-anak berkawan dan bermain. Siapa kawan-kawan mereka dalam laman sosial, siapa kawan-kawan mereka di kejiranan, siapa kawan-kawan mereka di sekolah. Seorang ibu sanggup mencatat nombor telepon kawan-kawan anaknya demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan si anak. Keperihatinan ini perlu dijelaskan pada si anak agar ia selesa dan faham tentang tanggungjawab seorang ayah atau ibu dalam menjaga keselamatan anaknya.

6- Menemani mereka apabila keluar rumah
Setiap anak perlu mengetahui tentang peraturan keluar masuk rumah yang bermula dengan meminta izin dan keluar bersama muhrim sekiranya ia seorang anak gadis. Dalam zaman yang serba rosak ini, nilai murni yang diajar oleh Islam menjadi penyelamat kepada keselamatan anak-anak gadis. Ibu bapa perlu mendidik anak lelaki sifat bertanggungjawab dan melindungi saudara perempuannya.
Nilai-nilai ini masih boleh dipertahankan dalam institusi keluarga apabila ibu bapa bersedia mengimbangi antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Jangan biarkan anak-anak menjadi yatim sebelum tiba saat kematian ibu bapanya.


Oleh: Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Sumber: Majalah Iman Bil. 4

Friday, July 20, 2012

Ummah yang dilupakan…..

rohingya 1 dihina Thailand1 Ummah yang dilupakan.....
Pelarian Rohingya yang dilayan seperti hamba di Thailand
Sekiranya kita melakukan tinjauan di kalangan umat islam hari ini dan bertanya mengenai umat Islam yang tertindas, nescaya kita akan mendapat jawapan Palestin, Afghanistan, Iraq, Chechnya dan sebagainya. Namun tidak ramai di kalangan kita yang menginsafi terhadap permasalahan umat Islam Rohingya.
Selama beberapa dekad, orang-orang Rohingya telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi manusia yang sistematik dan meluas di tangan junta tentera Myanmar (Burma).
Dalam satu laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Pusat Hak Asasi Manusia Ireland (ICHR), seorang pakar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mendakwa bahawa kekejaman massa yang dilakukan oleh kerajaan junta tentera terhadap minoriti Rohingya yang tinggal di daerah Barat Myammar mungkin merupakan antara jenayah terhebat terhadap kemanusiaan di abad ini.
Permasalahan mereka telah telah diabaikan selama bertahun-tahun dan tiada sebarang tindakan yang sistematik telah dilakukan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan sebagai masyarakat manusia yang normal.
Siapakah umat Islam Rohingya?
Rohingya refugees map 1 238x300 Ummah yang dilupakan.....Umat ​​Islam Rohingya kebanyakannya tinggal di sebelah barat Burma (kini Myanmar) di Negeri Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh. Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Parsi, Turki dan lain-lain yang berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan, dan Bengali. Penyebaran Islam di Arakan (dan di sepanjang kawasan pantai selatan Bangladesh) dilakukan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ini.
Mereka terus menetap di kawasan ini untuk tempoh yang panjang, berkahwin dengan penduduk setempat dan hidup sebati dengan budaya tempatan. Kini, umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Arakan, Myanmar dan selebihnya adalah penganut Buddha Arakanese.
Apakah nasib mereka?
Umat Islam Rohingya telah dinafikan daripada hak-hak asasi kemanusiaan dan sentiasa terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia secara konsisten oleh pihak juta tentera Myanmar.
Rohingya refugee1 Ummah yang dilupakan.....
Di antara kekejaman yang dilakukan ke atas mereka :
a)      Tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, dinafikan sijil kelahiran mahupun sijil perkahwinan mereka.
b)     Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi wilayan Arakan
c)      Menjadi mangsa perhambaan moden sebagai buruh paksa seperti bekerja tanpa gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api, dan bangunan berek tentera.
d)     Sekatan makanan sehingga mereka hidup di dalam keadaan kebuluran
anak anak rohingya Ummah yang dilupakan.....
Anak-anak Rohingya menagih simpati dunia antarabangsa
e)      Sekatan ekonomi, kemudahan kesihatan dan kemudahan asas pendidikan
f)       Wanita-wanita dan remaja perempuan mereka dirogol secara beramai-ramai oleh tentera Myanmar
g)      Penyembelihan secara beramai-ramai seumpama tragedi 1942 apabila lebih 100,000 orang di kalangan mereka yang telah dibunuh.
h)     Pada tahun 1978, seramai 300,000 di kalangan mereka telah dihalau keluar secara massa ke Bangladesh. Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan lain sehingga ramai di kalangan mereka mati kebuluran dan akibat penyakit.
Pada tahun 1991, tentera Burma sekali lagi telah melakukan operasi pembersihan apabila 268,000 ribu di kalangan mereka terpaksa melarikan diri kerana Myanmar ternyata tidak lagi selamat untuk mereka
Selepas bertahun-tahun melalui siri penderitaan yang panjang dan besar, mereka mula mengambil bot-bot kecil ke laut terbuka dengan harapan untuk mendarat di suatu tempat sebagai pelarian politik, ekonomi dan agama.
Ada di kalangan mereka yang mendarat di Thailand, Malaysia, Indonesia dan sebahagiannya di Australia. Namun kebanyakan mereka telah ditolak mentah-mentah oleh semua negara ini.
Boat people1 300x225 Ummah yang dilupakan.....
Diheret ke tengah lautan dalam dan dibiarkan di dalam kapal yang telah dicabut enjinnya
Bahkan ramai di kalangan ‘orang bot’ yang mendarat di Thailand telah dihalau semula ke laut dalam bersama sampan mereka yang telah dicabut enjinnya agar mereka terus hanyut terkapai-kapai tanpa hala tuju. Sebahagian daripada mereka terdampar di Malaysia, Indonesia dan Australia tetapi ribuan di kalangan mereka yang telah mati lemas atau kebuluran di tengah laut.
Tiada siapa yang mahukan mereka ! Bahkan negara-negara yang mendakwa mewakili umat Islam juga tidak mahu mereka, sekali gus membuktikan bahawa seolah-olah umat ini ‘tidak ada harga’ kepada mereka.
pelarian rohingya di acheh Ummah yang dilupakan.....
Pelarian Rohingya di Acheh
Umat Islam Rohingya telah memohon diberikan status ‘Pelarian Sementara  Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga negara-negara lain bersetuju untuk mengambil mereka buat sementara. Indonesia dikatakan akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk tinggal di Acheh buat sementara.
Kalau bukan kita, siapa lagi ?
ummah yang dilupakan foto Ummah yang dilupakan.....
Kenapakah kami dilupakan ?
Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Mereka telah ditindas buat sekian lamanya dan kini sebahagian daripada mereka telah pun mendarat di Malaysia bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan kemanusiaan daripada saudara seaqidah mereka.
Ingatlah, bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain terutamanya saudara seaqidah adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama Islam yang luhur ini sebagaimana sabdaan Rasulullah saw yang bermaksud,
“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”
Beberapa saranan :
  1. Kerajaan Malaysia seharusnya mengambil inisiatif untuk menjuarai isu umat Islam Rohingya samada di peringkat antarabangsa dengan menyuarakan permasalahan kronik ini di persidangan OIC, PBB, WHO, ASEAN dan sebagainya.
  2. Badan-badan kerajaan di peringkat nasional dan negeri seharusnya mengambil tanggung-jawab kerana semakin ramai di kalangan umat Islam Rohingya yang telah mendarat bagi mendapatkan perlindungan di Malaysia. Mereka adalah pendatang yang jauh lebih baik untuk dibantu jika dibandingkan daripada kebanyakan pendatang Afrika yang kerap melakukan kekacauan di sana sini terhadap masyarakat temnpatan mahupun sebahagian daripada pelancung dari beberapa Negara yang terlibat dengan aktiviti pelacuran.
  3. NGO dan badan kebajikan yang ada di Malaysia harus mengambil bahagian bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh pelarian Rohingya yang sangat memerlukan bantuan di sudut sosial, ekonomi, kesihatan, pendidikan terutamanya di kalangan anak-anak mereka.
  4. Kalau rakyat Malaysia begitu perihatin dan pelbagai NGO telah ditubuh bagi menangani masalah umat antarabangsa seperti Palestin dan lain-lainnya, kenapa kita kita mengagihkan sedikit tenaga dan bantuan kepada saudara seaqidah yang kini terdampar di negara kita sendiri.
  5. Orang ramai di Malaysia seharusnya mengambil peluang menunjukkan keperihatinan terhadap isu kemanusiaan yang kronik ini dengan membantu meringankan bebanan kehidupan demi masa depan mereka.
  6. Kita juga boleh membantu dengan mendoakan keselamatan dan masa depan mereka serta mengambil tahu perkembangan semasa terhadap keperitan umat yang berpanjangan ini.
nasib baik Ummah yang dilupakan.....
Keceriaan mereka, kegembiraan kita....
Dari Nu’man bin Basyir r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencinta, saling mengasihi dan saling menyayang, bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam.”
Hadith riwayat Muslim
Jom, peduli ummah…..
Juga baca :
http://uscampaignforburma.org/rohingya-people-of-burma/
http://www.islamfactory.com/articles/94/forgotten-ummah-rohingya-muslims
http://www.thenutgraph.com/forgotten-muslims/
http://malaysianrohingyarefugeessosaity.blogspot.com/2010/06/15001-rohingya-community-in-malaysia.html
http://meeky-meeky.blogspot.com/2009/02/boat-people.html
http://aliran.com/5637.html

Thursday, July 19, 2012

Kawan.... sekadar sedikit coretan.



 Assalamualaikum wbt. saya ucapkan kepada tetamu-tetamu yang selalu berkunjung ke blog ini. Semoga tulisan-tulisan yang termuat di sini memberikan sedikit sebanyak menafaat kepada kita bersama, walaupun sebahagiannya bukan hasil nukilan saya sendiri tetapi hasil tulisan mereka (sebagaimana hasil tulisan-tulisan yang saudara tatapi), yang saya sukai.

Baru sekejap saya kembali daripada menjalankan tugas selama 5 hari di Ipoh, Perak. Membantu menjalankan kerja-kerja  penyelidikan biodiversiti di kawasan kuari yang dikendalikan oleh Syarikat Imerys. Jenis kerja yang pernah dibuat sebelum ini. Tidak banyak perkara yang menarik tentangnya.

Yang menarik bagi saya ialah dengan kedatangan saya ke Ipoh telah mempertemukan semula saya dengan kawan lama saya, kawan serumah semasa saya bujang dan tinggal di Kajang, sekitar akhir tahun tujuh puluhan, iaitu  En. Zonkapri. Setelah saya pulang untuk bertugas di Terengganu pada tahun 1981, saya tidak pernah berjumpa dengan beliau dan boleh dikatakan kami telah putus hubungan.

Di dalam hati kecil memang kadangkala saya teringat juga kepada beliau kerana hubungan kami agak akrab. Saya masih teringat peristiwa saya mengikut beliau ke Ipoh semasa perkahwinan beliau, yang kalau tidak silap ianya pada tahun 1979.

Dengan penyusunan Allah akhirnya tiga hari yang lepas saya telah dipertemukan semula dengan En. Zonkapri yang datang ke rumah tumpangan saya bersama isteri dan anak beliau. Setelah lebih 30 tahun kami berpisah akhirnya bertemu semula.

 Bertemu semula dengan seseorang yang pernah bersahabat dengan kita satu ketika dulu adalah pengalaman-pengalaman  yang menarik yang telah beberapa kali saya lalui sebelum ini. dan mendidik hati saya bahawa persahabatan yang dibina dengan niat yang baik dan dipupuk dengan nilai-nilai yang murni adalah persahabatan yang boleh bertahan lama.

 Berapa ramai orang yang pernah berkawan dengan kita tetapi akhirnya hilang entah kemana. Berapa ramai kawan kita yang apabila kita berpisah dengan mereka kita merasa kehilangan mereka? Berapa ramai kawan kita yang merasakan diri kita penting dalam kehidupan mereka? Siapakah kawan baik kita?

Beberapa persoalan di atas memberikan keinsafan kepada saya........dan membuatkan saya mengaku bahawa saya masih lemah dalam 'bersahabat'.




Tuesday, July 10, 2012

Ayyuhal Ikhwah! Bekerjalah dan terus bekerja

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Ayat di atas merupakan siri-siri ayat popular di telinga para aktivis dakwah dan tarbiyah. Ayat yang sentiasa memberikan dorongan dan inspirasi bekerja dan terus bekerja. Ayat ini menjadikan orientasi amal sebagai ukuran kepada kejayaan dakwah dan peluasan tajmik. As-Syeikh Yusuf al-Qardawi di dalam bukunya ‘Jail an-Nasr al-Mansyud’ menjadikan jail al-amal sebagai prasyarat kepada kemenangan Islam. Bukan generasi yang terkesima dengan sejarah silam atau generasi yang pandai beretorik dan berdebat.
Di dalam surah as-Soff ayat 2-3 Allah mencela orang yang pandai berbicara dan beretorika tetapi lemah amalnya. Bahkan para du’at ini diancam kemurkaan dari Allah SWT :
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”

Hakikatnya Allah menciptakan manusia untuk beramal dan bekerja. Amal dan kerja adalah kayu ukur ujian Allah ke atas hambaNya untuk menguji takat ihsan seseorang. Allah tidak memandang pada rupa paras kita dan tubuh badan kita tetapi pada amal dan hati kita.
Amallah yang akan menjadi perhitungan terbesar di sisi Allah. Ini kerana nilai seorang daie pada amal dan kerja yang dia lakukan. Zaman ini zaman amal, bukan zaman petah berbicara. Berapa banyak kepetahan berbicara tetapi amal mereka kosong. Sepatutnya kepetahan amal dan kerja mengatasi kepetahan berbicara.
Imam al-Banna menyatakan: “Medan bercakap tidak sama dengan medan amal, manakala medan jihad tidak sama dengan medan amal, manakala medan jihad sebenar pula tidak sama dengan medan jihad yang salah..”

Pada penggal ayat 105 Surah at-Taubah, Allah menggunakan feel amr (ayat perintah) kepada baginda ar-Rasul. Perintah yang diikuti dengan suruhan dan kewajipan  bekerja menyampaikan risalah dakwah tanpa ada titik hentinya. Perintah yang nantinya akan dinilai Allah, para rasulNya dan orang-orang yang beriman. Bahkan amal tersebut akan dihadapkan di hadapan Allah nanti di Padang Mahsyar tentang kerja tabligh risalah yang telah ditaklifkan Allah ke atas para hambaNya terutama para aktivis dakwah.
Betapa pentingnya amal sehingga Allah mengaitkannya dengan persoalan iman. Kualiti iman akan menentukan kualiti amal. Begitulah sebaliknya, jika para du’at lemah imannya maka akan lemahlah amal dakwah, amal tarbiyah dan amal tajmiknya. Amal adalah cerminan iman seseorang. Hubungan iman dan amal adalah hubungan adik beradik sehingga dikolerasikan di dalam al-Quran ‘barangsiapa yang beriman dan beramal salih’ atau ‘kecuali orang-orang yang beriman dan melakukan amal solih’. Iman tanpa amal adalah kosong manakala amal tanpa iman pula adalah sia-sia.
Amallah yang akan membawa kita meraih kehidupan yang baik [hayatan thoyyiba] dan berkualiti tinggi. Ayat 97 an-Nahl bermaksud:
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Amal yang Allah kehendaki daripada kita ialah yang bersifat ihsan dan ahsan. Ihsan ialah kemampuan melakukan sesuatu amal daripada kebiasaan yang dilakukan umat Islam [an-ta’mala akthar mimma amila bihi ghairuka]. Seorang aktivis dakwah perlu melakukan melebihi kebiasaan umat Islam biasa. Jika sorang muslim mampu membaca satu halaman sehari, maka seorang yang ihsan akan membaca lebih dari itu. Jika seorang muslim biasa mampu melakukan solat malam sekali seminggu, maka yang sampai takat ihsan akan melakukan lebih dari itu. Mereka adalah watak para du’at super yang bekerja secara luar biasa untuk meraih syurga yang luar biasa. Itulah takat IHSAN di dalam beramal.

Perkara yang kedua di  dalam beramal ialah melakukan sesuatu amal itu secara ahsan. Al-ahsan ialah amal yang menepati dua kriteria iaitu tepat dan tidak bertentangan dengan syariat serta ikhlas. Para aktivis dakwah perlu melaksanakan masuliyah dakwahnya  secara ahsan. Ahsan ialah satu konstruks pengukuran Allah untuk menguji hambaNya siapakan yang paling terbaik. Firman Allah di dalam surah al-Mulk ayat 2:
“”Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Para aktivis dakwah perlu merefleksi amal dakwah dan tarbiyahnya.
Sejauh mana tahap ketepatan dan keakuratannya dengan tuntutan syariat ?
Sejauh mana tahap keikhlasannya di dalam melaksanakan amal-amal dakwah ?
Adakah habuan dunia menjadi dambaannya ?

Jika tidak ada salah satu, maka mungkin amalnya menjadi sia-sia atau ditolak oleh Allah SWT.
Antara aspek lain juga yang perlu dinilai ialah memastikan amal yang dilakukan itu di dalam lingkungan ‘afdhalul amal’. Nabi pernah ditanya ‘apakah amal yang paling afdhal?’. Baginda menjawab amal yang paling afdhal berdasarkan situasi dan keperluan pada masa itu.
Ketika ini kita hidup di dalam zaman tiada khalifah, zaman yang tiada daulah, zaman di dalam umat Islam lemah. Maka amal yang paling afdhal ialah berusaha menegakkan semula khilafah dengan usaha dakwah dan tarbiyah.
Namun ketika mana para aktivis dakwah lesu dan lemah semangat dakwah akibat kesibukan di lapangan umum, maka amal utamanya ialah AMAL TARBAWI bagi mengembalikan kondisi, posisi dan kualiti ruhiyyah dan maknawiyahnya sang kader tadi.

Kemenangan Islam tidak akan diperolehi dengan berpeluk tubuh..
Kemenangan Islam tidak akan  dicapai dengan sifat malas dan tidak indhibat..
Kemenangan Islam tidak akan  diperolehi dengan hanya asyik  ber’facebook’ dan ber’twitter’ dan menjawab email..
Kemenangan Islam tidak akan dicapai dengan hanya pandai berstrategi dan berteori..
Kemenangan Islam tidak akan dicapai dengan pelbagai dalih dan alasan dalam memberikan komitmen dan iltizam jamaie..
Islam akan menang dengan jalan jihad dan amal, jalan dakwah dan tarbiyah, jalan perjuangan yang tidak ada titik hentinya. Bertanyalah pada diri kita: “Hal Nahnu Qaumun Amaliyun..” [adakah kita umat yang bekerja]

Jika kita bekerja pasti bertambah ma’du kita..
Jika kita bekerja pasti berkembang tajmik kita..
Jika kita bekerja pasti meningkat syukbah kita..
Jika kita bekerja pasti meluas fikroh kita..
Jika kita bekerja pasti mantop usrah kita..
Jika kita bekerja pasti kita meraih redha Ilahi... dan
Kita bekerja untuk menggapai syurga tertinggi…

Semoga kita terus bekerja dan terus bekerja untuk dakwah ini. Allah tidak akan bertanya pada hasil yang kita perolehi dari dakwah ini tetapi Allah akan bertanya apa yang telah kita sumbangkan untuk dakwah ini. Moga dakwah ini dipenuhi oleh mereka yang siap beramal untuk menyongsong kejayaan dan kemenangan dakwah ini.

Photobucket

Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
Naib YDP ISMA Seremban

Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan

Monday, July 9, 2012

Duhai Tunas Harapan (2)

Duhai Tunas Harapan (2)

Oleh: Nur Fatin Halil, Sarjana Syariah Islamiyah, Kuliah Darul Ulum, Universiti Kaherah

Siraman Hujan Iman
Jikalau sebatang pohon perlu sentiasa disiram untuk kekal segar dan tidak layu, inikan pula sebatang tubuh manusia yang tidak lepas daripada kelelahan dan kepenatan harian. Siraman yang diperlukan secara berterusan untuk mengekalkan kesegarannya adalah siraman iman. Para sahabat dan salafussoleh sering kali mengungkap kata-kata yang mengajak kepada duduk sejenak dan beriman sebentar agar dapat merawat kekasaran dan kekerasan hati mereka.  Ini menunjukkan peri pentingnya melazimi majlis yang menambah iman dan mengingati Allah. Munajat di mihrab juga salah bentuk siraman iman. Kesannya, kegersangan futur tidak akan mudah menghinggapi dan mengganggu kenikmatan amal ibadah.
Sirah Rasulullah juga menjadi bukti lahirnya para rijal dari halaqah iman di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Bermula dari didikan baginda dengan basahan jiwa melalui ayat-ayat Allah yang diwahyukan, para sahabat keluar dari madrasah imaniyah ini menjadi rijal yang kental menghadapi segala cabaran.

Sinar Mentari Jahiliah
Bukankah proses fotosintesis untuk sesuatu tumbuhan tidak akan lengkap tanpa adanya sinaran cahaya?  Benar, namun sinar matahari yang panas dan berlebihan akan membuat tumbuhan mati. Sinar mentari ini ibarat jahiliah yang perlu dipelajari namun kuantiti terik yang diperlukan adalah pada kadarnya. Tidak syak lagi bahawa kita sememangnya perlu membebaskan diri daripada jahiliah, namun bukan bermakna kita langsung tidak mengambil cakna tentangnya.
Umar Al-Khattab dan Huzaifah Al-Yamani telah mengajarkan kita fiqah untuk mengenal jahiliah. Seperti kata-kata Umar:
"Ikatan Islam akan terlepas selembar demi selembar apabila ada orang yang hidup dalam keislaman, namun ia tidak mengetahui jahiliah."
Jahiliah bererti kejahatan, kemaksiatan dan dosa sama ada dosa besar atau kecil. Ia juga adalah perbuatan yang mengikut hawa nafsu dan taat kepada pemerintahan taghut. Bukan itu sahaja, hari ini kita melihat pelbagai bentuk jahiliah moden yang muncul dan bercita-cita merosakkan umat Islam. Maka, amat penting bagi seorang rijal untuk mengenal pasti wajah-wajah jahiliah ini agar tidak mudah tertipu, terperangkap dan terpedaya. Setelah mengenalnya, ia akan lari jauh darinya, tidak sesekali mahu terserempak dengannya apatah lagi mahu mendekat.

Murabbi Umpama Petani
Petani berperanan besar dalam memastikan pertumbuhan dan perkembangan tumbuhan yang ditanamnya. Tugas petani bukan hanya menabur benih dan membiarkannya tetapi petani yang berbudi akan memilih benih yang terbaik untuk disemai. Dengan tangannya ia menggemburkan tanah, menyiram dan membajai. Apabila tunas telah  muncul, ia akan membelainya, memberi sokongan pada batangnya yang masih rapuh juga melindungi dan menghindarkannya dari diserang serangga perosak. Tugasnya berterusan hinggalah tumbuhannya membesar dengan sihat dan kuat.
Sepertimana petani dan tanamannya, begitulah perumpamaan untuk seorang murabbi dan para rijal yang ingin dicetaknya. Tugas murabbi bukan hanya mengajar tetapi mendidik dan membimbing. Murabbi yang unggul menjadi penyalur iman, memberi semangat, menjadi pemberi peringatan jika terleka dari tugasan sebagai hamba Allah dan sentiasa mengambil tahu setiap perkembangan anak didiknya. Murabbi sejati juga bertanggungjawab dalam mengembangkan potensi dan memastikan kelebihan yang dimiliki para mutarabbi dimanfaatkan sepenuhnya untuk Islam.
Rasulullah SAW adalah murabbi agung pertama yang padanya segala contoh teladan terbaik untuk diikuti. Kembalilah pada sirah baginda yang harum untuk melihat sendiri bagaimana uslub atau metode didikan baginda terhadap para sahabat yang berkesan. Tarbiah Rasul melahirkan para sahabat yang teguh iman dan cekal dalam mempertahankan Islam, akhirnya menjadikan perjuangan ini terus sambung-menyambung sehingga nikmatnya dapat kita kecapi hingga hari ini.

Menuai Hasil
Setelah sang petani berperah keringat dalam mengusahakan tanamannya, pastinya melihat tunas yang keluar, bunga yang muncul dan buah yang terhasil akan meninggalkan seberkas senyuman kepuasan. Bunganya menebar harum, hasilnya dituai dan buahnya yang enak dirasai. Kalau pohonnya tumbuh merimbun, jadi teduhan para musafir yang lalu lalang. Daun-daunnya yang hijau menjadikan mata tak jemu memandang. Sebagai tumbuhan, ia tak pernah culas dalam tugasan menyebar oksigen yang telah menjadi tanggungjawabnya. Jika ia bertumbuh sebagai padi, makin berisi tangkainya, makin tunduk ke bumi. Jika ia pohon kelapa, semua bahagian tubuhnya dari sabut ke mayang, semuanya memberi manfaat. Jika ia pohon buah-buahan, tak pernah ambil kisah pada mereka yang membalingnya dengan batu, bahkan terus memberi buah tanpa jemu.
Rasulullah juga pernah bersabda:
إِنَّ مَثَلَ الْمؤْمِنِ كَمَثَلِ النَّخْلَةِ ماَ أَخَذْتَ مِنْ شَيْئٍ نَفَعَكَ
"Sesungguhnya perumpamaan mukmin adalah seperti pohon kurma. Tidaklah kamu mengambil sesuatu darinya, nescaya bermanfaat bagimu."
Ibnu Qayyim menghuraikan hadis ini dengan menyatakan: “Sebahagian orang telah menyamakan manfaat yang ada pada pohon kurma dengan sifat Muslim. Ketika sampai pada duri pohon kurma, diumpamakan sebagai sifat keras dan tegas Muslim terhadap musuh Allah. Dan sikap mereka terhadap sesama Muslim ibarat kedudukan ruthab yang manis dan lembut”.

Maka, jadilah kita resmi tunas, bunga, buah, pohon kelapa atau kurma dan segala contoh yang ada pada tumbuhan ini. Seperti itulah selayaknya seorang Muslim. Melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya tanpa cuai. Memberi sumbangan tanpa mengharapkan balasan dan penghargaan daripada orang lain. Menyerahkan setiap inci tubuh, tenaga, harta, masa dan kelebihan yang ada pada diri untuk dimanfaatkan. Inilah hasil yang kita harap-harapkan untuk dituai daripada pembentukan peribadi Muslim. Inilah rijal harapan yang kita nantikan. Merekalah para pemuda dan pemudi Islam yang mampu memberi manfaat pada orang lain dan bersedia untuk berkorban demi agama-Nya.

Penutup

Masa depan Islam hanya terjamin apabila wujud di sana para rijal yang sanggup berjuang dan memikul bebanan dakwah. Maka, harus diingat bahawa proses tarbiah dan pembentukan rijal adalah suatu bentuk pewarisan generasi dan ia adalah bahagian yang penting dalam dakwah. Umpama tumbuh-tumbuhan yang harus mengekalkan kemandirian spesiesnya agar tidak pupus dari bumi, seperti itu kita juga harus menitik beratkan pembinaan rijal yang berperibadi mantap dan hebat agar kemandirian Islam berkesinambungan dan tidak hilang ditelan zaman.

Betapa kita perlu menumpukan perhatian terhadap usaha pembentukan individu Muslim agar lahir generasi rijal yang berkualiti, memiliki kekuatan dan jati diri seterusnya melangkah ke tingkatan seterusnya melalui pembentukan keluarga Islam, masyarakat, kerajaan, negara dan khalifah Islamiah. Kegagalan usaha di peringkat awal ini akan membantutkan proses selanjutnya dan menjadikan impian untuk melihat Islam kembali tertegak di atas muka bumi terkubur begitu sahaja.

Oleh itu, jangan buang masa lagi. Ambillah cangkulmu. Jadilah seorang petani yang menyemai benih dan menyiramnya seterusnya bersabar dalam menanti hadirnya tunas yang mekar. Jika tidak mampu menjadi petani, cukuplah dengan menjadi tunas yang mekar itu.

Segalanya hanyalah sebuah tamsilan dan perumpamaan. Di alam realiti, pilihlah watak dalam kehidupanmu sendiri. Yang penting, kau dan aku adalah seorang rijal pejuang agama. Kitalah yang menjadi penentu hidup mati dan jatuh bangun umat. Hingga akhirnya sampai saat  kita mati,  hancur dimamah bumi dan bersedialah bila tibanya hari kebangkitan untuk kita menjawab segala amanah yang telah dipertanggungjawabkan di hadapan Ilahi

Friday, July 6, 2012

UBAH DERITA JADI NIKMAT YANG LUAR BIASA




SEBUAH pelajaran berharga dari Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah. Semoga dapat menghibur hati yang sedang luka atau merasakan derita.

Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan:

|| “Di antara sempurnanya nikmat Allah pada para hamba-Nya yang beriman, Dia menurunkan pada mereka kesulitan dan derita. Disebabkan derita ini mereka pun mentauhidkan-Nya (hanya berharap kemudahan pada Allah, pen). Mereka pun banyak berdo’a kepada-Nya dengan berbuat ikhlas. Mereka pun tidak berharap kecuali kepada-Nya. Di kala sulit tersebut, hati mereka pun selalu bergantung pada-Nya, tidak beralih pada selain-Nya. Akhirnya mereka bertawakkal dan kembali pada-Nya dan merasakan manisnya iman. Mereka pun merasakan begitu nikmatnya iman dan merasa berharganya terlepas dari syirik (karena mereka tidak memohon pada selain Allah). Inilah sebesar-besarnya nikmat atas mereka. Nikmat ini terasa lebih luar biasa dibandingkan dengan nikmat hilangnya sakit, hilangnya rasa takut, hilangnya kekeringan yang menimpa, atau karena datangnya kemudahan atau hilangnya kesulitan dalam kehidupan. Karena nikmat badan dan nikmat dunia lainnya bisa didapati orang kafir dan bisa pula didapati oleh orang mukmin.” (Majmu’ Al Fatawa, Ibnu Taimiyah, Darul Wafa’, 10/333)

|||||||||||||||||||||||

Begitu sejuk mendengar kata indah dari Ibnu Taimiyah ini. Akibat derita, akibat musibah, akibat kesulitan, kita pun merasa dekat dengan Allah dan ingin kembali pada-Nya. Jadi tidak selamanya derita adalah derita. Derita itu bisa jadi nikmat sebagaimana yang beliau jelaskan. Derita bisa bertambah derita jika seseorang malah mengeluh dan jadikan makhluk sebagai tempat mengeluh derita. Hanya kepada Allah seharusnya kita berharap kemudahan dan lepas dari berbagai kesulitan.

Nikmat ketika kita kembali kepada Allah dan bertawakkal pada-Nya serta banyak memohon pada-Nya, ini terasa lebih nikmat dari hilangnya derita dunia yang ada. Karena kembali pada Allah dan tawakkal pada-Nya hanyalah nikmat yang dimiliki insan yang beriman dan tidak didapati para orang yang kafir. Sedangkan nikmat hilangnya sakit dan derita lainnya, itu bisa kita dapati pada orang kafir dan orang beriman.

Ingatlah baik-baik nasehat indah ini. Semoga kita bisa terus bersabar dan bersabar. Sabar itu tidak ada batasnya. Karena Allah Ta’ala janjikan,

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

♥ ♥ ♥ ♥ “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar, ganjaran bagi mereka adalah tanpa hisab (tak terhingga).” (Az Zumar: 10)

Al Auza’i mengatakan bahwa ganjarannya tidak bisa ditakar dan ditimbang. Ibnu Juraij mengatakan bahwa pahala bagi orang yang bersabar tidak bisa dihitung sama sekali, akan tetapi ia akan diberi tambahan dari itu. Maksudnya, pahala mereka tak terhingga. Sedangkan As Sudi mengatakan bahwa balasan bagi orang yang bersabar adalah surga.

Semoga yang singkat ini bermanfaat. Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi tatimmush sholihaat.

Written before Shubuh on 16 Dzulqo’dah 1431 H (24/10/2010), in KSU, Riyadh, KSA
By: Muhammad Abduh Tuasikal
(rumaysho.com)
_____________
Shared By: bicara.hidayah 2 ( .. buat diriku ..)
Foto Illustrasi: Flickr.com

Wednesday, July 4, 2012

Duhai Tunas Harapan (1)

Duhai Tunas Harapan (1)

Oleh: Nur Fatin Halil, Sarjana Syariah Islamiyah, Kuliah Darul Ulum, Universiti Kaherah

Tunas Yang Mekar
Sayang seribu kali sayang. Tumbuhnya di tanah gersang. Hidup dikelilingi lalang. Akarnya rapuh tak bertunjang. Layunya kerana lama tak bersiram. Bunga tak bertunas apatah lagi nak kembang. Sungguh malang sekali rupanya kau berasal dari benih terbuang. Apakah masih lagi disisakan harapan agar dapat terus tumbuh tinggi menjulang? Hayatnya tentu sekali tak panjang. Jika angin bertiup kencang, sekelip mata kau pasti hilang dari pandangan.

Begitulah tamsilan bagi sekujur tubuh pemuda yang hilang arah tujuan dalam kehidupan, tiada pegangan agama yang kukuh lalu hanyut di bawa arus dunia yang penuh pancaroba. Ibarat sebatang pohon yang hidup segan, mati tak mahu. Tumbuhnya sahaja sudah cukup sukar, apatah lagi dapat memberi manfaat kepada sekeliling. Tambah menyedihkan jika ia berasal dari benih yang rosak. Tiada siapa yang ingin menghulurkan tangan untuk membimbing ke jalan yang benar, ditambah suasana di sekelilingnya langsung tidak mendorongnya untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Hakikatnya inilah realiti yang berlaku pada golongan muda di tanah air tercinta Malaysia. Keadaannya acap kali mengundang kecewa. Golongan yang disandarkan harapan sebagai tonggak kepimpinan masa depan, sebahagian besarnya hilang pedoman dan tidak memiliki agenda perjuangan. Hidup dibuai angin sepoi-sepoi bahasa keseronokan dan kemewahan. Ditambah lagi racun-racun perosak humanisme dan segala kecamuk ideologi songsang yang cuba mencemar dan menghilangkan fungsi minda dan akal fikiran.

Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang hanyut ini. Perlu kita sedar bahawa kitalah pemuda Islam yang ‘izzah dengan agamanya. Kita adalah rijal yang tidak akan sesekali mudah lemah dan terpengaruh dengan semua tarikan yang melalaikan. Kita umpama pohon yang turut tumbuh dalam sebuah ekosistem peradaban yang penuh cabaran dan persaingan. Namun yang pasti, kita bukan sembarangan pohon. Kita adalah pohon yang berdiri tegar dan mampu merintang segala angin kencang yang bertiup sekuat mana pun.

Kita juga sentiasa mengimpikan lahirnya pemuda-pemuda yang menjadi aset perjuangan Islam, sepertimana impian Umar Al-Khattab yang ingin melihat lahirnya rijal harapan seperti Abu Ubaidah Al-Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim Maula Abu Huzaifah. Namun, adakah kita hanya menunggu-nunggu hadirnya mereka? Adakah kita hanya menunggu sebuah impian menjadi kenyataan tanpa sebarang tindakan?
Beristirahat dan goyang kaki sambil menanti kehadiran rijal penyelamat umat laksana seorang petani yang menunggu tumbuhnya sebatang pohon yang berdiri tegak, bercita-cita memetik buah yang ranum dan enak daripadanya namun tidak berusaha menyiram benihnya. Maka, harus difahami bahawa impian untuk melahirkan rijal hanya terealisasi dengan usaha dan kepenatan. Kita harus memulakan langkah untuk menyemai benih, juga menyalurkan segala keperluan asasinya agar tumbuh darinya tunas yang mekar dan subur.

Benih Terbaik
Pohon yang sihat dan kuat berasal dari benih yang baik dan berkualiti. Katakan jika asal benih itu adalah daripada sebutir biji benih durian gred terbaik, maka ia akan bertumbuh menjadi pohon durian yang menghasilkan buah durian yang terbaik. Pastinya ia tak bertumbuh menjadi pohon durian yang rendah grednya apatah lagi menjadi pohon buah lain.

Seperti itulah Allah telah menciptakannya sebagai manusia dengan sebaik-baik kejadian dan menjadikannya mulia apabila ia bertakwa. Ia harus sedar bahawa asal-usul kejadiannya adalah untuk menyerahkan pengabdian kepada Allah. Ia harus hidup sebagai hamba Allah dan bukan hamba kepada manusia. Ia harus tahu bahawa ia memegang amanah sebagai khalifah di atas muka bumi dan tidak lari dari tanggungjawab ini.
Sentiasa ingat dan sedar akan hakikat serta asal-usul kejadian diri adalah elemen terpenting dalam pembentukan peribadi seorang Muslim dan rijal yang teguh. Agar ia tidak mudah kehilangan identiti diri dan lupa dengan tujuan asal kehidupannya di atas muka bumi.

Tidak cukup dengan itu, ia juga perlu mengkaji, mengetahui dan meyakini bahawa ia memiliki susur galur sejarah bangsa dan agama yang hebat. Hal ini kerana ia meninggalkan kesan yang besar dalam penentuan survival hidupnya. Jika ia dimomokkan dengan mundur dan lemahnya bangsa dan agamanya, maka ia tidak memiliki semangat untuk terus hidup, mudah diperkotak-katikkan seterusnya menjadikannya terus layu, lemah dan longlai. Persepsi awal terhadap potensi dirinya sendiri inilah yang bakal menentukan sama ada ia mampu terus membangun dan maju ke hadapan atau tersungkur di tengah jalan.

Akar Yang Mencengkam Bumi
Apa jua pun jenis pohon itu, akarnya memainkan peranan yang besar dalam menentukan teguhnya ia berdiri. Akar bagi peribadi Muslim adalah pegangan aqidahnya. Allah berfirman:
Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit, pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun. (Surah Ibrahim: 24-26)
Kalimah yang baik diumpamakan oleh Allah seperti pohon yang baik, memiliki akar yang kuat dan cabangnya menjulang tinggi. Kalimah yang baik ini ditafsirkan sebagai kalimah tauhid la ilahaillah.
Maka, untuk mendapatkan hasil pembinaan peribadi Muslim terbaik adalah dengan memerhatikan akarnya iaitu memastikan tauhid dan aqidahnya sejahtera. Aqidah sejahtera yang berakar umbi akan membuahkan keimanan yang benar kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, hari kiamat dan qada’ dan qadar, seterusnya menyelamatkannya dari kegoncangan jiwa juga mendorongnya untuk berjihad. Sedangkan akar aqidah yang lemah dan berpenyakit akan membahayakannya, membuatnya goyah, tidak lagi kuat dan akhirnya rebah menyembah bumi.

Persekitaran Dan Tanah Yang Subur
Tanah yang subur menjamin satu-satu tumbuhan itu bertumbuh dengan baik. Tanah yang kering kontang ditambah dengan lalang-lalang yang mengerumuni tidak membantu untuk ia tumbuh dengan sihat. Seperti itu juga seorang pemuda Islam perlu memilih persekitaran dan lingkungan yang mampu membina diri dan mendorongnya untuk terus berkembang ke arah yang lebih baik. Biah solehah dan rakan-rakan yang soleh berperanan besar dalam pembentukan peribadi. Jauhi rakan-rakan yang berakhlak buruk dan mereka yang sentiasa mengajak ke arah mungkar. Bukankah Rasulullah telah bersabda:
Perumpamaan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk. (Riwayat Abu Daud)
Seorang saudara Muslim itu adalah cermin bagi saudara Muslim yang lain. Maka, sahabat kita menjadi cerminan kepada akhlak dan peribadi diri kita sendiri.
bersambung…
  
Sumber: