Duhai Tunas Harapan (2)
Oleh: Nur Fatin Halil, Sarjana Syariah Islamiyah, Kuliah Darul Ulum, Universiti KaherahSiraman Hujan Iman
Jikalau sebatang pohon perlu sentiasa disiram untuk kekal segar dan tidak layu, inikan pula sebatang tubuh manusia yang tidak lepas daripada kelelahan dan kepenatan harian. Siraman yang diperlukan secara berterusan untuk mengekalkan kesegarannya adalah siraman iman. Para sahabat dan salafussoleh sering kali mengungkap kata-kata yang mengajak kepada duduk sejenak dan beriman sebentar agar dapat merawat kekasaran dan kekerasan hati mereka. Ini menunjukkan peri pentingnya melazimi majlis yang menambah iman dan mengingati Allah. Munajat di mihrab juga salah bentuk siraman iman. Kesannya, kegersangan futur tidak akan mudah menghinggapi dan mengganggu kenikmatan amal ibadah.
Sirah Rasulullah juga menjadi bukti lahirnya para rijal dari halaqah iman di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Bermula dari didikan baginda dengan basahan jiwa melalui ayat-ayat Allah yang diwahyukan, para sahabat keluar dari madrasah imaniyah ini menjadi rijal yang kental menghadapi segala cabaran.
Sinar Mentari Jahiliah
Bukankah proses fotosintesis untuk sesuatu tumbuhan tidak akan lengkap tanpa adanya sinaran cahaya? Benar, namun sinar matahari yang panas dan berlebihan akan membuat tumbuhan mati. Sinar mentari ini ibarat jahiliah yang perlu dipelajari namun kuantiti terik yang diperlukan adalah pada kadarnya. Tidak syak lagi bahawa kita sememangnya perlu membebaskan diri daripada jahiliah, namun bukan bermakna kita langsung tidak mengambil cakna tentangnya.
Umar Al-Khattab dan Huzaifah Al-Yamani telah mengajarkan kita fiqah untuk mengenal jahiliah. Seperti kata-kata Umar:
"Ikatan Islam akan terlepas selembar demi selembar apabila ada orang yang hidup dalam keislaman, namun ia tidak mengetahui jahiliah."Jahiliah bererti kejahatan, kemaksiatan dan dosa sama ada dosa besar atau kecil. Ia juga adalah perbuatan yang mengikut hawa nafsu dan taat kepada pemerintahan taghut. Bukan itu sahaja, hari ini kita melihat pelbagai bentuk jahiliah moden yang muncul dan bercita-cita merosakkan umat Islam. Maka, amat penting bagi seorang rijal untuk mengenal pasti wajah-wajah jahiliah ini agar tidak mudah tertipu, terperangkap dan terpedaya. Setelah mengenalnya, ia akan lari jauh darinya, tidak sesekali mahu terserempak dengannya apatah lagi mahu mendekat.
Murabbi Umpama Petani
Petani berperanan besar dalam memastikan pertumbuhan dan perkembangan tumbuhan yang ditanamnya. Tugas petani bukan hanya menabur benih dan membiarkannya tetapi petani yang berbudi akan memilih benih yang terbaik untuk disemai. Dengan tangannya ia menggemburkan tanah, menyiram dan membajai. Apabila tunas telah muncul, ia akan membelainya, memberi sokongan pada batangnya yang masih rapuh juga melindungi dan menghindarkannya dari diserang serangga perosak. Tugasnya berterusan hinggalah tumbuhannya membesar dengan sihat dan kuat.
Sepertimana petani dan tanamannya, begitulah perumpamaan untuk seorang murabbi dan para rijal yang ingin dicetaknya. Tugas murabbi bukan hanya mengajar tetapi mendidik dan membimbing. Murabbi yang unggul menjadi penyalur iman, memberi semangat, menjadi pemberi peringatan jika terleka dari tugasan sebagai hamba Allah dan sentiasa mengambil tahu setiap perkembangan anak didiknya. Murabbi sejati juga bertanggungjawab dalam mengembangkan potensi dan memastikan kelebihan yang dimiliki para mutarabbi dimanfaatkan sepenuhnya untuk Islam.
Rasulullah SAW adalah murabbi agung pertama yang padanya segala contoh teladan terbaik untuk diikuti. Kembalilah pada sirah baginda yang harum untuk melihat sendiri bagaimana uslub atau metode didikan baginda terhadap para sahabat yang berkesan. Tarbiah Rasul melahirkan para sahabat yang teguh iman dan cekal dalam mempertahankan Islam, akhirnya menjadikan perjuangan ini terus sambung-menyambung sehingga nikmatnya dapat kita kecapi hingga hari ini.
Menuai Hasil
Setelah sang petani berperah keringat dalam mengusahakan tanamannya, pastinya melihat tunas yang keluar, bunga yang muncul dan buah yang terhasil akan meninggalkan seberkas senyuman kepuasan. Bunganya menebar harum, hasilnya dituai dan buahnya yang enak dirasai. Kalau pohonnya tumbuh merimbun, jadi teduhan para musafir yang lalu lalang. Daun-daunnya yang hijau menjadikan mata tak jemu memandang. Sebagai tumbuhan, ia tak pernah culas dalam tugasan menyebar oksigen yang telah menjadi tanggungjawabnya. Jika ia bertumbuh sebagai padi, makin berisi tangkainya, makin tunduk ke bumi. Jika ia pohon kelapa, semua bahagian tubuhnya dari sabut ke mayang, semuanya memberi manfaat. Jika ia pohon buah-buahan, tak pernah ambil kisah pada mereka yang membalingnya dengan batu, bahkan terus memberi buah tanpa jemu.
Rasulullah juga pernah bersabda:
Ibnu Qayyim menghuraikan hadis ini dengan menyatakan: “Sebahagian orang telah menyamakan manfaat yang ada pada pohon kurma dengan sifat Muslim. Ketika sampai pada duri pohon kurma, diumpamakan sebagai sifat keras dan tegas Muslim terhadap musuh Allah. Dan sikap mereka terhadap sesama Muslim ibarat kedudukan ruthab yang manis dan lembut”.إِنَّ مَثَلَ الْمؤْمِنِ كَمَثَلِ النَّخْلَةِ ماَ أَخَذْتَ مِنْ شَيْئٍ نَفَعَكَ"Sesungguhnya perumpamaan mukmin adalah seperti pohon kurma. Tidaklah kamu mengambil sesuatu darinya, nescaya bermanfaat bagimu."
Maka, jadilah kita resmi tunas, bunga, buah, pohon kelapa atau kurma dan segala contoh yang ada pada tumbuhan ini. Seperti itulah selayaknya seorang Muslim. Melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya tanpa cuai. Memberi sumbangan tanpa mengharapkan balasan dan penghargaan daripada orang lain. Menyerahkan setiap inci tubuh, tenaga, harta, masa dan kelebihan yang ada pada diri untuk dimanfaatkan. Inilah hasil yang kita harap-harapkan untuk dituai daripada pembentukan peribadi Muslim. Inilah rijal harapan yang kita nantikan. Merekalah para pemuda dan pemudi Islam yang mampu memberi manfaat pada orang lain dan bersedia untuk berkorban demi agama-Nya.
Penutup
Masa depan Islam hanya terjamin apabila wujud di sana para rijal yang sanggup berjuang dan memikul bebanan dakwah. Maka, harus diingat bahawa proses tarbiah dan pembentukan rijal adalah suatu bentuk pewarisan generasi dan ia adalah bahagian yang penting dalam dakwah. Umpama tumbuh-tumbuhan yang harus mengekalkan kemandirian spesiesnya agar tidak pupus dari bumi, seperti itu kita juga harus menitik beratkan pembinaan rijal yang berperibadi mantap dan hebat agar kemandirian Islam berkesinambungan dan tidak hilang ditelan zaman.
Betapa kita perlu menumpukan perhatian terhadap usaha pembentukan individu Muslim agar lahir generasi rijal yang berkualiti, memiliki kekuatan dan jati diri seterusnya melangkah ke tingkatan seterusnya melalui pembentukan keluarga Islam, masyarakat, kerajaan, negara dan khalifah Islamiah. Kegagalan usaha di peringkat awal ini akan membantutkan proses selanjutnya dan menjadikan impian untuk melihat Islam kembali tertegak di atas muka bumi terkubur begitu sahaja.
Oleh itu, jangan buang masa lagi. Ambillah cangkulmu. Jadilah seorang petani yang menyemai benih dan menyiramnya seterusnya bersabar dalam menanti hadirnya tunas yang mekar. Jika tidak mampu menjadi petani, cukuplah dengan menjadi tunas yang mekar itu.
Segalanya hanyalah sebuah tamsilan dan perumpamaan. Di alam realiti, pilihlah watak dalam kehidupanmu sendiri. Yang penting, kau dan aku adalah seorang rijal pejuang agama. Kitalah yang menjadi penentu hidup mati dan jatuh bangun umat. Hingga akhirnya sampai saat kita mati, hancur dimamah bumi dan bersedialah bila tibanya hari kebangkitan untuk kita menjawab segala amanah yang telah dipertanggungjawabkan di hadapan Ilahi
No comments:
Post a Comment