Didik anak gadis dengan enam nilai
Sebagai seorang ibu, saya
cukup risau apabila membaca berita tentang penculikan anak-anak gadis
yang heboh baru-baru ini. Kerisauan ini semakin bertambah apabila
mendapat tahu sebahagian gadis yang mendakwa diculik itu hanyalah
sandiwara sahaja.
Mereka sanggup menipu ibu bapa,
menyusahkan keluarga dan adik beradik semata-mata mahu berseronok dan
hidup bebas dengan teman lelaki. Yang paling menyedihkan itu ada
kalangan anak gadis ini merancang bersama teman lelaki insiden
penculikan tersebut.
Saya cuba meletakkan diri saya ditempat
kedua ibu bapa gadis tersebut. Kerisauan saya semakin berganda dan boleh
menyebabkan tekanan darah semakin tinggi memikirkan sikap anak gadis
sekarang.
Seingat saya, ibu bapa pada zaman dahulu
lebih tegas, autokratik dan garang dalam mendidik anak-anak terutama
anak gadis. Mereka amat tegas dalam isu pergaulan anak-anak gadis; siapa
kawan anak mereka, ke mana mereka pergi, pukul berapa balik rumah,
siapa yang menemani anak gadis mereka keluar dan lain-lain lagi. Anak
gadis pada zaman dahulu tidak banyak pilihan. Kehidupan mereka terikat
dengan adat dan tata susila keluarga yang cukup tebal dan sukar
ditembusi.
Perubahan yang berlaku pada hari ini
bukan sahaja berlaku kepada anak-anak, malah ibu juga turut berubah.
Boleh dikatakan semua ibu bapa sibuk mencari rezki, mengumpulkan harta
kekayaan demi keselesaan dan kesenangan hidup sekeluarga. Dalam
kesibukan itu, kita terlupa dan mengabaikan nilai-nilai yang perlu
diterap kepada anak-anak semenjak kecil.
Pada kita, asal anak-anak tidak
merungut, tidak merengek, tidak mengadu, kita meneruskan rutin kesibukan
harian mengejar sesuap nasi atau kemewahan hidup. Akhirnya anak-anak
tenggelam dengan kehidupan mereka, hanyut dengan kawan-kawan yang kita
tidak kenali, laman sosial menjadi teman paling akrab buat anak-anak.
Kemudian, terjadilah apa yang telah terjadi kepada anak-anak gadis kita
dan bakal terjadi sekiranya kita masih lagi tidak cermin diri sendiri
dan meletakkan kesalahan itu pada orang lain.
Ramai yang bertanya, cara mendidik anak
perempuan agar tahu menjaga harga diri, memelihara maruah keluarga dan
agama. Saya teringat satu kisah tentang seorang sahabat Rasulullah
s.a.w. bernama Jabir. Beliau telah meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah
s.a.w. tentang balasan dan ganjaran kepada ibu bapa yang mendidik
anak-anak gadis mereka dengan baik.
Kisah yang diriwayatkan oleh Imam
Bukhari dan Imam Ahmad ini menceritakan tentang sabda Rasulullah s.a.w.
yang bermaksud; Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, lalu
ia mendidiknya, mengasihinya dan memeliharanya, maka Allah akan
memasukkannya dalam syurga. Seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w.,
sekiranya dia ada dua sahaja anak perempuan, macam mana? Rasulullah
s.a.w. memberi jaminan yang sama; masuk syurga dengan izin Allah. Bahkan
Jabir menambah, sekiranya ada yang bertanya tentang seorang anak
perempuan, tentu sekali Rasulullah s.a.w. juga akan memberi jawapan yang
sama.
Saya berharap kisah ini boleh menjadi
pengajaran dan motivasi kepada ibu bapa untuk terus mendidik dan
memelihara anak-anak gadis dengan baik, penuh dengan kasih sayang dan
tanggungjawab tanpa penat dan jemu.
Saya juga ingin berkongsi dengan ibu
bapa sekalian tentang ENAM NILAI yang perlu diajar kepada anak gadis
agar mereka membesar dengan baik dan menghormati norma hidup sebagai
seorang muslimah.
1- Meminta izin
Islam amat menitik beratkan peraturan
dan disiplin dalam kehidupan. Dalam kehidupan seharian, anak-anak perlu
diajar untuk meminta izin apabila mahu mengambil sesuatu yang bukan
kepunyaannya, memasuki bilik kedua-dua ibu bapa dan memasuki rumah orang
lain. Sebagai ibu bapa, kita perlu menjadikan amalan meminta izin sama
ada mahu keluar rumah, jumpa kawan-kawan, pergi tuisyen, pasar, kedai
untuk beli-belah, sebagai satu budaya dalam keluarga.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu) (al-Nuur 24:27).
Para ibu bapa perlu menerapkan amalan
meminta izin dalam diri anak-anak semenjak mereka masih kecil. Sekiranya
ini telah menjadi amalan semenjak kanak-kanak lagi, lebih mudahlah para
ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak dan tingkah laku mereka.
2- Membudayakan amalan syura dalam keluarga
Budaya syura, meminta pendapat dalam
kalangan anggota keluarga perlu diterapkan dalam kehidupan berkeluarga
seawal penikahan itu bermula antara pasangan suami isteri. Anak-anak
yang diterapkan semenjak usia muda tentang nilai ini akan lebih
berhati-hati dan mengambil berat tentang sistem kekeluargaan yang
melingkari kehidupan mereka.
dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; (al-Syura 42:38).
Allah s.w.t. memerintahkan amalan syura
bagi memastikan kehidupan berada dalam keadaan yang harmoni, saling
hormat-menghormati, saling nasihat menasihati dan berusaha mencari
penyelesaian dengan baik sekiranya berlaku masalah dalam keluarga.
3- Mentaati ibu bapa
Perintah mentaati ibu bapa serta
larangan meninggikan suara dan mengherdik mereka jelas dalam al-Quran.
Bagaimana seorang anak boleh mentaati ibu bapanya dan memuliakannya
sekiranya mereka tidak dididik ke arah itu. Mendidik anak-anak mentaati
ibu bapa bukan terletak di tangan para guru dan cikgu sekolah. Ibu bapa
perlu menerapkan nilai ini semenjak mereka kecil dengan menunjukkan
sikap dan contoh teladan yang boleh diikuti oleh anak-anak.
Gambaran kita sebagai ibu bapa yang
melayan baik datuk dan nenek mereka menjadi cermin dan ikutan untuk
anak-anak mencontohinya. Layanan mesra dan prihatin ibu bapa dengan
masalah dan persoalan remeh temeh anak-anak menjadi cermin untuk
anak-anak menghormati dan mendengar kata ibu bapanya. Ketegasan ibu bapa
kepada perkara yang berkaitan agama, keselamatan dan kehormatan menjadi
cermin untuk anak-anak lebih berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum
melakukan sesuatu yang merosakkan dirinya.
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. (al-Nisa’ 4:59).
4- Membataskan pergaulan antara lelaki dan perempuan
Ibu bapa hendaklah mendidik dan
membataskan pergaulan antara anak lelaki dan anak perempuan. Sebab
itulah Rasulullah s.a.w. memerintahkan para ibu bapa mengasingkan tempat
tidur antara anak lelaki dan perempuan apabila mereka sudah sampai usia
baligh.
Membataskan pergaulan antara lelaki dan
perempuan perlu juga diterapkan dalam diri kanak-kanak semenjak kecil.
Ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan yang baik di hadapan anak-anak
ketika mereka bergaul dengan jiran tetangga dan kawan-kawan yang
berlainan jenis. Contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa ini sangat
penting untuk membentuk gambaran awal dalam minda anak-anak tentang
konsep pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Ibu bapa boleh merujuk Surah al-Nuur
ayat 31 yang menjelaskan tentang 12 golongan yang boleh digauli dengan
baik oleh anak-anak gadis. Selain daripada golongan yang disebutkan itu,
ibu bapa hendaklah membataskan pergaulan anak-anak gadis mereka.
5- Memperkenalkan rakan-rakan kepada ibu bapa
Sebagai ibu bapa, kita perlu mengambil
tahu dengan siapa anak-anak berkawan dan bermain. Siapa kawan-kawan
mereka dalam laman sosial, siapa kawan-kawan mereka di kejiranan, siapa
kawan-kawan mereka di sekolah. Seorang ibu sanggup mencatat nombor
telepon kawan-kawan anaknya demi memastikan keselamatan dan
kesejahteraan si anak. Keperihatinan ini perlu dijelaskan pada si anak
agar ia selesa dan faham tentang tanggungjawab seorang ayah atau ibu
dalam menjaga keselamatan anaknya.
6- Menemani mereka apabila keluar rumah
Setiap anak perlu mengetahui tentang
peraturan keluar masuk rumah yang bermula dengan meminta izin dan keluar
bersama muhrim sekiranya ia seorang anak gadis. Dalam zaman yang serba
rosak ini, nilai murni yang diajar oleh Islam menjadi penyelamat kepada
keselamatan anak-anak gadis. Ibu bapa perlu mendidik anak lelaki sifat
bertanggungjawab dan melindungi saudara perempuannya.
Nilai-nilai ini masih boleh
dipertahankan dalam institusi keluarga apabila ibu bapa bersedia
mengimbangi antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Jangan biarkan
anak-anak menjadi yatim sebelum tiba saat kematian ibu bapanya.
Ketua Wanita,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Sumber: Majalah Iman Bil. 4
No comments:
Post a Comment