Ayyuhal Ikhwah! Bekerjalah dan terus bekerja
“Dan katakanlah (wahai Muhammad):
Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan
RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu
kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui
perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan
kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”
Ayat di atas merupakan siri-siri ayat
popular di telinga para aktivis dakwah dan tarbiyah. Ayat yang sentiasa
memberikan dorongan dan inspirasi bekerja dan terus bekerja. Ayat ini
menjadikan orientasi amal sebagai ukuran kepada kejayaan dakwah dan
peluasan tajmik. As-Syeikh Yusuf al-Qardawi di dalam bukunya ‘Jail
an-Nasr al-Mansyud’ menjadikan jail al-amal sebagai prasyarat kepada
kemenangan Islam. Bukan generasi yang terkesima dengan sejarah silam
atau generasi yang pandai beretorik dan berdebat.
Di dalam surah as-Soff ayat 2-3 Allah
mencela orang yang pandai berbicara dan beretorika tetapi lemah amalnya.
Bahkan para du’at ini diancam kemurkaan dari Allah SWT :
“Wahai orang-orang yang beriman!
Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar
kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak
melakukannya.”
Hakikatnya Allah menciptakan manusia
untuk beramal dan bekerja. Amal dan kerja adalah kayu ukur ujian Allah
ke atas hambaNya untuk menguji takat ihsan seseorang. Allah tidak
memandang pada rupa paras kita dan tubuh badan kita tetapi pada amal dan
hati kita.
Amallah yang akan menjadi perhitungan
terbesar di sisi Allah. Ini kerana nilai seorang daie pada amal dan
kerja yang dia lakukan. Zaman ini zaman amal, bukan zaman petah
berbicara. Berapa banyak kepetahan berbicara tetapi amal mereka kosong.
Sepatutnya kepetahan amal dan kerja mengatasi kepetahan berbicara.
Imam al-Banna menyatakan: “Medan
bercakap tidak sama dengan medan amal, manakala medan jihad tidak sama
dengan medan amal, manakala medan jihad sebenar pula tidak sama dengan
medan jihad yang salah..”
Pada penggal ayat 105 Surah at-Taubah,
Allah menggunakan feel amr (ayat perintah) kepada baginda ar-Rasul.
Perintah yang diikuti dengan suruhan dan kewajipan bekerja menyampaikan
risalah dakwah tanpa ada titik hentinya. Perintah yang nantinya akan
dinilai Allah, para rasulNya dan orang-orang yang beriman. Bahkan amal
tersebut akan dihadapkan di hadapan Allah nanti di Padang Mahsyar
tentang kerja tabligh risalah yang telah ditaklifkan Allah ke atas para
hambaNya terutama para aktivis dakwah.
Betapa pentingnya amal sehingga Allah
mengaitkannya dengan persoalan iman. Kualiti iman akan menentukan
kualiti amal. Begitulah sebaliknya, jika para du’at lemah imannya maka
akan lemahlah amal dakwah, amal tarbiyah dan amal tajmiknya. Amal adalah
cerminan iman seseorang. Hubungan iman dan amal adalah hubungan adik
beradik sehingga dikolerasikan di dalam al-Quran ‘barangsiapa yang
beriman dan beramal salih’ atau ‘kecuali orang-orang yang beriman dan
melakukan amal solih’. Iman tanpa amal adalah kosong manakala amal tanpa
iman pula adalah sia-sia.
Amallah yang akan membawa kita meraih kehidupan yang baik [hayatan thoyyiba] dan berkualiti tinggi. Ayat 97 an-Nahl bermaksud:
“Sesiapa yang beramal soleh, dari
lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan
menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan
membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka
telah kerjakan.”
Amal yang Allah kehendaki daripada kita ialah yang bersifat ihsan dan ahsan. Ihsan ialah kemampuan melakukan sesuatu amal daripada kebiasaan yang dilakukan umat Islam [an-ta’mala akthar mimma amila bihi ghairuka].
Seorang aktivis dakwah perlu melakukan melebihi kebiasaan umat Islam
biasa. Jika sorang muslim mampu membaca satu halaman sehari, maka
seorang yang ihsan akan membaca lebih dari itu. Jika seorang muslim
biasa mampu melakukan solat malam sekali seminggu, maka yang sampai
takat ihsan akan melakukan lebih dari itu. Mereka adalah watak para du’at super yang bekerja secara luar biasa untuk meraih syurga yang luar biasa. Itulah takat IHSAN di dalam beramal.
Perkara yang kedua di dalam beramal ialah melakukan sesuatu amal itu secara ahsan. Al-ahsan ialah amal yang menepati dua kriteria iaitu tepat dan tidak bertentangan dengan syariat serta ikhlas.
Para aktivis dakwah perlu melaksanakan masuliyah dakwahnya secara
ahsan. Ahsan ialah satu konstruks pengukuran Allah untuk menguji
hambaNya siapakan yang paling terbaik. Firman Allah di dalam surah
al-Mulk ayat 2:
”Dia lah yang telah mentakdirkan
adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan
kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha
Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang
bertaubat).”
Para aktivis dakwah perlu merefleksi amal dakwah dan tarbiyahnya.
Sejauh mana tahap ketepatan dan keakuratannya dengan tuntutan syariat ?
Sejauh mana tahap keikhlasannya di dalam melaksanakan amal-amal dakwah ?
Adakah habuan dunia menjadi dambaannya ?
Jika tidak ada salah satu, maka mungkin amalnya menjadi sia-sia atau ditolak oleh Allah SWT.
Antara aspek lain juga yang perlu dinilai ialah memastikan amal yang dilakukan itu di dalam lingkungan ‘afdhalul amal’.
Nabi pernah ditanya ‘apakah amal yang paling afdhal?’. Baginda menjawab
amal yang paling afdhal berdasarkan situasi dan keperluan pada masa
itu.
Ketika ini kita hidup di dalam zaman
tiada khalifah, zaman yang tiada daulah, zaman di dalam umat Islam
lemah. Maka amal yang paling afdhal ialah berusaha menegakkan semula
khilafah dengan usaha dakwah dan tarbiyah.
Namun ketika mana para
aktivis dakwah lesu dan lemah semangat dakwah akibat kesibukan di
lapangan umum, maka amal utamanya ialah AMAL TARBAWI bagi mengembalikan
kondisi, posisi dan kualiti ruhiyyah dan maknawiyahnya sang kader tadi.
Kemenangan Islam tidak akan diperolehi dengan berpeluk tubuh..
Kemenangan Islam tidak akan dicapai dengan sifat malas dan tidak indhibat..
Kemenangan Islam tidak akan diperolehi dengan hanya asyik ber’facebook’ dan ber’twitter’ dan menjawab email..
Kemenangan Islam tidak akan dicapai dengan hanya pandai berstrategi dan berteori..
Kemenangan Islam tidak akan dicapai dengan pelbagai dalih dan alasan dalam memberikan komitmen dan iltizam jamaie..
Islam akan menang dengan jalan jihad dan
amal, jalan dakwah dan tarbiyah, jalan perjuangan yang tidak ada titik
hentinya. Bertanyalah pada diri kita: “Hal Nahnu Qaumun Amaliyun..”
[adakah kita umat yang bekerja]
Jika kita bekerja pasti bertambah ma’du kita..
Jika kita bekerja pasti berkembang tajmik kita..
Jika kita bekerja pasti meningkat syukbah kita..
Jika kita bekerja pasti meluas fikroh kita..
Jika kita bekerja pasti mantop usrah kita..
Jika kita bekerja pasti kita meraih redha Ilahi... dan
Kita bekerja untuk menggapai syurga tertinggi…
Semoga kita terus bekerja dan terus
bekerja untuk dakwah ini. Allah tidak akan bertanya pada hasil yang kita
perolehi dari dakwah ini tetapi Allah akan bertanya apa yang telah kita
sumbangkan untuk dakwah ini. Moga dakwah ini dipenuhi oleh mereka yang
siap beramal untuk menyongsong kejayaan dan kemenangan dakwah ini.
Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
Naib YDP ISMA Seremban
Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan
No comments:
Post a Comment