Duhai Tunas Harapan (1)
Oleh: Nur Fatin Halil, Sarjana Syariah Islamiyah, Kuliah Darul Ulum, Universiti KaherahTunas Yang Mekar
Sayang seribu kali sayang. Tumbuhnya di tanah gersang. Hidup dikelilingi lalang. Akarnya rapuh tak bertunjang. Layunya kerana lama tak bersiram. Bunga tak bertunas apatah lagi nak kembang. Sungguh malang sekali rupanya kau berasal dari benih terbuang. Apakah masih lagi disisakan harapan agar dapat terus tumbuh tinggi menjulang? Hayatnya tentu sekali tak panjang. Jika angin bertiup kencang, sekelip mata kau pasti hilang dari pandangan.
Begitulah tamsilan bagi sekujur tubuh pemuda yang hilang arah tujuan dalam kehidupan, tiada pegangan agama yang kukuh lalu hanyut di bawa arus dunia yang penuh pancaroba. Ibarat sebatang pohon yang hidup segan, mati tak mahu. Tumbuhnya sahaja sudah cukup sukar, apatah lagi dapat memberi manfaat kepada sekeliling. Tambah menyedihkan jika ia berasal dari benih yang rosak. Tiada siapa yang ingin menghulurkan tangan untuk membimbing ke jalan yang benar, ditambah suasana di sekelilingnya langsung tidak mendorongnya untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Hakikatnya inilah realiti yang berlaku pada golongan muda di tanah air tercinta Malaysia. Keadaannya acap kali mengundang kecewa. Golongan yang disandarkan harapan sebagai tonggak kepimpinan masa depan, sebahagian besarnya hilang pedoman dan tidak memiliki agenda perjuangan. Hidup dibuai angin sepoi-sepoi bahasa keseronokan dan kemewahan. Ditambah lagi racun-racun perosak humanisme dan segala kecamuk ideologi songsang yang cuba mencemar dan menghilangkan fungsi minda dan akal fikiran.
Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang hanyut ini. Perlu kita sedar bahawa kitalah pemuda Islam yang ‘izzah dengan agamanya. Kita adalah rijal yang tidak akan sesekali mudah lemah dan terpengaruh dengan semua tarikan yang melalaikan. Kita umpama pohon yang turut tumbuh dalam sebuah ekosistem peradaban yang penuh cabaran dan persaingan. Namun yang pasti, kita bukan sembarangan pohon. Kita adalah pohon yang berdiri tegar dan mampu merintang segala angin kencang yang bertiup sekuat mana pun.
Kita juga sentiasa mengimpikan lahirnya pemuda-pemuda yang menjadi aset perjuangan Islam, sepertimana impian Umar Al-Khattab yang ingin melihat lahirnya rijal harapan seperti Abu Ubaidah Al-Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim Maula Abu Huzaifah. Namun, adakah kita hanya menunggu-nunggu hadirnya mereka? Adakah kita hanya menunggu sebuah impian menjadi kenyataan tanpa sebarang tindakan?
Beristirahat dan goyang kaki sambil menanti kehadiran rijal penyelamat umat laksana seorang petani yang menunggu tumbuhnya sebatang pohon yang berdiri tegak, bercita-cita memetik buah yang ranum dan enak daripadanya namun tidak berusaha menyiram benihnya. Maka, harus difahami bahawa impian untuk melahirkan rijal hanya terealisasi dengan usaha dan kepenatan. Kita harus memulakan langkah untuk menyemai benih, juga menyalurkan segala keperluan asasinya agar tumbuh darinya tunas yang mekar dan subur.
Benih Terbaik
Pohon yang sihat dan kuat berasal dari benih yang baik dan berkualiti. Katakan jika asal benih itu adalah daripada sebutir biji benih durian gred terbaik, maka ia akan bertumbuh menjadi pohon durian yang menghasilkan buah durian yang terbaik. Pastinya ia tak bertumbuh menjadi pohon durian yang rendah grednya apatah lagi menjadi pohon buah lain.
Seperti itulah Allah telah menciptakannya sebagai manusia dengan sebaik-baik kejadian dan menjadikannya mulia apabila ia bertakwa. Ia harus sedar bahawa asal-usul kejadiannya adalah untuk menyerahkan pengabdian kepada Allah. Ia harus hidup sebagai hamba Allah dan bukan hamba kepada manusia. Ia harus tahu bahawa ia memegang amanah sebagai khalifah di atas muka bumi dan tidak lari dari tanggungjawab ini.
Sentiasa ingat dan sedar akan hakikat serta asal-usul kejadian diri adalah elemen terpenting dalam pembentukan peribadi seorang Muslim dan rijal yang teguh. Agar ia tidak mudah kehilangan identiti diri dan lupa dengan tujuan asal kehidupannya di atas muka bumi.
Tidak cukup dengan itu, ia juga perlu mengkaji, mengetahui dan meyakini bahawa ia memiliki susur galur sejarah bangsa dan agama yang hebat. Hal ini kerana ia meninggalkan kesan yang besar dalam penentuan survival hidupnya. Jika ia dimomokkan dengan mundur dan lemahnya bangsa dan agamanya, maka ia tidak memiliki semangat untuk terus hidup, mudah diperkotak-katikkan seterusnya menjadikannya terus layu, lemah dan longlai. Persepsi awal terhadap potensi dirinya sendiri inilah yang bakal menentukan sama ada ia mampu terus membangun dan maju ke hadapan atau tersungkur di tengah jalan.
Akar Yang Mencengkam Bumi
Apa jua pun jenis pohon itu, akarnya memainkan peranan yang besar dalam menentukan teguhnya ia berdiri. Akar bagi peribadi Muslim adalah pegangan aqidahnya. Allah berfirman:
Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit, pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun. (Surah Ibrahim: 24-26)Kalimah yang baik diumpamakan oleh Allah seperti pohon yang baik, memiliki akar yang kuat dan cabangnya menjulang tinggi. Kalimah yang baik ini ditafsirkan sebagai kalimah tauhid la ilahaillah.
Maka, untuk mendapatkan hasil pembinaan peribadi Muslim terbaik adalah dengan memerhatikan akarnya iaitu memastikan tauhid dan aqidahnya sejahtera. Aqidah sejahtera yang berakar umbi akan membuahkan keimanan yang benar kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, hari kiamat dan qada’ dan qadar, seterusnya menyelamatkannya dari kegoncangan jiwa juga mendorongnya untuk berjihad. Sedangkan akar aqidah yang lemah dan berpenyakit akan membahayakannya, membuatnya goyah, tidak lagi kuat dan akhirnya rebah menyembah bumi.
Persekitaran Dan Tanah Yang Subur
Tanah yang subur menjamin satu-satu tumbuhan itu bertumbuh dengan baik. Tanah yang kering kontang ditambah dengan lalang-lalang yang mengerumuni tidak membantu untuk ia tumbuh dengan sihat. Seperti itu juga seorang pemuda Islam perlu memilih persekitaran dan lingkungan yang mampu membina diri dan mendorongnya untuk terus berkembang ke arah yang lebih baik. Biah solehah dan rakan-rakan yang soleh berperanan besar dalam pembentukan peribadi. Jauhi rakan-rakan yang berakhlak buruk dan mereka yang sentiasa mengajak ke arah mungkar. Bukankah Rasulullah telah bersabda:
Perumpamaan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk. (Riwayat Abu Daud)Seorang saudara Muslim itu adalah cermin bagi saudara Muslim yang lain. Maka, sahabat kita menjadi cerminan kepada akhlak dan peribadi diri kita sendiri.
bersambung…
Sumber: ISMAMESIR
No comments:
Post a Comment