Ideologi
Islam Liberal sedang meresap dan akan mengancam pemikiran umat di
negara kita. Ideologi itu sedang melebarkan sayap di sesetengah
IPTA/IPTS dan badan bukan kerajaan. Menyedari berbahayanya ideologi itu,
ZAIN A. GHANI menemui Prof. Madya DR. Mohamad Kamil AbDUL Majid
(foto) dari Universiti Malaya untuk mendengar pandangan ketua Jabatan
Dakwah dan Pembangunan Insan yang sedang mengetuai kajian tentang
fahaman ini. Ikuti penjelasan beliau.
Boleh Prof jelaskan perkembangan serta “kemajuan” gerakan Islam Liberal ini di negara kita, Malaysia?
Apabila
kita menyebut latar belakang pengaruh liberalisme terhadap Muslim, ia
berlaku di negara kita adalah hasil daripada falsafah liberal yang wujud
di Barat. Jadi apabila disebut liberalisme, modernisme, sekularisme, ia
adalah “ideologi tiga beradik” yang saling berkait dan tidak dapat
dipisahkan.
Sejak
abad ke-15 lagi di Barat (terutama Perancis dan beberapa negara Barat)
fahaman ini telah wujud ekoran kaum buruh yang tertindas oleh penguasa
yang zalim – jadi golongan para ilmuwan dan filosuf mahu menggerakkan
kemajuan tetapi ditentang oleh para penguasa yang disokong oleh gereja.
Lebih
seratus tahun sebelum itu, kerajaan Andalus di Eropah telah mencapai
tamadun pesat sehingga ramai pelajar Kristian dari kawasan lain Eropah
datang untuk menimba ilmu…?
Memang
benar, tetapi setelah kerajaan Islam Andalus terpaksa keluar (mengalami
kekalahan) dari Eropah pada 1492 M, barulah bermula gerakan pembaharuan
(englightenment) di Eropah.
Diringkaskan
sejarahnya, apabila Islam juga mundur; berlakulah “penyerapan” pengaruh
Barat yang kita dikesan bermula di Timur Tengah.
Liberalism
itu ada dua sahaja. Satunya adalah sebagaimana yang diperjuangkan oleh
tokoh-tokoh Islam yang membawa pembaharuan (Islah) seperti Jamaluddin
al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha. Mereka mahu memajukan
(liberal) masyarakat Islam tetapi dengan cara-cara yang dapat dianggap
masih di dalam kawalan syariah.
Kedatangan
fahaman liberalisme secara sengaja ataupun tidak dikatakan datang
bersama kebangkitan semula Islam pada tahun 1970-an. Ia khususnya di
Timur Tengah, terutamanya di Mesir.
Jika
dirujuk kepada Mesir, apabila golongan Marxisme menyedari alirannya
sudah tertolak; ia mula mengalihkan kepada aliran Islam – tetapi Islam
yang dibawa mereka adalah Islam aliran Muktazilah – orang yang
berfahaman kepada akal secara mutlak.
Fahaman ini juga akhirnya sampai kepada peringkat mempertikaikan wahyu.
Boleh Prof sebutkan tokohnya yang aktif di Mesir sekarang ini?
Antaranya
bekas professor di Universiti Kahirah, Nasr Hamid Abu Zayd yang
sekarang tinggal di Belanda. Yang lain ialah Hasan Hanafi, Mohamad
Arkoun dan Amina Wadud, di Tunisia terdapat tokoh bernama Ali Harb –
mereka yang disebut di atas adalah orang-orang yang mengepalainya.
Perkara
utama yang dipertikaikan ialah ilmu-ilmu turath (warisan Islam)
sehingga melibatkan al-Quran. Mereka mengadakan tafsiran al-Quran oleh
ulama-ulama yang ditolak oleh ulama-ulama besar pada masa ini.
Maksudnya tidak relevan dengan suasana semasa?
Mereka
mendakwa al-Quran itu bukan wahyu Tuhan yang asli, dakwa mereka wahyu
itu sampai kepada Nabi Muhammmad tetapi apa yang dilafazkan Muhammad itu
telah dibentuk di dalam bahasa nabi menurut sejarah dan budaya Arab.
Justeru,
kononnya yang tertulis {naskhah al-Quran yang ada} bukan maksud
al-Quran yang murni (asli). Mereka menyimpulkan al-Quran yang ada
sekarang sebagai ciptaan Nabi Muhammad – sebagaimana tuduhan orientalis
sebelum ini.
Tambah
fahaman itu, kita tidak lagi memerlukan wahyu kerana akal manusia
sekarang ini sudah lengkap daripada sudut ekonomi, sosial dan lain-lain
tetapi yang paling penting pada manusia ialah akal.
Bagaimana ia dibawa ke tempat kita dan berkembang pula, boleh Prof perincikan?
Ajaran
ini mempengaruhi pelajar-pelajar Indonesia di Kaherah – yang paling
masyhur ialah Ulil Abshar Abdalla; dan idea ini sebelumnya awal 1970-an
dicetuskan oleh Nurcholis Madjid yang dianggap Godfather Islam
Liberal di negara itu. Nurcholis ialah lepasan Universiti Chicago,
Amerika Syarikat yang mendapat pendidikan langsung daripada Prof Fazlur
Rahman.
Tetapi
Nurcholis tidak selantang dan seagresif kumpulan Ulil Abshar yang
dinamakan Jaringan Islam Liberal (JIL) yang berpusat di Utan Kayu,
Jakarta.
Para pelajar Indonesia di Mesir pula dikatakan lebih daripada 60 peratus berminat dengan fahaman Hassan Hanafi.
Mereka mempersoal al-Quran dan al-Hadis sebagaimana Kassim Ahmad pada 1990-an menerbitkan buku Hadith – Satu Penilaian Semula. Buku Kassim telah diterjemahkan ke bahasa Arab dan kata pengantarnya ditulis Hassan Hanafi.
Jadi dari Mesir masuk ke Indonesia, dan dari Indonesia masuk ke Malaysia. Siapakah pembawanya ke Malaysia?
Kumpulan
ini termasuklah beberapa tokoh di dalam dan yang pulang dari luar
negara dan beberapa orang yang sering menggunakan perkataan pencerahan ‘enlightenment.’ Mereka juga marahkan raja dan ulama.
Di
Malaysia, kumpulan ini tidak lahir di dalam bentuk pertubuhan seperti
Indonesia, tetapi yang kelihatan ialah pengaruh berbentuk idea
sebagaimana Sisters In Islam dan beberapa penyokong pertubuhan parti
politik – termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
Kewujudan kumpulan ini tentunya melahirkan “bahaya” kepada masyarakat Muslim. Aspek apa yang Prof nampak?
Bahaya
terbesar ialah perpecahan sesama Muslim, perpecahan mazhab, perpecahan
politik, ajaran salah dan Islam Liberal ini telah diwartakan sebagai
ajaran salah oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sejak 2006.
Begitu
juga ajaran Kassim Ahmad juga telah diwartakan, cuma pelaksanaannya
terletak di tangan gabenor atau raja di negeri-negeri Malaysia.
JAKIM hanya mampu mengeluarkan fatwa, tetapi pelaksanaan atau penguatkuasaan terserah kepada kerajaan negeri masing-masing.
Satu lagi masalah ialah kumpulan ini akan menyebabkan kekelam-kabutan kepada penafsiran ajaran Islam sebenar.
Apa yang berlaku di Mesir dapat diambil iktibar bahawa fahaman ini sangat berbahaya.
Contohnya
ketika berada di Mesir, saya bertemu dengan Jamal, adik Hasan al Banna
yang berfahaman liberal. Jamal mengatakan dia tidak lagi menggunakan method asas di dalam Islam seperti berdasarkan al-Quran, hadis ijmak atau qiyas tetapi menggunakan method bebas untuk menterjemahkan perkara berkaitan agama Islam.
Seorang wanita liberal bernama Nuwal al- Sa’dawi menulis sebuah buku berjudul Apabila Tuhan Meletakkan Jawatan. Nuwal seolah-olah telah meletakkan bahawa Tuhan sudah mati – begitulah golongan ini mempermainkan Tuhan.
Tetapi
jika kita lihat semula pandangan Hasan Hanafi, ia tidaklah sebahaya itu
yang katanya: “Manusia yang mencipta Tuhan….” setakat itu saja.
Golongan Islam Liberal ini berpegang kepada ideologi humanisme Barat.
Mereka
berhujah: “Kenapa Allah mempunyai nama sehingga 99? Kenapa Tuhan itu
alim? Kerana manusia itu jahil (tidak mengetahui), jadi manusia mahu
satu ideal iaitu al-alim - kerana manusia tidak dapat mendengar , tidak dapat melihat. Oleh itu manusia perlukan sifat sami’ul basyir, iaitu dapat mendengar dan dapat melihat.”
Antara
bahaya ajaran ini ialah akan lahir pengikut yang meremehkan al-Quran,
meremehkan hadis dan otoriti ulama, ini kerana mereka menganggap
ulamalah yang pandai-pandai “mentafsirkan” Islam.
Sedangkan mereka mahu supaya sesiapa sahaja dapat mentafsirkan Islam.
Mereka
telah menolak autoriti, kerana pada anggapan mereka autoriti di langit
ialah Tuhan, sementara autoriti di bumi ialah raja.
Hassan Hanafi menulis suatu ungkapan pada bukunya Minal Aqidah Ilal Thaurah -
yang bermakna “daripada akidah kepada tamadun.” Maksudnya, daripada
sekadar asyik membincangkan sifat atau zat Tuhan sahaja, eloklah kita
membincangkan tentang revolusi pula.
Antara
revolusi anjurannya ialah menghakiskan kuasa Tuhan di langit dan
menghakiskan kuasa raja di bumi, dan juga menghakiskan otoriti para
ulama.
Mereka benar-benar yakin apabila apa yang dianggap “dua autoriti” ini terhapus, umat Islam akan menjadi maju?
Ya,
kata mereka lihat di Barat di mana tiada lagi kuasa raja dan paderi di
gereja dan kononnya akal pun dapat berfungsi dengan lancar. Itulah yang
mereka maksudkan dengan pencerahan (enlightenment).
Banyak
perkara yang ada kaitan dengan Islam itu mereka anggap dongeng belaka.
Umpamanya mereka anti kepada wanita memakai tudung, atau lelaki
bersongkok atau berserban kerana kononnya menghalang oksigen – tidak
sampai ke kepala.
Oleh
itu, kata mereka, ulama-ulama begini jumud sifatnya dan bahkan
mengejek para ulama sebagai keldai-keldai tunggangan sahaja.
Jadi berbetulanlah “apabila Tuhan telah meletakkan jawatan, para ulama juga tidak berperanan lagi.”
Pada
tahun lepas (2008), ketika saya melawat Timur Tengah – terjadi polemik
besar antara para ulama dengan Nuwal al-Sa’dawi yang kini melarikan
diri dan tinggal di Belanda. Mereka mengadakan sidang video dan
berdialog dengan Nuwal, mempersoalkan dakwaan dan penghinaan terhadap
agama oleh wanita itu.
Sebelum itu Mahkamah Tinggi Mesir telah memutuskan Nasr Hamid Abu Zayd sebagai murtad dan dipisahkan daripada isterinya.
Jadi,
yang jelas pemikiran Islam liberal yang tanpa batasan ini telah
mengacau pemikiran umat yang selama ini telah dijaga oleh para ulama.
Ekorannya, kumpulan ini sangat marah dan sinis kepada lepasan al-Azhar
dan Timur Tengah lain.
Akhir-akhir
ini kita dapati ramai pelajar lepasan Jordan yang bergiat menyebarkan
fahaman ini dan mendapat bantuan daripada pertubuhan yang dipanggil
Konrad Adeneur yang berpusat di Berlin, Jerman.
Yayasan
lain ialah yang berperanan dalam penyebaran Islam Liberal ini adalah
Yayasan Fullbright, Yayasan Toyota, Yayasan Ford, dan Asia Foundation.
Dan
di Indonesia, mereka berlumba-lumba menubuhkan Lembaga Swadaya
Masyarakat (LSM) atau NGO yang mendapat bantuan badan-badan tersebut
untuk mempromosikan Islam Liberal melalui buku-buku dan majalah.
Patut
juga disebut bahawa mantan presiden ketiga, Abdurrahman Wahid (Gus
Dur) adalah termasuk tokoh pendukung utama idea Islam Liberal ini.
Gus
Dur apabila ditanya sama ada bolehkah menerima bantuan daripada
Amerika, kerana di sebalik bantuan tentu ada sesuatu di sebaliknya?
“Tak ada apa-apa, mereka itu wangnya banyak!” jawab Gus Dur selamba.
Orang yang memberi bantuan tentulah ada strateginya.
Yang
paling menonjol sekali ialah gerakan feminisme. Walaupun Islam tidak
pernah menafikan hak wanita, tetapi gerakan mereka ialah untuk
menyamakan wanita dengan lelaki, yang disebutkan sebagai gender. Di
Malaysia, ianya di bawa oleh SIS.
Antara
tokohnya ialah Aminah Wadud yang pernah mengajar di Universiti Islam
Antarabangsa, apabila balik ke AS telah membuat satu isu besar dengan
mengimamkan solat Jumaat di mana makmumnya bercampur-baur bersama-sama
lelaki.
Juga tuntutan wanita sebagai ketua keluarga. Begitu juga mempersoalkan kenapa lelaki berhak berpoligami.
Mereka
turut mempersoal kenapa kaum lelaki mendapat nisbah yang lebih di dalam
pembahagian pusaka. Seolah-olah ulama bias kepada wanita.
Sedangkan
Islam mengiktiraf wanita sama taraf – tetapi lelaki dan wanita itu
menyumbang kepada masyarakat dengan fungsi yang berbeza.
Tetapi mereka mahu samakan fungsi di antara lelaki dengan wanita, dan hasil daripada perjuangan yang dipanggil “gender’ ini terhasil banyak wanita yang menjauhi perkahwinan.
Pada
mereka adalah hina bagi wanita menjadi “kilang” untuk melahirkan anak
kepada lelaki. Jadi mereka melihat sesuatu itu daripada perspektif akal
semata-mata.
Bagaimana kita mahu membetulkan perkara yang salah ini?
Di
Universiti Malaya kita wujudkan satu kumpulan yang terdiri daripada
tujuh orang, terdiri daripada beberapa pensyarah dan pelajar untuk
membuat kajian. Setakat ini kita telah melawat Mesir dan mendapat
sumber-sumber asal dan bahan-bahan yang ditulis oleh tokoh-tokoh dan
berkaitan dengan mereka.
Kita
juga telah melawat Jakarta, Indonesia untuk mendapat sumber asal
daripada tokoh mereka. Kajian kita bukan sekadar luaran tetapi kita
telah melakukan kunjungan ke Indonesia untuk mendapat sendiri buku-buku
dan tulisan serta merakam dan mendokumentasikan percakapan tokoh-tokoh
mereka sendiri di Indonesia.
Setakat mana usaha menerangkan kepada masyarakat?
Kita telah mula mengadakan road show
ke seluruh negara. Baru-baru diadakan program bersama pejabat Mufti
Melaka, dan bersama JAKIM kita telah adakan program di Sabah dan
Sarawak, menerangkan pembohongan kumpulan Islam Liberal ini. Kita juga
telah pergi ke Terengganu dan akan terus menerangkan kepada masyarakat
seterusnya.
Banyak
orang yang terkejut dan bimbang tentang masa depan agama Islam dan
mereka meminta kerajaan menguatkuasakan undang-undang supaya dapat
membendung dan menyekat pemikiran karut dan jahat ini.
Dan
apa yang bahaya selepas itu kebanyakan mereka ini juga berpegang kepada
“pluralisme” agama, di mana mereka mendakwa bahawa :“semua agama sama.”
Di
Indonesia telah berlaku kahwin silang agama di mana bukan sahaja lelaki
Islam berkahwin dengan wanita bukan Islam, tetapi telah berlaku juga
lelaki bukan Islam berkahwin dengan wanita Islam.
Sebagaimana anak perempuan Nurcholis yang Muslimah berkahwin dengan lelaki Yahudi?
Ketika
di Jakarta saya menyelidikinya dan memang benar anak perempuan
Nurcholis berkahwin dengan lelaki Yahudi, dan Nurcholis memberi
keizinan – kerana ketika itu dia masih hidup.
Dan
yang malangnya di sana terdapat orang bertaraf kiyai yang kerjayanya
adalah sebagai “juru nikah” orang-orang yang mempraktikkan silang agama
itu.
Reaksi terbaru JAKIM dan jabatan agama negeri?
JAKIM
dan jabatan agama negeri-negeri telah mewartakannya sebagai ajaran
sesat. Tetapi apa yang membimbangkan saya, terdapat usaha untuk membina
kolej ataupun mungkin universiti Islam Liberal di negara kita untuk
mempromosikan ajaran sesat ini.
Di
Jakarta, universiti mereka bernama Paramadina, dan golongan ini telah
menguasai Universiti Islam Negeri (UIN) Jakarta. Tokoh-tokoh mereka
adalah pengajar di universiti itu – antaranya Azyumardi Azra, Komarudin
Hidayat, Kausari Noer dan beberapa lagi.
Bagaimana mereka gunakan kemudahan IT?
Dengan
kedatangan IT dan globalisasi – semua kemudahan dan maklumat dapat
diakses oleh banyak orang, dan golongan Islam Liberal telah menggunakan
kemudahan ini untuk memperkembangkan idea mereka.
Islam
Liberal ini pula dalam rangka hendak memecahkan belah ini membahagikan
Muslim kepada dua. Satu, Muslim yang mengamalkan agama dan Muslim yang
tidak mengamalkan agama.
Sedangkan
Islam tidak membuat pembahagian sedemikian. Seseorang Muslim itu adalah
Muslim seluruhnya daripada iman, amalan dan tingkah lakunya – tiada
kompromi atau pembahagian.
Sumber: http://ummatanwasatan.net/2009/05/kekeliruan-ideologi-islam-liberal/
No comments:
Post a Comment