Pages

Wednesday, December 18, 2013

Syed Ahmad Israa' menulis di Fbnya.....


Saya tertarik dengan komentar seorang ilmuan Mesir berkenaan 'preamble'/mukadimah perlembagaan baru Mesir yang sedang cuba diluluskan. Di dalam 'preamble' tersebut tertulis: "Bahawa sesungguhnya Mesir sedang berusaha mengejar bahtera kemajuan". Ilmuan tersebut mempersoalkan; adakah hanya itu kemampuan Mesir? Bukankah sepatutnya negara yang amat kaya dengan khazanah ketamadunan ini yang sepatutnya memimpin bahtera kebangkitan dan ketamadunan yang tersendiri (berasaskan khazanah tamadun Islamnya)?

Kata beliau, 'preamble' ini benar-benar dirangka oleh manusia-manusia yang sudah kalah jiwa dan psikologinya. Kalah dengan hilangnya keyakinan dan kepercayaan diri sendiri, dan kalah dengan mengangkat mazhab materialisme yang dipegang negara-negara barat sebagai suatu bentuk 'kemajuan'.

Ini merupakan suatu yang amat berbeza dengan situasi yang cuba diwujudkan sebelum berlakunya peristiwa Jun/Julai tahun ini di Mesir. Budaya dan suasana yang dicipta ialah budaya "kita mampu bangkit sendiri kerana kita mempunyai segala keperluannya".

Saya kemudian terfikir, di Malaysia juga sebenarnya ada golongan yang mirip-mirip golongan kalah jiwa di Mesir. Ada manusia di Malaysia yang mengatakan kita sangat perlu berusaha mengejar piawaian hak asasi manusia yang ditetapkan oleh barat, meskipun itu bermakna mengorbankan sekian banyak khazanah ketamadunan negara yang unik dan Islamik yang menjadi tunjang rakyat semenjak dahulu.

Rupa-rupanya, di sebalik kerumitan dan kekalutan isu yang banyak berlaku di negara-negara Islam kini, punca dan pusat masalahnya ialah jiwa manusia sendiri. Jika jiwa manusia-manusia itu kuat, berani, penuh keyakinan, dan ikhlas, maka tentulah tindak-tanduk yang terhasil ialah tindak-tanduk yang penuh kepahlawanan, penuh 'kejantanan', dan penuh keperwiraan. Mereka itu sahajalah yang benar-benar layak menjadi 'superhero' penyelamat manusia dalam ertikata yang sebenar-benarnya.

Anda tahu siapa mereka itu? Boleh anda kongsikan? 


 Sumber : Fb Syed Ahmad Israa'

No comments:

Post a Comment