Pages

Saturday, January 25, 2014

2 Berita menarik Perhatian di Sinar Harian Hari Ini..

Harun Taib meninggal dunia

Harun Taib
  •  Datuk Harun Taib
KUALA TERENGGANU - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, 71, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 12.17 awal pagi ini.
Anak Allahyarham, Hilmi Harun yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di HSNZ pada pukul 12.17 pagi semalam akibat kegagalan fungsi organ dalaman disebabkan penyakit kencing manis.

"Arwah sudah menghidap penyakit strok sejak 2010, tapi tahun terakhir ini kencing manis makin teruk dan serangan kuman sudah semakin merebak dan boleh dikatakan merebak ke buah pinggang walaupun keadaan darah dan jantungnya stabil," katanya ketika ditemui semasa majlis pengebumian Allahyarham di sini hari ini.

Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa ke kampung halamannya di Manir untuk dimandi dan disembahyangkan di Markaz Tarbiyah Kubang Lembik, Manir pada pukul 10 pagi tadi dan diimamkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Kira-kira 5,000 orang termasuk beberapa pemimpin turut menziarahi jenazah Allahyarham dan bersolat jenazah.

Allahyarham pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir selama empat penggal iaitu bermula 1982 (Pilihan Raya Umum ke-6) sehingga 2004 pada PRU-11 dan sepanjang tempoh itu hanya sekali kalah pada PRU-7. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Persendirian Alur Lerang di Manir kira-kira pukul 11 pagi.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.

Sementara itu, Jailani menyifatkan Allayarham sebagai seorang pemimpin yang senang untuk berbincang, berwibawa serta seorang yang tegas dalam menyuarakan pendapatnya. "Saya pernah duduk sekali bersembang dengan Allayarham dan bertukar pendapat dengannya...dan memang saya tidak mengira fahaman politik, selesa untuk bertukar pandangan dengan Allahyarham," katanya. - Bernama

------------------------------------------------------------------------------------------------


'Jangan guna kalimah ALLAH ganti God'

Nik Abdul Aziz
  • Nik Abdul Aziz
KOTA BHARU - Masyarakat bukan Islam di negara ini tidak boleh sesekali menggunakan kalimah ALLAH sebagai menggantikan perkataan God sebagaimana yang terdapat dalam kitab mereka khususnya Bible, tegas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, perkataan God dalam kitab itu lebih tepat diterjemah kepada perkataan ‘tuhan’ bukannya ALLAH sebagaimana desakan sesetengah pihak.

“Tetapi yang menjadi masalah sekarang kerana ada orang mahu God diterjemah kepada ALLAH, ini tidak betul, God maknanya Tuhan, ia bukan bermakna ALLAH, ALLAH lain, tuhan lain, tuhan terlalu banyak, ada orang bertuhankan harta.

“Tuhan yang sebenar adalah ALLAH, tetapi God dalam bahasa Inggeris itu tidak boleh diterjemah kepada ALLAH, sebaliknya tuhan. Nama apa tuhan?

"ALLAH nama sebenarnya. Nabi Isa bukan tuhan, Siti Maryam tidak tuhan, (Malaikat) Jibril tidak tuhan, ALLAH itu nama-Nya, sifatNya ada 99, orang tidak boleh kenal ALLAH melainkan melalui nama-nama-Nya,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Jumaat di Medan Ilmu.

Menurutnya, masyarakat Arab jahiliyah di Makkah menggunakan kalimah ALLAH sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi, malah sekarang orang Cina pun selalu menyebut Alhamdulillah, Insya ALLAH selaligus membuktikan kalimah ALLAH sudah jadi sebutan untuk semua tanpa mengira Islam atau kafir.

Bagaimanapun katanya, walaupun kini kalimah ALLAH itu menjadi lafaz ‘biasa’ dalam kegiatan seharian masyarakat termasuk orang bukan Islam, namun ia tidak boleh disamakan dengan tuhan yang dirujuk dalam fahaman agama mereka.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz enggan mengulas lanjut mengenai isu kalimah ALLAH sebaliknya hanya mengulangi sokongannya terhadap keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada Januari tahun lalu.

Isu kalimah ALLAH hangat kembali berikutan tuntutan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew yang berkeras mahukan semua gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya sebelum mengundang kemarahan umat Islam.

Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas pada 13 Januari tahun lalu sebulat suara memutuskan ALLAH adalah kalimah suci iaitu ALLAH Yang Esa, tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Majlis Syura Ulama ketika itu turut menegaskan bahawa kalimah ALLAH adalah kalimah khusus dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut, begitu juga sebaliknya.

No comments:

Post a Comment