January 12, 2014
Isu tuntutan COMANGO dan penyalahgunaan
kalimah Allah telah menimbulkan kekalutan dan kekacauan yang tidak
pernah dialami sebelum ini oleh masyarakat Islam di Malaysia. Masyarakat
Islam pula diasak dengan pelbagai persoalan yang mengelirukan, sehingga
menzahirkan beberapa sikap yang ditunjuk oleh pelbagai pihak seperti
pemimpin-pemimpin politik dan badan bukan kerajaan yang hasilnya
membuatkan umat Islam berasa serba-salah dan terpinga-pinga apa yang
harus mereka lakukan.
Kenapa tidak berdialog?
Soalan ini lebih patut dilontarkan
kepada COMANGO dan Pihak Gereja. Adakah COMANGO berdialog atau meminta
pandangan majoriti masyarakat Malaysia yang beragama Islam sebelum
mereka ke luar negara dan mendesak tuntutan-tuntutan yang tidak
munasabah serta bercanggah dengan Perlembagaan seperti membenarkan
kebebasan untuk murtad, mengiktiraf budaya hidup LGBT (budaya zina dan
liwat), menuntut hak keistimewaan orang Melayu dalam perlembagaan
dipinda, mengiktiraf ajaran sesat Syiah di Malaysia, menuntut agar
mana-mana ibu bapa yang memeluk Islam tidak diberi hak penjagaan anak,
mendesak penghapusan hukuman syariah? Mereka sudah pun melangkah dan
mengambil tindakan tetapi kita diseru untuk ajak berdialog?
Adakah akidah umat Islam begitu lemah?
Soalan ini sudah terjawab dengan
bukti-bukti di depan mata. Jika akidah umat begitu kukuh, kita tidak
akan dapat melihat umat Islam berpegang dengan nilai-nilai kehidupan
yang merosakkan yang dizahirkan melalui cara hidup yang jauh daripada
Islam atau menjadikan selain Quran dan Sunnah sebagai rujukan membuat
pendirian. Lihat saja berapa banyak pertubuhan-pertubuhan atau
individu-individu Islam yang lebih mengutamakan Hak Asasi Manusia versi
Barat berbanding Quran dan Sunnah.
Kenapa tak kukuhkan saja akidah umat Islam? Kenapa salahkan orang lain?
Jika kita menanam pokok, sudah tentu
kita akan terus membaja dan menyiram untuk menyuburkannya. Kadang-kadang
kita terlupa untuk siram, kadang-kadang kita terlupa untuk membaja, itu
kesilapan kita. Tetapi bila ada orang datang untuk merosakkan tanaman,
adakah kita akan menyalahkan diri sendiri kerana tidak membaja dan
menyiram, atau kita menghalang orang yang ingin menebas tanaman kita?
Benar, kita perlu terus menyiram dan membaja akidah umat Islam dengan
menggiatkan aktiviti dakwah tetapi adakah kita akan terus membiarkan
pihak pelampau melanggar hak-hak kita dan merosakkan keharmonian?
Kenapa berburuk sangka?
Soalan yang lebih tepat adalah kenapa
memilih dalam berburuk sangka? Apabila JAIS menyita kitab-kitab Bible
yang jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan kalimah Allah,
mengapa ada sesetengah pihak, yang sentiasa menyeru kepada baik sangka,
tanpa segan silu memangsakan JAIS? Pernahkah mereka bertanya adakah JAIS
mengikut prosedur? Adakah JAIS melanggar apa-apa peraturan? Persoalan
ini telah pun dijawab oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Pengerusi
Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan
Desa, Sallehen Mukhyi. Kenapa diseru pula supaya kita berbaik sangka
dengan pihak yang melanggar peraturan dan melanggar titah Sultan?
Kenapa terlalu ekstrem dan merosakkan keharmonian sedia ada?
Persoalan yang perlu dilontarkan adalah
siapa sebenarnya yang ekstrem? Orang Islam yang menuntut hak mereka yang
termaktub dijaga, atau pihak yang telah melanggar hak-hak ini? Pihak
Gereja telah terlebih dahulu membawa isu Penyalahgunaan kalimah Allah ke
mahkamah, kemudian pihak mahkamah telah pun memutuskan keputusannya.
Dengan sombong sekali keputusan mahkamah dibakulsampahkan dan titah
Sultan diabaikan. Orang Islam yang bertegas dalam menjaga hak majoriti
pula dilabel ekstrem.
Umat Islam diserang penyakit apologetik yang dasyat
Umat Islam diserang penyakit apologetik
yang dasyat sehingga mereka sentiasa berasa serba salah untuk
memperjuang hak-hak yang sudah sedia termaktub. Umat Islam lebih
cenderung untuk menyalahkan diri sendiri walaupun pihak-pihak yang faqih
dalam agama telah pun mengeluarkan fatwa dan pendirian daripada hasil
muzakarah dalam isu Kalimah Allah. Umat Islam begitu tertekan kerana
diasak dengan label ekstrem dan sebagainya oleh media yang tidak
bertanggungjawab. Penyakit ini haruslah dirawat dengan mencontohi
semangat dan izzah para Sahabat yang sentiasa berbangga dengan kedudukan
Islam yang lebih tinggi daripada agama-agama lain dan tidak merasa
kecil serta bertegas dengan kumpulan yang mempersenda Islam.
Soalan kepada pemimpin-pemimpin politik
Kepada pemimpin-pemimpin politik yang
mempersoal adakah akidah rakyat Malaysia begitu lemah, penulis selaku
rakyat Malaysia ingin mempersoal semula pemimpin-pemimpin politik
tersebut, adakah kamu semua begitu lemah dalam mempertahan hak kami yang
sudah sedia termaktub? Adakah kamu begitu lemah dalam menahan
asakan-asakan pihak pelampau dan tidak bertanggungjawab? Adakah kamu
begitu lemah dalam mempertahan kedaulatan undang-undang? Jika permainan
politik seperti ini berterusan, siapa lagi yang akan memperjuang dan
mempertahan kedudukan Islam dan identiti tanah ini?
Eqwan Roslan,
Aktivis ISMA Eropah,
Pelajar MSc Renewable Energy and Clean Technology di University of Manchester.
Aktivis ISMA Eropah,
Pelajar MSc Renewable Energy and Clean Technology di University of Manchester.
Sumber: http://www.ismaweb.net/v4/2014/01/persoalan-persoalan-di-sekitar-isu-semasa/
No comments:
Post a Comment