Pages

Friday, January 17, 2014

Kes pukul anak: Anak pasangan Malaysia tak gembira



Pukul anak tak solat, pasangan dikenal pasti  
Pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden atas dakwaan 
memukul anak lelaki mereka. - Foto dipetik daripada Astro Awani.
 
KUALA LUMPUR - Empat anak pasangan warga Malaysia, yang ditahan polis Sweden setelah didakwa memukul mereka kerana enggan bersolat, menyatakan rasa tidak selesa tinggal bersama keluarga angkat berlainan agama di negara itu.

Anak sulung pasangan itu yang mahu dikenali sebagai Aisyah, 14, berkata, beliau dan tiga adik lelakinya yang berusia 7, 11 dan 12 tahun ditempatkan bersama keluarga angkat yang disediakan pihak khidmat sosial negara itu sejak ibu bapa mereka ditahan pada 18 Disember lepas.

Aisyah berkata mereka tidak gembira dengan keadaan di dalam rumah berkenaan.

"Kami tidak gembira tinggal dengan keluarga angkat sebab keluarga ini bela anjing.

"Keluarga angkat juga makan makanan tidak halal...walaupun kami tidak diberi makanan itu tetapi kami berkongsi pinggan mangkuk yang sama," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Aisyah berkata mereka juga berulang kali menyatakan hasrat pulang ke Malaysia secepat mungkin namun tidak dibenarkan pihak khidmat sosial.

Katanya mereka juga tidak dibenarkan bertemu ibu bapa dan anggota keluarga dari Malaysia.

Menurutnya seminggu selepas penahanan ibu bapa mereka, keluarga dari Malaysia datang untuk bertemu dengan mereka namun tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa Sweden.

Anak kedua yang mahu dikenali sebagai Ammar pula berkata mereka mahu pulang ke Malaysia secepat mungkin kerana tidak tahan tinggal dengan keluarga angkat itu.

"Kami rindukan mummy dan daddy...kami nak balik Malaysia tapi mereka tidak benarkan. Kami sedih, setiap kali balik sekolah mummy dan daddy tiada.

"Sebelum ini, mummy dan daddy hantar dan ambil kami di sekolah. Sekarang terpaksa naik kenderaan awam sendiri. Adik bongsu pun menangis setiap hari sebab rindukan mummy dan daddy," katanya.

Tahanan reman pasangan suami isteri itu, yang dipercayai kakitangan Tourism Malaysia di Stockholm dan guru yang bercuti tanpa gaji, dilanjutkan dua minggu lagi bagi membantu siasatan. - Bernama

Sumber:  http://www.sinarharian.com.my/nasional/kes-pukul-anak-anak-pasangan-malaysia-tak-gembira-1.241599



Reaksi pembaca kes warga Malaysia ditahan polis Sweden kerana 'mendera' anak
             (Sumber:  http://greenboc.blogspot.com/2014/01/di-sweden-undang-undangnya-bertentangan.html)
KUALA LUMPUR: Konsep ‘dera’ di Sweden mungkin berbeza dengan konsep dera di Malaysia, terutama sekali untuk kes-kes yang melibatkan kanak-kanak.

Jesteru ramai berpadangan bahawa tindakan pasangan warganegara Malaysia yang ditahan atas tuduhan ‘mendera’anak mereka kerana tidak menunaikan solat adalah disalah ertikan.

Dalam komen yang diperolehi dari laman web Astro AWANI, seorang pembaca berkata definisi dera di Sweden berlainan dengan definisi dera yang difahami di Malaysia kerana Sweden mengamalkan ‘no spanking law’ iaitu undang-undang yang melarang ibu bapa menghukum anak mereka dengan cara memukul.

Menurut pembaca yang dikenali sebagai Kembara Srikandi, definasi 'spanking' di negara itu, andai dipukul meskipun tidak meninggalkan kesan adalah salah disisi undang-undang Sweden.

Seorang lagi pembaca pula berpendapat, di Sweden ibu bapa bukan sahaja tidak dibenarkan memukul anak, malah menengking pun tidak dibenarkan.

“Bukan setakat 'spanking', tengking anak pun tak boleh, sebab itu generasi kanak-kanak di Sweden sememangnya terkenal dengan kebiadaban mereka dengan orang tua, disebabkan undang-undang reka cipta manusia atas nama hak asasi,” kata pembaca tersebut yang menamakan diri Anak Dagang.

Di laman Facebook Astro AWANI pula, ada respon yang bersetuju dengan tindakan pasangan itu dan ada yang juga yang tidak bersetuju.

Komen dari Mohammad Saiful Anwar mengatakan, “Hanya orang yang tidak berilmu sahaja akan menyokong anak yang tidak solat. Pukul untuk mengajar anak, bukan untuk mendera.”

Komen dari Baizura Rahman pula mengatakan bahawa merotan anak selepas umur 10 tahun sekiranya tidak solat adalah disuruh dalam Islam setelah dinasihati dan ditegur dan ianya disebut dalam hadis Nabi.

Sementara itu, seorang pembaca iaitu Alyaa Syafiah pula berpendapat, merotan anak kerana tak solat sebenarnya tak perlu kerana tindakan itu akan menyebabkan anak-anak itu solat di depan ibu bapa sahaja.

Sebaliknya, dia merasakan adalah lebih baik sekiranya menggunakan pendekatan psikologi untuk memnujuk anak-anak itu mendirikan solat jemaah bersama-sama.

Di Sweden, undang-udang yang melarang ibu bapa memukul, mencederakan atau memalukan anak-anak mereka telah diwujudkan pada tahun 1979.

Undang-undang tersebut bertujuan memupuk konsep penjagaan anak yang positif serta membendung penderaan terhadap kanak-kanak.

Undang-undang itu juga mengharamkan sebarang bentuk hukuman terhadap kanak-kanak samada ringan ataupun berat.

Bagaimanapun ada sesetengah pakar di Sweden perpendapat bahawa semenjak undang-undang itu dilaksanakan, kanak-kanak Sweden menjadi degil dan biadap.

Menurut sebuah laporan South China Morning Post yang diterbitkan pada 28 Oktober, 2013, seorang ahli psikitri iaitu David Eberhard berkata undang-undang tersebut telah menyebabkan kanak-kanak Sweden telah mula menuntut hak sama rata dengan orang dewasa.

Katanya ia telah menyebabkan kanak-kanak itu menjadi penentu keputusan untuk keluarga mereka seperti bila hendak makan, tidur, menonton televisyen dan sebagainya.

Pada Sabtu, sepasang warga Malaysia dilapor ditahan polis Sweden kerana dikatakan menghukum anak sebab tidak menunaikan solat.

Menurut sumber, suami isteri itu ditahan susulan laporan penderaan oleh salah seorang anak mereka kepada seorang guru di mana guru berkenaan kemudian melaporkannya kepada polis Sweden.

Menurut sumber, kes tersebut dijangka dibicara 16 Januari ini.
-astroawani




ULASAN GB

Terbalik. Di Sweden ibubapa bukan sahaja dilarang memukul, malah menengking anak-anak tidak dibenarkan. Sedangkan di dalam Islam, anak-anak tidak boleh bercakap kasar, apatah lagi menengking kedua ibu-bapanya.

Firmanullah s.w.t.

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau Kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya Perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (al-Isra’:23)

Memukul anak untuk memberi pengajaran supaya solat dianjurkan di dalam ajaran Islam., Tetapi dianggap sebagai satu penderaan oleh undang-undang di Sweden.

Nabi saw pernah bersabda: "Perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang bila dia berumur 7 tahun dan pukullah dia bilamana tidak mahu mengerjakan sembahyang semasa berusia 10 tahun dan pisahkan dari tempat tidur."

Hadis ini adalah merupakan seruan wajib sembahyang. Kanak-kanak itu belum lagi wajib bersembahyang tetapi yang wajib ialah bapa menyuruhnya bersembahyang.

Semuga Allah swt selamatkan keluarga berkenaan kerana mematuhi ajaran Islam sekalipun ia bertentangan dengan undang-undang dunia. 

  (Sumber:  http://greenboc.blogspot.com/2014/01/di-sweden-undang-undangnya-bertentangan.html)

No comments:

Post a Comment