Pages

Sunday, January 12, 2014

Haram sokong tuntutan Comango


Aznan Hasan (tengah) bersama Setiausaha Majlis Ulama ISMA, Dr. Isa Hamzah (kiri) dan Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Presiden ISMA, Abdullah Zaid Abdul Rahman menunjukkan resolusi hasil Muzakarah Tuntutan Comango Mengikut Perspektif Syarak di sebuah hotel di Bangi, Selangor, semalam. - 
UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI 
BANGI 11 Jan. - Muzakarah Ulama anjuran Majlis Ulama Ikatan Muslimin (MUIS) Malaysia hari ini mencapai beberapa resolusi termasuk menyetujui bahawa banyak tuntutan asasi Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) bertentangan dengan syarak, undang-undang dan norma antarabangsa.
Muzakarah berkenaan turut memutuskan bahawa adalah haram untuk mendukung dan menyokong tuntutan Comango dari segi syariah, selain bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
Masyarakat Islam juga perlu menyedari bahawa tuntutan berkenaan boleh merosakkan akidah, jati diri ummah dan meruntuhkan cara hidup Islam keseluruhannya.
Resolusi tersebut dibacakan Pengerusi MUIS, Dr. Aznan Hasan selepas Muzakarah Tuntutan Comango Mengikut Perspektif Syarak di sebuah hotel di sini.
Selain golongan ulama, muzakarah berkenaan turut disertai pakar-pakar syariah dan undang-undang Islam, wakil Majlis Agama Islam negeri dan mufti, antaranya Mufti Sabah, Bungsu@Aziz Jaafar; Mufti Terengganu, Zulkifly Muda serta Pensyarah Kanan Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Prof. Dr. Abd. Aziz Hanafi.

Resolusi-resolusi lain yang dicapai ialah:
l Menegaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini yang mesti diterima dan dihayati oleh warganegara Malaysia tanpa mengira agama, kaum dan kedudukan.
l Sebarang peruntukan tentang hak asasi manusia hendaklah selari dan tidak bertentangan dengan prinsip hak asasi ditegaskan oleh agama Islam.
l Mendesak kerajaan supaya tidak hanya mengharamkan pergerakan Comango, malah menolak segala tuntutannya atau mana-mana kumpulan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Menurut Dr. Aznan, muzakarah berkenaan juga menyeru umat Islam yang terlibat dengan parti politik supaya mengetepikan segala perbezaan pendirian demi mempertahankan kesucian dan kedaulatan agama Islam.
Katanya, Jabatan Agama Islam mesti memandang serius isu itu kerana menjadi ancaman kepada kedudukan agama tersebut manakala Majlis Fatwa Kebangsaan perlu berbincang dan mengeluarkan fatwa berkaitan tuntutan Comango.

Tambahnya, resolusi yang dicapai itu akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu, Perdana Menteri, jemaah menteri, menteri besar dan ketua menteri.
Selain itu, muzakarah juga mencadangkan agar resolusi berkenaan dikemukakan kepada yang Dipertua Majlis-majlis Agama Islam negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Pengarah Jabatan Agama Islam dan ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.


No comments:

Post a Comment