Presidennya Prof Madya Dr Aznan Hasan berkata selain mencemar kesucian agama, fahaman yang cuba dibawa itu boleh mengancam keharmonian negara.

"Kita berpendirian bahawa kefahaman yang dibawa Kassim berkaitan dengan Islam adalah terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar, bertentangan dengan pegangan umum Umat Islam.
  
"Sesiapa yang berpegang dengan kefahaman ini boleh membawa kepada murtad," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam Seminar "Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian", di Putrajaya pada 15 dan 16 Februari lepas, Kassim dilaporkan mengkritik golongan ulama Islam yang disifatkannya sebagai 'kasta paderi' dan mendakwa Nabi Muhammad SAW. tidak perlu dimuliakan, serta rambut wanita bukan aurat.
  
Aznan berkata fahaman sesat yang dibawa Kassim bukanlah perkara baharu memandangkan buku tulisannya bertajuk "Hadis: Satu Penilaian Semula" difatwakan haram oleh kebanyakan majlis fatwa negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan sejak tahun 80-an.
  
Selain itu Majlis Fatwa Negeri Sabah pernah mengisytiharkan beliau sebagai murtad akibat fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, katanya.

Sehubungan itu Kassim dinasihatkan segera bertaubat, katanya.
  
Aznan turut mengingatkan umat Islam di negara ini supaya berwaspada dengan tindakan kumpulan-kumpulan tertentu yang cuba menyelewengkan ajaran Islam.
  
"Ini termasuklah pihak yang memperjuangkan Islam liberal, kesamarataan agama dan ajaran Syiah serta fahaman-fahaman lain," katanya. - Bernama

Sumber:   http://www.sinarharian.com.my/semasa/ambil-tindakan-tegas-terhadap-kassim-ahmad-1.253016