Nik Abduh Nik Abdul Aziz
  •   Nik Abduh Nik Abdul Aziz
DATUK Seri Anwar Ibrahim wajar menjelaskan format dan konsep sebenar konsensus nasional kepada rakyat sebelum Pilihanraya Kecil Dun Kajang berlangsung. Ini bertujuan untuk memberikan gambaran sebenar mengenai persepsi tersebut dan mengelakkan pelbagai tafsiran yang boleh disalahertikan.

Samada ia Permuafakatan Kebangsaan, Muzakarah Politik, Dialog Nasional mahupun Kerajaan Campuran atau Perpaduan, ia harus dihuraikan secara eksplisit. Jika benar ia adalah agenda besar daripada Pakatan Rakyat, maka Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menghuraikannya dengan lebih jelas.

Daripada siri-siri kenyataan media yang telah dibuat, konsensus nasional diutarakan ekoran daripada kebejatan politik terutamanya yang melibatkan isu ketegangan kaum khususnya di negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Malah, media antarabangsa turut melaporkan kelemahan pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pelbagai aspek.

Oleh yang demikian, Najib sendiri telah bersetuju untuk membataskan topik perbincangan kepada segmen sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa. Namun, empat segmen ini seolah-olah tidak mendapat persetujuan penuh. Maka, di mana titik fokalnya?

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, para pendokong serta penyokong wajar memahami dan meneliti apakah sebenarnya maksud sebenar Konsensus Nasional. Saya percaya jika ia dilontarkan lebih awal untuk mendapat pandangan awam, maka perkara ini dapat dimatangkan dengan lebih baik lagi.

Dilihat beberapa langkah strategi politik dan idea-idea besar oleh rakan PR yang agak pelik dan kurang disenangi rakyat seperti kes Kajang dan konsensus nasional memerlukan kesepakatan dan dibincangkan secara telus di peringkat PR.

Dalam hubungan antara BN dan PR yang dilihat terlalu politiking dan penuh tipu muslihat politik, sudah pasti agenda bersama seperti lontaran idea konsensus nasional yang boleh meredakan suhu politik dan disenangi rakyat haruslah menjadi satu  gerakan yang benar dan amanah, bukan sekadar projek politik yang kelak akan memeningkan rakyat.


Nik Mohamad Abduh bin Nik Abul Aziz
Ahli Parlimen Pasir Mas
AJK Pas Pusat

Sumber:  http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/anwar-perlu-jelaskan-konsensus-nasional-1.248099