February 7, 2014 Kolumnis, Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman 0
Humanisme merujuk kepada Protagoras (420-490M), kemudian dikembangkan oleh August Comte (1798-1857M) sebagai agama kemanusiaan (religion of humanity). Ia adalah falsafah yang bercirikan atheis dan sekular. Daripada fahaman ini, terbitnya istilah liberalisme, pluralisme agama dan hak asasi manusia.
Di atas fahaman humanisme ini juga terbit seruan kebebasan, kesamarataan, dan persaudaraan (insan) yang menjadi slogan kepada pertubuhan Yahudi antarabangsa Freemason. Pelopor fahaman-fahaman ini semuanya terdiri daripada tokoh-tokoh Yahudi Freemason.
Hari ini kita sedang menyaksikan fahaman ini sedang menyerang negara Malaysia dengan ganas sekali. Ia kelihatan bersepadu dan terancang. Ia dijalankan oleh proksi-proksi di kalangan tokoh-tokoh politik, NGO yang bukan Islam dan juga Islam. Tema-tema kebebasan, kesamarataan, persaudaraan (insan), hak asasi manusia telah merasuk dalam menguasai pemikiran sebahagian besar golongan muda termasuk anak-anak gerakan Islam tanpa mereka sedari dalam kecelaruan pertarungan politik dan arus pemikiran yang ada.
Dan telah nyata pertembungan antara puak Islam yang berpegang teguh dengan rujukan Islam (marjaiyyah Islamiah) dengan puak Islam yang berkiblatkan kepada fahaman sekular atheis dari barat ini. Paksinya ialah antara dua agenda: keinginan untuk mengekalkan rujukan nilai, perundangan dan kenegaraan berasaskan Islam, jati diri bangsa dan pengalaman alam Melayu, dengan impian untuk sebuah negara berkiblatkan kepada nilai barat yang diasaskan oleh Yahudi Freemason.
Mereka muncul dengan nyata di kalangan umat individu-individu melalui pelbagai wadah memperjuangkan liberalisme dan pluralisme dengan bangga dan tanpa rasa salah.
Malangnya juga terdapat individu dari Parti dan NGO yang asalnya Islam terperangkap dalam kesesatan pemikiran ini. Dari kalangan mereka inilah lahir satu golongan di kalangan umat Islam dinamakan muslim/Islam liberal. Mereka ini cuba memainkan peranan untuk mentafsir Islam secara “progresif” selari dengan mafhum liberal barat.
Mereka menggunakan kaedah “plotisme” iaitu dengan merenggang hubungan pegangan umat Islam dengan sumber tradisi pengajian Islam seperti Al-Quran, sunnah dan pendapat ulamak muktabar dan mengapungkannya supaya boleh dimuatkan dengan ajaran baru yang berasaskan liberalisme, pluralisme dan hak asasi manusia yang dianggap progresif. Mereka menamakan diri mereka sebagai muslim demokrat atau juga “moderate muslim” yang “progresif” sebagai satu strategi untuk membentuk imej terbalik kepada pihak yang menentang mereka sebagai “fundamentalis” atau “ekstremis berhaluan kanan”. Semua itu bukan perkara baru bahkan satu helah telah wujud lama dalam menu propaganda mereka.
Selain berkembang melalui falsafah libralisme, pluralisme, fahaman humanisme atheis dan sekular ini berkembang juga melalui agama Kristian. Evangelis Kristian adalah juga datang dari asal usul kaum yang sama. Sekarang golongan Evangelis Kristian sangat berkuasa di Malaysia melalui Persatuan Gereja dan juga parti politik. Golongan ini juga memainkan peranan kuat dalam usaha mengubah identiti negara dan kebangsaan rakyat Malaysia.
Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden ISMA
Sumber: http://www.ismaweb.net/v4/2014/02/asal-kelahiran-islam-liberal-atau-muslim-moderat
No comments:
Post a Comment