Pages

Monday, June 2, 2014

DAP Ketua Umum Pakatan Rakyat selepas Anwar?

Anwar Bersalah
 

Kemangkatan Sultan Perak DYMM Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah tempohari membuatkan ramai meng”google” dan mencari bagaimanakah permasyhuran sultan yang baru dibuat di negeri Perak. Sekalipun tampak kompleks, namun dasar Tubuh Negeri Perak telah menjelaskan kriteria dan sistem pemilihan Sultan Perak yang baru dengan begitu terperinci. Begitulah peri pentingnya suatu sistem atau peraturan yang jelas dalam memilih pemimpin sesebuah organisasi masyarakat, negeri mahupun negara.

Begitu juga BN mahupun PR. Prinsip yang sama seharusnya digunapakai dalam menentukan kelangsungan kepemipinan koalisi politik dan kerjasama politik sesama mereka.

Bagi BN, rata-rata pihak mungkin boleh mengagak bahawa struktur pimpinan BN dipilih berdasarkan tradisi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipilih sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi BN. Ini mungkin disebabkan kerusi majoriti parlimen di dalam BN dipegang parti UMNO. Ini secara tidak langsung menjamin teraju kepemimpinan dipegang Melayu Islam. Tambahan, dengan dominasi UMNO dan parti-parti bumiputera di Sarawak di dalam BN selepas PRU 2013, kedudukan bumiputera akan sentiasa dipelihara dan tidak akan dipersoalkan. Sekalipun BN masih mempunyai kelemahan yang banyak dalam pelaksanaan polisi dan struktur pentadbiran sosio-politik. sistem kelangsungan kepemimpinan yang sedia ada pasti akan melegakan bumiputera sama ada di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah mahupun Sarawak kerana sekurang-kurangnya kedudukan mereka akan tetap dipelihara.

Bagaimana pula PR? Apakah sistem pemilihan yang digunapakai untuk melantik Ketua Umum PR? Adakah ada jaminan bahawa selepas Anwar Ibrahim Ketua Umum PR tidak dipegang oleh supremo DAP memandangkan kerusi majoriti parlimen di dalam PR dipegang DAP? Adakah ada jaminan visi DAP untuk menghapuskan kedudukan bumiputera dan bukan bumiputera tidak akan mendominasi visi PR memandangkan suara mereka majoriti dalam PR? Memandangkan PR terdiri dari 3 ideologi politik yang berbeza, apakah jaminan sistem sekular yang diperjuangkan DAP tidak mengatasi ketinggian kedudukan Islam sebagai cara hidup yang syumul yang diperjuangkan PAS? Malah, pandangan Dewan Ulama PAS bukanlah penentu polisi PR sebagaimana isu kalimah Allah menjadi bukti. PKR bukanlah alternatif yang baik untuk memimpin koalisi politik PR kerana mereka masih terperangkap dalam kemelut politik dalaman mereka sendiri. Pada waktu sekarang, sama ada mahu diakui PAS mahupun PKR atau tidak telah jelas bahawa secara tidak langsung DAP “memegang” teraju PR disebabkan majoriti kerusi parlimen yang dipegang oleh mereka.

Jika benar PR mahu memimpin negara, mereka harus lebih telus menjelaskan bagaimana struktur organisasi dan sistem pemilihan kepemimpinan di dalam gabungan PR itu sendiri. Bagaimana mereka dapat memastikan kestabilan politik di dalam pentadbiran negara sedangkan kerjasama yang dibina antara parti setelah lebih 7 tahun bekerjasama masih belum jelas dan masih ada ruang yang mampu meretakkan kerjasama parti selepas Anwar? Mungkin sebelum mendapat kuasa, konsep Asalkan Bukan UMNO sudah mencukupi dan mampu menguruskan pentadbiran di peringkat negeri, namun bagaimana apabila sudah mula merasai kuasa di peringkat nasional? Bagaimanakah pimpinan PR dipilih? Rakyat Malaysia khususnya bumiputera wajib memahami ini sistem penggiliran kuasa di dalam PR dan bagaimana pelantikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri akan dilaksanakan. Sistem pemilihan ini yang begitu penting tidak boleh dibuat hanya selepas mendapat kemenangan di PRU14 nanti.

Andaikata PAS mahupun PKR sudah redha untuk melantik Lim Kit Siang sebagai Ketua Umum PR selepas Anwar dan DAP sebagai parti dominan di dalam PR maka nyatakan dari sekarang agar rakyat jelas dan tahu ketika membuat pemilihan. Biarlah rakyat faham siapakah Ketua Umum yang akan dilantik selepas Anwar Ibrahim. Janganlah kerana terlalu mahu menjatuhkan UMNO dan BN perkara yang sebegini penting diabaikan. Sesungguhnya isu kelangsungan kepemimpinan itu adalah perkara asas dalam sesuatu organisasi dan halatuju negara. Jika bermusafir berdua pun harus dilantik seorang “ketua”, inikan pula untuk mentadbir sebuah negara yang berbilang kaum di Malaysia.

Abu Ameen
Aktivis ISMA

Sumber:  http://www.ismaweb.net/2014/06/dap-ketua-umum-pakatan-rakyat-selepas-anwar/

No comments:

Post a Comment