Pages

Wednesday, June 11, 2014

Istihalah dan unsur babi: Terma teknikal dan kaedah fiqh – Prof Azizi Ayob June 11, 2014 Berita Utama, Kolumnis, Utama 1




Prof Azizi Ayob
 


Penulis rasa terpanggil untuk memberi sedikit pendapat berkenaan isu terkini yang diperkatakan oleh golongan ulama’ dan para cendiakawan tersohor berkenaan ‘istihalah’ dan unsur babi dalam makanan dan gelatin. Ini juga rentetan daripada isu coklat Cadbury yang pada awalnya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan 2 sampel coklat tersebut telah disahkan positif mengandungi DNA babi.
Penulis terlibat secara langsung dalam menjalankan kajian penyembelihan halal dan pembuatan halal gelatin di New Zealand pada 2008. Semenjak itu, penulis juga terlibat sebagai ketua penyelidik farmaseutikal produk halal dan diskusi halal bersama JAKIM serta HDC yang dijalankan di negara kita. Penulis tidak berniat ‘menyanggah’ fatwa Dr Yusuf Al-Qaradawi, dan secara jujur dan rendah diri akan merujuk keputusan Majlis Fatwa Malaysia, dan cuba melihat di mana logik dan teori sains berperanan dalam isu ini.

Di akhir tulisan ini, sangat diharapkan, pihak umum akan memahami ‘terma teknikal dan kaedah fiqh itu’ dan contoh-contoh bahan dan aplikasi konsep ‘istihalah’ yang sangat berkait rapat.

Istihalah dan perkembangan sains dan teknologi
Perkembangan sains dan teknologi dalam pembuatan makanan dan ubat-ubatan secara tidak langsung menyebabkan para cendiakwan serta saintis Islam lebih bersikap progresif dan peka dengan perkembangan yang ada. Sesuatu ketetapan hukum terutama yang berkaitan soal sains dan teknikal, mahu ataupun tidak, perlu mendapat ‘input’ yang tepat daripada pihak saintis.

Konsep istihalah ini sebenarnya datang dari sumber Al-Quran, di mana Allah SWT berfirman dalam surah al-Nahl ayat 66:
“Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pengajaran bagi kamu. Kami memberimu minum dari pada apa yang berada dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.” (al-Nahl: 66)
Konsep istihalah dapat dilihat dalam ayat ini (al-Nahl 66), iaitu aspek bahawa susu yang dihasilkan oleh binatang ternakan adalah halal walaupun ia berada di antara najis dan darah haiwan berkenaan. Susu itu terhasil daripada makanan yang dimakan oleh haiwan tersebut yang kemudiannya dicernakan di dalam perut di mana sebahagiannya menjadi darah, daging dan susu, manakala selebihnya menjadi najis yang dikeluarkan apabila tiba masanya. Berdasarkan ayat ini juga, para ulamak merumuskan, perubahan tabi’e darah yang haram dimakan kepada susu dan daging yang suci dan halal dimakan adalah proses istihalah yang diterima1. Dari konsep ini juga cuba diaplikasikan kepada beberapa proses perubahan bahan seperti najis kepada yang dibenarkan untuk dikonsumpsi oleh manusia.

Sesuatu yang perlu difahami bahawa, aplikasi konsep istihalah walaupun disebut dalam banyak karya fiqh silam, masih menjadi sesuatu topik perbincangan yang tidak disepakati di kalangan ulama’. Ini saling berkait-rapat tentang pemahaman dan hujah pada sudut yang berbeza. Walaubagaimanapun, konsep istihalah diterima pakai secara ittifaq dalam beberapa kes sahaja, manakala sejumlah besar lain menjadi pegangan dalam mazhab-mazhab tertentu sahaja.

Secara mudahnya, ‘istihalah’ daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘berubah’ atau perkataan seertinya iaitu perubahan atau pertukaran. Manakala istilah sains yang hampir dengan maksud istihalah ialah ‘transformation’ atau ‘chemical/physical decomposition’. Umumnya, isu ini timbul apabila umat Islam sangat sensitif atas status ‘halal atau haram’ sesuatu produk untuk dimakan. Justeru, aplikasi istilah ini perlu difahami sewajarnya.

Apabila definisi istihalah dalamproses pembuatan makanan dan ubat-ubatan digunapakai, ianya menyentuh empat elemen asas2. Pertama, bahan asal atau bahan mentah. Kedua, agen perubahan yang berlaku. Ketiga, bahan akhir atau bahan baru yang terhasil. Keempat, tujuan pembuatan dan pemprosesan bahan akhir tersebut. Adapun tujuan pembuatan atau pemprosesan, kita melihat sejauh mana ‘design methodology’ digunapakai untuk menghasilkan sesuatu produk akhir tersebut. Di bawah ialah ringkasan konsep ini:
Rajah konsep Istihalah
Selain daripada definisi yang disebutkan di atas, konsep istihalah jugaboleh juga dirumuskan sebagai perubahan sifat jirim atau zat bagi sesuatu bahan yang boleh menyebabkan perubahan hukumnya yang asal. Berdasarkan penjelasan ini, bahan najis yang haram boleh berubah menjadi suci dan halal apabila zatnya berubah menjadi bahan lain yang berbeza sama ada dari segi nama, kriteria dan juga sifatnya3.  Juga pandangan lain berkenaan istihalah iaitu Wahbah al-Zuhayli dalam karya agungnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh ketika menghuraikan kaedah penyucian najis menyebut bahawa istihalah adalah “proses perubahan sesuatu benda yang najis (`ayn najasah) kepada sesuatu yang suci sama ada secara tabi’e atau melalui perantaraan.4

Aplikasi konsep istihalah dalam pembuatan gelatin
Penulis merasa bertuah kerana berkesempatan membuat penyelidikan secara terperinci dari awal hingga akhir proses pembuatan gelatin halal dari sumber lembu di New Zealand. Daripada pengalaman tersebut, secara mudah kita akan faham sejauh manakah gelatin tersebut boleh disahkan halal atau sebaliknya. Mari kita lihat dalam proses pembuatan gelatin tersebut dan cuba kita aplikasikan konsep ini dan sejauh mana gelatin babi boleh dikategorikan sebagai ‘halal’ ataupun tidak.

Langkah 1: Bahan asas/mentah itu mestilah daripada sumber halal. Ini bermula daripada sembelihan lembu itu menurut kaedah syarak dan disembelih oleh seorang muslim. Kebanyakan bahagian yang digunakan ialah kulit lembu dan terutamanya kulit dan lemak di sekeliling tengkuk lembu. Kadang-kadang juga digunakan tulang, tendon, tisu-tisu serta bahagian lain. Jika lembu tersebut disembelih tidak mengikut kaedah Islam, sebagai contoh lembu itu mati sebelum sembelihan, maka bahan kulit itu akan dibuang dan tidak akan diambil untuk proses seterusnya. Semua bahan asas daripada lembu itu tadi akan diasingkan ke bahagian halal sahaja. Bahan-bahan tersebut akan dipotong mengikut saiz kecil untuk proses seterusnya.

Langkah 2: Penggunaan agen perubahan di sini termasuklah ‘degreasing and roasting’ pada tempoh waktu dan suhu tertentu, rawatan dengan acid dan alkali untuk beberapa hari, seterusnya pemanasan pada suhu tinggi, dan akhirnya proses penyejatan dan pemotongan kepada saiz tertentu. Proses pengasingan juga berlaku pada tahap ini.

Langkah 3: Bahan akhir gelatin tergantung kepada penggunaannya. Ini termasuk mencampurkan pewarna serta bahan additive lain.

Langkah 4: Tujuan asalnya ialah menghasilkan gelatin daripada sumber lembu yang telah disembelih mengikut kaedah syarak. Semua 3 proses di atas adalah halal dan mematuhi standard GMP (Good Manufacturing Practice) dan patuh syariah. 

Sudah pasti daripada salah satu 4 langkah di atas, telah berlaku istihalah atau perubahan pada fizikal sehinggalah gelatin terhasil. Tetapi secara teknikalnya, gelatin ini masih mempunyai unsur-unsur protein atau struktur kimia yang bersumberkan daripada lembu. Proses penghasilan gelatin ini halal kerana setiap langkah di atas mematuhi kriteria halal menurut GMP dan patuh syariah.

Nah cuba kita aplikasikan konsep di atas dan kita gunakan babi sebagai bahan asas pembuatan gelatin. Sebagai seorang saintis, penulis masih memikirkan sejauh mana proses istihalah boleh membenarkan unsur babi tersebut dikategorikan sebagai halal. Adapun mungkin di peringkat akhir iaitu gelatin dan struktur kimia yang baru di mana berlaku perubahan fizikal daripada asalnya unsur babi. Namun sumbernya masih dikategorikan haram dan tidak patuh syariah. Sekalipun babi itu disembelih menurut cara Islam dan patuh syariah, tidak mungkin status kulit, tulang, tendon dan tisu daripada babi itu boleh bertukar status halal. Penulis masih berpendapat, walaupun 3 peringkat yang lain disahkan halal termasuk tujuan pembuatan gelatin, ianya tidak memadai walaupun proses istihalah digunapakai di sini.    

Beberapa pandangan mazhab
Beberapa pandangan mazhab termasuklah yang agak terbuka dan ketat dalam aplikasi istihalah kepada aspek tertentu sahaja. Pandangan ini didokong oleh ulama’ dari kalangan mazhab Syafi‘i dan salah satu pandangan mazhab Hanbali. Mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa sesuatu bahan yang najis tidak boleh menjadi suci dengan berubah sifatnya kecuali dalam tiga keadaan. Pertama, arak yang bertukar menjadi cuka dengan sendirinya. Kedua, kulit binatang yang mati selain daripada anjing dan babi menjadi suci apabila disamak. Ketiga adalah sesuatu yang berubah menjadi haiwan seperti bangkai berubah menjadi ulat kerana berlaku suatu kehidupan yang baru. Berdasarkan pendapat tersebut, sesuatu yang berubah dari segi bentuknya tetap dikira najis kerana ia berasal dari sumber yang najis melainkan tiga pengecualian yang dinyatakan.

Kesimpulan
Sewajarnya kita memahami definisi dan aplikasi istihalah dan perbahasan ulama’ silam serta beberapa fatwa kontemporari untuk mematangkan kita. Termasuklah juga penerangan teknikal dan terma sains untuk memudahkan kita memahami konsep istihalah ini. Pengalaman penulis terlibat secara langsung dalam proses pembuatan gelatin dan aplikasi Halal, sangat memberi kelebihan di mana titik tolak ketidakfahaman para pembaca dan umum perlu dirungkai. Peranan dan gabungan pihak berwajib seperti JAKIM, Majlis Fatwa dan para saintis muslim sangat penting dalam menangani isu sebegini supaya umum akan faham apabila sesuatu fatwa itu dikeluarkan. Umum berhak mengetahui dan diberi penjelasan sewajarnya. Sekali lagi penulis ingin tekankan, penerangan di atas untuk memberi kefahaman kepada pihak umum dan aplikasi istihalah itu mempunyai skop dan limitasinya. Jauh sama sekali untuk menyanggah mana-mana fatwa. 

Semoga bermanfaat. Ameen.  
  
Rujukan:
1Pendekatan istihalah dalam produk yang berunsurkan babiOleh:Dr Saadan ManJabatan Fiqh & Usul,Akademi Pengajian IslamUniversiti Malaya
2Rujukan dan sedikit penambahan: Teori istihalah menurut perspektif islam dan Sains: Aplikasi terhadap beberapa penghasilan produk makanan oleh Mohammad Aizat Jamaludin dan Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi
3Anisah Ab. Ghani, Jurnal Halal 2008: 45-46,: Muhammad Safiri Makanan Ubahsuai GenetiK: Satu Analisis Hukum, 2008: 78.
4 Wahbah al-Zuhayli, sumber dari al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh
______________________________________________
Penulis:
Prof. Azizi Ayob
Setiausaha Agung I-Medik (Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia)
Professor Pharmacology di International Medical University (IMU)
Diploma Islamic Studies (IIUM), MD (UKM) dan PhD (IIUM)


Sumber: http://www.ismaweb.net/2014/06/istihalah-dan-unsur-babi-terma-teknikal-dan-kaedah-fiqh-prof-azizi-ayob/

No comments:

Post a Comment