Menangani cabaran-cabaran
semasa umat, kita dituntut memiliki kebijaksanaan di dalam berdakwah.
Kebijaksanaan atau hikmah menjadi prasyarat kejayaan dan keberhasilan
dakwah. Kegagalan memahami konsep dakwah secara hikmah mengundang fitnah
terhadap Islam dan wajah Islam. Dakwah adalah seruan mengajak manusia
ke arah kebaikan dengan melaksanakan tugas menyeru kepada yang makruf
dan mencegah segala yang mungkar.
Dakwah sebagaimana yang didefinisikan
para cendekiawan Islam membawa kepada takrifan yang pelbagai mengikut
dimensi yang berbeza, namun tetap dalam lingkungan amar bil makruf wa
nahyu ‘anil mungkar.
Ibnu Taimiyyah r.a menyatakan “dakwah ke
jalan Allah, bermaksud seruan kepada keimanan terhadap Allah dan segala
apa yang dibawa oleh para Rasul-Rasul-Nya dengan membenarkan segala
perkhabaran mereka dan mentaati segala perintahnya”. Menurut Dr. Sayyid
Muhammad al-Wakil “ dakwah ke jalan Allah bermaksud mengumpul manusia di
atas kebaikan, menunjukkan mereka ke jalan petunjuk dengan mengajak
kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran”. Syeikh Muhammad as-Sowwaf
pula mentakrifkan ia sebagai satu risalah langit ke bumi iaitu petunjuk
al-Khaliq (Allah) kepada makhluk (manusia) iaitu agama Allah yang betul
dan lurus.
Ulama Haraki seperti Dr. Fathy Yakan
menjelaskan bahawa dakwah adalah kerja meruntuh dan membina, meruntuh
jahiliyah dengan segala rupa bentuknya samada jahiliyah pemikiran
ataupun jahiliyah akhlak ataupun jahiliyah sistem dan perundangan
kemudian membina masyarakat Islam berdasarkan asas-asas Islam dari segi
bentuk dan isi, luaran dan dalaman, dalam bentuk sistem pemerintahan dan
cara hidup serta pandangannya akidah terhadap alam, manusia dan
kehidupan.
Syeikh Dr. Taufik al-Wa’ie merumuskan
kefahaman dakwah sebagai satu usaha mengumpul manusia di atas kebaikan,
menunjukkan mereka ke jalan petunjuk dengan melaksanakan manhaj Allah di
dunia secara lisan dan amalan, menyeru kepada yang makruf, mencefah
dari segala yang mungkar, membimbing mereka ke jalan yang lurus,
bersabar dan menguatkan kesabaran di dalam memikul tugas penyampaian
risalah.
Dalam erti kata lain dakwah bukan
sekadar profesion menyampaikan seruan kebenaran tetapi menjangkau kepada
proses membina dan membentuk. Tugas tabligh atau mengenalkan dakwah
menjadi hak kepada yang menentang atau menolak seruan dakwah, manakala
bagi manusia yang menerima seruan dakwah pula mendapat hak dibina dan
dibentuk.
Dalam memahami konsep dakwah sebagai satu profesion yang mulia, perlu disedari beberapa konsep-konsep berikut :
Pertama : Dakwah adalah profesion utama
para Nabi dan Rasul. Satu profesion yang mengangkat martabat dan darjat
para Nabi dan Rasul ke tingkat kemuliaan dan keagungan yang menjadi
sebab pengutusan mereka kepada umat manusia. Mereka melaksanakan misi
tabsyir dan misi tanzir bagi membawa kesejahteraan dan keselamatan di
dunia dan di akhirat. Ini ditegaskan di dalam ayat 165 surah an-Nisa
yang bermaksud “Rasul-Rasul membawa khabar gembira dan memberikan
ancaman agar tidak menjadi hujjah bagi manusia untuk menerima risalah
setelah didatangkan para rasul”.
Kedua: Dakwah ke jalan Allah adalah
profesion wajib ke atas seorang yang mengaku dirinya sebagai muslim.
Taklif dakwah yang menjadi inti pengutusan para rasul tidak hanya
terbeban ke atas mereka sahaja tetapi juga terhadap umatnya. Kaedah
menyebut bahawa khitab ke atas rasul ia juga meliputi khitab ke atas
umatnya. Ketika Allah menyuruh baginda ar-Rasul s.a.w menyampaikan
dakwah “serulah ke jalan Tuhanmu dengan secara hikmah dan peringatan
yang baik”, ia adalah seruan yang tidak hanya menjadi taklif kepada Nabi
Muhammad SAW sahaja tetapi kepada umat nabi. Muhammad SAW. Ungkapan
‘serulah’ di dalam istilah Bahasa Arab bermaksud kata perintah dan kata
perintah menunjukkan dalil wajib. Wajib di sini bererti wajib ke atas
baginda SAW melaksanakan tugas berdakwah dan menyampaikan risalah, ia
juga menjadi wajib ke atas setiap muslim yang mukallaf samada lelaki
atau perempuan.
Imam al-Ghazali menyebut tugas menyeru
kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran adalah teras teragung agama,
ia adalah tugas yang menjadi sebab diutuskan para Nabi dan para Rasul,
kalau diabaikan tugas tersebut nescaya akan terencat kenabian dan
binasalah agama.
Ketiga : Berhenti di dalam menyampaikan
risalah dakwah dan menyembunyikan ilmu adalah haram dan berdosa.
Mana-mana individu muslim yang gagal berdakwah atau tidak punyai
keinginan berdakwah atau pun memiliki ilmu namun tidak menyebarkannya
kepada orang lain , ia adalah satu dosa. Tindakan menyembunyikan risalah
dakwah ini sama sebagaimana kaum Yahudi yang menyembunyikan kebenaran
kitab Taurat . Tindakan tersebut mendapat laknat Allah di dalam al-Quran
sebagaimana yang tercatat pada ayat 159 dan 174 surah al-Baqarah.
Laknat tersebut bukan sahaja dari allah , juga dari para Malaikat dan
orang-orang beriman, termasuk golongan jin sebagaimana yang disebut di
dalam kitab Zubdatur Tafsir min Fathir Kadir karangan Imam Shaukani.
Keempat : Profesion dakwah banyak
manfaat. Secara tuntas dengan berdakwah akan memperolehi ganjaran pahala
yang berlipat ganda. Tidak rugi bagi mereka yang melaksanakan
kerja-kerja dakwah kerana imbuhan yang diperolehi adalah pahala yang
tidak henti mengalir. Pendakwah tadi telah terlepas dari menerima
hukuman Allah disebabkan kerja dakwah yang dilakukannya.
Di dalam hadis-hadis sohih, baginda SAW
menjelaskan bahawa mereka yang berdakwah sehingga menunjuk jalan hidayah
ia adalah lebih baik dari unta merah atau dunia dan segala isinya.
Bayangkanlah apa yang terbaik di dunia kalau hendak dibandingkan dengan
usaha dakwah yang dilakukan. Ia adalah satu tawaran yang tidak ada tolak
bandingnya. Bahkan orang yang menunjuk jalan kebaikan akan berterusan
pahalanya selagi mana insan yang mendapat hidayah tersebut tetap
melakukan kebaikan tersebut.
Di samping itu, profesion ini membawa
seorang pendakwah tadi dicintai sahabat, rakan, teman dan semua manusia.
Secara tidak langsung pendakwah tadi meningkatkan kemahiran
berinteraksi dengan orang lain, belajar seni berdakwah secara praktikal,
memahami psikologi manusia serta mengutip pengalaman berharga dari
kelompok manusia yang pelbagai.
Kelima : Berdakwah menunjuk hidayah
bukan memberi hidayah. Satu hal yang sering dilupakan para pendakwah
ialah kerja dakwah adalah kerja menunjuk jalan-jalan hidayah kepada
manusia. Kita bukan pemberi hidayah, yang memberikan hidayah adalah
Allah swt. Penegasan ini dinyatakan Allah SWT di dalam al-Quran pada
ayat 99 surah al-Maidah yang bermaksud : “Tidaklah engkau wahai Rasul
melainkan hanya menyampaikan”. Jelas ayat menyebutkan tugas Rasul hanya
menyampaikan bukan iqna’ (memastikan mereka menerima seruan tersebut).
Ungkapan ini didatangkan dalam bentuk pengecualian (mustasna) selepas
adanya penafian yang membawa maksud al-Hasr (membataskan dalam skop
tertentu). Secara tidak langsung para du’at digesa merancakkan usaha
dakwah ke segenap lapisan masyarakat tanpa menanti seruannya diterima.
Ini kerana bicara dakwah adalah bicara amali dan interaksi dengan
masyarakat dan tidak membicarakan tentang natijah manusia kerana kerja
memberikan hidayah adalah kerja Allah SWT.
Memahami konsep-konsep tadi menjadikan
para pendakwah faham dan bersikap realistik mendepani dunia dakwah alaf
baharu. Apatah lagi abad sekarang abad digital dan era millenium. Tanpa
persediaan yang cukup, para pendakwah akan gagal memahami bahasa dakwah
sezaman bahkan tidak mampu membawa perubahan yang diimpikan. Cabaran
internal dan eksternal dengan segala isunya menuntut para pendakwah
mengasah kemahiran dakwahnya dan menguasai pelbagai skill terutama
berdepan cabaran moden seperti plularisme agama, nano teknologi,
globalisasi, dualisme sistem, kemajmukan masyarakat, dakwah non muslim
sehingga menampilkan wajah Islam sebagai wajah yang indah dan diterima
semua masyarakat.
Anak Bendang
Sumber: http://www.ngeteh.net/mengangkat-profesion-dakwah-di-alaf-baharu/
No comments:
Post a Comment