Pages

Tuesday, May 27, 2014

Wala’ & Bara’ : Satu Koreksi Terhadap Politik Gerakan Islam di Malaysia


Menurut Abu Al-Wafa’ Ibnu ‘Aqil Al-Hanbali, politik adalah apa saja perbuatan yang mendekatkan manusia kepada kebaikan dan menjauhkannya dari kefasadan.[1]

Bila bicara tentang politik, apa yang kita maksudkan adalah politik yang berasaskan syara’ (Siyasah Syar’iyyah). Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyebut : “Siyasah Syar’iyyah bermaksud politik yang berdiri di atas kaedah-kaedah syara’, hukum-hakamnya dan petunjuk-petunjuknya.”[2]  Selari dengan pendapat Imam Syafie bahawa : ”لا سياسة الا ما وافق الشرع”(Tidaklah politik itu melainkan apa yang menepati Syara’).[3]

Maka, bila ingin berpolitik atau apa jua muamalah, wajiblah berasaskan syara’ dan membawa kebaikan, tidak boleh sesuka hati hanya berfikir sendiri, tahaluf sana sini, masuk sana sini atas nama dakwah dan segala kaedah fiqh yang disalah gunakan.

Dalam situasi masyarakat Malaysia yang berbilang agama, antara asas syara’ yang saya kira sangat kritikal perlu kita faham adalah dasar wala’ & bara’, kerana  ia melibatkan dasar pendirian kita terhadap bukan Islam di Malaysia. Dan yang paling penting, dasar pendirian dan hubungan serta hak kita sesama umat Islam sendiri.

Sangat malang bila ada pemimpin parti, gerakan Islam, juga tokoh masyarakat jahil mengenai wala’ & bara’ lalu terkesan dengan idea pluralisme dan liberalisme, lantas memberi natijah yang bukan sahaja merugikan diri sendiri, bahkan umat Islam keseluruhannya di Malaysia.


Betitik tolak dari itu, izinkan saya menulis mengenai wala’ & bara’ dan aplikasinya dalam masyarakat dan politik di Malaysia, untuk muhasabah dan koreksi semula gerakan Islam di Malaysia -samada parti politik mahupun NGO Islam- terutama PAS & IKRAM yang dilihat begitu aktif berinteraksi dengan kumpulan atau parti bukan Islam dengan pelbagai bentuk seperti hubungan kerjasama, engagement atau tahaluf siyasi. Bukan tujuan tulisan ini untuk menghukum atau ‘menyerang’, tapi hanya untuk sama-sama muhasabah dan melihat kembali asas-asas wala’ & bara’ yang mungkin dilupai.

Diharap juga tulisan ini dapat memberi pencerahan kepada umat Islam, khususnya melayu muslim yang terkeliru dan cair dengan agenda liberalisme, sekularisme, dan pluralisme tajaan barat.
Saya amat berharap agar pembaca dapat membaca artikel ini dari mula hingga habis, setiap ayat dan perenggan supaya tidak timbul salah faham dan untuk memudahkan pemahaman.
Moga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua.

Maksud Wala’ & Bara’
Wala’ dan bara’ adalah dua perkara yang berlawanan.
Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Al-Qahthoni dalam kitabnya “Al-Wala’ wa Al-Bara’ fi Al-Islam”  menyimpulkan, wala’ adalah : pertolongan, kasih Sayang, penghormatan, memuliakan, mencintai, secara zahir dan batin. Tambah beliau, wala’ kepada orang kafir bermaksud mendekati mereka dan menzahirkan kecintaan dan kasih sayang terhadap mereka, dengan perkataan, perbuatan, dan niat.[4]
Imam As-Syahid Syed Qutub  menjelaskan apa yang dimaksudkan wala’ kepada orang kafir ialah saling tolong menolong dan saling berpakat (tahaluf) sesama mereka, di mana orang Islam keliru akan hal ini dan menyangka ianya diharuskan (tidak haram).[5]
Maksud Bara’ pula adalah berlepas diri, menjauhi, dan memusuhi selepas memberi peringatan dan amaran.[6]

Syeikh Al-Islam Al-Imam Ibnu Taimiyah menerangkan, wala’ adalah lawan kepada permusuhan. Asal wala’ adalah kasih sayang dan mendekati. Manakala asal permusuhan adalah kebencian dan menjauhi.[7]
Inilah maksud wala’ dan bara’. Keduanya memiliki makna yang luas. Bukan hanya melibatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat. Tetapi merangkumi hubungan dan hak sesama manusia itu sendiri tidak mengira pangkat dan darjat.


Hukum Wala & Bara’ Dalam Islam
Sangat banyak ayat Al-Quran yang memberi isyarat tentang hukum berkaitan wala’.  Antaranya :
Allah swt berfirman :
لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ
“Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (wala’ kepadanya) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah” (Ali-Imran : 28)
Firman Allah swt lagi :
بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahwa mereka akan mendapat siksaan yang pedih,(iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong (wala’ kepadanya) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah” (An-Nisa’ : 138-139)
Firman Allah swt lagi :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia (wala’ kepada mereka) yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), karena rasa kasih sayang. Padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu” (Al-Mumtahanah : 1)
 Firman Allah swt lagi :
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (At-Taubah : 71)
Daripada ayat-ayat Al-Quran di atas, dapat kita fahami bahawa :
1) Wala’ adalah wajib ke atas orang Islam sesama orang Islam secara umum. Tak kira samada di kalangan pemimpin mahupun rakyat.  Tidak kira latar belakang keluarga mahupun parti. Hubungan sesama orang Islam dibina atas dasar wala’.
2) Haram wala’ kepada orang kafir.  Jadi, hubungan kita dengan orang kafir dibina atas dasar Al-Bara’ (lawan kepada wala’).

Penjelasan
  1. Sebagai muslim, kita wajib wala’ kepada orang Islam. Wajib mengasihi, mencintai, dan saling membantu orang Islam. Jika mereka melakukan dosa, kezaliman atau kesalahan, wajib ditegur semampu mungkin dan kesalahan mereka wajar dikenakan hukuman selayaknya. Namun, tindakan ini tidak manghapuskan wala’ kita kepada mereka kerana mereka masih lagi beragama Islam.
Bertepatan dengan saranan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah : “Jika di sana ada seorang mukmin, maka hendaklah wala’ kepadanya meskipun beliau zalim, kerana kezaliman seorang mukmin tidak memutuskan  wala’ atas dasar keimanan.[8]
  1. Bara’ pula wajib ke atas orang Islam terhadap orang kafir. Maknanya, kita wajib berlepas diri daripada kesyirikan mereka dan membenci perbuatan yang telah melanggar hak Allah itu.
Apakah lagi kezaliman paling besar selain mensyirikkan Allah?
Firman Allah s.w.t :
إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
“sesungguhnya syirik adalah benar-benar kezaliman yang besar” (Luqman : 13 )
  1. Orang Islam yang sebenar sama sekali tidak akan mecintai kafir, musuh Allah. Sebagaimana FirmanNya :
لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ
“Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka.” (Al-Mujadalah  : 22)

Beza Wala’ dan Tasamuh Dengan Kafir
  1. Kita perlu bezakan antara  wala’ kepada kafir dan tasamuh (berbudi/buat baik) dengannya. Keduanya berlawanan. Wala’ kepada orang kafir diharamkan dan tasamuh dengannya pula diharuskan.
Ramai orang hari ini mencampur adukkan keduanya lantas mendakwa kononnya bersifat tasamuh dengan orang bukan Islam padahal mereka sedang wala’ kepada bukan Islam.
  1. Menurut pemikir Islam,  Imam As-Syahid Syed Qutub, tasamuh yang dibolehkan hanyalah dalam muamalah individu. Bukan dalam isu aqidah.[9]  Juga bukan dalam urusan sistem sosial & politik atau sistem kenegaraan. Kerana, tujuan atau maqasid politik dan negara Islam adalah menegakkan syariah Allah. Mustahil musuh Allah mampu redha dan bekerjasama menegakkan syariah di dunia ini.
  1. Kita hanya boleh tasamuh dengan mereka sekiranya mereka tidak memusuhi dan memerangi kita. Seperti mana firman Allah saw :
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Al-Mumtahanah : 8)
  1. Tasamuh yang diharuskan juga hendaklah tidak sampai tahap meredhai orang kafir kekal dengan agama mereka seperti mana yang dijelaskan Syed Qutub dalam Fi Zilal Al-Quran.[10]
  1. Seorang anak hendaklah berbuat baik kepada ibubapanya sekalipun mereka berdua kafir, namun diharamkan taat arahan mereka yang menyuruh mensyirikkan Allah. Firman Allah swt :
وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
“Dan jika kedua (ibubapa) memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik” (Luqman : 15)
  1. Tasamuh dengan bukan Islam juga bukan bermakna kita mencintainya dan saling berkasih sayang. Sepertimana pesan Al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Al-Fath : “buat baik,berhubungan, dan ihsan dengan orang kafir tidak melazimkan kasih sayang, saling mencintai dengan mereka yang memang telah dilarang.”[11]

Implementasi  Wala’ & Bara’ Dalam Sejarah Islam
Terdapat banyak contoh praktikal wala’ & bara’ yang dipamerkan oleh generasi Islam terdahulu. Di kesempatan ini, saya hanya memetik beberapa kisah yang diaplikasikan oleh Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.a, generasi Al-Quran yang unik lagi hebat,  tak tertanding hingga kini [12] :
  1. Dalam kitab Sahih Muslim merekodkan bahawa seorang pemuda kafir menyampaikan hasratnya untuk menyertai Rasulullah dan Para Sahabat (sebelum Peperangan Badar). Rasulullah dengan tegas berkata kepadanya : “Pulanglah, Aku sesekali tidak akan meminta pertolongan dari orang musyrik”[13]
  1. Abu ‘Ubaidah Al-Jarrah r.a sanggup membunuh ayahnya sendiri yang kafir dalam peperangan badar.[14]  Hubungan darah tidak menghalang Abu Ubaidah dari memberi wala’ kepada Allah dan RasulNya serta berlepas diri & benci kekafiran dan permusuhan ayahnya terhadap Islam.
  1. Malapetaka menimpa Ka’ab bin Malik r.a dimana beliau dipulau oleh Rasulullah dan Para Sahabat kerana tidak menyertai peperangan tabuk. Hatta isterinya turut memulaunya lalu kembali ke rumah keluarga. Pulauan yang menyeksakan, sehingga ucapan salamnya pun tidak dijawab oleh sesiapa.
Maka ketika itu datang seorang utusan dari Syam menyampaikan tawaran hebat dari Raja Ghassan untuk mengajak Ka’ab menyertainya dan diberi segala keperluan dan pertolongan. Lantas Ka’ab menyebut “dan ini juga adalah malapetaka”. [15]
  1. Begitu juga dengan sahabat agung, Abdullah bin Huzafah As-Sahmiy r.a ketika menjadi tawanan Rom. Raja Rom menawarnya separuh dari kuasa pemerintahan kepadanya dengan syarat meninggalkan Islam. Abdullah As-Sahmiy menolak tawaran itu lalu diugut bunuh dan diseksa. Beliau tetap tidak menerima tawaran tersebut dan lebih rela untuk diseksa dan dibunuh.
  1. Kaum Aus dan Khazraj dulunya merupakan dua kaum di Madinah yang sering bergaduh sesama mereka. Apabila Islam datang kepada mereka, mereka dapat bersatu. Malah Rasulullah dan para sahabat dari Makkah yang berhijrah ke Madinah juga disatukan dengan mereka sehingga berjaya membina sebuah negara Islam yang pertama !
Menurut Syeikh Dr. Muhd Abdul Qadir Abu Faris (Ulama’ Siyasah Syar’iyyah Jordan), jumlah umat Islam ketika itu hanyalah sebanyak 17% (bahkan kurang) daripada jumlah keseluruhan penduduk Madinah.[16] Inilah hasil dari iman yang kuat dan wala’ yang tak berbelah bagi kepada kepada Allah, RasulNya dan sesama orang Islam. Dengan hanya 17% sudah mampu membina sebuah Negara Islam yang sejahtera, adil dan menegakan undang-undang syariah.

Aplikasi Wala’ & Bara’ Ke Atas Masyarakat dan Politik di Malaysia
Saya bahagikan tajuk ini kepada dua bahagian supaya lebih jelas dan mudah difahami;  Bara’ Terhadap Bukan Islam di Malaysia & Wala’ sesama umat Islam di Malaysia.
1)      Bara’ Terhadap Bukan Islam di Malaysia
Bagaimana pendirian kita sebagai muslim terhadap masyarakat, badan, parti bukan Islam di Malaysia? Sejauh mana hubungan kita dengan mereka?
  1. Jawapannya mudah, jika mereka tidak melawan dan tidak memusuhi Islam, hendaklah bermuamalah baik dengan mereka sepertimana firman Allah s.a.w :
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”  (Al-Mumtahanah : 8)
  1. Perlu diingat, muamalah baik ini tidak membatalkan kewajipan bara’ terhadap syirik mereka kepada Allah. Jangan sebab nak jaga hati mereka, hati umat Islam dilukai, hak Allah dicabuli dengan meredhai kesyirikan mereka.
  1. Ketika saya bertanya Syeikh Abu Faris mengenai “bolehkan cinta kepada orang kafir walaupun mereka berbuat baik?”, beliau menjawab, cinta hanya dibenarkan kepada sesiapa yang diizinkan Allah sahaja, iaitu orang Islam. Katanyaالكافر لا يحب  (orang kafir itu tidak dicintai). Tetapi hanya bermuamalah secara baik sahaja.
  1. Seperti biasa, pasti ada rasa kasihan melihat mereka yang kafir kerana jahil. Maka wajiblah kita dakwah mereka dengan hikmah. Menerangkan Aqidah Islam yang sahih. Mengajak mereka mengenali Allah yang Maha Esa serta menerangkan tentang keindahan Islam. Dan menyeru mereka memeluk Islam dengan kerelaan (bukan paksaan). Ini memang wajib ke atas kita.
  1. Salah satu bentuk  wala’ kita kepada bukan Islam adalah tolong menolong dan tahaluf dengannya seperti mana yang disebut As-Syahid Syed Qutub.[17]
Menurut Syeikh Muhammad Ar-Rasyid dalam Usul Ifta’, meminta pertolongan dengan negara, parti, atau kumpulan kafir (bukan secara individu) adalah dilarang[18] dan hanya boleh berlaku dalam situasi terpaksa yang memerlukan, dengan mengikut syarat ketat yang menguntungkan Islam.
Salah satunya adalah mestilah kelompok Islam lebih dominan dan lebih kuat (ada syaukah) -sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh As-Syaibani, As-Sarakhsi, dan Al-Karabisi- supaya dapat mengelak dari mudharat kemungkinan berlakunya pengkhianatan. [19]
  1. Syeikh Munir Muhammad al-Ghadhban dalam kitab At-Tahaluf As-Siyasi  fi Al-Islam telah menerangkan 3 jenis tahaluf yang diharamkan :
    • Tahaluf yang memungkinkan musuh bertindak menyerang gerakan Islam, dimana dapat diketahui kekuatannya dan diketahui hasad & bencinya terhadap Islam.
    • Tahaluf pemikiran yang mendorong orang Islam menerima pemikiran selain Islam. Atau ‘tenang’ dengan Aqidah yang batil dan memperakuinya (إقرار)atau sebahagiannya dengan hujah maslahah. Ini sudah keluar dari Islam dan kufur.
    • Tahaluf yang membawa kepada perpecahan saf umat Islam dan melemahkannya. Ini akan membawa kepada peperangan di dalam saf umat Islam dan berlakunya fitnah. Ketahuilah bahawa fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh. Inilah sebenarnya objektif musuh.[20]
  1. Persoalannya , adakah tahaluf siyasi yang dilaksanakan PAS, PKR dengan DAP sudah selamat dari ketiga-tiga jenis tahaluf yang diharamkan seperti di atas? Apakah tahaluf UMNO-MCA juga terhindar dari jenis tahaluf haram ini? Apakah keuntungan umat Islam dari tahaluf Siyasi PAS, PKR, dengan DAP?
Saban hari DAP semakin berani menyerang umat Islam dengan pelbagai bentuk & strategi, menggugat perlembagaan negara, konsisten memperjuang penghapusan pembahagian antara “bumiputera” dan “bukan bumiputera” (boleh lihat sendiri di website rasmi DAP), adakah ini yang dinamakan tahaluf siyasi mengikut syara’? Cukuplah isu kalimah Allah dan isu hudud menjadi pengajaran buat PAS dan kita semua amnya. DAP dan sekutunya langsung tidak menghormati peranan Malaysia sebagai Negara Islam, malah mengecam hebat agenda umat Islam di dalam negara Islam.

Apa yang terjadi adalah sebahagian pemimpin dan masyarakat Islam semakin cair dengan agenda liberalisme dan pluralisme. Bahkan sudah mula wala’ dengan bukan Islam dengan menerima dan memperjuang idea penegakan negara Sekular. Identiti dan jatidiri melayu muslim yang menjadi tonggak Islam di Malaysia semakin cair dek projek normalisasi barat melalui ‘kakitangan-kakitangan’ mereka di Malaysia !
  1. NGO Islam juga perlu berwaspada. Kerana ada juga dari kalangan NGO Islam yang membuat engagement dengan kumpulan bukan Islam serta kumpulan liberal. Contoh nyata apabila IKRAM menyertai Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) yang mengkritik dan menyelar tindakan Jabatan Agama Islam Selangor dalam suatu isu beberapa bulan lepas. Atas dasar apa mereka bersama  dan bekerjasama dengan bukan Islam dan kumpulan liberal dalam GBM? Jika mahu kritik & menyelar jabatan agama Islam atau kerajaan sekalipun, kenapa hingga perlu bekerjasama dalam satu gabungan dengan pihak bukan Islam dan liberal? Saya menanti jawapan dan pendirian jelas daripada pimpinan IKRAM. Sepatutnya para ulama’ di dalam IKRAM lebih cakna akan isu engagement dengan badan bukan Islam yang menentang Islam.

2)      Wala’ Sesama Umat Islam di Malaysia
  1. Solusi hari ini, atas dasar wala’, umat Melayu Islam wajib mengislah diri & bersatu lalu membentuk qudwah hasanah buat seluruh rakyat Malaysia termasuk bukan Islam sehingga mereka tertarik kepada Islam. Alihkan wala’ kepada bukan Islam kepada wala’ sesama orang Islam, membentuk kekuatan yang mampu memimpin negara dan masyarakat majmuk dengan keadilan dan menjaga hak asasi manusia berlandaskan syara’.
Syeikh Dr. Fathi Ad-Duraini dalam kitabnya “Al-Haqq wa Mada Sultan Ad-Dawlah fi Taqyiidihi” (Hasil tesis Phd beliau yang mendapat Mumtaz, Pangkat pertama) :
“أن الشريعة هي أساس الحق، ليس الحق هو أساس الشريعة”
(Syariah adalah asas kepada hak [dinyatakan dalam kitab maksud ‘hak’ di sini adalah hak individu & hak umum], bukanlah hak itu yang menjadi asas kepada Syariah)
  1. 17% umat Islam di Madinah mampu membina sebuah negara Islam yang hakiki,  di mana pula 60% umat Islam di Malaysia hari ini? Melayu Islam kini berpecah dek kepentingan politik masing-masing. Ditambah lagi dengan mereka yang membuat hal sendiri, tidak mempedulikan survival umat Islam di samping ramai yang hanyut dengan hedonisme dan liberalisme. Sungguh, jauh sekali kita jika nak dibandingkan 60% kita dengan 17% para sahabat r.a di Madinah.
  1. Ya, atas dasar wala’, Melayu Islam wajib bersatu, membentuk kekuatan baru. Cukup-cukuplah kita dipermainkan oleh musuh Islam. Bersatu bukanlah bermakna meleburkan identiti, kumpulan, parti masing-masing, tapi bersepakat dalam perkara yang melibatkan kepentingan agama Islam dan masa depan umat Islam di Malaysia. Bersepakat membangun jatidiri umat Islam. Bersepakat menangkis serangan musuh.
  1. Bertahaluf dengan DAP, MCA atau mana-mana pertubuhan bukan Islam –atas alasan dakwah-, jangan harap mereka dan masyarakat bukan Islam yang lain akan tertarik dengan Islam bila kita sendiri tidak islah diri, berpecah belah, dan saling menjatuhkan. Jangan terlalu naïf bila melihat mereka membaca ayat Al-Quran dan jadikan Umar Abdul Aziz sebagai ikon (kononnya),hingga memejamkan mata kita dari melihat pelbagai kecaman mereka terhadap Islam. Cukuplah isu kalimah Allah dan hudud menjadi pengajaran.
  1. Sebagaimana NGO-NGO Islam di Malaysia perlu bersepakat menjayakan projek dakwah, seperti itulah UMNO dan PAS perlu bersepakat di dalam dan di luar Dewan Parlimen. Memenangkan agenda dan projek yang menguntungkan Islam serta mempertahankan hak umat Islam di Malaysia. Identiti Malaysia sebagai negara Islam perlu dipertahankan.  Jangan mudah sangat cair dan accommodate agenda bukan Islam kerana dahagakan undi mereka dalam pilihanraya, kita sudah miliki kekuatan terpendam yang perlu diledakkan dari umat Islam yang majoriti di Malaysia.
  1. Sedarlah musuh kita bukanlah UMNO/PAS/ ISMA/ IKRAM/ABIM atau segala gerakan Islam yang lain. Teguran dan kritikan yang timbul sesama kita sepatutnya berlaku atas dasar wala’. Musuh kita yang sebenar adalah syaitan dan sekutunya. Musuh kita adalah Musuh Allah, golongan kafir yang tidak pernah putus asa menyerang kita. Benarlah firman Allah swt :
وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” (Al-Baqarah : 120)
  1. Pertubuhan liberal seperti Islamic Renaissance Front, Sister In Islam, Projek Dialog, KOMAS yang berkiblatkan liberalisme sudah terang-terangan membawa idea yang menyeleweng dari Islam. Wala’ mereka dengan liberalisme, sekularisme, dan hak asasi manusia tajaan barat wajib dihapuskan dan mereka wajib kembali kepada Hak Asasi Manusia berlandaskan Syara’.  Guru saya, Prof. Dr. Abdur Rauf Kharabsyeh (Dekan Kuliah Syariah Universiti Yarmouk) dengan terus terang menyatakan liberalisme adalah keluar dari Islam.
Selagi mana mereka masih tidak berubah, tidak ada ruang bagi orang Islam untuk berhenti menegur mereka dengan tegas. Juga tidak ada alasan bagi orang Islam terutama  anak muda untuk terus bersama menyertai mereka.  Kepada rakan saya pelajar syariah yang masih berada di dalam IRF, atas dasar wala’, saya terus berharap agak anda semua keluar dari IRF.
  1. Tujuan hidup ini adalah pengabdian diri kepada Allah swt. Perlu jelas, pengabdian diri kepada Allah adalah dalam seluruh sistem kehidupan termasuk sistem kemasyarakatan dan kenegaraan, bukan terhad pada amalan ibadat harian di masjid.
    Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam perlu terus di-islah dengan lebih serius dalam seluruh aspek bagi mengembalikan semula cahaya kegemilangan Islam yang telah 100 tahun terpadam. Misi ini tidak akan berjaya melainkan dengan usaha umat Islam di Malaysia sendiri dengan keimanan yang kukuh serta saling wala’ sesama umat Islam, membentuk kekuatan.

Kesimpulan
Demikianlah hukum asal bagi wala’ & bara’. Demikianlah juga aplikasinya yang penting untuk diteliti di Malaysia.

Bukanlah artikel ini untuk mencetuskan ketegangan antara agama di Malaysia. Bukan juga untuk menimbulkan permusuhan dan bibit pergaduhan sesama rakyat Malaysia yang berbilang agama. Tetapi hanyalah untuk mengembalikan umat Islam, khususnya gerakan-gerakan Islam kepada prinsip asas syara’ yang hakikatnya akan membawa kepada kesejahteraan Malaysia dalam jangka masa panjang. Umat Islam hendaklah terus berbuat baik (tasamuh) dan berlaku adil dengan bukan Islam yang tidak memerangi serta memusuhi Islam. Dalam masa yang sama wajib menjaga batas yang telah digariskan syara’ dan tidak terlalu naïf serta tidak mudah diperdaya pihak musuh.

Isu wala & bara’ adalah melibatkan aqidah umat Islam. Wala’ kepada orang Islam adalah wajib dan haram kepada orang kafir. Siapa yang wala’ kepada orang kafir, sesungguhnya ia tergolong dalam golongan kafir. Firman Allah s.w.t :
يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصارى أَوْلِياءَ. بَعْضُهُمْ أَوْلِياءُ بَعْضٍ. وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai wali (wala’ kepadanya), kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain, dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya (wala’), maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu” (Al-Maidah : 51)

Orang kafir sesekali tidak akan meredhai kita. Kita jangan terlalu naif dan mudah diperdaya oleh mereka. Mereka sentiasa bersatu untuk menyerang Islam (الكفر ملة واحدة). Sejarah telah membuktikan kekejaman mereka terhadap umat Islam tapi mereka ‘bijak’ menutup kesalahan mereka dengan menjadi hero mempromosi Hak Asasi Manusia dalam PPB, kononnya memperjuang keadilan dunia.

Jangan kita lupa merekalah yang telah mencetuskan perang salib ke umat Islam selama 200 tahun.
Merekalah yang telah berlaku kejam terhadap umat Islam di Spain satu ketika dahulu.
Merekalah yang telah menyeksa dan menghalau umat Islam dari Palestin dan mengisi tanah suci itu dengan yahudi laknatullah.

Mereka lah yang menyerang dan membunuh umat Islam di Burma, Bosnia, Kosovo, Afrika Tengah, Syria, Mesir, Filifina, bahkan Malaysia satu ketika dahulu dengan pelbagai bentuk.
Sangat malang bilamana orang Islam sendiri yang menjadi kakitangan dan boneka mereka menghancurkan Islam di negara sendiri.
وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّى يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا
“…Mereka tidak berhenti memerangi kamu sehingga mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup…” (Al-Baqarah : 217)
Ingatlah, wala’ & bara’ adalah isu aqidah. Ia adalah manifestasi kalimah Syahadah, rukun Islam pertama.
Samada kita bersama saf perjuangan Islam, ataupun saf perjuangan musuh Islam. Tiada pilihan ketiga.
Wallah A’lam

Ahmad bin Khairuddin
Kuliah Syariah, Fiqh & Usul Fiqh
Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan
 
_____________________________________________________
[1] As-Siyasah As-Syar’iyyah Halah Ghiyab Hukm Islamiy m/s 23
[2] As-Siyasah As-Syar’iyyah fi Dhou’i Nusus As-Syariah wa Maqasidiha m/s 27
[3] Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, At-Turuq Al-Hukmiyah 1/12, I’lam Al-Muwaqqi’in ‘an Rabbi Al-Alamin 4/283
[4] Al-Wala’ wa Al-Bara’ fi Al-Islam, 1/71
[5] Tafsir fi Zilal Al-Quran 2/909
[6] Al-Wala’ wa Al-Bara’ fi Al-Islam, 1/71
[7] Majmu’ Al-Fatawa 11/160 dan Al-Furqan baina Auliya’ Ar-Rahman wa Auliya’ As-Syaitan 1/9
[8] Majmu’ Al-Fatawa 28/208
[9] Lihat : Tafsir fi Zilal Al-Quran 2/912
[10] Tafsir fi Zilal Al-Quran 2/910
[11] Fathu Al-Bari li Ibni Hajar 5/233
[12] Generasi Al-Quran Yang Unik, Ma’alim fi At-Toriq m/s 29
[13] Lihat : Sahih Muslim 3/1449
[14] Lihat : Fathu Al-Bari li Ibni Hajar 7/93
[15] Lihat : As-Sirah An-Nabawiyyah li Ibn Kathir 4/45
[16] Mafahim Islamiyyah m/s 20
[17] Tafsir fi Zilal Al-Quran 2/909
[18] Usul Ifta’ wa Al-Ijtihad At-Tatbiiqi fi Nazariyat fiqh Ad-Dakwah Al-Islamiyyah 4/257
[19] Lihat : Usul Ifta’ wa Al-Ijtihad At-Tatbiiqi fi Nazariyat fiqh Ad-Dakwah Al-Islamiyyah 4/266
[20] At-Tahaluf As-Siyasi fi Al-Islam m/s 173

 Sumber: http://ibnukhairuddin.wordpress.com/2014/05/27/wala-bara-satu-koreksi-terhadap-politik-gerakan-islam-di-malaysia/

No comments:

Post a Comment