Posted on in Featured, Kolumnis
“HARAM ORANG LELAKI MENYERUPAI WANITA”
(14 NOVEMBER 2014M/ 21 MUHARAM 1436H)
Saya menyeru diri saya sendiri dan sekelian Jemaah sekelian marilah kita berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ketaatan kepada Allah dan menjauhi segala larangannya. Sekiranya kita mulia hari ini, hinakanlah diri di hadapan Allah, jika kita kaya hari ini , sebenarnya kita miskin di sisi Allah dan akan menghadap Allah hanya berbalut kafan. Sekiranya kita masyhur, satu hari kelak kita akan bersendirian berhadapan dengan Allah, sekiranya kita petah berhujjah , satu hari nanti mulut kita terkunci dan anggota – anggota kita akan berbicara.
MUSLIMIN YANG DIMULIAKAN SEKELIAN.
Sepakat para Ulama bahawa haram hukumnya seorang lelaki berlagak seperti seorang perempuan berdasarkan beberapa dalil, antaranya ialah :
أن النبيَّ صلى الله عليه وسلم لعَنَ المُخَنَّثِين مِن الرجالِ، والمُتَرَجِّلاتِ مِن النساءِ، وقال : أَخْرِجوهم مِن بيوتِكم[1]
Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang berlagak seperti
pondan, begitu juga orang perempuan yang berlagak seperti lelaki.
Hendaklah kamu halau mereka dari rumah-rumah kamu.Perkataan “melaknat” dan “halau” orang-orang yang berkelakuan demikian menggambarkan betapa seriusnya kesalahan ini. Semua orang tertakluk kepada peraturan ini samada ia seorang raja, hakim mahupun rakyat jelata.
Secerdik dan seberani mana pun kita , kita tidak layak untuk mencabul peraturan yang cukup jelas dan nyata ini. Sanggupkah kita sama-sama menghadapi ancaman “laknat” dan “halau” dari bumi Allah ini dengan menanggung bebanan kehinaan? Untuk meraih iman, kita sebagai muslim wajib patuh- sepatuhnya tanpa ragu-ragu dengan peraturan ini dan peraturan-peraturan Allah yang lain. Tidak kah ayat ini mendatangkan kegerunan kepada kita :-
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ
يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ
حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٦٥﴾
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan
beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana
perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak
merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau
hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Surah al
Nisa’ 65)SIDANG JEMAAH SEKELIAN ,
Adalah menjadi kewajipan pemerintah untuk menjaga “agama” rakyatnya. Kecuaian dari pihak pemerintah akan dihisab oleh Allah dan dalam masa yang sama mendedahkan Negara kepada kemurkaan Allah. Di dalam al Quran, pemerintah sebegini, sekali diancam dengan gelaran Kafir, sekali diancam dengan gelaran zalim dan sekali diancam dengan gelaran fasiq.
Dalam hal ini Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah mempertegaskan lagi peraturan yang dikanunkan oleh Rasulullah SAW di awal khutbah tadi dengan fatwa bertarikh 10 Jun 2010
“Pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki yang menyerupai wanita, ( mak nyah/pondan ) sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah HARAM di sisi Islam. Ibu bapa dan masyarakat Islam hendaklah memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan pendidikan , tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak mereka khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah”
Bahkan seksyen 55 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak di bawah tajuk Lelaki berlagak seperti perempuan memperuntukkan hukuman seperti berikut:-
“Seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam bagi tujuan maksiat adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”
SAUDARA-SAUDARA SEKELIAN,
Apa-apa jua polisi mahupun tindakan yang menghalalkan perbuatan lelaki yang berlagak seperti perempuan, begitu juga sebaliknya sebenarnya telah melawan kebijaksanaan Allah SWT sebagai pembuat undang-undang dan masa yang sama telah merendahkan keluhuran perlembagaan di dalam prinsip rukun Negara pada Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan.
Semua amal perbuatan yang dilakukan oleh umat Islam samada lelaki atau perempuan di Malaysia hendaklah selaras dan selari dengan Islam sebagai agama Negara ini. Logik mudahnya sedangkan ubahsuai kereta tanpa mengikut standard Jabatan Pengangkutan Jalan pun dikenakan saman , tidak kah kita takut murka Allah SWT apabila kita sewenang-wenangnya mengubahsuai peraturan Allah ?
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ
بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ
اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ
تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ
هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ
الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
KHUTBAH KEDUA
MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH SWT,
Kita mesti melihat sebarang isu yang menyentuh Islam dengan penuh rasa cemburu dan dari ufuk yang lebih luas. Umat Islam di Negara ini sebenarnya diilingkari dengan usaha terancang untuk merendahkan kedudukan Islam hanya sebagai agama individu bukannya agama yang mengatur masyarakat apatah lagi sebagai agama negara.
Kempen menyentuh anjing, mempertikaikan fatwa , membela golongan lelaki yang berketerampilan sebagai perempuan dan akan menyusul banyak lagi isu adalah sebagai usaha terancang dan muqaddimah kepada mewujudkan Negara sivil yang meletakkan agama sebagai panduan individu sahaja dan menafikan hak agama untuk mengatur masyarakat.
Apa juga peraturan dan undang-undang serta badan-badan yang ditubuhkan untuk menjaga agama masyarakat akan dipertikai. Inilah bukti konsistennya usaha musuh-musuh Islam bertopengkan slogan-slogan manis seperti perjuangan kebebasan dan hak asasi manusia walaupun jelas melanggar hak-hak Allah.
SAUDARA-SAUDARA KU SEKELIAN
Senario yang kita dengar dalam khutbah ini menuntut kita beberapa kewajipan. Firman Allah SWT
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama
Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya,
sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).(surah as
Soff ayat 8 )Ya Allah masukkan kami ke dalam soff menjadi tentera Allah yang akan terus menyalakan cahaya Allah di bumi Malaysia ini. Selamatkan kami dari terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Jauhilah kami dari tersilau dengan cahaya-cahaya palsu slogan kebebasan mutlak individu dan hak bersuara yang membelakangkan hak – hak Allah.
Wahai Allah Yang Maha Pengasih , janganlah Engkau turunkan bala bencana kemurkaanMu ke atas kami disebabkan kebiadaban segelintir saudara-saudara kami terhadap hukum hakam dan paraturan Mu. Ampunilah kami. Kerana kecuaian kami menjaga agama maka jadilah nasib kami sebegini. Kembalikanlah tipudaya orang-orang yang berniat jahat kepada Islam dan muslimin kembali menjerut leher-leher mereka.
[1] لراوي: عبدالله بن عباس المحدث: الألباني – المصدر: صحيح أبي داود – الصفحة أو الرقم: 4930
خلاصة حكم المحدث: صحيح
Disediakan oleh : Jabatan Agama Islam Perak
No comments:
Post a Comment