Nikah
adalah ibadah yang disunnahkan dan mempunyai nilaian yang besar di sisi
agama. Nikah adalah menifestasi ketaatan mukmin terhadap syariatullah
dan mendekatkan diri dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Walau apa
intipatinya, nikah tetap merupakan ibadah yang perlu dilaksanakan dengan
peraturan Islam demi mencapai hakikat kesempurnaan iman. Syariatullah
yang benar dan sunnatullah yang berlandaskan akhirat, pasti membawa
kebahagian yang hakiki. Nikah bukan tuntutan adat, tetapi nikah adalah
ibadah. Pastikan segala perkara berkait nikah menepati sunnah dan tidak
bertaqlid kepada adat semata-mata. Gunakan ilmu dan kebijaksanaan untuk
membezakan antara adat dan ibadah nikah.
1) Memilih pasangan
Adat : Asalkan cantik di mata berkenan di hati.
Ibadah : Yang terbaik adalah yang beragama. (Hadith Sahih Riwayat Bukhari 6:123, Muslim 4:175)
2) Berkenalan
Adat : Berkawan untuk mengenal hati budi pasangan. Lakukan aktiviti bersama-sama supaya lebih mesra.
Ibadah
: Banyakkan istikharah kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Berkenalan sekadar keperluan. (Hadis Sahih riwayat Bukhari dalam no:
1162)
3) Bertunang
Adat : Majlis bertunang yang meriah dihadiri sahabat handai dan saudara mara.
Ibadah
: Majlis yang hanya melibatkan perjanjian antara ibubapa gadis dengan
lelaki yang meminangnya. Tidak perlu dihebahkan. (Hadith riwayat Ahmad
dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh
al-Albani)
4) Hantaran perkahwinan
Adat : Mengikut tahap pendidikan dan kedudukan wanita.
Ibadah : Tiada sebarang wang hantaran. (tiada rujukan hadis kerana tiada di dalam Islam)
5) Mas kahwin
Adat : Mas kahwin/mahar yang rendah. (hadis marfu’ riwayat At-Tabrani, terlalu lemah pada sanadnya).
Ibadah
: Pemberian yang bernilai dan berfaedah sebagai penghargaan suami
kepada isteri. Antara mahar paling rendah yang pernah diberikan
Rasulullah s.a.w kepada isterinya adalah 12 auqiyyah bersamaan 500
Dirham bersamaan RM2147. Mahar yang paling tinggi Rasulullah adalah
kepada Khadijah sebanyak 20 ekor unta dan Ummu Habibah sebanyak 4000
Dirham bersamaan RM41181 (HR.Muslim dan Abu Daud, al-Majmuk:18/8-9,
Kitab Hukum Dr. Yusuf Qardhawi:256). Bergantung kepada kemampuan suami
dan Rasululullah s.a.w menyediakan mahar yang berbeza mengikut
kemampuannya ketika itu.
6) Walimatul urus
Adat : Tetamu yang datang memberi wang kepada tuan rumah.
Ibadah
: Tetamu tidak perlu memberikan wang kepada tuan rumah. Majlis walimah
adalah jamuan makan percuma untuk menghebahkan pernikahan. (Hadis
Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, Bab: al-Walimah, 16/152, no. 4768).
7) Solat sunat selepas bernikah
Adat : Melakukan solat sunat nikah selepas akad nikah di hadapan tetamu.
Ibadah
: Sujud syukur selepas akad nikah. Solat sunat hanya dilaksanakan
bersama isteri pada malam pertama pernikahan. (Hadis Riwayat Ibn Mas'ud,
HR Ibn Abi Syaibah dengan isnad hasan)
8) Meletak tangan di atas ubun-ubun isteri dan berdoa
Adat : Dilakukan selepas akad nikah di hadapan tetamu.
Ibadah : Dilakukan ketika berdua-duaan dengan isteri sebelum solat sunat nikah di waktu malam. (Riwayat Abu Daud no.1260)
9) Bersanding dan bersolek
Adat : Bersanding di atas pelamin dan pengantin bersolek tebal (tabarruj).
Ibadah
: Tidak bersanding dan pengantin wanita tidak bersolek secara
berlebihan (tidak tabarruj). (Syarah Syeikh al-Albani dalam kitab
“Jilbaabul mar-atil muslimah” hal. 38, Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An
Nasaii dan Ibn Majah).
10) Berinai
Adat : Wanita memakai inai di semua jari dan lelaki memakai inai pada tiga jari tangan.
Ibadah
: Hanya wanita yang dibenarkan memakai inai dan lelaki diharamkan
memakai inai untuk perhiasan. Inai hanya boleh dipakai untuk mewarnakan
rambut dan janggut bagi lelaki. (Aun al-Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud,
diriwayatkan oleh Abu Daud, sahih Al-Jaami' no 2502, Imam an-Nawawi
dalam fatwa al-Majmu').
11) Menyarung cincin
Adat : Menyarung cincin perkahwinan di hadapan tetamu.
Ibadah
: Tidak pernah disunnahkan menyarungkan cincin di hadapan tetamu bahkan
ia menyerupai budaya nasrani. (al-Albani, Adaab az-Zifaaf fii
as-Sunnati al-Muthahharah, m/s. 212 – al-Maktabah al-Islamiyah).
12) Mencium dahi isteri
Adat : Mencium dahi isteri di khalayak ramai.
Ibadah : Tidak dibenarkan mencium isteri di khalayak ramai kerana Islam amat menjaga maruah. (Hadis Muslim no 50 dan 52).
13) Dulang hantaran
Adat : Bertukar-tukar dulang hantaran dengan bilangan yang ganjil.
Ibadah
: Tiada dulang hantaran. Sunat memberi hadiah yang ikhlas kepada suami
atau isteri tanpa mempamerkan kepada khalayak ramai. (HR. Al-Bukhari
dalam Al-Adabul Mufrad no. 594, dihasankan Al-Imam Al-Albani t dalam
Irwa`ul Ghalil no. 1601).
14) Ucapan kepada pengantin
Adat : Selamat pengantin baru. Semoga bahagia ke anak cucu.
Ibadah : Mudah-mudahan Allah memberimu keberkatan dan mempersatukan kamu berdua dalam kebaikan.
“Baarakallahu
lakuma wabaraka 'alaiykuma wa jama'a baiynakuma fii khoir”. (Hadis
riwayat Tirmizi, Nasaei dan Ibnu Majah. Menurut Tirmizi ia adalah Hadis
Hasan).
15) Majlis khatam al-Quran atau tahlil kesyukuran
Adat : Dilakukan bersama majlis walimah.
Ibadah : Tidak pernah disunnahkan dalam Islam.
Jadikan
nikah anda, atau anak-anak anda kelak sebagai ibadah yang benar dan
mengikut syiar Islam yang tulen. Gantikan adat-adat yang tidak
disunnahkan kepada ibadah yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w.
Mudah-mudahan akan terbinalah sebuah baitul Muslim yang bakal melahirkan
generasi qaedah sulbah yang mampu mengembalikan Tamadun Islam yang
gemilang.
Rujukan : al-Quran dan sunnah.
Sumber: https://www.facebook.com/notes/asmah-chems/nikah-adat-vs-ibadat/10204862415577007?pnref=story
No comments:
Post a Comment