TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN WANITA, PEMUDA
DAN PUTERI UMNO 2014
“MEREKAYASA PERUBAHAN
MENDEPANI ZAMAN”
Bismillahirrahmanirrahim.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدِ، الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ
وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ، وَالْهَادِي
إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ
وَمِقْدَارِهِ العَظِيْمِ .
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita
YB Sdr. Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda
YB Sdri. Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri
YB Naib-Naib Presiden UMNO
YB Setiausaha Agung UMNO
Ahli-ahli Majlis Tertinggi
Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri
Saudara-saudari sidang perwakilan, dif-dif jemputan dan para pemerhati sekalian
1.Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta selawat
dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., malam ini saya dan
saudara-saudari semua yang mewakili Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri
UMNO dari seluruh pelusuk negara, dapat sekali lagi berhimpun di Dewan
Merdeka ini untuk mempertegaskan matlamat perjuangan parti kita,
memperkukuhkan perpaduan dan merencana masa depan bangsa Melayu. Saya
mengucapkan terima kasih kepada wanita, pemuda dan puteri UMNO kerana
terus istiqamah berada dalam saf perjuangan parti kita.
Hebatnya Hang Tuah sehingga kini,
Kisahnya menjadi bualan zaman,
Jiwa pejuang takkan terhenti,
Selagi nyawa di kandung badan.
SEJARAH PERJUANGAN UMNO
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
2.Parti kita UMNO telah mencapai usia 68 tahun. Telah banyak ranjau
yang kita lalui dalam pelbagai keadaan, pelbagai cabaran dan pelbagai
zaman. Kita telah melalui pasang surut asakan terhadap perjuangan kita.
Alhamdulillah, walaupun kita diasak dan diterjah dengan pelbagai dugaan,
Allah masih memberikan kemenangan kepada UMNO. Allah masih mentakdirkan
UMNO memikul amanah kuasa pemerintahan ini. Namun, jangan kita lupa,
jangan kita alpa. Allah juga menggilirkan kemenangan antara sesama
manusia sebagai pengajaran kepada kita semua. Sebagaimana firman-Nya
dalam surah Ali-Imran Ayat 140:
إِن يَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحٌ۬ فَقَدۡ
مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحٌ۬ مِّثۡلُهُ ۥۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا
بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ
مِنكُمۡ شُہَدَآءَۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Yang bermaksud:
Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka
sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera
juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian
itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa
kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia,
(supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah
tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga
supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati
Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
3.Inilah sunnatullah. Allah s.w.t. menggilirkan kemenangan dan
kekalahan sesama manusia. Hatta antara kaum muslimin dan musyrikin pun,
Allah menggilirkan kemenangan dan kekalahan sebagai peringatan kepada
orang-orang yang beriman. Maka, dalam konteks UMNO, kemenangan yang kita
perolehi dalam mana-mana pilihanraya tidak boleh menjadikan kita
angkuh, sombong dan selesa. Cabaran terhadap perjuangan kita masih
hebat, jalan yang perlu kita lalui masih berliku, ranjau di hadapan kita
masih berduri. Maka, dalam perhimpunan kali ini, saya ingin mengajak
saudara dan saudari supaya ikhlas dan jujur dengan diri kita sendiri.
Kaji adakah parti kita berada dalam keadaan yang selamat? Adakah parti
kita disenangi oleh sebahagian besar rakyat? Adakah parti kita bakal
beroleh kemenangan dalam pilihanraya akan datang?
4.Saudara-saudari, jika kita himbau kembali sejarah penubuhan UMNO dalam
konteks dunia pada waktu itu, UMNO berada di tengah-tengah kancah
pertembungan antara fahaman nasionalis, fahaman komunis dan fahaman
sosialis. Namun, UMNO berjaya membina identiti perjuangannya sendiri di
atas semangat kebangsaan Melayu yang berteraskan Islam. Pada ketika itu
juga, nasionalisme merupakan ideologi utama yang menggerakkan
parti-parti politik di negara-negara tanah jajahan bangkit menentang
penjajah. Alhamdulillah, berkat perjuangan UMNO, negara kita berjaya
mencapai kemerdekaan.
5.Pada masa yang sama, sebagai sebuah parti
yang toleran dan sederhana, UMNO berjaya merintis kerjasama dengan
parti-parti yang mewakili kaum-kaum lain di negara kita untuk membina
sebuah negara bangsa. Sebagai kerajaan pula, parti kita UMNO menerusi
Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah berjaya mengekalkan
kestabilan politik dan memacu kemajuan ekonomi dengan cara kita sendiri.
Sehingga beberapa dekad yang lalu, UMNO adalah sinonim dengan sebuah
ceritera kejayaan; ceritera sebuah negara yang aman dan stabil di
sebalik kepelbagaian kaum dan agama. Hasil perjuangan UMNO, negara kita
telah berganjak daripada sebuah negara miskin sewaktu merdeka kepada
negara industri yang insya-Allah akan menjadi negara maju dalam beberapa
tahun lagi di bawah gagasan besar Wawasan 2020.
CABARAN PERUBAHAN ZAMAN
6.Namun, suasana politik hari ini sudah banyak berubah. Di seluruh
dunia, nasionalisme bukan lagi ideologi utama. Malah, banyak parti
nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing telah
berkubur. Selepas era perang dingin, liberalisme telah muncul sebagai
ideologi yang dominan di seluruh dunia. Di bawah lembayung ideologi
baharu ini, idea-idea Barat mengenai demokrasi, kebebasan dan
kesamarataan tersebar secara meluas, termasuk di negara-negara Asia.
Sama ada kita sedar atau tidak, kebangkitan gerakan demokrasi liberal
dan masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan
mengikut neraca Barat telah memberi kesan yang besar kepada perjuangan
UMNO.
Memperteguh Kedudukan Istimewa Melayu dan Bumiputera
7.Hari ini, banyak pertubuhan dan individu yang sama ada secara
langsung atau tidak langsung mempersoalkan hak keistimewaan Melayu,
kedudukan istimewa agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa
Melayu dan lain-lain lagi yang merupakan teras perjuangan UMNO. Apabila
UMNO bersuara membela kepentingan Melayu, mereka kata UMNO rasis. Tetapi
apabila kaum-kaum lain bangkit memperjuangkan hak kaum masing-masing,
itu dikatakan hak kumpulan minoriti dalam sebuah negara demokrasi. Sama
juga, apabila UMNO bangkit mempertahankan kedudukan Islam, UMNO
dikatakan ekstrem, walhal Islam adalah Agama Persekutuan. Tetapi apabila
kepentingan kumpulan agama lain diperjuangkan, itu dikatakan hak
kebebasan beragama. Hari ini, perkara-perkara penting yang termaktub di
dalam perlembagaan yang melindungi hak semua kaum secara saksama semakin
dipersoalkan.
8.Suara kumpulan penentang ini semakin lantang
sehingga kedengaran di forum-forum antarabangsa. Mereka menuduh UMNO
mengamalkan diskriminasi dan zalim terhadap rakyat. Ini amat pelik bagi
saya. UMNO yang dahulunya berjuang bermati-matian untuk membebaskan
rakyat daripada cengkaman penjajah; UMNO yang memperjuangkan keadilan
sosial; UMNO yang mempelopori politik kesederhanaan; hari ini, dalam
zaman kebebasan ini, UMNO dituduh sebagai parti yang zalim, parti yang
menindas, parti yang menjajah rakyat. Pendek kata, segala yang buruk dan
keji itu adalah UMNO. Seolah-olah tiada setitik pun jasa UMNO kepada
negara. Kebaikan yang ditabur ditutupi oleh debu-debu pembohongan,
fitnah dan propaganda jahat. Demikianlah zaman telah berubah, pola fikir
masyarakat telah berubah, cabaran kepada UMNO juga berubah.
Agenda Ekonomi Bumiputera dan Merapatkan Jurang Ketidaksaksamaan Adalah Agenda Nasional
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
9.Perubahan juga berlaku dalam bidang ekonomi. Dahulu, pembangunan
negara kita digembeleng oleh kerajaan. Kuasa kerajaan membolehkan kita
melaksanakan program penstrukturan semula masyarakat menerusi Dasar
Ekonomi Baru. Melalui dasar ini juga kita telah berjaya mengeluarkan
masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan menangani penguasaan ekuiti
asing dalam ekonomi negara. Kita juga menetapkan sasaran pemilikan
ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sekurang-kurangnya, dan penyertaan
Bumiputera digalakkan dalam setiap sektor ekonomi. Dasar ini dibentuk
agar ekonomi berkembang dan pengagihan berlaku secara adil dan saksama.
Atas sifat bertimbang rasa dan semangat supaya kek ekonomi dapat dirasai
oleh semua rakyat Malaysia, orang Melayu dan UMNO pada waktu itu tidak
bersifat keterlaluan untuk meminta lebih daripada 30 peratus.
10.
Walaupun sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai, namun
Alhamdulillah, DEB telah berjaya mengagihkan kekayaan negara kita secara
lebih saksama serta meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan bukan
Bumiputera. Tuduhan bahawa DEB kononnya satu dasar keterbelakang,
menyekat pelaburan, menyebabkan brain drain dan hanya menguntungkan
segelintir pihak yang ada kabel politik adalah tidak benar. Bagi saya,
tuduhan meleset ini hanya dicipta oleh mereka yang sarat dengan
kebencian. Banyak kajian ilmiah yang menunjukkan bahawa semua kaum
mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB. Ini termasuk kajian mutakhir
Dr Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam bukunya the Color of
Inequality yang membuktikan bahawa DEB telah memberi manfaat kepada
semua kaum dari segi pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan,
peluang pekerjaan, pemilikan ekuiti dan lain-lain. DEB telah mencapai
sebahagian matlamat pengagihan ekonomi dan menyamaratakan peluang.
Namun, masalah ketirisan memberikan kesan negatif kepada pencapaian
matlamat asal DEB yang disasarkan oleh kepimpinan UMNO terdahulu.
11. Namun begitu, 24 tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir, kita
kembali mendengar keluh kesah dan gundah-gulana masyarakat Melayu. Dalam
era pasca DEB, data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun
2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud.
Misalnya, median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak
RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India
sebanyak RM3,676. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah,
75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera
juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3%
transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan
hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu
2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan.
12. Begitu juga, satu kebenaran yang pahit untuk kita akui ialah kaum
Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor
swasta. Kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed
Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang
graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara
puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka mempunyai
kelulusan yang sama. Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran
adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%,
termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga sering mendengar
keluhan pekerja Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding
kaum-kaum lain dalam sektor swasta. Pakar ekonomi Just Faaland, J.R
Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and
Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja
Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding
bukan Bumiputera.
13. Secara umumnya, kedudukan ekonomi orang
Melayu hari ini masih meruncing. Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak
menggerunkan kita. Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan pelbagai
cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam
ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan
yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu. Menerusi pelbagai
instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak
supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum
Bumiputera. Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada
pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. Padahal, dasar ini pernah
digunakan oleh negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai
tahap negara maju.
14.Kita sebenarnya sedang menongkah arus
kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas yang semakin melebarkan
jurang ketidaksaksamaan. Seperti yang diakui oleh pemenang hadiah nobel
ekonomi Joseph Stiglitz dalam bukunya The Price of Inequality, dasar
ekonomi yang berasaskan teori dan ideologi yang salah telah memburukkan
keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat di seluruh dunia, termasuk di
Eropah dan Amerika Syarikat.
14. Saya fikir sudah sampai masanya
kita menilai kembali model ekonomi negara kita. Ya, benar pertumbuhan
ekonomi negara sebanyak 6.3% adalah antara yang tertinggi di Asia; nilai
pelaburan langsung asing sebanyak RM216.5 bilion pada tahun 2013 adalah
antara yang terbaik dalam sejarah; kedudukan Malaysia dalam Laporan
Dayasaing Global 2014 meningkat daripada nombor 24 ke nombor 20 daripada
148 buah negara. Semua ini menunjukkan bahawa pencapaian ekonomi negara
kita amat memberangsangkan dan kita berada pada landasan yang betul
untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.
15. Tetapi di sebalik semua pencapaian ini, Yang Amat Berhormat Presiden
dan saya selaku Timbalan sering memikirkan adakah kita boleh memejamkan
mata dan memekakkan telinga dengan tidak berbuat apa-apa jika kaum
Bumiputera yang merupakan 67.4% daripada rakyat negara kita masih berada
dalam kumpulan berpendapatan rendah; jika 4 juta daripada 6.5 juta
pekerja yang mencarum dalam KWSP di negara kita berpendapatan kurang
RM2,000 sebulan; jika jurang ketidaksaksamaan di negara kita antara yang
tertinggi di rantau ini; jika rakyat masih tidak mampu memiliki rumah
sendiri.
16.Mengenai isu perumahan, ada ahli UMNO di akar umbi
yang mengatakan kepada saya, rumah-rumah yang dibina dengan harga
RM400,000 sebenarnya bukan rumah mampu milik, tetapi rumah mampu tengok
sahaja. Pandangan ini ada juga kebenarannya. Menurut Kajian Khazanah
Research Institute, harga rumah mampu milik yang sewajarnya adalah 3
kali median pendapatan isi rumah, iaitu bagi kumpulan pendapatan
isirumah 40% terbawah dengan harga RM70,000 dan kumpulan berpendapatan
sederhana pada harga RM160,000 atau pada purata harga RM130,000.
Rumah-rumah yang dibina dengan harga yang terlalu mahal, terutamanya di
kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar, sudah tentulah tidak mampu
dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
16.
Saudara-saudari, persoalannya nanti, ketika negara kita mencapai sasaran
Pelan Transformasi Ekonomi dengan nilai GNI RM1.7 trillion, dengan
pendapatan perkapita RM48,000, dengan penambahan 3.3 juta pekerja
berkemahiran dan RM1.4 trillion pelaburan daripada sektor swasta dan
kerajaan, berapakah daripada jumlah sasaran ini akan turun mengalir
menjadi milik kaum Bumiputera? Dalam keghairahan kita meletakkan sasaran
besar untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita juga
harus menetapkan sasaran yang jelas untuk kaum Bumiputera dan memastikan
kekayaan negara kita dapat diagihkan kepada semua rakyat baik di kota
mahupun di desa, di semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, baik
kumpulan berpendapatan tinggi mahupun kumpulan pertengahan dan 40%
terbawah, semuanya – kulluhum ajma’in - perlu dipastikan mendapat
peluang yang adil dan saksama.
17. Saudara-saudari, kita
sebenarnya amat memerlukan satu model ekonomi yang benar-benar dapat
memastikan pertumbuhan disertai dengan pengagihan yang saksama. Kita
tidak boleh membiarkan majoriti rakyat negara kita terpinggir dan
tersisih daripada arus kemajuan ekonomi negara. Apatah lagi,
ketidaksaksamaan dalam masyarakat kita hari ini bukan lagi merupakan
masalah kaum semata-mata, tetapi juga masalah kelas. Kita sedang
menghadapi masalah jurang yang besar antara golongan kaya dan golongan
miskin, jurang antara etnik dan intra etnik,jurang antara Semenanjung,
Sabah dan Sarawak, jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar,
jurang antara CEO, pengurusan kanan syarikat dan pekerja bawahan. Semua
ini jika dibiarkan berterusan akhirnya akan menjejaskan pencapaian
ekonomi negara kita secara keseluruhan.
18. Sebagai mewakili
suara orang Melayu dan Bumiputera, saya ingin tegaskan supaya
pendekatan, dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk merapatkan
jurang kaum dan kelas dilaksanakan segera. Kita perlu memberikan tumpuan
dan keutamaan kepada program latihan peningkatan kemahiran pekerja
Bumiputera, memperbaiki mekanisme subsidi, menangani diskriminasi dalam
sektor pekerjaan, memperkemaskan perundangan, pengawalan dan
penguatkuasaan terhadap pekerja asing, memperkenalkan dasar mengenai
peningkatan dan pengawalan pendapatan pekerja, menambah mekanisme
percukaian yang lebih berstruktur (targeted), meningkatkan insentif bagi
membantu keluarga menambah kekayaan, menyediakan ekosistem kondusif
kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar, menekankan semula
pembangunan luar bandar, memperluaskan jaringan keselamatan sosial, dan
menyasarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (need-based) khusus
untuk kumpulan isi rumah 40% terbawah tanpa mengira kaum. Jangan ada
mana-mana pihak yang cuba mempersoalkan tindakan pembetulan ini sebagai
agenda perkauman. Ini adalah agenda negara.
19. Oleh itu, kita
perlu menjadikan Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional, bukan agenda
kaum. Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh YAB Presiden
mempunyai peranan penting untuk mengkaji secara terperinci kedudukan
ekonomi Bumiputera, merencana hala tuju masa depan ekonomi Bumiputera,
termasuk memperkukuhkan instrumen dasar, institusi dan inisiatif
memajukan ekonomi Bumiputera. Saya mencadangkan supaya Agenda Bumiputera
serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras
utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia
untuk menjadi negara maju. Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional
tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka
besar ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif,
komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi. Saya juga mencadangkan
satu Dasar Ekonomi Nasional yang baharu dirangka untuk memacu inisiatif
kesaksamaan ke hadapan. Apatah lagi, tanggungjawab merapatkan jurang
kaya dan miskin adalah perintah Allah s.w.t. kepada kita sepertimana
firman-Nya dalam Surah Al-Nahl, Ayat 71:
وَٱللَّهُ فَضَّلَ
بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ فِى ٱلرِّزۡقِۚ فَمَا ٱلَّذِينَ فُضِّلُواْ
بِرَآدِّى رِزۡقِهِمۡ عَلَىٰ مَا مَلَڪَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَهُمۡ فِيهِ
سَوَآءٌۚ أَفَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ يَجۡحَدُونَ
Yang bermaksud:
“Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian
yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya dalam pada itu, orang-orang
yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian daripada
kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu
dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari
nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?”
Memperkukuhkan Manhaj Wasatiyyah Dalam Menangani Cabaran dan Ancaman Terhadap Islam
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
20.Kita juga sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam soal
agama. Saban hari saya mendengar keluh kesah orang Melayu yang bimbang
dengan kesan faham liberalisme dan sekularisme ke atas aqidah umat
Islam. Hari ini kita banyak mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang
dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi. Penghinaan ke atas umat
Islam juga dilakukan secara terbuka. Selain itu, umat Islam juga sedang
berhadapan dengan ancaman ekstremisme dan militanisme yang sekiranya
tidak dibendung segera akan memberi kesan buruk kepada negara.
21.Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam
agama, iaitu agama dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat
yang tercabut daripada akar Syariat. Trend ini sedang berkembang di
seluruh dunia. Misalnya, majalah Economist keluaran bulan Oktober yang
lalu memberikan gambaran yang agak mengejutkan mengenai amalan
perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat Islam dan juga oleh
agama-agama lain. Menurut majalah ini, dalam tahun 1950-an, perkahwinan
sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia. Namun, dalam
tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai “the leap forward”, hari
ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan negara di dunia telah
mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan
kesamarataan.
22.Keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan
orang Melayu dan umat Islam. Mereka bimbang sekiranya gejala
sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka benteng aqidah dan
syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan runtuh
dirempuh arus liberalisme. Dalam konteks perjuangan UMNO, semua ini
merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Kalau
dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan PAS yang cuba membuktikan
siapa lebih Islam. Tetapi hari ini kita berada di luar kancah perlumbaan
ini. Kita sedang berada dalam dunia pasca-moden yang menganggap agama
sebagai penghalang kepada kebebasan manusia. Dalam realiti hari ini,
semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan siapa lebih liberal,
bukan siapa lebih Islam.
23.Saudara-saudari, UMNO sebagai parti
tunjang Melayu-Islam tidak pernah dan tidak akan sesekali meminggirkan
agenda memartabatkan Islam daripada dasar perjuangan kita. Ia sudah lama
termateri dalam Perlembagaan UMNO sebagaimana peruntukan Fasal 3.3 yang
menjelaskan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah untuk menegak,
mempertahankan dan mengembangkan Islam. Malah sejak 57 tahun kita
merdeka, UMNO-lah yang telah banyak membangunkan Islam di negara ini
dalam segenap sektor sama ada pendidikan agama, ekonomi dan kewangan
Islam, pembangunan sosial, pentadbiran mahupun perundangan Syariah.
24. Pendekatan UMNO sejak dahulu, kini bahkan selamanya berpaksikan
kepada orientasi atau manhaj Wasatiyyah. Yang dimaksudkan dengan
Wasatiyyah bukanlah pendekatan yang bersifat ‘al-ghuluw wa ttatarruf
fiddīn’ iaitu bersifat melampau dan keras dalam pendekatan beragama
hingga terjerumus kepada perlakuan yang kaku dan beku, dan terbawa-bawa
kepada perlakuan militan yang merosakkan agama. Wasatiyyah juga tidak
bersifat ‘al-tasāhul fiddīn’ iaitu memperlonggar dan mempermudahkan
agama hingga ke peringkat liberal yang menyesatkan.
25.
Sebaliknya pendekatan wasatiyyah yang diamalkan UMNO adalah konsep
kecemerlangan dan kesederhanaan umat yang berpaksikan Syariat Islam.
Sememangnya maksud wasatiyyah di dalam Islam adalah berlegar sekitar
konsep keadilan, kecemerlangan, pilihan terbaik dan perimbangan dalam
segala perkara. Boleh dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata
kunci dalam memahami konsep wasatiyyah dalam Islam. Pendekatan ini jelas
diisyaratkan di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, Ayat 143:
وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ
عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬اۗ
Yang bermaksud:
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang
lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang terpilih
lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberikan keterangan
kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)".
26.
Sebab itulah saudara-saudari sekalian, sebagai pendokong perjuangan suci
ini, kita sebagai pejuang UMNO bermanhaj wasatiyyah harus tegas
menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu
cepat mempengaruhi anak-anak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga.
Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba memesongkan
makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan prinsip kesederhanaan Islam
atau moderation dengan membawa ideologi songsang seperti liberalisme dan
sekularisme.
27. Kita juga tidak boleh lagi berada dalam khutub
khanah lama untuk mencari penyelesaian baharu kepada kemelut yang
dihadapi oleh umat Islam hari ini. Kita perlu meneroka ilmu dan
kemahiran terkini untuk menangani cabaran semasa. Bagi saya, di sinilah
letaknya peri penting tradisi keilmuan di dalam UMNO. Seluruh ahli UMNO
perlu menambah khazanah ilmu di dada bagi mendepani cabaran masa kini.
28.Saya fikir budaya membuat laporan polis dan mengangkat sepanduk
dalam menghadapi asakan terhadap akidah dan syariat Islam bukan lagi
jawapan yang tuntas kepada kemelut yang dihadapi oleh ummah. Kita perlu
memperbanyak perbincangan, penerbitan dan wacana mengenai kebebasan dan
hak asasi manusia menurut persepektif Islam dan juga bagaimana Islam
menghadapi tantangan sekularisme. Kita perlu menangani trend
sekularisasi dalam agama ini dengan keteguhan akidah dan ketajaman
minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi. Di samping itu,
institusi-institusi Islam perlu diperkasa, penguatkuasaan undang-undang
Islam perlu dipertegas dan kerjasama UMNO dengan NGO-NGO Islam perlu
diperkukuh.
Bunga kesidang si bunga tanjung,
Tumbuh di laman mekar berkembang,
Agama dijulang Bangsa dijunjung,
Begitulah UMNO terus berjuang.
Pendidikan Sebagai Wahana Kemajuan dan Perpaduan Nasional
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
29.Kita juga menghadapi cabaran baharu dalam bidang pendidikan. Peranan
pendidikan sebagai wahana untuk bangsa Melayu meningkatkan taraf sosio
ekonomi menjadi lebih penting. Jika dahulu fokus kita dalam bidang
pendidikan ialah untuk meningkatkan kadar enrolmen dan membasmi buta
huruf. Hari ini, sasaran dalam bidang pendidikan telah berganjak kepada
melahirkan tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, memiliki kelayakan di
peringkat menengah sahaja tidak memadai.
30.Sebagai parti yang
memperjuangkan nasib Bumiputera, UMNO perlu memberi perhatian secara
lebih serius kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja
Bumiputera. Data terkini menunjukkan 64.3% tenaga buruh Bumiputera
mempunyai sijil SPM dan ke bawah. Hanya 27.8% berpendidikan tinggi.
Keadaan ini tidak memberikan kelebihan kepada kaum Bumiputera untuk
bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif. Oleh itu, kita
perlu berani berganjak untuk melihat pendidikan sebagai komponen penting
dalam meningkatkan pencapaian Bumiputera. Di samping memberikan fokus
kepada pencapaian di peringkat pengajian tinggi, kita juga perlu memberi
tumpuan kepada bidang latihan teknikal dan vokasional untuk
meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja Bumiputera.
31.Di
samping itu, kita jangan lupa peranan pendidikan sebagai wahana
perpaduan dan wahana untuk membina identiti nasional. Kerana itu saya
sering menegaskan kepentingan kita memperkasakan sekolah kebangsaan
sebagai sekolah perpaduan. Jika murid daripada semua kaum dapat belajar
di bawah satu bumbung dengan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu
sebagai bahasa perpaduan, maka saya yakin perpaduan di negara kita akan
menjadi lebih kukuh. Hari ini, polarisasi kaum masih wujud sebahagiannya
kerana politik kebencian yang dimainkan oleh sesetengah pihak.
Sensitiviti kaum tidak dipedulikan, institusi Raja dimomokkan, malah
wujud cabar mencabar antara agama. Saya percaya, kita boleh
mengembalikan kepercayaan antara kaum melalui satu sistem pendidikan
kebangsaan yang memberi keutamaan kepada perpaduan nasional.
32.Matlamat ini boleh kita capai jika kita meletakkan asas-asas yang
kukuh untuk perpaduan dalam sistem pendidikan kita. Ini termasuklah
memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan menjadikan
perpaduan nasional sebagai agenda utama semua aliran persekolahan di
negara kita, termasuk di sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama rakyat,
sekolah swasta dan lain-lain. Jangan lagi ada kisah murid yang tidak
tahu berbahasa Melayu, sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan
negara kita. Jangan lagi ada insiden kenyataan berbaur perkauman
dikeluarkan oleh guru atau murid di sekolah. Jangan lagi ada perasaan
prejudis kaum dan agama yang tebal dalam kalangan rakyat negara kita.
Saya fikir, tempoh 57 tahun merdeka sudah cukup untuk kita hapuskan
segala rasa prejudis dan syak wasangka antara kaum. Tinggal lagi, kita
semua, baik parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, gerakan pendidikan
Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, perlulah ada keikhlasan, ada
kejujuran, dan ada kesungguhan untuk memupuk perpaduan. Jangan kita
bercakap mengenai perpaduan, tetapi pada masa yang sama bertindak
menebalkan tembok pemisahan kaum.
33.Pada hemat saya juga, dalam
semangat untuk mengikis sikap prejudis sesama rakyat, adalah wajar
kerajaan mengambil tindakan tegas dalam membendung kenyataan-kenyataan
yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama daripada memercikkan api
perbalahan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada nantinya terpaksa
merawat luka permusuhan yang parah. Kerana itu saya telah menyatakan
pendirian saya mengenai Akta Hasutan. Bagi saya, Akta ini wajar
dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan. Peruntukan khusus perlu
dimasukkan untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan
perlembagaan mengenai kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan
hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan agama
masing-masing. Begitu juga dengan kedudukan tanah rezab Melayu dan
Regimen Askar Melayu DiRaja yang merupakan sebahagian daripada wasiat
Raja-Raja Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut. Apa yang
penting ialah kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang
hanya melindungi kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara
perpaduan dan keharmonian nasional.
PERSEPSI ORANG MUDA TERHADAP UMNO
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
34.Hari ini, parti kita sedang menyongsong perubahan. Sebagai parti
yang memperjuangkan kemerdekaan, UMNO telah banyak berjasa kepada orang
Melayu dan rakyat Malaysia.Tiada siapa yang boleh menafikan sumbangan
UMNO kepada agama, bangsa dan tanah air. Tetapi, survival parti kita
pada masa hadapan tidak boleh bergantung semata-mata kepada rekod
sumbangan kita pada masa lalu. Rakyat, khususnya orang Melayu, ingin
melihat apa sumbangan UMNO kepada mereka dalam mengharungi cabaran masa
hadapan yang lebih getir. Untuk itu, kita perlu mempersiapkan UMNO untuk
menjadi parti masa hadapan, parti harapan umat Melayu, parti idaman
generasi muda Melayu dan parti yang sesuai dengan dinamika politik
nasional.
35.Terus terang saya katakan saya agak bimbang melihat
perkembangan hari ini. UMNO masih bertahan di kampung-kampung, tetapi
semakin hilang sokongan masyarakat bandar yang lebih terbuka, lebih
terdedah kepada pelbagai maklumat dan lebih sofistikated dari segi
pemikiran, nilai dan cara hidup. Dalam pilihanraya umum yang lalu, UMNO
kalah di kebanyakan kawasan bandar majoriti Melayu. Kita kalah di Shah
Alam, Ampang, Lembah Pantai, Bangi, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota
Bharu dan banyak kawasan lain yang suatu ketika dahulu merupakan kubu
kuat UMNO. Kita juga kalah teruk di Selangor yang merupakan negeri
termaju di Malaysia.
36.Dalam rangka menyediakan ucapan saya pada
malam ini, saya mendapatkan pandangan pemuda dan pemudi Melayu mengenai
UMNO. Mereka terdiri daripada graduan muda, golongan profesional,
aktivis masyarakat, usahawan dan ahli akademik. Bagi saya, pandangan
orang muda terhadap UMNO adalah penting dalam menentukan survival UMNO.
Orang muda merupakan pewaris perjuangan parti kita, dan pandangan mereka
tentang UMNO akan menentukan jatuh bangunnya UMNO pada masa hadapan.
37.Saya bertanya kepada mereka apa persepsi mereka terhadap UMNO? Apa
aspirasi mereka? Apa harapan mereka? Apa kebimbangan mereka? Apa perkara
penting yang hendak disampaikan kepada UMNO? Saya minta supaya mereka
bercakap secara jujur, ikhlas dan terbuka. Saya ingin tahu apa yang
perlu UMNO lakukan supaya anak-anak muda di luar sana ghairah untuk
berada bersama-sama kita dalam saf perjuangan UMNO.
38.Izinkan
saya berkongsi pandangan mereka dengan saudara dan saudari pada malam
ini. Pertama, mereka kata UMNO sedang mengalami trust deficit atau
defisit kepercayaan; kedua, UMNO ini parti feudal; ketiga, dalam UMNO
ada budaya play safe dan budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh
warlord; dan kelima, UMNO diancam oleh budaya ugut dan budaya tabur. Ini
kata mereka.
39.Mereka menjelaskan satu persatu kepada saya apa
yang mereka maksudkan dengan kelima-lima perkara ini. Mengenai defisit
kepercayaan, mereka beritahu saya mereka sebenarnya sokong perjuangan
UMNO. Mereka sayang kepada UMNO. Bagi mereka tidak ada parti lain yang
boleh diharapkan untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air
melainkan UMNO. Cumanya, mereka ingin melihat pemimpin UMNO di setiap
peringkat lebih berintegriti, lebih amanah, lebih jujur, lebih telus,
tidak terpalit dengan gejala rasuah, tidak menonjolkan kemewahan yang
berlebihan, tidak bergaduh sesama sendiri dan sebagainya. Jika ini boleh
dilakukan, maka orang muda akan percaya semula kepada UMNO.
40.Mereka juga tidak mahu UMNO terlalu terikat dengan hirerki hingga
mewujudkan gambaran parti kita menjadi parti feudal sehingga orang bawah
tidak boleh bersuara selagi orang atas tidak bersuara. Sehinggakan
hendak beri pandangan pun kena tengok apa orang atas kata. Kalau orang
atas kata A, maka yang di bawah mesti kata A. Kalau orang atas kata B,
yang di bawah pun mesti kata B.
41.Menurut mereka lagi, orang
muda dalam UMNO mempunyai idea-idea yang bernas tetapi merasakan lebih
baik diam daripada bercanggah pandangan dengan orang atas. Ada yang kata
kalau bercakap lebih sedikit nanti dianggap hendak memandai. Ada pula
yang beri nasihat orang muda mesti berhati-hati dalam politik. Jangan
terlalu menonjol. Jangan terlalu laju. Nanti kena sekat, nanti kena
cantas, kena kerat, kena sabo, kena cah keting, kena terajang dan
lain-lain lagi. Jadi, lama-kelamaan mereka fikir lebih baik diam
daripada bercakap, atau lebih selamat jadi pak turut saja. Seolahnya ada
satu budaya play safe, atau budaya pilih jalan selamat dalam UMNO.
42.Akibatnya, dalam UMNO, lebih ramai orang memilih untuk berdiam diri
daripada bercakap. Ini mewujudkan persepsi bahawa parti kita sedang
dilanda budaya kelesuan. Akhirnya, orang Melayu dan rakyat
tertanya-tanya di mana suara keramat UMNO? Di mana taring Pemuda? Di
mana ketegasan Wanita? Di mana kelantangan Puteri? Kesannya, kita
seolahnya ketandusan pemimpin untuk menjuarai kepentingan orang Melayu.
Sehinggakan timbul cakap-cakap di luar sana yang mengatakan NGO Melayu
lebih lantang daripada UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan
Melayu.
43.Bagi saya, kita perlu membuktikan bahawa UMNO bukannya
sebuah parti yang lesu. UMNO bukannya parti yang mempunyai budaya pak
turut, budaya nyanyi, budaya puji, budaya lambung, budaya ampu sana ampu
sini. UMNO adalah parti yang berwibawa, parti yang ada idealisme, parti
yang ada masa depan, parti pilihan anak-anak muda. Ingatlah, orang muda
hari ini tidak suka jadi pak turut. Mereka naik geli dengan budaya
ampu. Mereka benci budaya sabo. Mereka tolak budaya cah keting. Jika
kita boleh buang semua budaya negatif ini jauh-jauh, saya yakin UMNO
akan menjadi parti pilihan orang muda.
44.Satu lagi ialah budaya
warlord. Ramai yang beritahu saya dalam UMNO ada banyak warlord. Mereka
ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai pengikut setia yang sanggup
melakukan apa sahaja untuk mereka. Dengan sokongan pengikut, warlord
akan mengugut pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja yang mereka
minta. Jika tak diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya.
45.Kita perlu buktikan bahawa warlord bukan sebahagian daripada budaya
UMNO. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa
dengan menabur kemewahan kepada pengikut. Sehinggakan ada yang kata tak
payah buat kerja dalam UMNO. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan
untuk tabur kemewahan kepada pengikut supaya mereka sentiasa setia.
Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal. Yang tiada
wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada
kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada
wang. Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam hirerki parti adalah
orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang kata money is
everything in politics. No money, no talk. Seolahnya, wang adalah
kuasa, wang adalah segala-galanya.
46.Saya kadang kala terfikir
adakah sudah tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan? Adakah
sudah tidak ada nilai pengorbanan dalam politik? Adakah pengikut
menilai pemimpin semata-mata berdasarkan kemampuan mereka untuk tabur
kemewahan? Adakah pemimpin mengukur kesetiaan pengikut berdasarkan harga
yang mereka bayar? Bagi saya, budaya ugut dan tabur ini amat bahaya
kepada parti kita. Budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa
di dalam parti. Pengikut yang terima wang akan suka. Mereka puji
pemimpin yang boleh beri sesuatu kepada mereka. Tetapi jangan kita lupa.
Rakyat di luar sana tak suka politik wang. Mereka curiga bila lihat
orang politik hidup mewah. Tak setimpal dengan pendapatan. Apatah lagi
jika ada yang suka menunjuk-nunjuk kemewahan. Rakyat akan mula menuduh
bermacam perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca
masalah trust deficit atau defisit kepercayaan terhadap UMNO. Jadi,
ingatlah. Apa guna kita naik dalam hirerki parti, tetapi rakyat menolak
parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita.
47.Apa yang saya sebutkan ini adalah persepsi dan kritikan orang muda
terhadap UMNO. Barangkali ada yang betul, ada juga yang kurang tepat.
Tetapi mengambil yang baik daripada kritikan ini adalah lebih afdal. Ini
membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang terbuka dan kita sentiasa
bermuhasabah. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Zumar Ayat
18:
ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُ
ۥۤۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ هَدَٮٰهُمُ ٱللَّهُۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ
أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
Yang bermaksud:
Yang berusaha
mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih
dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka
itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka
itulah orang-orang yang berakal sempurna.
HARAPAN ORANG MUDA TERHADAP UMNO
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
48.Sebenarnya, orang muda dan umat Melayu seluruhnya menaruh harapan
yang tinggi kepada UMNO. Mereka tidak menolak perjuangan UMNO. Mereka
mahu supaya pemimpin UMNO tegas memperjuangkan kepentingan Melayu dan
Islam, tetapi pada masa yang sama tidak dilihat terlalu ekstrem
perkauman atau terlalu liberal. Mereka percaya bahawa dalam sebuah
masyarakat pelbagai kaum, UMNO perlu bersikap adil terhadap kaum-kaum
lain, tetapi tidaklah sampai menggadaikan asas dan prinsip perjuangan
UMNO. Pendek kata, orang muda mahu UMNO terus menjadi parti yang
sederhana, parti yang berjaya mengekalkan keseimbangan dalam hubungan
kaum dan agama. Apa yang penting ialah pemimpin UMNO mesti dilihat lebih
ikhlas, lebih jujur, lebih telus, lebih adil dan lebih berwibawa dalam
menggalas perjuangan parti.
49.Saya fikir orang muda mempunyai
pemikiran yang agak kritis. Apabila ada perkara yang dilihat tidak cocok
dengan idealisme mereka, maka mereka akan mengkritik.Tetapi itulah
lumrah orang muda. Itulah juga kekuatan orang muda. Mereka yakin dengan
idealisme mereka dan berani memperkatakan apa yang mereka fikir benar.
Mereka ada courage – iaitu keberanian - dan ada conviction - yakni
keyakinan yang teguh dengan apa yang mereka fikirkan benar. Kedua-dua
sifat inilah yang menjadikan orang muda ada kewibawaan, ada ketokohan,
ada keupayaan untuk memimpin.
50.Jadi, dalam proses untuk
melengkapkan perubahan dan peremajaan UMNO, untuk menjadikan UMNO
sebagai parti harapan orang muda, parti idaman, parti masa depan, saya
mencadangkan 7 langkah pembaharuan yang perlu kita laksanakan segera:
Pertama, UMNO perlu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan menjadi
peneraju pemikiran (opinion leader) di dalam masyarakat. Garap
idealisme orang muda. Galakkan budaya berfikir dan bersuara dalam UMNO.
Pemimpin muda yang ada idealisme, ada wibawa dan berani bersuara perlu
diketengahkan untuk menjuarai isu-isu rakyat, menjadi jurucakap parti,
bukan diketepikan oleh parti;
Kedua, UMNO perlu melakukan
pencarian bakat. Kita perlu menyediakan platform untuk orang muda
daripada golongan profesional, intelektual, agamawan, aktivis sosial dan
lain-lain yang diterima oleh masyarakat untuk bergerak aktif dalam
UMNO. Paltform ini perlu diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan
bahagian. Contohnya, mereka yang berbakat boleh dilantik ke unit-unit
tertentu di dalam parti dan diberi peranan untuk menyumbang kepada
parti. Kita juga perlu ketengahkan mereka yang berbakat dan berkaliber
untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Mereka ini tidak semestinya
berjawatan tinggi dalam parti. Pengalaman kita dalam pilihanraya kecil
Pengkalan Kubor dan Kuala Besut menunjukkan calon yang tidak berjawatan
tinggi di peringkat bahagian boleh menang kerana mereka diterima oleh
rakyat;
Ketiga, wujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan yang
tersusun untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak,
petah dan tangkas berhujjah serta teguh daya rohaninya. Kita perlu
membentuk UMNO dengan kalangan ahlinya yang punya kekentalan semangat
serta menghayati prinsip dan matlamat perjuangan parti yang sebenar.
Beri mereka kekuatan untuk mengolah perjuangan UMNO yang lebih segar
dalam konteks cabaran semasa. Jadikan mereka kumpulan pemikir muda di
dalam UMNO.
Keempat, semarakkan semangat kesukarelawanan melalui
program-program bersama rakyat. Pecahkan tembok pemisah antara parti dan
rakyat menerusi kerja-kerja sukarela. Dekati rakyat, dengar rintihan
mereka, fahami masalah mereka. Tanya diri kita, berapa ramai daripada
kita yang sentiasa mendekati rakyat dan disayangi oleh rakyat.
Manfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, khususnya media sosial, untuk
sentiasa mendekati dan memenangi hati golongan muda;
Kelima,
wujudkan institusi naziran di dalam UMNO untuk memantau setiap Bahagian
dan Cawangan. Satu Jabatan Naziran perlu diwujudkan di dalam UMNO untuk
pastikan semua pemimpin di peringkat Majlis Tertinggi, sayap, negeri,
bahagian dan akar umbi buat kerja. Bahagian ini bertanggungjawab untuk
melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Tertinggi
mengenai keberkesanan program-program yang dilaksanakan oleh parti;
Keenam, gerakkan revolusi mental yang baharu dalam UMNO dan bangsa
Melayu seperti yang pernah digarap oleh Allahyarham Datuk Senu Abdul
Rahman. Mungkin kita boleh namakan Revolusi Mental 2.0. Cerna idea,
pemikiran dan kaedah baharu untuk menangani cabaran perubahan zaman
dalam bidang ekonomi, politik, agama, hubungan kaum, teknologi dan
lain-lain. Sepertimana yang diungkapkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak
dalam pendahuluan buku Revolusi Mental, antara sebab kemunduran bangsa
Melayu ialah pemikiran yang terkebelakang yang disebabkan oleh
kekurangan ilmu dan cara hidup yang lama. Justeru, UMNO perlu berani
menerajui perubahan pemikiran, budaya dan sikap bangsa Melayu untuk
menempa kemajuan. Pada masa yang sama, hadapi dengan bijaksana
kemunculan pelbagai tantangan yang cuba menggoyahkan prinsip perjuangan
UMNO untuk bangsa Melayu sebagai bangsa teras di Malaysia. Yang penting,
jadikan prinsip perjuangan UMNO relevan sepanjang masa; dan
Ketujuh, bangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan
masyarakat Melayu. Gerakan pendaftaran pengundi baharu mesti dibuat
dengan lebih bersungguh-sungguh. Jangan buat sambil lewa. Jangan buat
sekadar melepas batuk di tangga kata orang. Jangan sampai kegagalan kita
menambah bilangan pengundi Melayu menyebabkan kaum Melayu yang
merupakan kaum majoriti menjadi golongan minoriti dalam pilihanraya.
Sasaran gerakan ini wajib dimulai dengan memastikan semua ahli UMNO yang
layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi.
MEREKAYASA PERUBAHAN
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
51.Bagi saya, UMNO mesti melakukan perubahan yang drastik jika ingin
kekal relevan dengan peredaran masa. Pendekatan dan gerak kerja UMNO
hari ini sedang dipintas oleh gerakan yang lebih canggih dan sesuai
dengan selera masa kini. Lebih-lebih lagi, jika UMNO ingin menjadi parti
masa hadapan, maka citra UMNO mestilah cocok dengan jiwa anak-anak muda
Melayu, golongan profesional Melayu dan tidak lupa seluruh generasi
muda yang berada di desa mahupun di kota. Mereka adalah pewaris
perjuangan parti kita.
52.Untuk itu, UMNO memerlukan
suntikan tenaga muda sama ada di kalangan wanita dan lelaki, yang
berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin parti. Orang lama mesti
beri laluan kepada orang muda. Lebih-lebih lagi jika kita menjadi
liabiliti kepada parti, kita harus segera berundur secara terhormat.
Kita telah lama bercakap mengenai peremajaan UMNO, tetapi tanyalah diri
kita apakah proses ini benar-benar berlaku di dalam parti.
53.Kita tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita
perlu merekayasa perubahan. If change does not happen, we have to
engineer the change. Justeru pada hemat saya, wajar untuk kita
pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak
Perlembagaan UMNO dan tidak ditangguhkan selepas pilihanraya umum
seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Saya juga mencadangkan pindaan
Perlembagaan UMNO diadakan tahun hadapan dengan memperuntukkan pindaan
yang sesuai untuk membolehkan barisan pelapis muda menyumbang peranan
dan khidmat bakti yang lebih besar kepada UMNO. Saya percaya UMNO tidak
akan berpecah sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin UMNO tentunya cukup
matang untuk menghadapinya. Saya sendiri akan sentiasa berdiri
bersama-sama YAB Presiden untuk merealisasikan perubahan dan peremajaan
parti kita.
54.Ini adalah seruan terakhir untuk UMNO. Do or be
dead! Jangan letak kepentingan diri melebihi kepentingan parti. Saya
ingin mengingatkan diri saya sendiri dan pemimpin UMNO di semua
peringkat, jika kita menjadi batu penghalang kepada peremajaan parti,
maka kita mesti berundur secara terhormat. Parti kita mesti kekal
relevan supaya bangsa Melayu terus terbela. Diri kita tidak penting.
Yang penting ialah bangsa Melayu dan UMNO. Ingatlah, Allah tidak akan
mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang
ada dalam dirinya. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ra’du
Ayat 11:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡۗ
55.Jangan kita lupa akan seruan YAB Presiden. Di Dewan Merdeka ini
jugalah semasa merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
tahun 2008, Presiden dengan jelas menuntut agar kita berubah untuk
kepentingan rakyat. Saya petik kata-kata Presiden. “Berubah dari
sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada
kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada
mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada
kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita
rebah”. Soalnya, apakah kita mengambil serius gesaan YAB Presiden ini?
Atau, adakah ia ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri?
56.Saudara-saudari, kita mesti memperbetulkan segera segala kesilapan
kita dan melakukan perubahan demi kelangsungan agama dan bangsa kita.
Amatilah betul-betul peringatan Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam
surah Al-An’am Ayat 6:
أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ
قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ
لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا
الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ
وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ
Tidakkah mereka
memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami
binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan
kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang
tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka
dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka,
kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami
ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?
PENUTUP
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
57.Zaman untuk dipuja dan dipuji dalam kelompok sendiri sudah berlalu.
Ini adalah zaman untuk kita bersama-sama masyarakat, merasai keresahan
mereka, berusaha mencari penyelesaian kepada permasalahan yang mereka
alami. Ini zaman untuk kita meraih keyakinan rakyat, zaman untuk kita
memimpin bangsa mengharungi cabaran yang semakin hebat. Hormat rakyat
bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Berusaha, berkhidmatlah kepada rakyat
bagi mendapatkan hormat mereka kepada kita. UMNO adalah parti massa yang
lahir daripada kebangkitan rakyat yang mempunyai matlamat dan arah tuju
yang jelas. UMNO terbina demi masa depan umat Melayu dan negara. UMNO
bukan parti yang lahir daripada rasa benci, tetapi penuh dengan rasa
kasih dan sayang demi kesejahteraan rakyat. UMNO adalah parti yang sarat
dengan harapan untuk masa depan bangsa dan negara. Binalah keyakinan,
tunjukkanlah keazaman, hamparkanlah harapan kepada bangsa Melayu dan
rakyat Malaysia seluruhnya bahawa parti ini adalah pilihan terbaik buat
mereka.
59.Kepada umat Melayu dan Bumiputera yang sedang menekuni
ucapan saya ini samada yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak
bersatulah kita atas nama kewatanan dan kecintaan kepada negara. Kita
sudah tiada masa untuk bertelingkah atau berbenci antara satu sama lain.
Kepada seluruh rakyat tanpa batas kaum dan fahaman, marilah kita
menolak gerakan meracuni dan membenci sesama kita. Jangan kita biarkan
negara ini runtuh hanya kerana umpan-umpan yang dilontarkan kepada kita
oleh pihak luar.
60.Buat Wanita, bangunlah dengan istiqamah
perjuangan. Hulurkan salam jemputan buat wanita Melayu dari segenap
ceruk rantau dan latar belakang--guru wanita, ustazah, peguam, doktor,
pegawai profesional hatta NGO wanita dan ibu-ibu tunggal-- marilah
bersama-sama sebaris dengan kita dalam perjuangan ini. Buat Pemuda,
bangkitlah dengan bara perjuangan. Beranikan diri berada di mana sahaja
bila panggilan untuk berkorban masa dan tenaga. Bawalah golongan muda
yang dahagakan kebersamaan dan interaksi. Berikan mereka harapan. Buat
Puteri, bangkitlah dengan semangat baharu yang segar membawa pemudi dan
wirawati negara meyakini perjuangan kita. Tanamkan benih kasih kepada
mereka, nescaya mekarlah nanti dengan rimbunan pendokong.
61.Harapan saya kepada seluruh bangsa Melayu, renunglah nasib masa depan
bangsa kita. Hargai sejarah perjuangan bangsa di masa lalu, perjuangan
yang meletakkan kita di sini hari ini. Bangkitlah bersama-sama UMNO
untuk merencana masa depan bangsa kita agar tidak hilang ditelan zaman,
agar terus tegar mendepani cabaran. Saya percaya, dengan kekuatan tekad
dan keazaman kita semua, dengan limpahan rahmat dan inayah Allah s.w.t,
UMNO akan beroleh kekuatan dan keyakinan untuk melakukan perubahan dan
pembaharuan, dan seterusnya mara membela agama, bangsa dan negara kita.
Gagahnya pahlawan dahulukala,
Menjadi tauladan sepanjang zaman,
Kalian tinggalkan warisan bangsa,
Untuk kita teruskan perjuangan.
Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu!
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014
No comments:
Post a Comment