Pages

Saturday, February 28, 2015

Liberal utamakan kebebasan melebihi tuntutan agama

February 28, 2015 Berita Utama, Utama 0

hazizi1

Oleh Muhammad Rusydi Muhammad Razif
Wartawan ISMAweb Johor

JOHOR BAHRU, 28 Feb – Masyarakat boleh mengenal pasti golongan yang berfahaman liberal dengan mudah kerana mereka ini mengutamakan kebebasan individu mengatasi tuntutan agama dan kuasa kerajaan.
Pengerusi Biro Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman, berkata golongan liberal menganggap fungsi kerajaan hanya terbatas kepada tiga iaitu menubuhkan pasukan keselamatan, menyediakan pasukan kehakiman dan menyediakan prasarana awam seperti jalanraya, jambatan, perparitan dan sebagainya.

“Perbezaan negara Islam dan negara liberal adalah negara Islam berasaskan ketuanan syarak, manakala negara liberal pula berasaskan ketuanan rakyat.
“Bagi mereka (golongan liberal), mereka bebas untuk berbuat apa sahaja (agama dan kerajaan tiada kuasa keatas individu) selagimana tidak mengganggu hak individu yang lain.

“Sebagai contoh, golongan liberal menganggap seseorang itu tidak dikira bersalah jika dia meminum arak, tetapi dikira bersalah apabila dia memandu ketika mabuk kerana membahayakan individu yang lain. Perkara ini jelas bertentangan dengan syarak kerana Islam secara jelas telah mengharamkan arak (walaupun bukan ketika memandu),” katanya pada sesi ceramah bertajuk ‘Membongkar Agenda Gerakan Liberal di Malaysia’ di Masjid Al Falah, Bandar Seri Alam di sini, malam tadi.

Dalam sesi ceramah tersebut, Ustaz Hazizi turut menceritakan serba ringkas sejarah kelahiran fahaman liberal.

“Sejarah liberal bermula di Barat ketka zaman gelap ketika mana manusia tidak menggunakan akal dan hanya mengikut kata gereja. Konflik berlaku apabila saintis Barat mula mengkaji dan terdapat pertentangan di antara kajian saintifik dan apa yang diutarakan oleh gereja.

“Sebagai contoh suatu masa dahulu gereja mengajar bahawa semua objek mengelilingi bumi, tetapi setelah dikaji ternyata fakta tersebut salah dan akhirnya saitis tersebut dibunuh. Setelah masyarakat di Barat kecewa dengan sikap gereja tersebut, mereka akhirnya bangkit menentang gereja dan kesannya pada hari ini kebanyakan orang Barat tidak menganut apa-apa agama (ateis). Setelah mereka menolak agama, maka Barat sudah tiada apa-apa rujukan dan pada ketika inilah lahirnya istilah yang dinamakan ‘ketuanan rakyat’,” jelas beliau.

Malaysia katanya, adalah negara Islam (walaupun belum sempurna) dan bukanlah negara sekular ataupun liberal kerana dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat banyak perkara yang memperuntukkan keistimewaan untuk agama Islam.

Antara yang disebut oleh Ustaz Hazizi termasuk:
1. Perkara 3 menyentuh mengenai Islam merupakan agama Persekutuan dan bukan sekadar agama rasmi. Ini merupakan asas yang besar bahawa negara kita adalah negara Islam;

2. Perkara 8 ada disebut mengenai kesamarataan di sisi undang-undang. Akan tetapi perkara ini memperincikan bahawa terdapat jawatan-jawatan tertentu yang dikhususkan oleh agama-agama tertentu sahaja. Sebab itu ada kes sebelum ini permohonan orang bukan Islam yang mahu menjadi peguam syarie ditolak.;

3. Perkara 11 mengenai kebebasan beragama. Walaupun setiap orang berhak mengamalkan agama masing-masing, tetapi tidak dibenarkan doktrin kepercayaan agama selain Islam disebarkan kepada orang Islam;

4. Perkara 12 mengenai hak pendidikan. Terdapat perincian dalam Fasal 2 mengenai keistimewaan agama Islam yang menyebut bahawa kerajaan berhak menubuhkan atau menyenggara atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam;

5. Perkara 37 mengenai lafaz sumpah Yang Dipertuan Agong untuk memelihara agama Islam pada setiap masa;

6. Perkara 121 mengenai fungsi kehakiman. Terdapat dua mahkamah tertinggi di negara kita iaitu Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, dalam fasal (1A), kedua-dua mahkamah tersebut tidak boleh mencampuri urusan mahkamah Syariah; dan

7. Perkara 150 mengenai darurat. Parlimen boleh menggubal undang-undang tanpa mengikuti prosedur-prosedur perundangan ketika darurat. Akan tetapi Parlimen tidak boleh memperluas kuasanya dalam isu-isu Syarak atau adat Melayu.

“Kesimpulannya, berdasarkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan yang sedia ada, Islam sangat dilindungi dan diberikan kedudukan yang sangat istimewa.

“Perkara ini (keistimewaan Islam) seharusnya dihargai oleh umat Islam terutama bangsa Melayu dan jangan sesekali menggadaikan keistimewaan ini dengan seruan-seruan negara sekular,” kata Ustaz Hazizi.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/02/liberal-utamakan-kebebasan-melebihi-tuntutan-agama/

Warkah Waad misi Melayu abad ke-21 dimeterai

February 28, 2015 Berita Utama, Utama 0

himpun-7

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Kemuncak kepada Perhimpunan Perpaduan Melayu yang diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil malam ini ialah menandatangani Waad Melayu yang diketui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Apakah yang ada dalam Waad Melayu itu?

WARKAH WAAD MISI MELAYU ABAD KE-21
MUKADIMAH

Inilah Waad (Janji Luhur) dalam kalangan bangsa Melayu, yang termaktub pada hari ini, berpaksikan persetujuan yang berikut:

MEYAKINI akidah Islam yang bersendikan al-Quran, hadis, ijmak dan kias telah berakar umbi dalam peradaban Melayu selama lebih satu alaf dan menjadi pegangan luhur umat Melayu yang telah berperadaban dalam rangka lebih dua alaf di rantau Alam Melayu dengan binaan empayar, negara dan pemerintahan yang berkesinambungan hingga kini.

MEMAHAMI peradaban Islam berlandaskan tauhid dan syariah, diperkasakan oleh maqasid syariah dan Piagam Madinah yang telah turun-temurun terserap ke dalam keyakinan serta amalan hidup umat Islam Malaysia dan juga dalam gubalan perlembagaan negaranya Persekutuan Malaysia.

MENDEPANI cabaran era globalisasi, terutama geopolitik dan ekonomi, pendekatan misi Melayu harus berpaksikan ciri-ciri Melayu global, yang berfikiran futuristik dan bersikap kompetitif dengan kebijaksanaan yang tinggi, berilmu, menguasai teknologi dan berjati diri kental. Bangsa Melayu global yang perlu menghormati kelainan kaum, bangsa dan manusia sejagat.

MENEGASKAN peradaban bangsa Melayu yang berteraskan inti sari akhlak serta nilai mulia dengan budi pekerti yang bersopan santun, berbudi bahasa yang halus dan budi bicara yang berhemah tinggi, dengan susunan adat yang sempurna, dan sistem kebudayaan yang lengkap maka wajib sebati dalam jiwa bangsa Melayu demi kemajuan, kemuliaan, maruah dan keagungan negara dan menjadi prinsip pembinaan peradaban bangsa Malaysia dan sumbangan kepada peradaban dunia sejagat.

MAKA DENGAN INI diwaadkan bahawa peradaban Islam dan peradaban bangsa Melayu ialah sebatian yang sempurna untuk menjadi landasan bagi segala bentuk pemerintahan negara, pembangunan bangsa dan pengurusan seluruh warganegara serta kelangsungan peradaban bangsa dalam menghadapi cabaran dunia sejagat.

MAKA WAJIBLAH waad ini difahami dan hidup subur dalam jiwa dan sanubari bangsa Melayu turun-temurun sebagai teras keyakinan untuk menggubal, membina dan melaksanakan sebarang agenda demi kelestarian, kemampanan dan kemalaran bangsa, negara dan peradaban yang tinggi pada sepanjang zaman bercirikan kemajuan ilmu, kemakmuran kehidupan, kedalaman pemikiran dan keluasan kebijaksanaan.

MAKA MENJADI MISI waad ini untuk membina peradaban bangsa serta negara Malaysia turun-temurun berteraskan keluhuran peradaban Melayu-Islam. Inilah kaedah yang wajar dan benar untuk menjamin kelangsungan warisan peradaban (civilization legacy) bangsa Melayu masa hadapan selaras keagungannya pada masa lampau.

MAKA WAJIBLAH waad ini menjadi peringatan kepada semua anggota bangsa Melayu untuk terus memimpin negara Malaysia ke arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan yang adil dan saksama, di mana-mana jua mereka berada, dengan keyakinan akan taufik, hidayah dan berkat Allah SWT.

Dimeterai oleh:
Dato’ Dr Hasan Mad
Setiausaha Agung
Majlis Perundingan Melayu
Pada: 28 Februari 2015

Sumber http://www.ismaweb.net/2015/02/32672/
Khamis 26 Februari 2015 / 7 Jamadil Awal 1436
         

saya nak baca ..

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/sebab-umno-pas-perlu-bekerjasama-1.62027#sthash.XuED3zm9.MKVQCodU.dpuf

Tuesday, February 24, 2015

Pendapat anak muda: Minoriti yang ditindas?


1) Ye Lin Sheng, dalam bukunya The Chinese Dilemma, menyebut satu dapatan kajian yang dibuat oleh United States Institute of Peace, pada tahun 1993, bertajuk Minorities at Risk: A Global View of Ethnopolitical Conflicts, menunjukkan bahawa diskriminasi ekonomi oleh orang Cina di Malaysia lebih teruk daripada orang Melayu di Singapura. 

2) Menurut Dr Lily Zubaidah Rahim di dalam bukunya , “Singapore Dilemma in the Malay World,” Routledge Taylor & Francis Group, 2009. Orang Melayu di Singapura mendapat penindasan yang sangat teruk dari segi hak pendidikan (dinafikan biasasiwa utama negara SAFOS), hak berpolitik, hak ekonomi, hieraki masyarakat yang rendah dengan hanya menjadi, cleaner, driver dan juga guard.

3) Menurut kajian perintis Worthington, daripada 78 Eksekutif teras dalam lembaga-lembaga berkanun dan GLC Singapura pada tahun 1998, hanya 7 (9 peratus) adalah bukan Cina. Melayu tunggal adalah Ahli Parlimen PAP, Ahmad Mohamed Megad. Ahmad Megad juga dikenalpasti sebagai satu-satunya Melayu daripada 122 anggota Eksekutif teras Singapura pada tahun 1998. Daripada 30 GLC atas, hanya dua (6.7 peratus) yang dipengerusikan oleh bukan Cina pada tahun 1991.

4) Di Singapura, untuk memastikan Ketuanan Cina dominan di Singapura, kuasa pengundi Melayu Singapura telah dicairkan secara sistematik dengan skim penempatan semula bandar pada tahun 1960-an dan 1970-an, pengenalan kuota perumahan dan sistem kumpulan perwakilan undi (A Group Representation Constituency – GRC).

5) Menurut kerajaan PAP Singapura, Bahasa Melayu adalah bahasa golongan rendah.
"The devaluation of the national language can also be attributed to the association of Malay as the language of the subordinate Indonesian maid, humble postmen, office cleaner, and dispatch rider...."
Tetapi kenapa Amerika Syarikat mendiamkan diri?

6) Beliau (Ye Lin Shing) menyangah report yang dibuat oleh Amerika Syarikat itu sebagai sesuatu yang bias dan hipokrit dengan memberikan suasana bandingan di serata dunia. Termasuk apa yang berlaku di Amerika Syarikat dan Australia.

7) Di Indonesia, orang Cina tidak dibenarkan untuk mempertahankan nilai budaya mereka, nama tidak dibenarkan nama Cina, dan bahasa cina dilarang menjadi bahasa pengantar dalam pendidikan. Sekolah vernakular Cina diharamkan. Krisis ekonomi pada 1997 menyebabkan riot di beberapa bandar Indonesia dan orang Cina banyak menjadi mangsa , rumah, kedai, bussiness mereka ditutup dan wanita mereka dirogol.

8) Di Thailand pula, (jumlah overseas Cina kedua teramai di dunia selepas Indonesia), integrasi harmoni tercapai kini di mana semua orang berbahasa Thai dan berbangga sebagai Thai, adalah usaha kerajaan Thai menutup sekolah Cina pada tahun 1940 dan mengharamkan sebarang penggunaan bahasa CIna.
Persoalannya adakah orang Cina di Malaysia ditindas sedemikian rupa?

9) Ye Lin Shing kemudiannya menceritakan suasana yang berlaku di negara-negara Afrika, bagaimana orang India yang dibawa masuk semasa zaman British dan menguasai ekonomi sebagai "middlemen" pada 70an, ditendang keluar kembali ke India dan British melalui dasar nationalisation dan africanisation.

10) Kes yang sama berlaku di FIJI apabila mereka melancarkan gerakan Taukei (Taukei merujuk kepada orang asal Fiji (bumiputera), gerakan ini mencetuskan revolusi tentera menjatuhan kerajaan demokratik yang baru dilantik pada tanggal 14 May 1987 dengan misi utama "the removal of Indian threat". Mereka menghancurkan kedai-kedai minoriti "middlemen" India yang menguasai ekonomi FIJI pada ketika itu dan menghalau orang India keluar daripada FIJI.

11) Begitu juga dengan apa yang berlaku di Australia. Bangsa Eropah menduduki bumi Australia dengan merampasnya dari tangan aborginies (penduduk asal) dengan mengunakan undang-undang berkonsepkan Terra nullius (membenarkan bangsa Eropah memiliki mana-mana tanah yang mereka 'jumpai'"

12) Bagaimana pula dengan Amerika Syarikat? Apa yang telah mereka lakukan terhadap kaum Red Indian? Kekejaman yang kita masyarakat dunia sedia maklum. Begitu juga penindasan mereka terhadap orang kulit hitam.

13) Justeru, atas justifikasi apakah Amerika Syarikat mengelarkan Malaysia menindas kaum minoriti? Mencanang-canangkan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia menindas kaum minoriti sedangkan realiti yang kita lihat sekarang adalah sebaliknya. Orang Cina dan India di Malaysia hidup dengan harmoni dan bebas mengamalkan adat, budaya, bahasa serta agama masing-masing. Mereka juga mendapat banyak manfaat dari sudut ekonomi dan bebas untuk mempunyai persatuan sendiri seperti Dong Zhong yang menjaga kebajikan masyarakat Cina. Juga punya sekolah dan sistem pendidikan sendiri.

14 ) Menurut Noam Chomsky di dalam bukunya What Uncle Sam Really wants menulis, memainkan hak minoriti (racism) ini adalah sebahagian daripada teknik Amerika Syarikat untuk memburukkan Negara yang tidak menyokong mereka. Contoh Negara yang diburukkan oleh Amerika Syarikat melalui pelbagai teknik international law adalah seperti Rusia (filem, penulisan, kajian sebagai negara komunis pengganas), Afghanistan dan middle east (sarang pengganas), Myanmar (tiada demokrasi dan zalim), North Korea dan Iran (mengunakan nuklear sebagai senjata menghancurkan dunia), serta negara-negara latin yang tidak menyokong mereka.

*Sumber lain http://rt.com/usa/214079-chomsky-america-racist-society/

Hak minoriti sangat didengari dalam international law. Golongan yang mempertahankan hak bumiputera juga digelar sebagai racist dan ekstremis menurut neraca undang-undang barat ini.

Sebagai rakyat Malaysia, adakah kita mahu terus tertipu lagi dengan propaganda Amerika Syarikat? Jika meneliti beberapa tulisan Gene Sharp, ini adalah salah satu perancangan subversif Amerika Syarikat untuk meruntuhkan struktur kenegaraan Malaysia dalam perlembagaan yang paling sukar untuk Amerika Syarikat tembusi iaitu Islam, Melayu dan Raja.

Jangan tertipu.

Asyraf Farique

Arus Baru Malaysia.
 

Wednesday, February 18, 2015

Bila Nafas Terhenti....










Bila nafas terhenti
Dan jantung tidak berdenyut lagi...
Tidak ada siapa yang boleh berbohong
Mengatakan itu bukan satu kematian.

Bila daun gugur dari rantingnya
Dan...hujan tumpah ke bumi
Dia tidak akan kembali ke tempat asalnya.

Lantas ada orang bertanya...
Angkara siapakah itu?

Walau mata terus melihat
Dan...telinga terus mendengar
Kenapa hati masih menolak?

Pada yang melihat
Ada yang memperlihatkan
Dan..pada yang mendengar
Ada yang memperdengarkan.

Tunggulah...
Hingga datang suatu waktu
Engkau akan mengerti.


Me '56.

Monday, February 16, 2015

"Apakah pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan golongan Wahabi? Adakah golongan yang berzikir dan berdoa secara sendiri-sendiri selepas solat itu Wahabi?"

Berikut jawapan dalam laman e-fatwa:



Aliran Wahabi bukanlah satu mazhab akan tetapi satu bentuk gerakan pemikiran agama yang banyak dipegang oleh ulama-ulama Haramayn (Mekah dan Madinah) kontemporari mengikuti pendekatan yang diambil oleh Muhammad bin Abd Wahhab (m.1792). Dari segi mazhab , mereka lebih hampir dengan mazhab Hanbali walaupun dari beberapa segi mereka lebih ketat dan keras.

Dalam sejarah tradisi ilmu Islam, aliran Wahhabi bukanlah mewakili arus perdana mazhab Ahl Sunnah wa al-Jamaah kerana sejak seribu tahun lebih, aliran yang menjadi peneraju kepada pentafsiran Ahl Sunnah wa al-Jamaah dalam bidang akidah ialah Asha’irah dan Maturidiyah, manakala dalam bidang fiqh ialah empat mazhab utama iaitu Shafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Dari segi pendekatan ilmiah, aliran Wahabi membawa pendekatan yang agak sempit dengan metodologi harfiah (literal) yang mereka ambil dalam memahami sumber agama khususnya al-Qur’an. Justeru itu, sebahagian dari pandangan mereka dalam agama bersifat agak keras terutama terhadap orang yang tidak mengambil pendekatan mereka. Pendekatan sebegini akhirnya telah membawa kepada kecenderungan untuk mudah mengeluarkan orang Islam dari lingkungan agama yang tidak sealiran dengan aliran Wahabi.

Contoh perbezaan pandangan golongan Wahabi yang agak jelas ialah pandangan mengenai sunnah dan bid’ah. Berdasarkan makna literal beberapa hadis Nabi, mereka menganggap bahawa setiap amalan ibadat yang tidak mengikuti secara langsung cara yang dibawa oleh Nabi saw, dianggap bid’ah dan terkeluar dari Islam.

Justeru itu banyak amalan dan pegangan yang telah diamalkan oleh masyarakat Islam telah dianggap terkeluar dari agama Islam oleh golongan Wahabi. Pendekatan ini telah menyebabkan perpecahan di kalangan sebahagian masyarakat yang telah lama mempunyai kesatuan dalam ibadat menurut pentafsiran imam-imam muktabar dalam mazhab Shafi’i dan dalam akidah menuruti aliran al-Ash’ari dan al-Maturidi.

Banyak persoalan yang bersifat khilafiah telah diangkat dan dianggap sebagai perkara usul sehingga menjadi permasalahan dalam masyarakat, seperti larangan doa qunut, wirid dan berdoa secara berjamaah selepas solat, tahlil, berzanji, qasidah, burdah, membaca yasin pada malam jumaat, perayaan maulid, kesemuanya ditolak atas nama bid’ah yang sesat. Ini sama sekali tidak selari dengan pemahaman sunnah dan bid’ah yang sebenar dalam Islam dan juga tidak bertepatan dengan semangat ilmiah dalam tradisi Islam yang membenarkan perbezaan pandangan dalam persoalan khilafiah.

Dalam konteks tasawuf, mereka amat keras membid’ah amalan-amalan tariqat, amalan wirid dan selawat yang dilakukan oleh golongan sufi. Dalam akidah, mereka membid’ahkan ajaran tauhid berdasarkan sifat yang kesemuanya dipelopori oleh ulama-ulama berwibawa dalam aliran Ahl Sunnah wa al-Jama’ah.

Contoh lain perbezaan pemahaman aliran Wahabi ialah pendekatan mereka dalam memahami ayat-ayat mutasyabihat dalam al-Qur’an seperti ayat berkaitan ‘tangan dan wajah Allah’, istiwa’ dan lain-lain. Dengan mengisbatkan secara literal ayat-ayat ini dan menolak sama sekali pendekatan ta’wil yang juga salah satu pendekatan yang diambil oleh ulama salaf dan khalaf, ia membawa kepada kecenderungan tajsim (kefahaman Allah berjism) dan tashbih (kefahaman Allah menyamai makhluk) terutama kepada mereka yang berfahaman simplistik berkaitan isu tersebut.

Ramai ulama-ulama yang telah mengkritik dan menghujah aliran Wahabi termasuk saudara kandung Sheikh Muhammad Abdul Wahhab sendiri iaitu Sheikh Sulayman Abd Wahhab dalam kitabnya bertajuk al-Sawa’iq al-Ilahiyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah. Antara ulama-ulama lain ialah Sayyid Ahmad Ibn Zaini Dahlan (m.1886) Mufti Mekkah dan Shaykh al-Islam dalam kitabnya al-Durar al-Saniyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah dan Dr. Sa’id Ramadhan al-Buti dalam karyanya al-Salafiyyatun Marhalatun Zamaniyyatun Mubarakatun la Mazhabun Islamiyyun.

Memandangkan Malaysia jelas mengambil pendirian sejak beratus tahun lalu bahawa aliran yang harus diikuti ialah mazhab Shafi’i dan dalam akidah aliran Ash’ari dan Maturidi dan ianya telah menghasilkan perpaduan yang utuh di kalangan umat Islam, baik dalam ibadah, muamalah dan lain-lain sehingga memberi ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dan negara, maka aliran Wahabi adalah tidak sesuai dalam konteks kefahaman dan amalan agama di Malaysia.

Manakala mereka yang berzikir secara sendiri-sendiri selepas solat tidak semestinya dari aliran Wahabi. Namun sekiranya mereka membid’ahkan orang yang berzikir secara berjamaah selepas solat berkemungkinan besar ia dari golongan tersebut.

Friday, February 13, 2015

Penjara Anwar tak ubah senario politik tanah air


February 12, 2015 Berita Utama, Utama 0

abdullah zaik
Oleh Siti Fatimah Ishak


BANGI, 12 Feb – Pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama lima tahun tidak akan mengubah sebarang senario masa depan politik di negara ini, kata Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.
Beliau berkata, lanskap politik Malaysia tidak akan berubah dan Anwar hanya pemain kecil, bukan dia yang mencorakkan.

“Ya, memang Anwar ada karisma dan berpengaruh, tetapi dia bukan penentu dalam permainan politik tanah air.

“Sebaliknya, proksi-proksi Barat terutama Yahudi, Evangalis dan gerakan perkauman cauvinis Cina yang akan terus menjadi faktor utama dalam mempengaruhi senario masa depan politik negara.

“Sama ada dengan Anwar atau tidak, gerakan itu tidak akan mundur,” ujarnya di sini, hari ini.

Anwar dua hari lalu dijatuhkan hukuman penjara apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati dia bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Berikutan itu menurut Ustaz Abdullah, Datuk Seri Najib Razak mahupun UMNO tidak boleh selesa dengan ketiadaan Anwar. Sebaliknya, mereka tetap perlu memikirkan perpaduan di kalangan orang Melayu dalam rangka memperkukuhkan perpaduan nasional.
 
“Jika tidak, kepemimpinan Najib akan terus tercabar. Dijangka mereka akan menerima tekanan berterusan jika gagal membawa agenda bangsa dan agama ke tahap yang meyakinkan.

“Ini kerana asakan berterusan puak pro Barat, Evangalis dan perkauman Cina akan menyebabkan kebangkitan orang Melayu.

“Dan sekali gus akan membentuk tekanan dalaman kepada UMNO yang mungkin juga akan menuntut perubahan,” jelas Ustaz Abdullah dalam satu kenyataan.

Sumber ISMA Web.

Sunday, February 8, 2015

MENJAWAB SALAH FAHAM ORANG BUKAN MELAYU DI MALAYSIA MENGENAI TAMADUN DAN SEJARAH ORANG MELAYU


Salah Faham 1: Kesultanan Melayu Melaka ialah kerajaan Melayu pertama dalam sejarah ketamadunan bangsa Melayu.
Penjelasan HE 1: Ini adalah salah sekali. Kesultanan Melayu Melaka bukanlah kerajaan pertama Melayu dalam sejarah atau bukti permulaan Tamadun Melayu. Sebelum Melaka, sudah banyak kerajaan-kerajaan hebat yang bertakhta. Sebagai contoh, Empayar Melayu Srivijaya, Langkasuka, Funan, Champa, Ligor, Gangga Negara, Chih Tu, Pan Pan, dan sebagainya. Tamadun tertua bangsa Melayu ialah berusia 500 Sebelum Masihi, itu yang dapat dibuktikan dengan pembuktian kukuh, bukan sekadar hipotesis dan teori.

Salah Faham 2: Tetapi nama-nama kerajaan dahulu sebelum Melaka itu berunsurkan India. Ini membuktikan bahawa orang Indialah yang membina kerajaan-kerajaan itu.
Penjelasan HE 2: Nama tidak menunjukkan bangsa. Nama penulis artikel ini ialah Helmi Effendy, namun itu tidak menunjukkan bahawa Helmi ialah seorang arab. Saya tetap seorang Melayu dan ambilah pisau, belahlah tangan ini, darah yang menitik masih lagi darah seorang Melayu.

Berbalik kepada salah faham 2, nama-nama yang berunsurkan keindiaan itu adalah kerana orang Melayu dahulu adalah pengganut agama Hindu-Buddha. Orang Melayu memang satu bangsa yang mempunyai spritual yang tinggi. Mereka akan berbuat pelbagai cara untuk mendekatkan diri mereka dengan agama yang dianuti. Sebagai contoh, selepas kedatangan Islam, nama-nama orang Melayu, kebudayaannya semuanya diberi dengan nafas Islam sambil diadun dengan lokal genius tempatan.

Sematkan analogi di atas, sama juga dengan orang Melayu ketika zaman Hindu-Buddha dahulu. Nama yang berunsurkan Sanskrit diambil dan banyak disematkan pada kerajaan-kerajaan Melayu purba. Namun demikian, bukti-bukti lain membuatkan sejarawan memutuskan kerajaan itu sebagai kerajaan Melayu kerana batu bersurat, hikayat-hikayat, dan catatan orang asing tentang kerajaan ini.

Sebagai contoh, Srivijaya ialah sebuah Empayar Melayu. Namanya berunsurkan sanskrit. Tapi mereka memahat prasasti mereka menggunakan tulisan pallava dari India, namun bahasa yang dipakai ialah Bahasa Melayu Kuno, bukannya Tamil atau seumpama dengannya. Prasasti Kedukan Bukit ialah buktinya. Saya yakin tiada seorang pun orang tamil mampu membaca bahasa Melayu Kuno yang dipahatkan pada prasasti itu!

Salah Faham 3: Tapi.. tapi.. Rajendra Chola pernah menawan seluruh semenanjung dan memberikan tamadun kepada bangsa Melayu. Buktinya ialah Tamadun Sungai Batu dan Lembah Bujang itu!
 Penjelasan HE 3: Tapak purba di Sungai Batu, Lembah Bujang berusia 500 TAHUN SEBELUM MASIHI. Semasa beliau datang ke sini, peradaban di Lembah Bujang telah lama wujud. Bagaimana mahu dikatakan Lembah Bujang itu dibina oleh Rajendra Chola sedangkan bapa kepada moyang Rajendra Chola I, iaitu Vijayalaya Chola yang memerintah sekitar 848 -891 Masehi pun belum dilahirkan lagi?

Dan kerajaan yang diserang oleh Rajendra Chola ketika itu ialah sebuah Empayar Melayu Srivijaya, di mana sudah ada kuasa pemerintah Melayu yang memerintah Lembah Bujang atau Kedah Tua ketika itu.
Para sejarawan berpendapat dan sebulat suara mengatakan bahawa kerajaan Chola hanya menjarah Kedah bukannya menjajah. Mereka sekadar mahu mengacau perdagangan pelabuhan-pelabuhan Srivijaya,iaitu sebuah lagi empayar Melayu yang hebat. Srivijaya pada masa itu berjaya menguasai jalan perdagangan antarabangsa di Kepulauan Melayu, antara India dan China pada masa itu.

Inilah sebab tujuan Chola menyerang Srivijaya dan Kedah Tua, untuk mencabar hegemoni perdagangan Srivijaya itu sendiri. 1012–1044 Masihi ialah pemerintahan Rajendra Chola, kira-kira 1500 selepas berdirinya peradaban di Lembah Bujang dan Sungai Batu sendiri wujud.

Nama-nama seperti Kadaram yang wujud pada Kedah tidak boleh dijadikan hujah bahawa Kedah dibuka oleh orang Tamil. Jangan perasan seorang diri. Bangsa lain juga mempunyai nama mereka untuk Kedah Tua.
Pedagang Arab : Qilah,Kalah,Kalahbar,Qalha,Qilai
Pedagang Cina : Cheh-Cha,Chieh-cheh,Kie Taa,Kiteh,Kieteha
Orang Khmer : Keto
Orang Siam : Sai,Saiburi

Salah Faham 4: Bangsa Melayu tidak pernah wujud. Ianya adalah bangsa ciptaan British! Nama Melayu itu pun diberikan oleh British.
Penjelasan HE 4: Sebenarnya bangsa Melayu sudah wujud sejak sekian lamanya. Sebelum kedatangan British lagi, bangsa ini dan nama Melayu ini sudah wujud. alam catatan-catatan Dinasti China seperti Yuan dan Ming, nama orang Melayu banyak kelihatan. Orang China biasanya akan merujuk kepada bangsa Melayu.

Antara rekod terawal yang mencatatkan mengenai nama MELAYU dalam sejarah itu sendiri adalah di dalam peta Ptolemy seawal abad pertama Masihi yang mencatatkan kawasan di Semenanjung Emas yang turut dikenali sebagai Maleu-kolon. Antara sebutan dalam pelat Cina ialah Bok-la-yu, Mok-la-yu, Ma-li-yu-er, Oo-lai-yu, dan Oo-lai-yu. Dalam sejarah juga terdapat rekod bahawa sebuah kerajana yang menggunakan nama Malayu wujud di Nusantara seawal abad ke-7 Masihi.

Pada abad ke 14, umpamanya, Mpu Prapanca penyair Jawa di kraton Majapahit, dalam karynaya Desawarnama (1365) telah menyenaraikan daerah yang dikenalpasti sebagai tanah orang Melayu. In termasuklah Jambi, Palembang, Minangkabau, Siak, Kampar, Rokan, Pane, Kampe, Aru, Mandaileng, Tumiang, Perlak, Samudra, Lamuri, Barus di Sumatera dan Langkasuka, Kedah, Kelantan serta Pahang di Semenanjung Tanah Melayu.

Dalam sejarah, Nama Tanah Melayu sudah digunakan sebelum kedatangan British lagi. Antara bukti sejarah mengenainya adalah Tom Pires yang tinggal di Malaka pada tahun 1512 hingga tahun 1515 telah merujuk Melaka sebagai Terra de Tana Malaio.

Direkodkan dalam sejarah apabila Singgahsari, sebuah kerajaan di Jawa yang mahu menghapuskan sisa-sisa Empyar Srivijaya di Sumatera. Maka ekpedisi tentera dikerahkan ke Sumatera dan ekpedisi itu dipanggil sebagai Ekpedisi Pamalayu.

Salah Faham 5: Bangsa Melayu ialah pendatang dari Yunnan dan Taiwan, dan Indonesia. 
Penjelasan HE 5: Sebenarnya asal usul Melayu itu daripada Yunnan dan Taiwan adalah teori yang sudah lapuk dalam diperkatakan kerana dunia akademik sedang memperkatakan teori baru dalam memperkatakan asal-usul sejarah Melayu itu yang dipanggil sebagai Teori Keluar Dari Benua Sunda.

Antara ahli akademik yang memeprkatakan tentang teori ini adalah Dr. Stephen Oppenheimer, ahli sains dari Universiti Oxford, terutama melalui bukunya Eden in the East: the Drowned Continent of Southeast Asia (1998). Anda boleh baca teori yang dibangkitkan oleh beliau sehingga diterima oleh dunia akademik dalam buku beliau. Teori ini adalah disandarkan pada bukti-bukti ethnologi, arkeologi, kajian samudra, linguistik, analisis DNA dan folklor.

Salah Faham 6: Bahasa Melayu ialah sebuah bahasa ciptaan dan dipengaruhi oleh bahasa luar. Contoh, 60 peratus daripada bahasa Tamil dan Sanskrit. Bahasa Melayu hanya ada tiga perkataan asal sahaja.
Penjelasan HE 6: Ini ialah salah satu fahaman yang sangat salah. Bahasa Melayu sebuah bahasa yang menduduki salah satu cabang daripada keluarga bahasa-bahasa Melayu-Polinesia. Maka, tolong berhenti mendakwa “90% of the Malay language is derived from Sanskrit or Tamil” (Sanskrit ialah bahasa rumpun Indo-Aryan, bukan Austronesia manakala Tamil ialah bahasa dalam rumpun Dravidian) atau “bahasa Melayu asalnya hanya ada 3-4 perkataan”.

Jika anda mengeluarkan ayat-ayat demikian di mana-mana seminar antarabangsa bidang linguistik, anda akan dibantah oleh James T. Collins, K. Alexander Adelaar, Robert Blust dan ramai lagi pengkaji dari Barat yang menyelidik bahasa-bahasa di Alam Melayu. Tolonglah berasa malu kepada orang putih. Peminjaman bahasa memang berlaku dalam tamadun Melayu kerana proses pertembungan Tamadun Melayu.

Orang Melayu ialah bangsa yang membuka sebuah tamadun di antara laluan utama dunia berhubung dari barat dan timur. Pelabuhannya dikunjungi oleh pelbagai bangsa. Dicatatakan bahawa Tamadun Melayu Melaka menerima 2000 buah kapal setiap hari dari seluruh dunai dan juga dituturkan 88 buah bahasa di perlabuhannya. Maka, pinjaman bahasa memang berlaku. Biasanya bangsa yang mencipta empayar besar atau selalu bertembung dengan tamadun luar, perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa. Bahasa Inggeris pun mempunyaI lebih 100 perkataan pinjaman bahasa Melayu.

Mari saya kongsikan kepada anda antara perkataan-perkataan asli dalam bahasa Melayu. ~~air, akar, aku, alu (pasangan kepada lesung), alur, anak, api, balai, **barat, bara, baru, bau, bayang, benua, beras, beri, besi, betina, bibir, bintang, buah, bukit, bulan, bulu, bunuh, cucuk, dahi, danau, dapur, darah, darat, daun, dekat, dendam, dengar, duri, ekor, gatal, habuk, hampar, hanyut, hantar, hantu, hari, hati, hidung, hirup, hujan, hulu, huma, ikan, induk, ini, itu, jahit, jarum, kail, kanan,

kayu, kerbau, ketawa, kiri, kita, kuku, kulit, kutu, labah-labah, labuh, langit, laut, layar, leher, lelap, lesung, lintah, liput, luar, ludah, makan, malam, mati, mentah, mimpi, minum, nanah, nasi, nyiur,
orang, padi, pahit, paku, palu, panah, peha, penuh, puluh, putih, ratus, rumah, tahi, tampi, tanah, tanak, tanam, tangis, telinga, telur, timur, tiup, tua, tuli, ubi, udang, urat, yu (ikan).~~

Salah Faham 7: Melayu tidak mempunyai sistem tulisan mereka yang tersendiri.
Penjelasan HE 7: Kenyataan ini datang daripada mereka yang tidak memahami langsung apa itu sejarah. Membaca daripada facebook tidak membuktikan bahawa anda setaraf Prof Khoo Kay Kim atau Prof Nik Suhaimi. Tidak... jauh sekali. Orang Melayu mempunyai sistem tulisan mereka sendiri. Tulisan Jawi ialah datang daripada tulisan arab tetapi diubahsuai oleh orang Melayu untuk kegunaan bahasa Melayu. Manakala skrip yang lebih awal dipakai oleh orang Melayu ialah Tulisan Tanjung Tanah, Rejang, Rencong.

Salah Faham 8: Orang Asli Ialah Pemilik Dan Orang Asal Tanah Ini. 
Penjelasan HE 8: Definisi orang asli itu perlu dibetulkan oleh anda. Orang Asli di Malaysia ada dua kategori. Kategori pertama ialah Aslian manakala kategori kedua dipanggil sebagai Melayu Proto. Orang Melayu pula terbahagi kepada dua iaitu Melayu Proto dan Deutro.

Mereka adalah kelompok kaum-kaum Austronesian yang tidak menerima anjakan tamadun. Melayu Proto yang lebih maju (kerana tinggal di pesisir pantai dan terdedah kepada pergaulan antarabangsa) lama kelamaan menolak Melayu Proto yang hidupnya berasaskan pertanian dan buruan binatang lebih jauh ke pedalaman.

Melayu Proto yang tinggal di pesisir pantai dan menjalankan perdagangan maritim lama kelamaan berubah menjadi Melayu Deutro. Mereka kemudiannya menubuhkan kerajaan dan negarakota dan mengaku bangsa mereka sebagai ‘Malayu’.

[Kesimpulan]

Dengan beberapa buah salah faham yang saya petik seringkali bermain dalam minda rakan-rakan bukan Melayu kita, maka saya harap segala kekusutan yang seringkali bermain dalam fikiran kita dapat dibetulkan. Dalam masa yang sama, saya bukakan post ini dengan soalan-soalan mengenai Tamadun Melayu yang sering bermain dengan minda kalian untuk kita betulkan bersama.

-HE-

Sumber Fb The Patriots

Friday, February 6, 2015

* Apa yg kita Cari di dalam Hidup ini..

(Note : sebuah renungan khususnya untuk diri saya sendiri dan kalian wahai teman2'ku semua, semoga bermanfaat....)


Ketika kita hidup di gunung merindukan pantai...
Kita hidup di pantai merindukan gunung...


Kalau kemarau kita tanya kapan turun hujan ya?
Di musim hujan kita tanya kpn kemarau?

Diam di rumah pengennya pergi...
Setelah pergi pengennya pulang ke rumah...

Waktu tenang cari keramaian...
Waktu ramai cari ketenangan...

Ketika masih bujang mengeluh kepengen nikah, Sudah berkeluarga, mengeluh belum punya anak, setelah punya anak mengeluh biaya hidup dan pendidikan...

Ternyata SESUATUMU itu tampak indah karena belum kita miliki...
Kapankah kebahagiaan akan didapatkan kalau kita hanya selalu memikirkan apa yang belum ada, tapi mengabaikan apa yang sudah kita miliki...

Jadilah pribadi yang SELALU BERSYUKUR... dengan rahmat yang sudah kita miliki...

Mungkinkah selembar daun yang kecil dapat menutupi bumi yang luas ini??
Menutupi telapak tangan saja akan sulit...
Tapi kalo daun kecil ini nempel di mata kita, maka tertutuplah “BUMI" dengan Daun,

Begitu juga bila hati ditutupi pikiran buruk sekecil apapun, maka kita akan melihat keburukan dimana-mana
Bumi inipun akan tampak buruk...

Jangan menutup mata kita, walaupun hanya dengan daun yang kecil...
Jangan menutupi hati kita, dengan sebuah pikiran buruk, walau cuma seujung kuku...
SYUKURI apa yang sudah kita miliki, sebagai modal untuk meMULIAkanNYA...

Karena hidup adalah :
WAKTU yang dipinjamkan,
& Harta adalah Amanah yang dipercayakan...
yang kesemuanya itu akan di mintai pertanggung jawaban,

Bersyukurlah atas nafas yang masih kita miliki...
Bersyukurlah atas keluarga yang kita miliki...
Bersyukurlah atas pekerjaan yang kita miliki...
Bersyukur dan selalu bersyukur di dalam segala hal. Bersegeralah berlomba dlm kebaikan di mulai dari sekarang.

Selamat meraih kebaikan di malam hari ini,.

Di salin daripada Fb Insan Tarqiyah.

Wednesday, February 4, 2015

Tun M kongsi pengalaman 22 tahun tadbir negara dengan pimpinan ISMA



February 4, 2015 Berita Utama #2 0


ustaz lah

PUTRAJAYA, 4 Feb – Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah meluangkan masa bersama pimpinan ISMA berkongsi pengalamannya mentadbir negara selama 22 tahun petang tadi di sebuah hotel di sini.

Presiden ISMA Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman yang mempengerusikan perjumpaan 3 jam ini berkata, pihaknya berterima kasih kepada Tun M kerana sudi berkongsi pengalaman menjawab pelbagai persoalan yang dilontarkan.

Pelbagai isu telah dikupas termasuk kemahiran memimpin negara, kunci kejayaan Malaysia di mata dunia dan isu-isu politik tanah air.
Perjumpaan ini dihadiri oleh pimpinan tertinggi ISMA di peringkat nasional dan cawangan.

Sumber: Portal Melayu dan Islam. Ismaweb.net.

Tuesday, February 3, 2015

Agenda musuh di sebalik kempen aneh

February 4, 2015 Kolumnis, Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman 0

WIHW20152
 
Masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia sudah hidup aman, damai dan harmoni sejak sekian lama. Sikap toleransi orang-orang Melayu yang beragama Islam terhadap perayaan-perayaan agama lain di tanah bertuah ini tiada tolok bandingnya di dunia.

Sayugia diingatkan bahawa keharmonian yang dikecapi selama ini adalah kerana amalan hormat menghormati, bantu membantu, saling menerima kewujudan antara satu sama lain, berdasarkan hubungan persaudaraan sesama manusia, tanpa menyentuh soal agama.

Bagaimanapun terdapat fenomena aneh apabila kempen menyayangi penganut agama lain disasarkan kepada umat Islam, sedangkan realiti di seluruh dunia terang-terangan menunjukkan umat Islam yang menjadi mangsa kebencian agama lain seperti di Palestin, Myanmar, Perancis, Belanda, negara-negara Afrika dan lain-lain.

Kempen menyayangi penganut agama lain ini semakin aneh apabila dilakukan di Malaysia. Ini kerana sudah bertahun-tahun umat Islam di negara ini dicabar dengan pelbagai provokasi dan penghinaan terhadap kesucian agama mereka oleh kaum bukan Islam. Tiba-tiba, muncul kempen “World Interfaith Harmony Week” di sini, yang dianjurkan oleh gerakan sivil negara jiran yang sudah pun menjunjung kesamarataan agama, yang mengangkat “placard-placard” menyatakan kasih sayang pada penganut agama lain. Tidak dapat dipastikan sama ada placard yang menyatakan rasa sayang kepada penganut agama Islam wujud atau tidak.

Perbuatan mengangkat “placard” yang menyatakan rasa sayang kepada orang bukan Islam atas nama agamanya secara khusus, bukan atas nama kemanusiaan secara umum, adalah suatu tindakan yang boleh memberi implikasi berat dan serius terhadap akidah seseorang. Individu-individu muslim yang terlibat dinasihatkan agar merujuk kepada pihak berwajib yang arif tentang hukum hakam Islam, agar tindakan seumpama itu dapat dielakkan pada masa akan datang.

Terlalu banyak kempen dan aktiviti untuk menghakis jati diri umat Islam di negara ini, terutamanya orang-orang Melayu. Sebahagian besar kempen ini mendapat tajaan dari negara luar, diatur dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Sasaran mereka ialah membenihkan iktikad dan kepercayaan di kalangan umat Islam bahawa agama lain juga benar seperti agama Islam. Kempen-kempen ini berselindung di sebalik perkataan harmoni.

Kepercayaan orang Islam bahawa agama Islam adalah satu-satunya agama yang benar ditohmah dan dituduh sebagai penyebab kepada ketegangan kaum dan suasana tidak harmoni. Tohmahan dan tuduhan tidak berasas ini berjaya mendorong sebahagian umat Islam untuk berasa bersalah dan bersikap apologetik atas sesuatu yang palsu dan tidak wujud, lalu mudah dipengaruhi untuk terlibat dalam kempen-kempen aneh yang boleh merosakkan akidah mereka.

Sesungguhnya perang persepsi yang mereka lancarkan ini hanya dapat didepani dan dikalahkan dengan tasawur Islam yang jelas dan jati diri generasi yang bermaruah dan berprinsip, yang tidak mudah ditipu oleh slogan murahan yang memukau.

Semoga Allah melindungi dan memberi taufik kepada umat ini.
MEMBANGUN UMAT BERAGENDA

Ustaz Hj Mohd Hazizi bin Hj Ab Rahman
Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia

WIHW2015
WIHW20153