February 4, 2015 Kolumnis, Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman 0
Masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia sudah hidup aman, damai
dan harmoni sejak sekian lama. Sikap toleransi orang-orang Melayu yang
beragama Islam terhadap perayaan-perayaan agama lain di tanah bertuah
ini tiada tolok bandingnya di dunia.
Sayugia
diingatkan bahawa keharmonian yang dikecapi selama ini adalah kerana
amalan hormat menghormati, bantu membantu, saling menerima kewujudan
antara satu sama lain, berdasarkan hubungan persaudaraan sesama manusia,
tanpa menyentuh soal agama.
Bagaimanapun
terdapat fenomena aneh apabila kempen menyayangi penganut agama lain
disasarkan kepada umat Islam, sedangkan realiti di seluruh dunia
terang-terangan menunjukkan umat Islam yang menjadi mangsa kebencian
agama lain seperti di Palestin, Myanmar, Perancis, Belanda,
negara-negara Afrika dan lain-lain.
Kempen
menyayangi penganut agama lain ini semakin aneh apabila dilakukan di
Malaysia. Ini kerana sudah bertahun-tahun umat Islam di negara ini
dicabar dengan pelbagai provokasi dan penghinaan terhadap kesucian agama
mereka oleh kaum bukan Islam. Tiba-tiba, muncul kempen “World
Interfaith Harmony Week” di sini, yang dianjurkan oleh gerakan sivil
negara jiran yang sudah pun menjunjung kesamarataan agama, yang
mengangkat “placard-placard” menyatakan kasih sayang pada penganut agama
lain. Tidak dapat dipastikan sama ada placard yang menyatakan rasa
sayang kepada penganut agama Islam wujud atau tidak.
Perbuatan
mengangkat “placard” yang menyatakan rasa sayang kepada orang bukan
Islam atas nama agamanya secara khusus, bukan atas nama kemanusiaan
secara umum, adalah suatu tindakan yang boleh memberi implikasi berat
dan serius terhadap akidah seseorang. Individu-individu muslim yang
terlibat dinasihatkan agar merujuk kepada pihak berwajib yang arif
tentang hukum hakam Islam, agar tindakan seumpama itu dapat dielakkan
pada masa akan datang.
Terlalu
banyak kempen dan aktiviti untuk menghakis jati diri umat Islam di
negara ini, terutamanya orang-orang Melayu. Sebahagian besar kempen ini
mendapat tajaan dari negara luar, diatur dan dilaksanakan oleh pelbagai
pihak yang berkepentingan. Sasaran mereka ialah membenihkan iktikad dan
kepercayaan di kalangan umat Islam bahawa agama lain juga benar seperti
agama Islam. Kempen-kempen ini berselindung di sebalik perkataan
harmoni.
Kepercayaan
orang Islam bahawa agama Islam adalah satu-satunya agama yang benar
ditohmah dan dituduh sebagai penyebab kepada ketegangan kaum dan suasana
tidak harmoni. Tohmahan dan tuduhan tidak berasas ini berjaya mendorong
sebahagian umat Islam untuk berasa bersalah dan bersikap apologetik
atas sesuatu yang palsu dan tidak wujud, lalu mudah dipengaruhi untuk
terlibat dalam kempen-kempen aneh yang boleh merosakkan akidah mereka.
Sesungguhnya
perang persepsi yang mereka lancarkan ini hanya dapat didepani dan
dikalahkan dengan tasawur Islam yang jelas dan jati diri generasi yang
bermaruah dan berprinsip, yang tidak mudah ditipu oleh slogan murahan
yang memukau.
Semoga Allah melindungi dan memberi taufik kepada umat ini.
MEMBANGUN UMAT BERAGENDA
Ustaz Hj Mohd Hazizi bin Hj Ab Rahman
Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia
Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia
No comments:
Post a Comment