February 28, 2015 Berita Utama, Utama 0
KUALA
LUMPUR, 28 Feb – Kemuncak kepada Perhimpunan Perpaduan Melayu yang
diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil malam ini ialah menandatangani
Waad Melayu yang diketui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Apakah yang ada dalam Waad Melayu itu?
WARKAH WAAD MISI MELAYU ABAD KE-21
MUKADIMAH
Inilah Waad (Janji Luhur) dalam kalangan bangsa Melayu, yang termaktub pada hari ini, berpaksikan persetujuan yang berikut:
MEYAKINI
akidah Islam yang bersendikan al-Quran, hadis, ijmak dan kias telah
berakar umbi dalam peradaban Melayu selama lebih satu alaf dan menjadi
pegangan luhur umat Melayu yang telah berperadaban dalam rangka lebih
dua alaf di rantau Alam Melayu dengan binaan empayar, negara dan
pemerintahan yang berkesinambungan hingga kini.
MEMAHAMI
peradaban Islam berlandaskan tauhid dan syariah, diperkasakan oleh
maqasid syariah dan Piagam Madinah yang telah turun-temurun terserap ke
dalam keyakinan serta amalan hidup umat Islam Malaysia dan juga dalam
gubalan perlembagaan negaranya Persekutuan Malaysia.
MENDEPANI
cabaran era globalisasi, terutama geopolitik dan ekonomi, pendekatan
misi Melayu harus berpaksikan ciri-ciri Melayu global, yang berfikiran
futuristik dan bersikap kompetitif dengan kebijaksanaan yang tinggi,
berilmu, menguasai teknologi dan berjati diri kental. Bangsa Melayu
global yang perlu menghormati kelainan kaum, bangsa dan manusia sejagat.
MENEGASKAN
peradaban bangsa Melayu yang berteraskan inti sari akhlak serta nilai
mulia dengan budi pekerti yang bersopan santun, berbudi bahasa yang
halus dan budi bicara yang berhemah tinggi, dengan susunan adat yang
sempurna, dan sistem kebudayaan yang lengkap maka wajib sebati dalam
jiwa bangsa Melayu demi kemajuan, kemuliaan, maruah dan keagungan negara
dan menjadi prinsip pembinaan peradaban bangsa Malaysia dan sumbangan
kepada peradaban dunia sejagat.
MAKA DENGAN INI
diwaadkan bahawa peradaban Islam dan peradaban bangsa Melayu ialah
sebatian yang sempurna untuk menjadi landasan bagi segala bentuk
pemerintahan negara, pembangunan bangsa dan pengurusan seluruh
warganegara serta kelangsungan peradaban bangsa dalam menghadapi cabaran
dunia sejagat.
MAKA WAJIBLAH
waad ini difahami dan hidup subur dalam jiwa dan sanubari bangsa Melayu
turun-temurun sebagai teras keyakinan untuk menggubal, membina dan
melaksanakan sebarang agenda demi kelestarian, kemampanan dan kemalaran
bangsa, negara dan peradaban yang tinggi pada sepanjang zaman bercirikan
kemajuan ilmu, kemakmuran kehidupan, kedalaman pemikiran dan keluasan
kebijaksanaan.
MAKA MENJADI MISI
waad ini untuk membina peradaban bangsa serta negara Malaysia
turun-temurun berteraskan keluhuran peradaban Melayu-Islam. Inilah
kaedah yang wajar dan benar untuk menjamin kelangsungan warisan
peradaban (civilization legacy) bangsa Melayu masa hadapan selaras
keagungannya pada masa lampau.
MAKA WAJIBLAH
waad ini menjadi peringatan kepada semua anggota bangsa Melayu untuk
terus memimpin negara Malaysia ke arah kemajuan, kemakmuran dan
kesejahteraan yang adil dan saksama, di mana-mana jua mereka berada,
dengan keyakinan akan taufik, hidayah dan berkat Allah SWT.
Dimeterai oleh:
Dato’ Dr Hasan Mad
Setiausaha Agung
Majlis Perundingan Melayu
Dato’ Dr Hasan Mad
Setiausaha Agung
Majlis Perundingan Melayu
Pada: 28 Februari 2015
Sumber http://www.ismaweb.net/2015/02/32672/
No comments:
Post a Comment