Berikut jawapan dalam laman e-fatwa:
Aliran Wahabi bukanlah satu mazhab akan tetapi satu bentuk gerakan
pemikiran agama yang banyak dipegang oleh ulama-ulama Haramayn (Mekah
dan Madinah) kontemporari mengikuti pendekatan yang diambil oleh
Muhammad bin Abd Wahhab (m.1792). Dari segi mazhab , mereka lebih hampir
dengan mazhab Hanbali walaupun dari beberapa segi mereka lebih ketat
dan keras.
Dalam sejarah tradisi ilmu Islam, aliran Wahhabi
bukanlah mewakili arus perdana mazhab Ahl Sunnah wa al-Jamaah kerana
sejak seribu tahun lebih, aliran yang menjadi peneraju kepada
pentafsiran Ahl Sunnah wa al-Jamaah dalam bidang akidah ialah Asha’irah
dan Maturidiyah, manakala dalam bidang fiqh ialah empat mazhab utama
iaitu Shafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali.
Dari segi pendekatan
ilmiah, aliran Wahabi membawa pendekatan yang agak sempit dengan
metodologi harfiah (literal) yang mereka ambil dalam memahami sumber
agama khususnya al-Qur’an. Justeru itu, sebahagian dari pandangan mereka
dalam agama bersifat agak keras terutama terhadap orang yang tidak
mengambil pendekatan mereka. Pendekatan sebegini akhirnya telah membawa
kepada kecenderungan untuk mudah mengeluarkan orang Islam dari
lingkungan agama yang tidak sealiran dengan aliran Wahabi.
Contoh
perbezaan pandangan golongan Wahabi yang agak jelas ialah pandangan
mengenai sunnah dan bid’ah. Berdasarkan makna literal beberapa hadis
Nabi, mereka menganggap bahawa setiap amalan ibadat yang tidak mengikuti
secara langsung cara yang dibawa oleh Nabi saw, dianggap bid’ah dan
terkeluar dari Islam.
Justeru itu banyak amalan dan pegangan yang
telah diamalkan oleh masyarakat Islam telah dianggap terkeluar dari
agama Islam oleh golongan Wahabi. Pendekatan ini telah menyebabkan
perpecahan di kalangan sebahagian masyarakat yang telah lama mempunyai
kesatuan dalam ibadat menurut pentafsiran imam-imam muktabar dalam
mazhab Shafi’i dan dalam akidah menuruti aliran al-Ash’ari dan
al-Maturidi.
Banyak persoalan yang bersifat khilafiah telah
diangkat dan dianggap sebagai perkara usul sehingga menjadi permasalahan
dalam masyarakat, seperti larangan doa qunut, wirid dan berdoa secara
berjamaah selepas solat, tahlil, berzanji, qasidah, burdah, membaca
yasin pada malam jumaat, perayaan maulid, kesemuanya ditolak atas nama
bid’ah yang sesat. Ini sama sekali tidak selari dengan pemahaman sunnah
dan bid’ah yang sebenar dalam Islam dan juga tidak bertepatan dengan
semangat ilmiah dalam tradisi Islam yang membenarkan perbezaan pandangan
dalam persoalan khilafiah.
Dalam konteks tasawuf, mereka amat
keras membid’ah amalan-amalan tariqat, amalan wirid dan selawat yang
dilakukan oleh golongan sufi. Dalam akidah, mereka membid’ahkan ajaran
tauhid berdasarkan sifat yang kesemuanya dipelopori oleh ulama-ulama
berwibawa dalam aliran Ahl Sunnah wa al-Jama’ah.
Contoh lain
perbezaan pemahaman aliran Wahabi ialah pendekatan mereka dalam memahami
ayat-ayat mutasyabihat dalam al-Qur’an seperti ayat berkaitan ‘tangan
dan wajah Allah’, istiwa’ dan lain-lain. Dengan mengisbatkan secara
literal ayat-ayat ini dan menolak sama sekali pendekatan ta’wil yang
juga salah satu pendekatan yang diambil oleh ulama salaf dan khalaf, ia
membawa kepada kecenderungan tajsim (kefahaman Allah berjism) dan
tashbih (kefahaman Allah menyamai makhluk) terutama kepada mereka yang
berfahaman simplistik berkaitan isu tersebut.
Ramai ulama-ulama
yang telah mengkritik dan menghujah aliran Wahabi termasuk saudara
kandung Sheikh Muhammad Abdul Wahhab sendiri iaitu Sheikh Sulayman Abd
Wahhab dalam kitabnya bertajuk al-Sawa’iq al-Ilahiyyah fi al-Radd ‘ala
al-Wahhabiyyah. Antara ulama-ulama lain ialah Sayyid Ahmad Ibn Zaini
Dahlan (m.1886) Mufti Mekkah dan Shaykh al-Islam dalam kitabnya al-Durar
al-Saniyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah dan Dr. Sa’id Ramadhan
al-Buti dalam karyanya al-Salafiyyatun Marhalatun Zamaniyyatun
Mubarakatun la Mazhabun Islamiyyun.
Memandangkan Malaysia jelas
mengambil pendirian sejak beratus tahun lalu bahawa aliran yang harus
diikuti ialah mazhab Shafi’i dan dalam akidah aliran Ash’ari dan
Maturidi dan ianya telah menghasilkan perpaduan yang utuh di kalangan
umat Islam, baik dalam ibadah, muamalah dan lain-lain sehingga memberi
ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dan negara, maka aliran
Wahabi adalah tidak sesuai dalam konteks kefahaman dan amalan agama di
Malaysia.
Manakala mereka yang berzikir secara sendiri-sendiri
selepas solat tidak semestinya dari aliran Wahabi. Namun sekiranya
mereka membid’ahkan orang yang berzikir secara berjamaah selepas solat
berkemungkinan besar ia dari golongan tersebut.
No comments:
Post a Comment