February 12, 2015 Berita Utama, Utama 0
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 12 Feb – Pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama lima tahun tidak akan mengubah sebarang senario masa depan politik di negara ini, kata Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.
Beliau berkata, lanskap politik Malaysia tidak akan berubah dan Anwar hanya pemain kecil, bukan dia yang mencorakkan.
“Ya, memang Anwar ada karisma dan berpengaruh, tetapi dia bukan penentu dalam permainan politik tanah air.
“Sebaliknya, proksi-proksi Barat terutama Yahudi, Evangalis dan gerakan perkauman cauvinis Cina yang akan terus menjadi faktor utama dalam mempengaruhi senario masa depan politik negara.
“Sama ada dengan Anwar atau tidak, gerakan itu tidak akan mundur,” ujarnya di sini, hari ini.
Anwar dua hari lalu dijatuhkan hukuman penjara apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati dia bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.
Berikutan itu menurut Ustaz Abdullah, Datuk Seri Najib Razak mahupun UMNO tidak boleh selesa dengan ketiadaan Anwar. Sebaliknya, mereka tetap perlu memikirkan perpaduan di kalangan orang Melayu dalam rangka memperkukuhkan perpaduan nasional.
“Jika tidak, kepemimpinan Najib akan terus tercabar. Dijangka mereka akan menerima tekanan berterusan jika gagal membawa agenda bangsa dan agama ke tahap yang meyakinkan.
“Ini kerana asakan berterusan puak pro Barat, Evangalis dan perkauman Cina akan menyebabkan kebangkitan orang Melayu.
“Dan sekali gus akan membentuk tekanan dalaman kepada UMNO yang mungkin juga akan menuntut perubahan,” jelas Ustaz Abdullah dalam satu kenyataan.
No comments:
Post a Comment