Pages

Saturday, February 28, 2015

Liberal utamakan kebebasan melebihi tuntutan agama

February 28, 2015 Berita Utama, Utama 0

hazizi1

Oleh Muhammad Rusydi Muhammad Razif
Wartawan ISMAweb Johor

JOHOR BAHRU, 28 Feb – Masyarakat boleh mengenal pasti golongan yang berfahaman liberal dengan mudah kerana mereka ini mengutamakan kebebasan individu mengatasi tuntutan agama dan kuasa kerajaan.
Pengerusi Biro Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman, berkata golongan liberal menganggap fungsi kerajaan hanya terbatas kepada tiga iaitu menubuhkan pasukan keselamatan, menyediakan pasukan kehakiman dan menyediakan prasarana awam seperti jalanraya, jambatan, perparitan dan sebagainya.

“Perbezaan negara Islam dan negara liberal adalah negara Islam berasaskan ketuanan syarak, manakala negara liberal pula berasaskan ketuanan rakyat.
“Bagi mereka (golongan liberal), mereka bebas untuk berbuat apa sahaja (agama dan kerajaan tiada kuasa keatas individu) selagimana tidak mengganggu hak individu yang lain.

“Sebagai contoh, golongan liberal menganggap seseorang itu tidak dikira bersalah jika dia meminum arak, tetapi dikira bersalah apabila dia memandu ketika mabuk kerana membahayakan individu yang lain. Perkara ini jelas bertentangan dengan syarak kerana Islam secara jelas telah mengharamkan arak (walaupun bukan ketika memandu),” katanya pada sesi ceramah bertajuk ‘Membongkar Agenda Gerakan Liberal di Malaysia’ di Masjid Al Falah, Bandar Seri Alam di sini, malam tadi.

Dalam sesi ceramah tersebut, Ustaz Hazizi turut menceritakan serba ringkas sejarah kelahiran fahaman liberal.

“Sejarah liberal bermula di Barat ketka zaman gelap ketika mana manusia tidak menggunakan akal dan hanya mengikut kata gereja. Konflik berlaku apabila saintis Barat mula mengkaji dan terdapat pertentangan di antara kajian saintifik dan apa yang diutarakan oleh gereja.

“Sebagai contoh suatu masa dahulu gereja mengajar bahawa semua objek mengelilingi bumi, tetapi setelah dikaji ternyata fakta tersebut salah dan akhirnya saitis tersebut dibunuh. Setelah masyarakat di Barat kecewa dengan sikap gereja tersebut, mereka akhirnya bangkit menentang gereja dan kesannya pada hari ini kebanyakan orang Barat tidak menganut apa-apa agama (ateis). Setelah mereka menolak agama, maka Barat sudah tiada apa-apa rujukan dan pada ketika inilah lahirnya istilah yang dinamakan ‘ketuanan rakyat’,” jelas beliau.

Malaysia katanya, adalah negara Islam (walaupun belum sempurna) dan bukanlah negara sekular ataupun liberal kerana dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat banyak perkara yang memperuntukkan keistimewaan untuk agama Islam.

Antara yang disebut oleh Ustaz Hazizi termasuk:
1. Perkara 3 menyentuh mengenai Islam merupakan agama Persekutuan dan bukan sekadar agama rasmi. Ini merupakan asas yang besar bahawa negara kita adalah negara Islam;

2. Perkara 8 ada disebut mengenai kesamarataan di sisi undang-undang. Akan tetapi perkara ini memperincikan bahawa terdapat jawatan-jawatan tertentu yang dikhususkan oleh agama-agama tertentu sahaja. Sebab itu ada kes sebelum ini permohonan orang bukan Islam yang mahu menjadi peguam syarie ditolak.;

3. Perkara 11 mengenai kebebasan beragama. Walaupun setiap orang berhak mengamalkan agama masing-masing, tetapi tidak dibenarkan doktrin kepercayaan agama selain Islam disebarkan kepada orang Islam;

4. Perkara 12 mengenai hak pendidikan. Terdapat perincian dalam Fasal 2 mengenai keistimewaan agama Islam yang menyebut bahawa kerajaan berhak menubuhkan atau menyenggara atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam;

5. Perkara 37 mengenai lafaz sumpah Yang Dipertuan Agong untuk memelihara agama Islam pada setiap masa;

6. Perkara 121 mengenai fungsi kehakiman. Terdapat dua mahkamah tertinggi di negara kita iaitu Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, dalam fasal (1A), kedua-dua mahkamah tersebut tidak boleh mencampuri urusan mahkamah Syariah; dan

7. Perkara 150 mengenai darurat. Parlimen boleh menggubal undang-undang tanpa mengikuti prosedur-prosedur perundangan ketika darurat. Akan tetapi Parlimen tidak boleh memperluas kuasanya dalam isu-isu Syarak atau adat Melayu.

“Kesimpulannya, berdasarkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan yang sedia ada, Islam sangat dilindungi dan diberikan kedudukan yang sangat istimewa.

“Perkara ini (keistimewaan Islam) seharusnya dihargai oleh umat Islam terutama bangsa Melayu dan jangan sesekali menggadaikan keistimewaan ini dengan seruan-seruan negara sekular,” kata Ustaz Hazizi.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/02/liberal-utamakan-kebebasan-melebihi-tuntutan-agama/

No comments:

Post a Comment