Pages

Monday, September 14, 2015

PAS perlu berpegang dasar perjuangan, jangan terpengaruh pujukan PKR - Aidit



 
Pada 14-09-2015 02:09 Ditulis Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz
Post Pic
 
SHAH ALAM: PAS perlu sedar dan tidak terpengaruh lagi dengan permainan politik PKR yang mahu parti itu terus bersama gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat 2.0 yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.
 
Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Dr Aidit Ghazali berkata, PAS perlu berpegang kepada prinsipnya sebelum ini seraya meminta supaya parti itu tidak termakan pujukan PKR dalam usaha memastikan parti dominan itu terus kekal bersama Pakatan Rakyat yang sedang bercelaru.
 
Menurutnya, PAS sudah banyak kali dicerca dan dihina oleh rakan komponen partinya DAP dan serpihannya Parti Amanah Negara (Amanah).
 
"PAS perlu kembali semula kepada dasar politiknya iaitu politik itu satu ibadat. Jadi selagi PAS bermain politik, maka politik itu akan menjadi satu laknat.
 
"Satu laknat dalam erti kata, imej mereka akan terus tercemar, mereka akan terus diperbodoh-bodohkan dan lama kelamaan, mereka yang bukan merupakan ahli PAS tetapi orang yang simpati pada PAS dan sokong kepada PAS pun akan terasa di mana terletaknya maruah, intergriti sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam tetapi mengizinkan dirinya diperkotak-katik dan diperalatkan," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi hari ini.
 
Beliau mengulas mengenai hasrat PKR yang mahu mengadakan pertemuan tertutup dengan PAS hari ini bagi mencapai kata sepakat tentang hala tuju kerjasama politik antara kedua-dua parti tersebut dalam pembentukan Pakatan Rakyat 2.0.
 
Pertemuan tertutup tersebut berlangsung di Ibu Pejabat PKR, yang dijadualkan pada jam 2.30 petang.
 
Susulan perjumpaan petang ini nanti, Aidit menasihatkan PAS supaya terus menjaga integiritinya yang mempertahankan perjuangan Islam.
 
"Jadi apabila PAS masuk untuk berbincang, letakkanlah maruah diri dan juga integriti sebagai tunjang yang perlu dipelihara.
 
"Undi manusia ini bukan sekadar boleh dibeli atau pun dipermainkan dengan perjuangan bersifat isu-isu, tetapi gerak hati manusia ini juga hidayat daripada Allah SWT, jangan sampai Allah SWT tarik hidayat itu daripada PAS bila Allah melihat bahawa pemimpin PAS tidak habis-habis sanggup untuk digadaikan permainan mereka oleh DAP atau pun PKR, atau pun mana-mana pihak yang sama fikrah dengan mereka," katanya.
 
Dalam perkembangan yang sama, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim pula menasihatkan supaya PAS mengambil percaturan yang bijak dan tidak termakan dakyah PKR dalam apa jua keadaan sama sekali pun.
 
Katanya, tambahan PAS adalah sebuah parti yang boleh berdiri sendiri berdasarkan sejarahnya dalam arena politik yang melebihi 50 tahun.
 
Sehubungan itu, Tunku Aziz meminta supaya PAS tidak takut dengan apa sahaja ugutan yang dilontarkan oleh PKR.
 
"PAS adalah sebuah parti yang lama dan sangat stabil, mereka sangat mengetahui apa yang akan mereka dapat jika mereka menyertai (Pakatan Rakyat 2.0), mereka juga tahu mereka bukanlah sebuah parti yang baru ditubuhkan semalam, mereka sudah lama dalam arena politik dan mereka tahu apa yang mereka boleh capai.
 
"Nasihat saya kepada PAS, supaya mereka berfikir dan membuat keputusan berhati-hati dengan apa yang mereka rancang mahu buat dengan Pakatan Rakyat 2.0 akan ada kesannya, terutamanya kepada orang Melayu dalam parti itu," katanya.
 
Beliau turut meminta PAS memikirkan kesan jangka panjang sekiranya parti itu terus menjadi alat kepada PKR yang jika terus dilayan berkemungkinan besar boleh memecahkan undi Melayu sekiranya PAS menyertai Pakatan Rakyat 2.0.
 
"Apakah mereka sungguh mahu orang Melayu berpecah pada masa akan datang? Sebab saya rasa walaupun mereka (PAS) adalah sebuah parti Islam, mereka adalah parti Melayu yang pertama sebab mereka yang beri sokongan kepada parti itu, ianya bukan parti Islam semata-mata, tetapi ia adalah sebuah parti Islam yang ramai orang Melayu menjadi ahlinya, dalam kes ini, kamu mesti menjadi Melayu dulu dan baru kamu boleh jadi Muslim.
 
"Jadi ingat, mereka perlu ingat yang mereka ada obligasi untuk menyatukan orang Melayu dan bukannya memecahkan orang Melayu," ujarnya.
 
Sumber: antarapos.com
 

No comments:

Post a Comment