Pages

Monday, March 1, 2010

Masam itu manis

Masam itu manis

Cabaran dan dugaan adalah fitrah kehidupan. Adakalanya ombak taufan datang menggoncang hati menghasilkan kegelisahan yang melenyapkan sebuah ketenangan. Hati kita resah, gelisah dengan masalah yang melanda.

Lalu kita menjalani siri-siri kehidupan dengan tekanan sehingga mengukir riak muka masam. Biarpun matahari pagi masih bersinar terang, namun oleh kerana masalah yang membelenggu diri – terbina tembok pemisah antara kita dan ketenangan.

Inilah fitrah kehidupan.

Hidup ini tidak selalunya indah. Walaupun mungkin poket kita dipenuhi dengan wang dan rakan-rakan di sekeliling pinggang, itu semua tidak lagi bermakna andai hati tidak tenang. Ada manusia, apabila diuji dengan secebis kesusahan, ia melenting menghambur kata-kata kesat menyalahkan semua insan serta tuhan. “Apa salah aku sehingga diuji dengan ujian seberat ini?” Mulutnya menzahirkan kebencian. Mengangkat diri ke makam tertinggi.

Firman Allah SWT,

“Namun apabila tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, lalu dia berkata, “Tuhanku telah menghinaku”. (Al-Fajr: 16)

Insan itu lupa bahawa alam ini tidak sentiasa cerah. Selimut kegelapan malam pasti terbentang setelah matahari siang memancar terik. Dan begitu juga kehidupan kita. Andai segalanya indah dan mudah pasti kita akan bosan dan tidak merasakan nikmatnya sebuah kelapangan. Dan atas dugaan yang melanda, ramai manusia yang lupa diri, lupa tuhan, lupa akhirat. Tidak puas hati, tidak reda dengan masalah yang berlaku.

Mungkin kerana merasakan diri terlalu mulia dan suci untuk mendapat ujian sebegitu. Dan mulalah ia menyalahkan segalanya, hanya dirinya saja yang berada pada kebenaran. Namun sekiranya difikir-fikir kembali, sehingga bila emosi itu akan menyelesaikan masalah?

Oleh itu kehidupan mengajar kita bahawa ‘kita adalah siapa kita’. Sekiranya kita inginkan bahagia, maka kebahagiaan pasti hadir. Sebuah kisah yang dipetik daripada buku “The 7 habits of Highly Effective People” oleh Stephen R. Covey – sebuah kisah tentang seorang banduan di zaman pemerintahan diktator Nazi. Dia seorang lelaki yang menjadi banduan dalam tahanan penyiksaan oleh askar nazi yang kejam.

Setiap hari dia diseksa, dipaksa berkerja keras serta tidak diberi makanan. Berbagai-bagai penyiksaan dikenakan. Namun apa yang pelik adalah dia tidak pernah merungut, bahkan sentiasa tersenyum. Seolah-olah bahagia. Apabila ditanyakan mengapa ia masih bahagia lalu ia menjawab, “Askar nazi telah menguasai jasadku, oleh itu aku takkan serahkan hatiku kepada mereka. Hati ini milik aku dan aku inginkan hati ini sentiasa bahagia”.

Begitulah jua kita. Bahagia itu dicipta dan dipelihara. Berhentilah daripada menyalahkan keadaan, takdir serta kesilapan insan. Sebaliknya marilah kita melihat kedalam diri sendiri, mungkin kita yang lupa dan alpa lantas masalah ini tiba. Andainya kehidupan ini sempit, maka bergeraklah kepada tempat yang lebih luas. Biarkanlah apa yang telah terjadi, masalah yang telah berlaku. Andainya sesuatu telah hilang daripada kita, maka ciptalah ia!

Allah telah mengajar kita dalam Quran,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sebelum mereka mengubah diri mereka sendiri”. (Ar-Ra’d: 11)

Ya, kita adalah siapa yang kita ingin jadi. Kuncinya perubahan. Dan perubahan itu bermula dengan berfikiran positif. Sentiasa positif walaupun berlaku apa-apa dugaan. Masam manis kehidupan ini adalah fitrah. Hidup ini ibarat roda, adakalanya kita berada di atas dan kadangkala kita berada di bawah. Masalah itu penyeri kehidupan yang akan menjadikan kita lebih menghargai sebuah ketenangan. Sekiranya manusia menghidangkan limau masam kepada kita, maka buatlah air limau manis yang menyegarkan. Hidup ini indah. Masam itu manis.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

No comments:

Post a Comment