Dengan izin Allah, saya telah mengenali seseorang di face book yang ‘Sedang mencari Dia’ dan berusaha untuk berubah menjadi baik. Seorang yang masih muda, seusia anak saya…..seterusnya terlintas di benak saya untuk menulis tajuk Meniti Perubahan 1, 2 dan seterusnya ini…..
Allah ciptakan manusia ini dengan berbagai rupa, bentuk tubuh badan yang tidak sama, warna kulit yang berbeza dan juga feel perangai yang berbagai ragam. Tahap kecerdikan yang tidak sama, kebolehan juga tidak setara.
Setiap orang dilahirkan dari latar belakang keluarga yang agak berbeza., dididik dengan cara yang berbeza, dibesarkan dalam masyarakat yang berbeza. Oleh sebab itu, apabila kita bandingkan seseorang individu dengan individu yang lain, sedikit sebanyak pasti akan ada perbezaannya, di sudut rupa, saiz tubuh badan, warna kulit, feel perangai, tahap kecerdikan dan lain-lain lagi. Mereka yang lahir dari satu keluarga pun masih wujud perbezaan-perbezaan tersebut.
Apa yang saya ingin jelaskan di sini ialah, Allah menciptakan kita dalam keadaan yang cukup berbeza di antara satu sama lain.
Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan bersih, suci…..dan kemudian mereka membesar dengan menerima didikan daripada kedua ibubapa mereka, persekitaran dan seterusnya pendidikan secara formal di sekolah, universiti dan sebagainya.
Pendidikan secara formal dan tidak formal itulah yang banyak mencorakkan diri atau kehidupan seseorang. Pendidikan yang tidak formal termasuklah apa yang dilihat di tv/internet, dibaca daripada buku/majalah, pergaulan ibubapa, masyarakat dan sebagainya. Sekiranya perkara yang baik yang mereka dengar dan lihat, ini membantu mereka menjadi baik dan begitulah sebaliknya.
Hasilnya, jadilah kita semua dalam bentuk berbagai ragam. Ada orang yang wajahnya ceria, mudah bergaul, mudah mintak tolong, sabar, tenang, peramah dan sebagainya, sementara yang lain mempunyai sifat-sifat yang berlainan pula.
Ada orang akhlaknya baik, taat perintah Allah, rajin sembahyang, tutup aurat, sementara seorang yang lain akhlaknya kurang baik dan sebagainya. Apabila kita melihat seseorang yang akhlaknya baik, mungkin mereka telah melalui satu proses didikan yang baik sebelumnya. Daripada didikan ibubapa, didikan di sekolah, persekitaran yang baik, kawan-kawan yang baik dan sebagainya. Begitu juga, bila kita lihat seseorang itu akhlaknya kurang baik, mungkin mereka telah melalui kehidupan awal yang terdedah dengan didikan, keadaan/suasana yang kurang baik.
Apabila kita melihat diri kita sendiri, zahir dan batin. Itulah kita. Apabila kita lihat zahir kita, kita akan nampak wajah kita, bentuk tubuh kita secara keseluruhannya. Kemudian apabila kita melihat ke dalam diri kita pula, kita akan nampak pula sifat, perasaan dan apa saja yang berkait dengan kejiwaan dan hati. Untuk mudah cakap ‘jenis kita’. Jenis malas ke, pemarah, pendendam, pemaaf, sabar, suka tolong orang, pemalu, rendah diri…..dan lain-lain lagi.
Itulah kita, sehingga saat ini, yang telah di ciptakan dan ditaqdirkan oleh Allah menjadi seperti diri kita sekarang. Yang perlu kita redha dan terima segala-galanya. Rupa paras kita, bentuk tubuh kita, sejarah hidup kita, suka duka yang telah kita lalui, susah senang kita sekarang, semuanya berlaku dengan izin, kekuasaan dan kehendak Allah.
Kalau kita hendak berubah, gambaran-gambaran seperti yang saya sebutkan tadi perlu ada pada kita. Bahawa kita ini hanyalah seorang hamba Allah, makhluk ciptaan Allah, yang tidak mempunyai kekuatan melainkan dengan kehendak dan pertolonganNya. Apa yang telah berlaku, apa yang ada pada kita, semuanya adalah ketentuan Allah. Allah Maha Mengetahui hikmat di sebalik segala ciptaanNya.
Kita diberikan akal oleh Allah untuk kita berfikir, menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Allah turunkan panduan hidup untuk kita ikuti, iaitu agama Islam. Agama bolehlah diibaratkan sebagai satu ‘manual’ kepada satu alat yang canggih. Pencipta alat yang menyediakan ‘manual’ tersebut sudah pasti tahu segala-galanya tentang alat ciptaannya. Sekiranya alat tersebut tidak dikendalikan mengikut panduan yang telah ditetapkan, sudah pasti lambat laun alat itu akan rosak. Begitulah kerosakan-kerosakan yang kita lihat berlaku kepada umat manusia hari ini adalah hasil daripada tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh Pencipta alam ini.
Apabila ada individu yang menyatakan perasaannya ‘Sedang Mencari Dia’ dan ingin berubah……menjadi lebih baik, saya rasa bersyukur dan melahirkan kalimah alhamdulillah…
Mungkin ini boleh dikira sebagai ‘starting point’ bagi dirinya untuk mendaki anak-anak tangga yang lebih tinggi bagi menghampirkan diri kepada Allah Swt..
Tetapi untuk berubah dan mencari Dia, kita kena melalui susah payah. Contohnya, nak bangun sembahyang subuh pun susah kan?? Ini semua adalah ujian, kerana ujian inilah yang akan menentukan tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang. Saya bukanlah seorang yang layak untuk membicarakan persoalan yang besar seperti ini.
Cukup setakat ini dulu yang mampu saya paparkan. Sekadar mengambil sedikit masa yang terluang di hari cuti umum dan cuti hujung minggu yang panjang ini.
Maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan….mungkin saya akan sambung lagi di lain waktu, insya Allah.
No comments:
Post a Comment