Pages

Thursday, March 25, 2010

Tabiat Dakwah



Sesungguhnya tugasan dakwah atau menyeru kepada kebaikan merupakan sunnah para Nabi sepanjang zaman sehinggalah Nabi Muhammad saw.
Kewajipan ini tidak hanya terhad kepada golongan berpendidikan agama semata-mata, bahkan ia seharusnya sama-sama dipikul oleh setiap mereka yang bersaksi ‘Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah’.Persaksian ini merupakan suatu momentum besar untuk kita bekerja menyampaikan risalah Islam kepada manusia.

Puji dan syukur kepada Allah, dewasa ini, semakin ramai yang menyedari hakikat kewajipan ini. Justeru, kita melihat lahirnya golongan muda yang begitu bersemangat menyampaikan kefahaman Islam yang syumul. Niat mereka suci bersih semata-mata demi mencari rahmat dan keredhaan Allah swt. Pagi dan petang mereka dibasahi keringat yang bakal menjadi hujah bagi mereka kelak di hari mereka berhadapan dengan Tuhan mereka.

Namun, dalam kesungguhan dan semangat ini, setiap pendakwah itu perlu sentiasa peka dengan ciri-ciri khusus pada dakwah ini agar usaha dakwah ini tidak lari dari matlamat asalnya; rahmat dan redha Allah swt. Juga agar usaha dakwah ini akan terus berkembang dan menjadi asbab keberhasilan memandu masyarakat kembali kepada Islam.

Antara ciri khusus dakwah ini; Bertepatan amal dengan lisan.

Firman Allah swt: [61:3] “Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”.

Demikian kerasnya amaran daripada Allah swt agar kita menjaga perlakuan kita supaya selari dengan apa yang kita serukan. Seorang pendakwah seharusnya menjadi cerminan kepada seruannya. Amatlah malang jika seorang pendakwah itu pada suatu masa menyeru kepada kebaikan dan pada masa yang lain dia gagal melakukan kebaikan itu.
Demikian juga amatlah malang jika seorang pendakwah itu pada suatu masa menghalang suatu kemungkaran dan pada masa yang lain dia gagal menghalang dirinya sendiri dari kemungkaran itu. Lebih dari itu, seorang pendakwah yang gagal melaksanakan ciri khusus dakwah ini akan menjadi fitnah kepada dakwah itu sendiri. Natijahnya, masyarakat akan mula memandang serong kepada usaha dakwah kerana tiadanya qudwah atau ikon yang dapat mereka jadikan contoh dalam melaksanakan Islam secara praktikal.

Antara ciri khusus dakwah ini; Rabbaniah.

Selain usaha dakwah yang berterusan, seorang pendakwah itu perlu meletakkan pergantungannya semata-mata kepada Allah kerana hidayah itu adalah hak mutlak Allah swt. Demikian firmanNya dalam surah al-Qasas ayat 56. Maksudnya; “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)” . [28:56]

Justeru, ciri rabbaniah pada dakwah ini menuntut setiap pendakwah supaya sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah swt iaitulah dengan memperbanyakkan amalan sunnah seperti tilawah al-Quran, zikir-zikir yang ma’thur daripada sunnah, doa, qiamullail, puasa serta solat selain ibadah wajib yang telah difardhukan.

Antara ciri khusus dakwah ini; Amal Jamai’e

Firman Allah swt dalam surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”.Demikian juga sabda Nabi saw: “Bagi setiap Nabi ada penolongnya (hawariy), dan penolongku Zubair anak bapa saudaraku”.

Demikian dua dalil dari sekelian banyak dalil daripada sirah dakwah yang panjang membuktikan bahawa usaha dakwah ini memerlukan kepada gerak kerja bersama. Individu yang berdakwah secara berseorangan kebiasaanya akan cepat berasa lemah apabila berhadapan dengan cabaran serta ujian terutama ketika berhadapan dengan pelbagai ragam dan sifat manusia.
Berlainan dengan usaha dakwah secara berkelompok (amal jamaie), setiap penggerak dakwah dalam kelompok ini akan saling memperkuatkan antara satu sama lain. Bahkan budaya saling menasihati antara mereka juga akan memastikan tujuan dan matlamat asal dakwah untuk mencari keredhaan Allah tidak dicemari oleh tujuan duniawi yang pastinya bersifat sementara.

Antara ciri khusus dakwah ini; Bijak mencari peluang

Seorang ahli perniagaan yang berjaya akan sentiasa mengintai-intai peluang untuk menambah keuntungan serta meluaskan perniagaannya. Demikian juga dengan perniagaan kita dalam medan dakwah. Keberhasilan kita dalam usaha dakwah selain hakikatnya merupakan kurniaan daripada Allah swt adalah banyak bergantung kepada sejauh mana kita bijak mencari peluang untuk menyampaikan fikrah Islam itu.
Medium penyampaian dakwah dewasa ini tidak lagi hanya terhad di mimbar-mimbar masjid atau di pondok-pondok pengajian. Pendakwah yang baik perlu bijak memanfaatkan perkembangan teknologi dalam usaha dakwahnya. Banyak lagi bidang perlu dikuasai oleh para pendakwah bagi memastikan usaha dakwah ini selari dengan perkembangan semasa.
Demikian 4 ciri khusus yang seharusnya ada pada pendakwah agar usaha dakwah ini dapat dilaksanakan dengan sempurna diiringi doa yang berterusan supaya akhirnya menjadi asbab kembalinya Islam di tempat asalnya. Maka wahai sekalian saudaraku, marilah ke medan amal!

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

1 comment: