Pages

Monday, August 30, 2010

Merdeka dan Ramadhan


Oleh: Mohd Azmir bin Mohd Razli,
ISMA Shah Alam-Klang
Blog: Kalam Yang Berbicara

Tahun ini kita merayakan lagi sambutan kemerdekaan dalam bulan Ramadhan. Bagi saya tiada apa yang dinantikan selain daripada sambutan yang membazirkan duit-duit rakyat sedang ramai rakyat miskin yang kelaparan di rumah, menanti bantuan di rumah untuk meneruskan ibadah ramadhan. Bukan semata di Malaysia, malahan di Palestin, selatan Lubnan, dan banyak tempat lagi. Apa ertinya merdeka lahiriah sedangkan kita masih disumbat dengan penjajahan minda yang tidak kesudahan.

Saya teringat sedutan video seketika menonton ‘The Future of Our Religion’ oleh Tariq Swaidan, menceritakan kala mana Islam sudah menguasai Sepanyol, dan bagaimana tentera kristian merampas semula Sepanyol dari tangan orang Islam, bertahun-tahun intipan dibuat.

Bermula dengan bagaimana pengintip terjumpa dengan seorang remaja lelaki yang menangis teresak-esak. Bertanyalah pengintip tadi, akan gerangan apakah ia menangis. Maka dia berkata bahawasanya ibunya tidak membenarkan ia menyertai tentera Islam selagi mana ia tidak khatam al-Quran.

Pengintip tadi pulang dengan membawa berita bahawa mereka masih belum bersedia untuk menyerang orang Islam. beberapa tahun kemudian, pengintip dihantar lagi. Kali ini mereka terjumpa dengan seorang remaja lelaki lagi, sedang menangis. Ditanya kepadanya, mengapakah kamu menangis? Dijawabnya, bahawa ia putus cinta. Ketika itulah saat di mana tentera Kristian merebut peluang untuk menyerang orang Islam, sehingga Sepanyol jatuh ke tangan Kristian.

Apalah adanya kemerdekaan tanpa diertikan sebenar-benarnya apa itu merdeka? Seakan-akan ia adalah laungan yang dimain-mainkan penjajah, memperbudakkan kita. Tatkala kita dengan penuh yakin melaungkan kalimah merdeka, para penjajah balik dengan senyuman puas terlukis di wajah mereka.

Bahawa mereka tidak pulang dengan tangan kosong, bahkan mereka telah meninggalkan pasak-pasak peninggalan mereka, benih-benih pemahaman dan penjajahan mereka yang akan tumbuh meliar dan melilit setiap jiwa anak ‘merdeka’ kononnya.

Cukup sekadaran dengannya, kita tutup sirah pilu merdeka, mari singkap bagaimana dalam bulan Ramadhan membawa erti kepada kita dengan tawaran kemerdekaannya.

Saudara seaqidah yang saya cintai,

Sebagaimana maklumnya kita, kita sedar dan waras bahawa bulan Ramadhan adalah satu tempoh masa yang menjadi tarbiyyah buat diri kita. ya, ia satu latihan, dan didikan. Ia mendidik bagaimana untuk memerdekakan diri. Bagi mereka yang sepanjang masa diulit nafsu, serakah mahupun syahwat, dan seumpamanya, tentu sahaja Ramadhan yang mendatang dilihat sebagai sesuatu yang menyeksakan, kerana mereka sudah asyik dan tenggelam serta hanyut dengan nafsu dan dunia.

Ramadhan datang dengan membawa kepada kita didikan apa itu erti kemerdekaan. Ia bukan sekadar satu didikan supaya kita merasa bagaimana jerihnya menjadi seorang yang miskin harta dan tidak mampu walaupun untuk sesuap nasi.

Lebih dari itu, ia mendidik kita bagaimana untuk merdeka daripada cengkaman nafsu dan puasa datang dengan membawa kemerdekaan pada jiwa manusia daripada perhambaan nafsu. Daripada kita merasakan keinginan-keinginan yang membentuk kehendak kepada sesuatu, Ramadhan datang dengan seruan pembebasan daripada cengkaman nafsu.

Sesungguhnya nafsu adalah sekutu kuat syaitan, tatkala mana Ramadhan tiba dan syaitan dan ketuanya iblis dibelenggu, maka nafsulah yang akan bermain peranan untuk menjerumuskan kita ke kancah maksiat, daripada mengurangkan pahala berpuasa membawa kepada pembatalannya, na’udzubillahi min zalik.

Ramadhan datang membawa kerehatan kepada perut yang penat bekerja sebelas bulan dengan diisi makanan, diproses, dikeluarkan, berulang-ulang kali. Namun dalam bulan ini, perut diberikan rehat berjam-jam, daripada memproses makanan-makanan yang masuk. tak kurang yang menjadikan Ramadhan bulan ‘diet’, semoga berjaya.

Cumanya, samada kamu mengakhirkan Ramadhan dengan redha Allah dan ganjaran-Nya, atau kamu mengakhiri Ramadhan dengan penat dan lapar, serta perut yang ramping, sedang terlepas ganjaran-ganjarannya.

Begitulah juga pada bentuk nafsu yang lain. Ia mendidik nafsu kita untuk berbelanja kepada berjimat, mendidik syahwat kita agar fokus kepada ibadat. Apalagi yang membazir masa membuat sesuatu yang sia-sia, sedang Nabi berkata, salah satu keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah padanya.

Kalau ada yang tetap kalah, maka dia sesungguhnya akan kalah dalam bulan tarbiyyah ini. Dengan memerdekakan diri daripada nafsu ini, barulah kita mengerti dan memahami erti kemerdekaan.

Ramadhan juga datang dengan membebaskan kita daripada belenggu duniawi dengan tawaran ganjaran ibadahnya. Bayangkan perkara yang sia-sia itu hanya akan mengurangkan pahala berpuasa, sehingga bisa membawa kepada pembatalannya. Puasa mendidik kita agar menjadi seorang yang qana’ah (bersyukur dengan apa yang ada), tidak kikir (kedekut) dengan hartanya, bersifat sabar, lebih-lebih lagi adalah disiplin. Disiplin mendidik kita memahami kehendak berpuasa yang benar, mencontohi amalan-amalan sunnah nabi, melaksanakan suruhan Allah melalui kalam wahyu dan hadith, meninggalkan pula apa yang dilarang dan dibenci, juga syubhah (meragukan).

Kita boleh jadi sangat pemurah dalam membeli pakaian dan persiapan untuk Ramadhan atau berpuasa, tapi amat kikir apabila sampai kepada bab menderma sedikit daripada harta yang ada. Kita mampu untuk bersabar dan mengumpul duit untuk membeli sesuatu yang kita suka, tapi kita tidak mampu bersabar untuk mengumpul pahala sebagai satu perdagangan yang baik dengan Allah.

Alangkah malangnya kita dan sia-sia pula amalan yang kita buat. seakannya tiada guna kita berlapar dan berdahaga sekiranya hal yang kita ‘anggap’ remeh ini tidak mampu untuk dilakukan.

Bayangkan ganjaran kepada amalan-amalan yang dilakukan sepanjang ramadhan, siapa yang bisa memberi satu tawaran yang lebih hebat daripada Allah? Sedang tawaran Dia kekal dan berpanjangan, bukan semata di dunia, malah ke akhirat sana. Ramadhan datang dengan mendidik kita erti merdeka daripada perhambaan manusia, dan hanya menjadi hamba kepada Allah semata.

Maka ia menjadi satu bulan di mana kita bisa bertaqarrub lebih dengan Allah. Kerana itu Allah perkayakan tawarannya di bulan ini dengan solat sunat Tarawih, tilawah al-Quran, Qiyamullail, dan juga lailatul qadr. Dengan syaitan dibelenggu dan diikat, maka tiada apa yang menghalang kita daripada hendak beribadah kepada Allah. Kalau masih lalai dan leka, serta tidak mahu kepada kebaikan, maka kita mungkin sudah berajakan nafsu.

Ramadhan datang membawa erti kemerdekaan, ertilah kemerdekaan ini pada hakikatnya bukan pada takrifnya semata.

Ayuh, perkasakan tubuh, perkayakan ibadah, mengejar redha Allah, mencapai mardhatillah.

Sunday, August 22, 2010

Madrasah Ramadhan...


photo: Zainal Halim

Saudaraku yang dikasihi.
Marilah kita sama-sama bersyukur ke hadrat Allah swt. Kerana dengan izinNya kita masih dapat bernafas untuk mengecapi nikmat dariNya dan nikmat berada di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.

Ramadhan yang Allah sediakan sebagai madrasah untuk mengangkat darjat dan membersihkan jiwa manusia dari lembah perhambaan kepada syahwat, kepada maqam “Rabbani” supaya manusia kembali memiliki diri dan iradahnya untuk melaksanakan tanggungjawab yang khusus iaitu memikul dan melaksanakan manhaj Rabbani di bumi ini.

Ramadhan adalah madrasah taqwa yang mampu melahirkan para duat. Madrasah ini telah melahirkan para rijal yang mampu mendokong agama Islam. Madrasah yang dipenuhi dengan zikrulLah, qiamullail, istighfar, taubat, tilawatul Quran dan ketundukan yang sepenuhnya ke hadrat Allah swt.

Inilah madrasah yang disifatkan oleh RasululLah SAW, di awalnya keampunan, pertengahannya rahmat dan akhirnya pembebasan daripada api neraka. Bulan kesabaran, bulan yang Allah gandakan amal kebajikan umat Islam dan bulan yang Allah banyak memberikan keampunan kepada umat Islam yang meminta keampunan dariNya dan melakukan amal kebajikan keranaNya.

Ramadhan adalah bulan jihad dan kemenangan umat Islam. Lembaran-lembaran sejarah kegemilangan umat Islam, telah membuktikan realiti ini di Badar, Fathul Makkah, Tabuk, kemenangan Tariq ibn Ziad, Solahuddin Al Ayyubi, Muhammad Al Fatih dan banyak lagi pembukaan-pembukaan yang dilakukan oleh panglima-panglima Islam yang lain. Ianya berlaku di bulan Ramadhan walaupun muslimin keletihan berpuasa. Kenapa?

Kerana itulah saat mukmin paling hampir dengan TuhanNya. Mereka mendapat pertolongan secara langsung dari Allah melalui ibadat, taqwa dan pengekangan diri dan nafsu syahwat.

Marilah kita sama-sama merebut peluang dengan menggandakan ibadah di dalam bulan ini sebelum ianya berlalu meninggalkan kita tanpa kita sempat mengambil bekalan darinya. Mungkinkah ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita.

Sempena Ramadhan al Mubarak ini marilah kita lancarkan jihad kepada jiwa, nafsu, harta benda dan dunia ini keseluruhannya agar kita bebas dari belenggu keduniaan. Marilah kita mencontohi Rasulullah s.a.w dan para salafussoleh dalam mereka melaksanakan ibadah di bulan Ramadhan.

Tuesday, August 17, 2010

Suburkan Ibadah di Bulan Ramadhan



Daripada Salman al Farisi ra katanya: Pada hari terakhir bulan Sya’ban Rasulullah s.a.w telah berkhutbah kepada kami dengan sabdanya yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah dinaungi oleh bulan yang penuh berkat. Bulan yang padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa padanya (Ramadhan) satu kefardhuan dan melakukan qiam pada malamnya sebagai satu amalan sunat. Barangsiapa yang melakukan satu amalan sunat padanya, maka baginya ganjaran seumpama melakukan satu amalan fardhu. Dan barangsiapa yang melakukan satu amalan fardhu, maka baginya ganjaran seumpama melakukan tujuh puluh amalan fardhu.

Ramadhan adalah bulan kesabaran dan sabar ganjarannya adalah syurga. Ramadhan adalah bulan saling tolong menolong, dan bulan di mana akan ditambahkan rezki orang-orang mukmin. Barangsiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (sewaktu berbuka), maka baginya keampunan terhadap dosa-dosanya, diselamatkan batang tengkoknya dari api neraka dan baginya ganjaran pahala yang sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa berkurang walau sedikit pun.”

Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, tidak semua di kalangan kami yang memiliki sesuatu untuk diberikan kepada orang yang berpuasa.”

Lalu Badinda s.a.w menjawab: “Allah akan menganugerahkan ganjaran pahala tersebut kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (walau) dengan seteguk susu, sebiji tamar atau air. Barangsiapa yang memberi makan sehingga kenyang orang yang berpuasa, maka Allah akan memberinya minum dengan air telagaku di mana orang yang meminumnya tidak akan merasa dahaga sehinggalah dia masuk ke dalam syurga.

Ramadhan adalah bulan di mana awalnya adalah rahmah, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka. Barangsiapa memberi keringanan kepada hamba sahayanya di bulan ini, maka Allah akan mengampunkan dosanya dan akan menyelamatkannya dari api neraka.

Justeru kamu hendaklah banyak melakukan empat perkara berikut: Dua perkara membuatkan Allah redha terhadap mereka yang melakukannya sementara dua perkara lagi adalah suatu yang amat perlu bagi kamu. Dua perkara yang membuatkan Allah redha terhadap pelakunya ialah mengucap dua kalimah syahadah dan memohon keampunan kepadaNya. Sementara dua perkara yang sangat diperlukan itu ialah memohon kepada Allah syurga dan berlindung kepadaNya dari api neraka.”

Jadikanlah hadis yang agung ini sebagai agenda kita dalam menjalani ibadah puasa di bulan yang penuh berkat ini. Dan jadikanlah segala wasiat Rasulullah s.a.w itu sebagai pedoman untuk kita.

Monday, August 16, 2010

Ujian peningkat ketaqwaan

Hidup bagaikan ayunan ombak, terkadang di atas, terkadang di bawah. Hari ini senyuman terukir dan kehidupan terasa begitu bermakna, hari esok mungkin ujian menimpa. Berlinanganlah air mata dan kehidupan terasa begitu mencengkam serta mendukacitakan. Begitulah norma kehidupan kita, sentiasa diuji dan teruji.

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)



Di saat kita diuji, bagaimanakah kita menghadapinya? Bercakap secara teori dan berhadapan dengannya secara realiti adalah dua perkara yang jauh berbeza. Di sinilah jatidiri, akhlak dan peribadi memainkan peranan dalam mencorak sikap, serta pandangan kita terhadap ujian yang ditimpakan ke atas diri. Keyakinan terhadap janji Allah S.W.T juga menjadi penentu kepada reaksi diri terhadap sebarang ujian ini. Akan cepat melatahkah kita? Akan mula menyalahkan orang lainkah? Atau akan terfikirkan kita bahawa ujian ini tidak adil atau tidak baik untuk diri kita?

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Berdepan dengan ujian bukanlah sesuatu yang mudah. Bahkan ianya amat sukar. Ujian kelihatan seperti satu mudarat, kecelakaan atau sesuatu yang amat dibenci, namun melepasi ujian adalah satu hakikat kejayaan yang sebenar. Melepasi ujian dengan bersabar dan penuh ketaatan serta keyakinan terhadap janji-janji Allah S.W.T adalah satu ketaatan. Seorang pendakwah Islam yang berasal dari Amerika Syarikat, Dr. Bilal Philip dalam ceramahnya mengajukan satu persoalan yang amat menarik. Apakah yang membuatkan syaitan menjadi kufur setelah Allah S.W.T memerintahkannya sujud kepada Nabi Adam A.S? Pelbagai jawapan dilontarkan.

‘Kerana sifat angkuh syaitan’.

Jawapannya, tidak. Angkuh tidak menjadikan seseorang itu kufur.

‘Kerana dia ingkar dan tidak taat’.

Tidak juga. Berapa ramai Muslim yang ingkar dan tidak taat tetapi tidak jatuh kufur.

Akhirnya, seseorang menjawab dengan jawapan yang dikehendaki: ‘Kerana dia mempersoalkan perintah Allah S.W.T, serta mendakwa dia lebih baik daripada penciptaan Adam A.S.’

Dr. Bilal Philip selanjutnya menjelaskan, kerana perbuatan syaitan ini seolah-olah mempersoalkan dan menidakkan kekuasaan, serta pengetahuan Allah S.W.T Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Maha Suci Allah daripada sebarang kekurangan dan kelemahan. Syaitan gagal dalam ujian ini kerana mempersoalkan apa-apa yang tidak di dalam pengetahuannya, sedangkan malaikat penuh ketaatan dan kepatuhan kepada Allah S.W.T dalam melaksanakan perintahnya:

‘’Mereka (para malaikat) menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana” (Al-Baqarah: 32)

Maka, malaikat kekal menjadi makhluk yang mulia serta dihormati, sedang syaitan menjadi kufur, dilaknat dan selama-lamanya tercela. Kisah kekufuran syaitan ini seharusnya menjadi iktibar buat kita, agar tidak mengikut jejak langkahnya ketika diuji. Tidak menyalahkan ketentuan takdir serta tidak mempersoalkan Yang Maha Mencipta di atas apa-apa aturan yang telah ditentukan terbaik buat kita. Bahkan, seharusnya, kita meneguhkan keyakinan dan pergantungan kepada Allah S.W.T. kerana di dalam firmanNya, Allah S.W.T memberi jaminan bahawa ujian yang ditimpakan ke atas kita, sekali-kali tidak melebihi keupayaan kita untuk menghadapinya:

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah: 286)

Menghadapi ujian juga seharusnya disandarkan pada asas keimanan yang kukuh, iaitu dengan penuh kesabaran serta penuh usaha dan kesungguhan, dan diakhiri dengan penyerahan secara total kepada ketentuan Allah S.W.T. Kerana fitrah alam ciptaan Allah ini, menuntut satu aturan atau asbab kepada sesuatu natijah atau hasil akhir. Sesuatu perkara tidak akan berubah tanpa usaha-usaha perubahan dilaksanakan ke atasnya.



“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Ali-Imran: 200)

Apakah perisai atau kekuatan yang dapat dipergunakan bagi memperkukuhkan pasak keimanan serta keyakinan sewaktu menghadapi ujian? Sudah pastilah hubungan yang akrab dengan Rabb yang menciptakan diri serta menentukan ujian ini antara prasyarat utama. Diajarkan kepada kita daripada Kalam Allah Yang Maha Suci:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” (Al-Baqarah: 45)

Juga di dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W. bersabda:

‘Peliharalah Allah, nescaya engkau dapati Allah di hadapanmu. Ingatlah Allah di masa lapang, nescaya Dia mengingatimu di masa sukar’ (Riwayat Tirmidzi).

Di dalam syarahnya, Imam Nawawi menerangkan, maksud ‘Peliharalah Allah’ adalah memelihara hukumNya, hakNya, perintahNya dan menjauhi laranganNya. Bagi hamba-hamba yang memelihara keseluruhan aspek ini, pastilah pemeliharaan Allah ke atasnya juga terlaksana. Iaitu Allah akan memelihara agama dan imannya daripada dinodai sesuatu yang haram dan sentiasa diberikan hidayah agar kembali kepada Allah S.W.T. Inilah semulia-mulia pemeliharaan yang diharap-harapkan dari Allah S.W.T. Sesungguhnya kekuasaan dan rahmat serta kasih sayang Allah S.W.T terlalu luas, tidak berkurang walau sedikit pun dari kekuasaannya ini andai kita memohon pertolongan dariNya, maka pohonkanlah! Selain itu, kita dianjurkan juga untuk mengingati Allah S.W.T di masa lapang kerana mengingatinya di waktu sukar dan diuji kadangkala lebih sukar.



Salman Al-Farisi pernah menyebut: ‘Apabila seorang lelaki selalu memohon kpd Allah S.W.T pada waktu senang, kemudian dia memohon kpd Allah S.W.T di waktu susah, maka berkatalah malaikat: Suara ini sudah terkenal. Maka tolonglah pemilik suara ini. Sebaliknya jika suara itu tidak dikenal kecuali di masa susah, malaikat akan berkata, selama ini suaranya tidak pernah dikenal, maka tak usahlah ditolong akan dia’

Ujian, jika dilihat dari satu sudut pandang berbeza, juga merupakan sebuah rahmat kerana melalui ujian, seseorang dapat kembali mengalihkan perhatiannya kepada Allah S.W.T setelah sekian lama berjauhan akibat kesibukannya dengan urusan dunia dan hariannya. Apabila ditimpa ujian, fitrahnya akan memanggilnya untuk kembali akrab kepada Allah S.W.T, PenciptaNya dan satu-satunya yang dapat memakbulkan seluruh permintaanya. Fokus serta tumpuannya dapat dipusatkan kepada Allah S.W.T. Maka bertambah kusyuklah dia, serta jadilah dia manusia yang memiliki sifat taqwa. Dan orang-orang bertaqwa, seperti yang disebutkan Allah S.W.T dalam FirmanNya, adalah orang-orang yang berjaya mencapai kemenangan.

Bersempena bulan ujian yang bakal ditempuh tidak lama lagi, bersama-samalah kita mempersiapkan diri dengan bekal kesabaran dan keimanan yang kukuh kepada Allah S.W.T. Semoga berjaya meraih kemenangan dan meningkatkan ketaqwaan menerusi pentarbiyahan bulan ujian ini.

“Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu sekalian puasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu sekalian bertaqwa “ (Al-Baqarah: 183)



Allahumma ballighna Ramadhan.

Rujukan:

1) Al-Quran Karim

2) Syarah Hadith 40 – Imam Nawawi

3) Video Talk ‘Dakwah to Atheist/NonMuslim’ – Dr Bilal. Philip (http://www.youtube.com/watch?v=xHSomCYHDdM)

Oleh: Madihah Rushaidhi
Ketua Wanita ISMA New Zealand

Sumber: Ismaweb.net

Sunday, August 15, 2010

Perangi zina demi atasi gejala buang bayi

Apakah yang akan anda lakukan jika atap rumah tiris? Mungkin langkah segera ialah sediakan bekas untuk menadah air hujan yang menitis. Tapi untuk jangka panjang, anda perlu baiki atap rumah itu, kerana di situ letaknya punca kejadian. Kebiasaannya, atap yang ditampal juga tidak tahan lama. Tukar atap baru, barulah selesai masalah.

Kita jumpa ramai orang buang anak seperti kita jumpa banyak lubang tiris. Lalu kita kelam kabut mencari bekas untuk ditadah, seperti “Baby Hatch”, sekolah hamil dan sebagainya. Adakah langkah sebegitu perlu? Jawapannya ya. Tapi adakah ia menyelesaikan masalah? Jawapannya sudah tentu tidak.

Buang anak adalah akibat zina, kerana orang yang hamil secara halal tidak akan membuang anaknya. Manakala zina itu sendiri adalah akibat perbuatan lain, iaitu pergaulan bebas. Seterusnya kita mesti mencari jawapan apakah punca kepada pergaulan bebas dan faktor-faktor penyuburnya? Jangan terkejut jika kita dapati pihak yang kelam kabut cari “bekas tadahan” tadi juga ada “saham” menyubur pergaulan bebas.

Mengenakan tuduhan membunuh ke atas si pembuang bayi merupakan langkah kerajaan untuk membendung gejala buang bayi. Tetapi langkah tegas itu masih berada dalam lingkungan merawat, bukan mencegah, atau dengan perumpamaan tadi ia masih berlegar dalam mencari bekas terbaik untuk menadah air hujan yang tiris.

Bagaimana dengan gejala zina yang menjadi punca kepada gejala buang anak? Mengapa perkara ini tidak sampai ke tahap menjadi agenda khusus kabinet untuk mencari jalan penyelesaian segera seperti mereka membincangkan gejala buang anak?

Sebabnya ialah semua sepakat memandang kotor gejala buang anak, tapi tidak sepakat memandang jijik gejala zina. Buktinya jelas apabila ada pemimpin yang mengaku berzina pun masih diterima sebagai pemimpin hingga ke hari ini. Gerakan yang anti undang-undang Islam pun masih dibiarkan bebas meracuni pemikiran masyarakat.

Tidak sepakat memandang jijik zina adalah hasil serangan pemikiran Barat. Anggapan bahawa perbuatan zina adalah isu peribadi individu terbabit memang cedokan tulen pemikiran Barat. Pemimpin politik tidak berani menentang cara fikir asing ini kerana perkiraan-perkiraan untung rugi politik, selain ia telah berleluasa di kalangan pemimpin, rakan dan ahli keluarga sendiri.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyedari dan menginsafi sejak awal lagi bahawa penyelesaian hakiki bagi masalah ini ialah dengan mendidik generasi muda. Ungkapan yang popular di sisi aktivis ISMA ialah tarbiyah. Kalau atap bocor, kita tampal, tapi untuk jaminan jangka panjang seeloknya kita tukar dengan atap yang lain.

Itulah rahsia di sebalik pemilihan “Membina Generasi Harapan” sebagai motto ISMA. Ia menggambarkan usaha-usaha gigih mendidik generasi muda, remaja dan belia, melalui pelbagai aktiviti bina insan, agar mereka memiliki keperibadian Islam sejati dan kembali kepada pemikiran Islam tulen.

Di samping itu kita juga meyakini bahawa penguatkuasaan undang-undang Islam berkaitan zina juga adalah termasuk dalam langkah mendidik umat. Ini kerana undang-undang Allah itu bersifat mendidik dan mencegah. Bagaimanapun sekali lagi kita akan berdepan dengan gejala keracunan pemikiran Barat apabila orang Islam sendiri melatah kerana malu kepada orang Barat apabila ditayangkan hukuman rotan seratus kali atau rejam sampai mati sebagai kuno dan tidak bertamadun.

Sesungguhnya racun pemikiran Barat ini hanya boleh dilawan dengan usaha melahirkan generasi yang mempunyai pemikiran Islam sejati. Barat telah menanam pemikiran mereka melalui pendidikan merentasi era penjajahan, pasca penjajahan dan pasca moden. Serangan melalui pendidikan ini mesti dihadapi dengan serangan pendidikan juga. Benarlah kata as-Syahid Hasan al-Banna,

“إن معركتنا معركة تربوية”

“Sesungguhnya pertempuran kita adalah pertempuran pendidikan”.

“Membina Generasi Harapan”

“Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”


Mohd Hazizi bin Abdul Rahman,
Ketua Biro Media & Penerangan ISMA
Blog: Menuju Perubahan

Saturday, August 14, 2010

Dr. Yusuf Qardhawi Berbicara Tentang Cinta dan Pergaulan Lelaki Perempuan



Cinta dan perasaan. Dua perkara yang banyak melibatkan muda mudi hari ini. Cinta hari ini banyak dipengaruhi oleh lakonan-lakonan, cerita dan kisah, drama dan filem atau seumpamanya. Dan semua ini diarah tujukan oleh barat.

Saya (Dr. Yusuf), begitu khuatir dengan semakin ramainya para gadis yang tertipu dengan perasaan sedemikian rupa dan ini suatu yang amat merugikan. Terdapat begitu ramai pemuda yang suka berdusta. Amat menyedihkan. Mereka hanya ingin berseronok dengan perasaan cinta. Hati mereka sentiasa berubah-ubah. Hari ini berjanji setia dengan gadis ini, esok pula dengan gadis yang lain.

Oleh itu, kepada gadis dan wanita Islam, jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis kaum lelaki yang tidak bertanggung jawab. Janganlah memasuki alam rumah tangga dengan berbekalkan perasaan sahaja. Banyak lagi perkara yang perlu diambil kira dan semuanya hendaklah berpandukan akal yang sihat. Malah yang lebih penting dan utama berpandukan kitab Allah dan RasulNya.

Islam telah menggariskan semua batas dan garis panduan agar tidak menzalimi fitrah kemanusiaan. Contohnya, Islam menyuruh lelaki yang bakal berkahwin melihat calun isterinya dan begitulah sebaliknya terhadap wanita. Dengan melihat akan menambahkan rasa kasih sayang dan mengekalkan hubungan diantara mereka berdua. Namun semuanya dalam batas syara’ dan bukannya bercinta sebagaimana yang kita lihat dalam budaya jahiliah dahulu dan moden.

Oleh itu Islam telah menetapkan beberapa langkah pencegahan dengan menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Pertemuan antara lelaki dan perempuan pada zatnya tidaklah haram. Malah ia dituntut sekiranya niat dari pertemuan itu untuk bekerjasama dalam perkara yang benar dan kebaikan.
Antaranya ialah untuk menuntut ilmu, bekerjasa dalam menjayakan program-program yang baik, jihad yang dituntut atau apa sahaja kerja yang memerlukan gembelengan tenaga daripada lelaki dan perempuan, samada ketika merancang ataupun di peringkat pelaksanaan.

Namun ini tidaklah bermakna semuanya itu memberi ruang kebebasan kepada kaum lelaki dan perempuan untuk membelakangi had yang telah ditentukan oleh syara’. Tiada siapapun yang boleh mendakwa mereka adalah malaikat yang terpelihara dan tidak perlu dikhuatiri terhadap diri mereka. Kerjasama yang dijalankan perlulah sentiasa berada di dalam lingkungan batasan yang telah digariskan Islam. Antaranya ialah:

Pertama: Hendaklah menjaga pandangan. Jangan melihat pada aurat, jangan memandang dengan penuh nafsu atau memandang dengan pandangan yang lama tanpa ada keperluan. Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nuur ayat 31-32.

Kedua: Wanita hendaklah memakai pakaian yang digaris oleh syara’. Menutup seluruh anggota kecuali muka dan dua tapak tangan sahaja. Pakaian pula tidak nipis dan tidak menampakkan bentuk tubuh badan.

Ketiga: Memelihara adab sebagai wanita Islam, terutamanya ketika beurusan dengan lelaki:
a. Ketika bercakap: Jangan bercakap dengan nada yang menggoda dan memberahikan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 32: “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkankeinginan dalam hati orang yang ada penyakit (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkata dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
b. Ketika berjalan: Berjalanlah dengan sopan dan penuh tertib sebagaimana firman Allah: “.....dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka...” (Quran Surah an-Nur: 31)
c. Ketika melakukan gerakan: Elakkan dari melakukan gerakan yang manja dan seksi, menggoncang-goncangkan badan dan seumpamanya.

Kempat: Jauhkan daripada menggunakan sebarang perkara yang menggoda seseorang serta membangkitkan ghairah nafsu syahwat seperti wangi-wangian dan sebarang mekap yang berwarna-warni yang sepatutnya hanya digunakan di rumah sahaja.

Kelima: Jauhkan diri daripada duduk bersunyi-sunyian antara lelaki dan perempuan tanpa bersama mahram. Banyak hadis-hadis sahih yang melarang keras perbuatan tersebut dengan sabdanya yang bermaksud: “....kerana sesungguhnya pihak ketiga tidak lain tidak bukan adalah syaitan..”

Keenam: Pertemuan hendaklah pada perkara yang benar-benar perlu sahaja tanpa melakukan perkara yang berlebihan dan melampau. Dan yang penting perkara atau urusan yang dilakukan tidak menjejaskan fitrah kewanitaan atau menyebabkan terdedahnya unsur fitnah atau umpatan sehingga menjejaskan kedudukan wanita yang mulia.

Sumber: Majalah Mihwar.

Wednesday, August 11, 2010

Mari kita buang karat-karat jahiliah


Mari kita buang karat-karat jahiliah.

Kita dilahirkan dalam keadaan bersih. Tetapi setelah kita membesar, kita telah terpalit dengan karat-karat jahiliah.
Kita telah berada dalam suasana yang dicemari oleh karat-karat jahiliah. Karat-karat jahiliah telah singgah di mata kita. Karat-karat jahiliah telah singgah di telinga kita dan karat-karat jahiliah telah masuk ke dalam hati kita.

Begitu sukar untuk membuang karat-karat jahiliah. Begitu sukar untuk mengikis karat-karat jahiliah daripada diri kita. Namun, walau bagaimana sukar, kita perlu membuangnya daripada diri kita.

Kita hanya dikehendaki untuk mengambil Islam sahaja. Kita diajar bahawa ‘Sesungguhnya, hanya Din yang diredhai Allah ialah Islam.’

Jahiliah adalah lawan kepada Islam. Apa sahaja yang bercanggah dengan syariat Islam dianggap jahiliah.

Kenapa kita membiarkan diri kita dikuasai jahiliah?
Jahiliah telah menguasai pemikiran dan tindak tanduk kita.

Ada orang Islam yang berfikir bahawa Islam itu menyekat kebebasan. Ada orang Islam berfikir ajaran Islam itu tidak sesuai lagi diamalkan secara keseluruhannya di zaman sekarang. Buat atau ikut yang mana senang saja.

Ada orang Islam yang merasakan solat itu tidak lagi penting dan mereka meninggalkan solat tanpa rasa bersalah. Berpakaian tidak menutup aurat dan bergaul bebas apa salahnya asalkan hati baik. Itulah anggapan mereka. Banyak sekali hukum-hukum Allah dipandang remeh.

Di zaman Rasulullah, ada seorang sahabat telah merendahkan Sayyidina Bilal dengan berkata, “Kamu anak orang hitam.” Apabila perkara ini dilaporkan kepada Rasulullah, Rasulullah berkata kepada sahabat tadi, “Sesungguhnya dalam diri kamu masih ada lagi karat-karat jahiliah.

Dalam perkara seperti itupun Rasulullah menganggapnya sebagai karat-karat jahiliah, apa lagi dalam suasana hari ini di mana umat Islam telah diselaputi dengan berbagai-bagai jenis karat jahiliah.Orang Islam tetapi berperangai dan bersikap sepert orang bukan Islam.

Cuba kita bayangkan sekiranya baju kita terpalit dengan lumpur, najis haiwan dan sebagainya. Sudah tentu kita tidak sanggup untuk memakainya. Cepat-cepat kita akan tukar dan pakai pakaian yang bersih.Tetapi hari ini ramai umat Islam telah berani mendedahkan diri mereka dengan perkara-perkara yang haram di khalayak ramai. Tanpa segan silu. Mereka berani melakukan maksiat secara terang-terangan.
Lalu apakah sikap kita?

Rasulullah berpesan kepada kita dengan sabdanya yang bermaksud, “ Barang siapa di kalangan kamu yang melihat sesuatu kemungkaran hendaklah kamu mengubahnya dengan tanganmu, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lidahmu dan jika tidak mampu juga hendaklah kamu ubah dengan hati kamu iaitu dengan kamu membenci perkara tersebut, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman....................... .”

Marilah kita sama-sama menilai Iman kita. Marilah sama-sama kita menghisab diri kita sebelum diri kita dihisab.Marilah sama-sama kita menjaga Iman kita. Marilah sama-sama kita membuang karat-karat jahiliah yang ada pada diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita. Sehingga umat Islam boleh dilabel sebagai ummat yang terbaik.

Sunday, August 8, 2010

PENGURUSAN HATI


Menilai susah, senang atau ujian yang menimpa diri kita bukan hanya dengan logik akal semata-mata tetapi hendaklah menilainya dengan pandangan hati.

Jika kita melihat hanya dengan akal semata-mata kita akan berusaha untuk tidak mahu menghadapi kesusahan atau cabaran itu. Kita akan mencari jalan untuk mengelak daripada menempuhinya. Hakikatnya, kesusahan dan cabaran itu ialah anugerah daripada Allah dan takdir yang tidak dapat dielakkan. Malah, kesusahan dan kegagalan ialah prasyarat untuk seseorang itu berjaya. Kita tidak akan berjaya andai kita tidak sanggup mencuba, dan kita tidak akan mencuba kalau kita takut akan kesusahan, kegagalan, kata-kata orang dan sebagainya.

Susah dan senang hendaklah dilihat dengan mata hati. Apabila kita merasa susah, kecewa, sakit hati, takut, bimbang dan sebagainya terhadap ujian yang datang daripada Allah, hal ini menunjukkan bahawa keyakinan kita pada Allah adalah tipis. Pengharapan kita pada Allah tidak besar, dan pergantungan kita kepada Allah tidak tinggi. Periksalah kembali hubungan kita dengan Allah.


SEBAGAI ISYARAT KEPADA KITA

Perasaan-perasaan sebegini sebenarnya petunjuk kepada kita untuk meningkatkan keyakinan dan merapatkan lagi hubungan kita dengan-Nya. Orang-orang yang beriman, apabila menghadapi ujian, mereka menghadapinya dengan jiwa yang tenang.

“Tidak ada kesusahan yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (menerima apa yg berlaku dengan tenang dan sabar) dan Allah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu” (A-Taghabun 64:11)

Orang beriman bukan bererti tidak akan menghadapi ujian, malah sebenarnya, apabila semakin tinggi imannya semakin besar pula ujiannya. Bagi orang beriman, ujian merupakan pahala dan kifarat dosa. Apabila menghadapi ujian atau musibah katakanlah, “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah tempat kembali kami” (Al-Baqarah: 156)

Ibn Kathir menjelaskan ayat ini: “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya ialah hamba dan milik Allah. Allah berkuasa melakukan apa-apa sahaja ke atas hambanya”.

Ummu Salamah berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda: “Tiada seorang pun dikalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah yang bermaksud, ‘Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah tempat kami kembali’. Ya Allah, berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik”. (Riwayat Imam Muslim)


SETIAP KESUSAHAN ADA KEBAIKAN

Muslim yang beriman apabila menghadapi ujian, dia sedar bahawa ujian itu ialah takdir daripada Allah dan reda dengannya. Tiada istilah “Kalau aku buat begini atau begitu, sudah tentu perkara ini tidak akan berlaku”. Malah, musibah dilihatnya sebagai anugerah daripada Allah dan Allah tidak sama sekali bertujuan untuk menzalimi hamba-Nya.

Pepatah Inggeris mengatakan “It is not what happen to you that matters, it is what happen inside you that matters”. Kesan yang menimpa seseorang bukan bergantung kepada perkara yang berlaku kepadanya, tetapi bergantung kepada bagaimana hatinya melihat perkara negatif itu. Optimis.


HALANGAN DARIPADA DIRI

Sudah menjadi tabiat manusia tidak suka kepada kesusahan, kesakitan, kegagalan, penat-lelah dan sebagainya. Sifat inginkan keselesaan, ketenangan, kemudahan, dan kejayaan biasanya memonopoli definisi manusia sebagai bahagia. Sedangkan harga sebuah kejayaan adalah cabaran, kesusahan dan mungkin juga kegagalan. Sesiapa yang tidak sanggup keluar daripada zon selesanya kepada zon yang lebih mencabar, dia tidak akan berupaya meningkatkan hasil pencapaiannya ke tahap yang lebih tinggi.

Bijak pandai ada berkata, untuk berjaya seseorang mesti berupaya menghadapi pelbagai halangan. Halangan terbesar adalah dirinya sendiri, dalam bentuk perasaan yang negatif seperti kecewa, marah, putus asa, kesedihan yang berlebihan, dengki, malas dan sebagainya. Perasaan negatif ini timbul akibat tidak berupaya mengurus perasaannya supaya tunduk kepada kehendak-kehendak Allah s.w.t. melalui ibadah hati.

Ibadah hati ini mencakupi rasa hina di hadapan Allah SWT, tunduk dan berserah kepada qada’ dan qadar-Nya, menyerah diri kepada-Nya, takut akan Dia, mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, mencintai apa-apa yang dicintai-Nya dan membenci apa-apa yang dibenci-Nya.

Apabila seseorang berupaya menundukkan semua perasaannya kepada kehendak Allah dan bukan membiarkan perasaannya mengikuti kehendak nafsunya maka orang itu dikatakan telah berjaya mengatasi halangan terbesar yang menghalang dirinya untuk mencapai kejayaan hakiki. Sikap mengambil berat terhadap pengurusan hati dan usaha mengembalikan sinarnya merupakan salah satu aspek utama dalam proses pembentukan jati diri insan.

sUMBER: ISMA Mesir, Cawangan Mansurah.

Sunday, August 1, 2010

Catatan, balik kampung.

24 hb. – 26 hb. Julai 2010.Balik ke Tanjung Besar lagi. Hanya berdua dengan isteri. Isteri saya nampaknya rindu untuk berjumpa ibunya di samping menjenguk kebun buah-buahan di kampung yang buahnya sedang mula masak, durian pun dah mula gugur.

Seronok juga dapat balik kampung musim buah begini. Sudah lama saya tidak merasa mengutip durian, memanjat pokok rambutan dan manggis.

Di kampung, suasana agak lengang. Orang-orang muda ramai yang telah meninggalkan kampung dan orang tua sudah ramai yang meninggal dunia. Suasana begini memberikan sedikit ketenangan dan kerihatan kepada fikiran saya, yang selalu sibuk dengan banyak perkara.

Dalam kepulangan saya, saya tertarik dengan beberapa perkara dan saya sempat merakamkan beberapa keping gambar buat kenangan.

Yang pertama saya tertarik dengan dua orang yang sudah agak lanjut usia. Kedua-duanya ada pertalian darah dengan isteri saya.

Saya tertarik kepada mereka kerana walaupun usia mereka sudah agak lanjut tetapi fisikal mereka masih agak kuat. Yang pertama dikenali dengan panggilan Ngah Said. Usianya sudah 84 tahun, tetapi dia masih tegap, sihat dan ceria.


Bersama Ngah Said


Bersama Aki Chu

Yang seorang lagi dikenali dengan panggilan Aki Cu. Usianya sudah menjangkau ke 96 tahun. Badannya masih sihat, Cuma pendengaran dan penglihatannya sudah agak kurang baik. Saya masih dapat berbual-bual dengannya, dengan dibantu oleh isterinya.

Keesokan harinya selepas saya menziarahi Aki Cu, saya bertembung dengannya di Pekan Sehari Benta. Berjalan bertongkat sambil membelek-belek sayur dengan ditemani oleh cucunya. Masih kemas langkahnya.

Begitulah usia dan kesihatan seseorang….

Usia adalah kurniaan Allah. Ada orang boleh hidup hingga ke usia lanjut dan ada orang yang telah kembali ke rahmatullah pada usia yang masih muda.

Namun yang paling penting, walau di usia mana pun kita berada, kehidupan kita perlulah sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah Swt. Mana tahu kalau-kalau kita dijemput oleh Allah di usia kita yang masih muda. Malang sekali kalau tidak cukup amalan yang kita bawa.

Itulah pentingnya menjaga kesihatan tubuh badan. Orang yang sakit tidak akan dapat melakukan banyak perkara. Ramai orang sekarang, muda lagi sudah menghidapi berbagai-bagai penyakit.

Begitulah ketentuan Allah. Kita hanya mampu melakukan apa yang baik untuk kita. Selain daripada itu terserahlah kepada Allah. Sakit dan sihat, hidup dan mati, semuanya urusan Allah.

Saya juga tertarik kepada beberapa buah rumah yang telah tidak berpenghuni. Saya hanya rakamkan dua buah rumah, yang satu ketika dulu pernah saya kunjungi, kerana pemiliknya ada pertalian keluarga dengan isteri saya.





Rumah…...amat besar ertinya bagi kita semua. Samada rumah itu besar atau kecil. Rumah adalah sesuatu yang kita sayangi dalam hidup kita. Tempat yang mula-mula kita mengenal dunia bermula di rumah dan mungkin ramai diantara kita juga yang bercita-cita untuk meninggal dunia di rumah masing-masing.

Tetapi rumah yang kita sayangi itu, suatu hari nanti pasti kita tinggalkan. Mungkin ianya akan dihuni oleh orang lain, atau terbiar tanpa penghuni dan sampai masa akan roboh atau dirobohkan.

Begitulah lumrah alam dan kehidupan. Marilah kita belajar sesuatu daripada alam dan kehidupan ini.