Pages

Sunday, August 1, 2010

Catatan, balik kampung.

24 hb. – 26 hb. Julai 2010.Balik ke Tanjung Besar lagi. Hanya berdua dengan isteri. Isteri saya nampaknya rindu untuk berjumpa ibunya di samping menjenguk kebun buah-buahan di kampung yang buahnya sedang mula masak, durian pun dah mula gugur.

Seronok juga dapat balik kampung musim buah begini. Sudah lama saya tidak merasa mengutip durian, memanjat pokok rambutan dan manggis.

Di kampung, suasana agak lengang. Orang-orang muda ramai yang telah meninggalkan kampung dan orang tua sudah ramai yang meninggal dunia. Suasana begini memberikan sedikit ketenangan dan kerihatan kepada fikiran saya, yang selalu sibuk dengan banyak perkara.

Dalam kepulangan saya, saya tertarik dengan beberapa perkara dan saya sempat merakamkan beberapa keping gambar buat kenangan.

Yang pertama saya tertarik dengan dua orang yang sudah agak lanjut usia. Kedua-duanya ada pertalian darah dengan isteri saya.

Saya tertarik kepada mereka kerana walaupun usia mereka sudah agak lanjut tetapi fisikal mereka masih agak kuat. Yang pertama dikenali dengan panggilan Ngah Said. Usianya sudah 84 tahun, tetapi dia masih tegap, sihat dan ceria.


Bersama Ngah Said


Bersama Aki Chu

Yang seorang lagi dikenali dengan panggilan Aki Cu. Usianya sudah menjangkau ke 96 tahun. Badannya masih sihat, Cuma pendengaran dan penglihatannya sudah agak kurang baik. Saya masih dapat berbual-bual dengannya, dengan dibantu oleh isterinya.

Keesokan harinya selepas saya menziarahi Aki Cu, saya bertembung dengannya di Pekan Sehari Benta. Berjalan bertongkat sambil membelek-belek sayur dengan ditemani oleh cucunya. Masih kemas langkahnya.

Begitulah usia dan kesihatan seseorang….

Usia adalah kurniaan Allah. Ada orang boleh hidup hingga ke usia lanjut dan ada orang yang telah kembali ke rahmatullah pada usia yang masih muda.

Namun yang paling penting, walau di usia mana pun kita berada, kehidupan kita perlulah sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah Swt. Mana tahu kalau-kalau kita dijemput oleh Allah di usia kita yang masih muda. Malang sekali kalau tidak cukup amalan yang kita bawa.

Itulah pentingnya menjaga kesihatan tubuh badan. Orang yang sakit tidak akan dapat melakukan banyak perkara. Ramai orang sekarang, muda lagi sudah menghidapi berbagai-bagai penyakit.

Begitulah ketentuan Allah. Kita hanya mampu melakukan apa yang baik untuk kita. Selain daripada itu terserahlah kepada Allah. Sakit dan sihat, hidup dan mati, semuanya urusan Allah.

Saya juga tertarik kepada beberapa buah rumah yang telah tidak berpenghuni. Saya hanya rakamkan dua buah rumah, yang satu ketika dulu pernah saya kunjungi, kerana pemiliknya ada pertalian keluarga dengan isteri saya.





Rumah…...amat besar ertinya bagi kita semua. Samada rumah itu besar atau kecil. Rumah adalah sesuatu yang kita sayangi dalam hidup kita. Tempat yang mula-mula kita mengenal dunia bermula di rumah dan mungkin ramai diantara kita juga yang bercita-cita untuk meninggal dunia di rumah masing-masing.

Tetapi rumah yang kita sayangi itu, suatu hari nanti pasti kita tinggalkan. Mungkin ianya akan dihuni oleh orang lain, atau terbiar tanpa penghuni dan sampai masa akan roboh atau dirobohkan.

Begitulah lumrah alam dan kehidupan. Marilah kita belajar sesuatu daripada alam dan kehidupan ini.

No comments:

Post a Comment