Pages

Wednesday, August 11, 2010

Mari kita buang karat-karat jahiliah


Mari kita buang karat-karat jahiliah.

Kita dilahirkan dalam keadaan bersih. Tetapi setelah kita membesar, kita telah terpalit dengan karat-karat jahiliah.
Kita telah berada dalam suasana yang dicemari oleh karat-karat jahiliah. Karat-karat jahiliah telah singgah di mata kita. Karat-karat jahiliah telah singgah di telinga kita dan karat-karat jahiliah telah masuk ke dalam hati kita.

Begitu sukar untuk membuang karat-karat jahiliah. Begitu sukar untuk mengikis karat-karat jahiliah daripada diri kita. Namun, walau bagaimana sukar, kita perlu membuangnya daripada diri kita.

Kita hanya dikehendaki untuk mengambil Islam sahaja. Kita diajar bahawa ‘Sesungguhnya, hanya Din yang diredhai Allah ialah Islam.’

Jahiliah adalah lawan kepada Islam. Apa sahaja yang bercanggah dengan syariat Islam dianggap jahiliah.

Kenapa kita membiarkan diri kita dikuasai jahiliah?
Jahiliah telah menguasai pemikiran dan tindak tanduk kita.

Ada orang Islam yang berfikir bahawa Islam itu menyekat kebebasan. Ada orang Islam berfikir ajaran Islam itu tidak sesuai lagi diamalkan secara keseluruhannya di zaman sekarang. Buat atau ikut yang mana senang saja.

Ada orang Islam yang merasakan solat itu tidak lagi penting dan mereka meninggalkan solat tanpa rasa bersalah. Berpakaian tidak menutup aurat dan bergaul bebas apa salahnya asalkan hati baik. Itulah anggapan mereka. Banyak sekali hukum-hukum Allah dipandang remeh.

Di zaman Rasulullah, ada seorang sahabat telah merendahkan Sayyidina Bilal dengan berkata, “Kamu anak orang hitam.” Apabila perkara ini dilaporkan kepada Rasulullah, Rasulullah berkata kepada sahabat tadi, “Sesungguhnya dalam diri kamu masih ada lagi karat-karat jahiliah.

Dalam perkara seperti itupun Rasulullah menganggapnya sebagai karat-karat jahiliah, apa lagi dalam suasana hari ini di mana umat Islam telah diselaputi dengan berbagai-bagai jenis karat jahiliah.Orang Islam tetapi berperangai dan bersikap sepert orang bukan Islam.

Cuba kita bayangkan sekiranya baju kita terpalit dengan lumpur, najis haiwan dan sebagainya. Sudah tentu kita tidak sanggup untuk memakainya. Cepat-cepat kita akan tukar dan pakai pakaian yang bersih.Tetapi hari ini ramai umat Islam telah berani mendedahkan diri mereka dengan perkara-perkara yang haram di khalayak ramai. Tanpa segan silu. Mereka berani melakukan maksiat secara terang-terangan.
Lalu apakah sikap kita?

Rasulullah berpesan kepada kita dengan sabdanya yang bermaksud, “ Barang siapa di kalangan kamu yang melihat sesuatu kemungkaran hendaklah kamu mengubahnya dengan tanganmu, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lidahmu dan jika tidak mampu juga hendaklah kamu ubah dengan hati kamu iaitu dengan kamu membenci perkara tersebut, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman....................... .”

Marilah kita sama-sama menilai Iman kita. Marilah sama-sama kita menghisab diri kita sebelum diri kita dihisab.Marilah sama-sama kita menjaga Iman kita. Marilah sama-sama kita membuang karat-karat jahiliah yang ada pada diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita. Sehingga umat Islam boleh dilabel sebagai ummat yang terbaik.

No comments:

Post a Comment