“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Sunday, August 8, 2010
PENGURUSAN HATI
Menilai susah, senang atau ujian yang menimpa diri kita bukan hanya dengan logik akal semata-mata tetapi hendaklah menilainya dengan pandangan hati.
Jika kita melihat hanya dengan akal semata-mata kita akan berusaha untuk tidak mahu menghadapi kesusahan atau cabaran itu. Kita akan mencari jalan untuk mengelak daripada menempuhinya. Hakikatnya, kesusahan dan cabaran itu ialah anugerah daripada Allah dan takdir yang tidak dapat dielakkan. Malah, kesusahan dan kegagalan ialah prasyarat untuk seseorang itu berjaya. Kita tidak akan berjaya andai kita tidak sanggup mencuba, dan kita tidak akan mencuba kalau kita takut akan kesusahan, kegagalan, kata-kata orang dan sebagainya.
Susah dan senang hendaklah dilihat dengan mata hati. Apabila kita merasa susah, kecewa, sakit hati, takut, bimbang dan sebagainya terhadap ujian yang datang daripada Allah, hal ini menunjukkan bahawa keyakinan kita pada Allah adalah tipis. Pengharapan kita pada Allah tidak besar, dan pergantungan kita kepada Allah tidak tinggi. Periksalah kembali hubungan kita dengan Allah.
SEBAGAI ISYARAT KEPADA KITA
Perasaan-perasaan sebegini sebenarnya petunjuk kepada kita untuk meningkatkan keyakinan dan merapatkan lagi hubungan kita dengan-Nya. Orang-orang yang beriman, apabila menghadapi ujian, mereka menghadapinya dengan jiwa yang tenang.
“Tidak ada kesusahan yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (menerima apa yg berlaku dengan tenang dan sabar) dan Allah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu” (A-Taghabun 64:11)
Orang beriman bukan bererti tidak akan menghadapi ujian, malah sebenarnya, apabila semakin tinggi imannya semakin besar pula ujiannya. Bagi orang beriman, ujian merupakan pahala dan kifarat dosa. Apabila menghadapi ujian atau musibah katakanlah, “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah tempat kembali kami” (Al-Baqarah: 156)
Ibn Kathir menjelaskan ayat ini: “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya ialah hamba dan milik Allah. Allah berkuasa melakukan apa-apa sahaja ke atas hambanya”.
Ummu Salamah berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda: “Tiada seorang pun dikalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah yang bermaksud, ‘Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah tempat kami kembali’. Ya Allah, berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik”. (Riwayat Imam Muslim)
SETIAP KESUSAHAN ADA KEBAIKAN
Muslim yang beriman apabila menghadapi ujian, dia sedar bahawa ujian itu ialah takdir daripada Allah dan reda dengannya. Tiada istilah “Kalau aku buat begini atau begitu, sudah tentu perkara ini tidak akan berlaku”. Malah, musibah dilihatnya sebagai anugerah daripada Allah dan Allah tidak sama sekali bertujuan untuk menzalimi hamba-Nya.
Pepatah Inggeris mengatakan “It is not what happen to you that matters, it is what happen inside you that matters”. Kesan yang menimpa seseorang bukan bergantung kepada perkara yang berlaku kepadanya, tetapi bergantung kepada bagaimana hatinya melihat perkara negatif itu. Optimis.
HALANGAN DARIPADA DIRI
Sudah menjadi tabiat manusia tidak suka kepada kesusahan, kesakitan, kegagalan, penat-lelah dan sebagainya. Sifat inginkan keselesaan, ketenangan, kemudahan, dan kejayaan biasanya memonopoli definisi manusia sebagai bahagia. Sedangkan harga sebuah kejayaan adalah cabaran, kesusahan dan mungkin juga kegagalan. Sesiapa yang tidak sanggup keluar daripada zon selesanya kepada zon yang lebih mencabar, dia tidak akan berupaya meningkatkan hasil pencapaiannya ke tahap yang lebih tinggi.
Bijak pandai ada berkata, untuk berjaya seseorang mesti berupaya menghadapi pelbagai halangan. Halangan terbesar adalah dirinya sendiri, dalam bentuk perasaan yang negatif seperti kecewa, marah, putus asa, kesedihan yang berlebihan, dengki, malas dan sebagainya. Perasaan negatif ini timbul akibat tidak berupaya mengurus perasaannya supaya tunduk kepada kehendak-kehendak Allah s.w.t. melalui ibadah hati.
Ibadah hati ini mencakupi rasa hina di hadapan Allah SWT, tunduk dan berserah kepada qada’ dan qadar-Nya, menyerah diri kepada-Nya, takut akan Dia, mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, mencintai apa-apa yang dicintai-Nya dan membenci apa-apa yang dibenci-Nya.
Apabila seseorang berupaya menundukkan semua perasaannya kepada kehendak Allah dan bukan membiarkan perasaannya mengikuti kehendak nafsunya maka orang itu dikatakan telah berjaya mengatasi halangan terbesar yang menghalang dirinya untuk mencapai kejayaan hakiki. Sikap mengambil berat terhadap pengurusan hati dan usaha mengembalikan sinarnya merupakan salah satu aspek utama dalam proses pembentukan jati diri insan.
sUMBER: ISMA Mesir, Cawangan Mansurah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment