“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Sunday, August 22, 2010
Madrasah Ramadhan...
photo: Zainal Halim
Saudaraku yang dikasihi.
Marilah kita sama-sama bersyukur ke hadrat Allah swt. Kerana dengan izinNya kita masih dapat bernafas untuk mengecapi nikmat dariNya dan nikmat berada di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.
Ramadhan yang Allah sediakan sebagai madrasah untuk mengangkat darjat dan membersihkan jiwa manusia dari lembah perhambaan kepada syahwat, kepada maqam “Rabbani” supaya manusia kembali memiliki diri dan iradahnya untuk melaksanakan tanggungjawab yang khusus iaitu memikul dan melaksanakan manhaj Rabbani di bumi ini.
Ramadhan adalah madrasah taqwa yang mampu melahirkan para duat. Madrasah ini telah melahirkan para rijal yang mampu mendokong agama Islam. Madrasah yang dipenuhi dengan zikrulLah, qiamullail, istighfar, taubat, tilawatul Quran dan ketundukan yang sepenuhnya ke hadrat Allah swt.
Inilah madrasah yang disifatkan oleh RasululLah SAW, di awalnya keampunan, pertengahannya rahmat dan akhirnya pembebasan daripada api neraka. Bulan kesabaran, bulan yang Allah gandakan amal kebajikan umat Islam dan bulan yang Allah banyak memberikan keampunan kepada umat Islam yang meminta keampunan dariNya dan melakukan amal kebajikan keranaNya.
Ramadhan adalah bulan jihad dan kemenangan umat Islam. Lembaran-lembaran sejarah kegemilangan umat Islam, telah membuktikan realiti ini di Badar, Fathul Makkah, Tabuk, kemenangan Tariq ibn Ziad, Solahuddin Al Ayyubi, Muhammad Al Fatih dan banyak lagi pembukaan-pembukaan yang dilakukan oleh panglima-panglima Islam yang lain. Ianya berlaku di bulan Ramadhan walaupun muslimin keletihan berpuasa. Kenapa?
Kerana itulah saat mukmin paling hampir dengan TuhanNya. Mereka mendapat pertolongan secara langsung dari Allah melalui ibadat, taqwa dan pengekangan diri dan nafsu syahwat.
Marilah kita sama-sama merebut peluang dengan menggandakan ibadah di dalam bulan ini sebelum ianya berlalu meninggalkan kita tanpa kita sempat mengambil bekalan darinya. Mungkinkah ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita.
Sempena Ramadhan al Mubarak ini marilah kita lancarkan jihad kepada jiwa, nafsu, harta benda dan dunia ini keseluruhannya agar kita bebas dari belenggu keduniaan. Marilah kita mencontohi Rasulullah s.a.w dan para salafussoleh dalam mereka melaksanakan ibadah di bulan Ramadhan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment