“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Saturday, August 14, 2010
Dr. Yusuf Qardhawi Berbicara Tentang Cinta dan Pergaulan Lelaki Perempuan
Cinta dan perasaan. Dua perkara yang banyak melibatkan muda mudi hari ini. Cinta hari ini banyak dipengaruhi oleh lakonan-lakonan, cerita dan kisah, drama dan filem atau seumpamanya. Dan semua ini diarah tujukan oleh barat.
Saya (Dr. Yusuf), begitu khuatir dengan semakin ramainya para gadis yang tertipu dengan perasaan sedemikian rupa dan ini suatu yang amat merugikan. Terdapat begitu ramai pemuda yang suka berdusta. Amat menyedihkan. Mereka hanya ingin berseronok dengan perasaan cinta. Hati mereka sentiasa berubah-ubah. Hari ini berjanji setia dengan gadis ini, esok pula dengan gadis yang lain.
Oleh itu, kepada gadis dan wanita Islam, jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis kaum lelaki yang tidak bertanggung jawab. Janganlah memasuki alam rumah tangga dengan berbekalkan perasaan sahaja. Banyak lagi perkara yang perlu diambil kira dan semuanya hendaklah berpandukan akal yang sihat. Malah yang lebih penting dan utama berpandukan kitab Allah dan RasulNya.
Islam telah menggariskan semua batas dan garis panduan agar tidak menzalimi fitrah kemanusiaan. Contohnya, Islam menyuruh lelaki yang bakal berkahwin melihat calun isterinya dan begitulah sebaliknya terhadap wanita. Dengan melihat akan menambahkan rasa kasih sayang dan mengekalkan hubungan diantara mereka berdua. Namun semuanya dalam batas syara’ dan bukannya bercinta sebagaimana yang kita lihat dalam budaya jahiliah dahulu dan moden.
Oleh itu Islam telah menetapkan beberapa langkah pencegahan dengan menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Pertemuan antara lelaki dan perempuan pada zatnya tidaklah haram. Malah ia dituntut sekiranya niat dari pertemuan itu untuk bekerjasama dalam perkara yang benar dan kebaikan.
Antaranya ialah untuk menuntut ilmu, bekerjasa dalam menjayakan program-program yang baik, jihad yang dituntut atau apa sahaja kerja yang memerlukan gembelengan tenaga daripada lelaki dan perempuan, samada ketika merancang ataupun di peringkat pelaksanaan.
Namun ini tidaklah bermakna semuanya itu memberi ruang kebebasan kepada kaum lelaki dan perempuan untuk membelakangi had yang telah ditentukan oleh syara’. Tiada siapapun yang boleh mendakwa mereka adalah malaikat yang terpelihara dan tidak perlu dikhuatiri terhadap diri mereka. Kerjasama yang dijalankan perlulah sentiasa berada di dalam lingkungan batasan yang telah digariskan Islam. Antaranya ialah:
Pertama: Hendaklah menjaga pandangan. Jangan melihat pada aurat, jangan memandang dengan penuh nafsu atau memandang dengan pandangan yang lama tanpa ada keperluan. Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nuur ayat 31-32.
Kedua: Wanita hendaklah memakai pakaian yang digaris oleh syara’. Menutup seluruh anggota kecuali muka dan dua tapak tangan sahaja. Pakaian pula tidak nipis dan tidak menampakkan bentuk tubuh badan.
Ketiga: Memelihara adab sebagai wanita Islam, terutamanya ketika beurusan dengan lelaki:
a. Ketika bercakap: Jangan bercakap dengan nada yang menggoda dan memberahikan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 32: “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkankeinginan dalam hati orang yang ada penyakit (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkata dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
b. Ketika berjalan: Berjalanlah dengan sopan dan penuh tertib sebagaimana firman Allah: “.....dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka...” (Quran Surah an-Nur: 31)
c. Ketika melakukan gerakan: Elakkan dari melakukan gerakan yang manja dan seksi, menggoncang-goncangkan badan dan seumpamanya.
Kempat: Jauhkan daripada menggunakan sebarang perkara yang menggoda seseorang serta membangkitkan ghairah nafsu syahwat seperti wangi-wangian dan sebarang mekap yang berwarna-warni yang sepatutnya hanya digunakan di rumah sahaja.
Kelima: Jauhkan diri daripada duduk bersunyi-sunyian antara lelaki dan perempuan tanpa bersama mahram. Banyak hadis-hadis sahih yang melarang keras perbuatan tersebut dengan sabdanya yang bermaksud: “....kerana sesungguhnya pihak ketiga tidak lain tidak bukan adalah syaitan..”
Keenam: Pertemuan hendaklah pada perkara yang benar-benar perlu sahaja tanpa melakukan perkara yang berlebihan dan melampau. Dan yang penting perkara atau urusan yang dilakukan tidak menjejaskan fitrah kewanitaan atau menyebabkan terdedahnya unsur fitnah atau umpatan sehingga menjejaskan kedudukan wanita yang mulia.
Sumber: Majalah Mihwar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment